Wednesday, March 21, 2012

Jihad Cinta-2 [Di buru masa]

Kuliah maghrib malam itu seperti biasa di sampaikan oleh Pengerusi Biro Kerohanian Kolej, Hadi Asyraf. Anak jati negeri jelapang padi yang masih pekat dengan loghat Kedahnya. Tidak dinafikan, penyampaiannya menarik dan gaya bahasa yang digunakan mampu membuat audien terlopong mendengarnya. Di tambah lagi dengan unsur kecindan yang diselitkan. Pokok pangkalnya, ceramahnya cukup rasa. Tidak mengundang jemu ataupun membuai mata untuk terlena. Adakalanya Zati sahaja yang tidak tergelak saat dia berlucu. Manakan tidak, menggunakan dialek utara, mana dimengerti oleh Zati yang membesar di negeri bawah bayu. Terpaksa bertanya dengan teman yang duduk di saf sebelah, orang sudah habis gelak, baru Zati mengukir tawa. Tertinggal dibelakang.

Isu yang dikupas malam itu juga menarik. Malam minggu memang dijadualkan untuk merka membincangkan berkaitan isu semasa samada peringkat nasional mahupun antarabangsa. Sesuai dengan status mahasiswa, apatah lagi bakal bergelar pendidik, minda mereka seharusnya berminda kelas pertama. Cakna maklumat dan responsif kepada persekitaran.

“Saudara Hadi, apa pandangan saudara berkenaan isu murtad yang tidak pernah berhenti sebenarnya. Bezanya isu ini bersifat semasa di media masa. Hanya disensasikan apabila ada kes-kes yang dibawa ke pengadilan secara terbuka. Jika tidak ada, akan disenyapkan walhal isu ini terus-terusan memamah umat Islam dari dalam.”

Persoalan yang dikemukakan oleh Khairul Yusri, ketua blok A semasa sesi soal jawab di buka. Seorang yang memang terkenal lantang bersuara. Walaupun bertubuh kecil, tetapi lontaran vokalnya tidak menggambarkan tubuhnya. Kerap berdepan dengan pihak pengurusan kolej membawa isu-isu penghuni kolej terutama berkaitan hal-hal kebajikan. Tidak hairan, jawatan ketua blok di pegangnya dua tahun berturut-turut.

Semua mata memandang Hadi. Menanti responnya pada persoalan yang dikemukakan. Bakal Cikgu Sejarah ini kelihatan tenang bersahaja. Membetulkan mikrofon yang melekat di baju melayunya yang berwarna hijau.

“Terima kasih atas soalan yang dikemukakan. Ana bersetuju dengan pandangan Saudara Khairul Yusri. Isu ini bersifat semasa walhal gejalanya tidak pernah berhenti. Perit untuk ditelan, namun itulah realiti yang terpaksa kita depani. Menurut Ustaz Dr. Azhar Yaakob, seorang tenaga akademik dan pendakwah yang aktif, murtad di Malaysia telah mencapai angka yang menggerunkan dan perlu diberi perhatian yang serius oleh masyarakat Islam dan pihak pemerintah. Beliau juga mengandaikan angka murtad akan meningkat berkali ganda di negara ini menjelang tahun 2020. Faktor yang meningkatkan statistik ini antaranya faktor kejahilan, budaya hiburan melampau, ketidakpedulian sosial masyarakat Melayu dan gejala Islam Liberal yang semakin mencabar kesucian Islam. Melihat kajian ini, kita selaku mahasiswa punya peranan sebenarnya. Menjadi tenaga pendesak kepada pihak-pihak berwajib. Sentiasa mengetengahkan isu ini agar ianya tidak bersifat bermusim. Dengan kapasiti kita sebagai bakal guru, lagi banyak peranan yang mampu dimainkan. Faktor kejahilan dan kegilaan kepada hiburan melampau mampu kita atasi dengan pendidikan berterusan kepada anak bangsa. Nampak seperti retorik, namun inilah yang paling praktikal sebenarnya. Asasnya mudah, jangan nanti kita sekadar menjadi guru. Berusaha menghabiskan silibus semata. Bukan hanya bermatlamatkan untuk menaikan peratus sekolah atau mengumpul sebanyaknya bilangan A untuk pelajar kita. Bersedia dari awal, bersifat pendidik berjiwa da’ie. InsyaAllah..setidaknya kita menjadi manusia yang bukan sekadar memerhati dari luar gelanggang. Tapi kita masuk ke dalam dan melakukan sesuatu.” Pandangan padat dan bernas daripada Hadi. Menzahirkan dia seorang yang bermaklumat. Tidak hairan, kerana dia memang terkenal dengan sikap rajin membaca. Jarang kelihatan tiada buku di tangannya. Dia sememangnya seorang yang berkarisma.

