bicara_sufi

menuju destinasi PASTI

Berjalanlah tanpa henti

Kurang benar terisi bicara sufi akhir-akhir ini. Ingatkan sekadar Januari kesepiannya, berlanjutan juga hingga ke Februari. Ternyata kelembapan internet selama beberapa hari dan tugasan data SMM yang tidak berkesudahan menghalang dari terus aktif menulis. Selepas ini, harapnya setelah SMM tidak lagi minta perhatian, aku harus pula beralih ke SSDP [data lagi..tapi kerja data yang tak bergaji di dunia]. Kebetulan pula bidang tugas di sekolah lebih kurang dengan amanah perjuangan. Agaknya, kesan keakraban ku dengan laptop menjadikan aku dirasakan sesuai dengan amanah sebegini. Apapun, ianya sesuai dengan jiwa. Memang mahu beralih, dari "menonjol" di hadapan dengan harus petah berkata-kata, kepada lebih "pendiam" namun masih bekerja. Harapnya berjalan seperti yang diharapkan. :-)

Hujung minggu ini ternyata agak padat namun penuh dengan kepuasan. Seminggu lepas fikiran tidak tenang dan perasaan kurang senang. Asyik memikirkan tentang aktiviti ko-kurikulum yang harus dikendalikan. Menjadi ketua guru penasihat kepada Persatuan Pendidikan Islam [PERPIS] di sekolah, pastinya menjadi satu beban amanah yang tidak mudah. Risau juga, ada yang akan mempertikaikan jawatan ini. Maklumlah bukan guru agama, tetapi pegang pula persatuan Agama Islam. Tetapi memikirkan keharusan dan rasa tangungjawab menurunkan ilmu yang ada berada dalam organisasi "Islam" sepanjang berada di sekolah, amanah ini ku galas sedaya mungkin. Macam-macam bermain difikiran. Perasaan malu dengan para ustazah dan ustaz yang turut menjadi guru penasihat tidak dapat diafikan. Bagai tidak berkeyakinan dihadapan mereka. Dalam masa yang sama, memerah minda, memikirkan pendekatan yang harus dibawa agar PERPIS tidak menjadi persatuan yang membosankan dan "ditakuti" oleh pelajar. Mentaliti pelajar yang merasakan "ISLAM" tidak bebas dan tidak seronok harus dikikis. Minda mereka harus disetkan untuk sedar bahawa apa-apa yang berkaitan dengan ISLAM hanyalah kebaikan dan kebahagiaan sahaja.

Syukur Alhamdulillah, bilangan ahli PERPIS antara yang terbanyak diantara kelab dan persatuan yang ada di sekolah. Maksudnya ramailah mad'u yang menjadi amanah untuk aku kongsi segala ilmu yang ada. InsyaAllah..melihat respon mereka sepanjang aktiviti Sabtu lepas, turut membakar semangat yang kurang membara ini. Cukuplah 3 tahun disekolah itu tanpa ada perananku menjalankan tugasku sebagai "murabbi". Jangan sekadar mengajar ilmu Sains ataupun Kimia. Aku mahu mengajar mereka apa itu ISLAM dan bagaimana harusnya seorang MUSLIM. Aku mahu..sangat mahu!

Dibesarkan dalam keluarga dan persekitaran yang kurang "islamik" menjadi motivasi diri untuk keluar dari kepompong jahiliah ini. Bersyukur yang tidak terhingga pada DIA yang Maha Pengasih keraan mencampakan sejalu hidayah pada sekeping hati kecil ini. Melihat anak-anak didik yang masih dibelenggu kepompong jahiliah, menjadi semangat untuk terus bertahan dan terus memberi sesuatu. Walau hakikatnya diri tidak punya apa-apa. Adakalanya kaki tidak kuat juga untuk terus gagah melangkah, ingin bertongkat dengan sahabat yang ada, tetapi tongkat pula sudah tidak ada. Acapkali juga memarahi diri, kenapa harus bergantung pada manusia. Bukankah yang maha berkuasa itu sentiasa ada. Bahkan sangat setia dan tidak pernah meninggalkan.

Sejauh mana lagi perjalanan ini, tidak dapat dipastikan. Yang pasti, langkah baru bermula. Dan..semoga awal langkah ini dibekahi hingga ke akhirnya...amin Ya Rabb..



Cerita biasa..

Perjalanan ke Quranic Teen Circle anjuran Nisa' Kawasan Tawau dengan kerjasama Lajnah Pembangunan Pelajar ku iringi dengan aktiviti memerah minda. Perjalanan yang memakan masa hampir 30 minit itu menjadi ruang minda berputar ligat memproses data-data yang ada di minda. Banyaknya berkisar kehidupan diri sendiri. Tengah hari itu menjadi medan muhasabah pula. Bertambah 'feel' bila perjalanan diiringi muzik dan lagu dari filem 'hangat' di kalangan aktivis dakwah di Tawau ini, filem Ketika Cinta Bertasbih.

Terbayang watak-watak yang ada dalam filem tersebut.
Berbezanya aku dengan Abdullah Khaerul Azzam. Anak yatim yang susah kehidupannya. Namun tidak pernah bersungut dengan kesusahannya. Bahkan sentiasa optimis dengan kehidupan. Aku juga anak yatim