Sebelum sesi kuliah maghrib ditamatkan, satu pengumuman di buat oleh Hadi. Esok tepat pukul 9.00 pagi akan diadakan satu mesyuarat Biro Kerohanian Kolej Kediaman Ungku Omar. Ahli jawatankuasa diingatkan untuk menepati masa dan bersedia dengan laporan masing-masing. Zati teringat minit mesyuarat lepas yang belum dikemaskininya. Satu lagi kerja menanti. Pasti malam ini malam yang sibuk.

Usai Isyak berjemaah, Zati bergegas pulang. Tidak lagi menyinggah di rumah jiran-jiran. Tidak punya waktu bersembang kosong malam itu. Tugasan Dr Mustaffa menanti untuk disudahkan. Perbincangan bersama Dinah siang tadi menjawab beberapa persoalan Zati sebelum ini. Dinah sememangnya seorang pelajar yang pintar. Walau kurang rajin, namun otaknya yang geliga aset berharga. Dengan sekali penjelasan mampu diingati dengan mudah. Apatah lagi melibatkan pengiraan dan matematik. 3 soalan tutorial dan 2 amali bagi kursus Kimia Fizikal perlu dibereskan dengan sempurna. Usaha meraih 30% markah tambahan untuk peperiksaan akhir semester nanti.

Zati mengurut-urut tengkuk yang terasa tegang. Jam dinding bulat berwarna hijau di jeling. Tepat pukul 11.20 malam. Hampir dua jam Zati khusyuk menyelesaikan tugasan ini. Tidak sedar masa sepantas itu. Di tambah lagi dengan bilik yang sunyi. Hanya berteman laptop dengan alunan merdu kalam suci daripada Imam Muhammad Thaha Al-Junaid. Kemerduan suaranya cukup menusuk sukma. Mententeramkan jiwa dan mendamaikan perasaan.

Selesai mengemas semua kertas yang bersepah di atas meja. Zati merehatkan lelah seketika. Sunyi pula malam ini. Di surau tadi hanya ada dua saf jemaah muslimah. Kebiasaannya mencecah hingga 4 saf. Kesempatan cuti hujung minggu sememangnya tidak dilepaskan oleh mahasiswa untuk balik kampung. Terutama yang tinggal sekitar kampus seperti Lembah Klang dan dalam Perak sendiri. Bagi anak sabahan seperti Zati, hanya mampu balik menikmati nikmat cuti di kampung halaman hanya pada cuti yang benar-benar panjang sahaja.

Meluruskan pinggang yang lenguh dua jam duduk tanpa rehat, mulut Zati kumat kamit cuba menurut alunan bacaan Al-quran Imam Kecil, Muhammad Thaha yang di pasang sedari tadi. Kebetulan surah yang dialunkan daripada Juz Amma. Mudahlah untuk di turuti. Cuba-cuba berlagu sepertinya. Zati tertawa sendiri. Jauh benar beza ton suara Zati dan sang Imam, lagunya juga tidak sama. Sumbang jadinya.

Lima belas minit meluruskan tulang belakangnyang lenguh, memerhati kipas yang ligat berputar dan siling yang putih bersih, mata Zati bagai dibuai-buai. Letih seharian bersama Dinah. Malam ini pula fokus dengan tugasan yang perlu di hantar lusa. Sepatutnya dia perlu bertahan, menyiapkan minit mesyuarat yang akan diedarkan esok. Namun matanya sudah memujuk, minta dipejam. Zati hanya mampu menggagahkan diri ke bilik air, menggosok gigi dan berwudhuk. Kemudian pantas menekan suis lampu, kumat kamit membaca Ayatul Kursi, 3 Qul, doa tidur dan di akhiri dengan kalimah syahadah. Surah Al-Mulk yang menjadi rutinnya, malam itu gagal dialunkan. Zati lena dalam nawaitu mahu bangun seawal pukul 4 pagi. Mudahan punya rezeki bermunajat di sepertiga malam.

**********************************************************************

bersambung...

No comments:

Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...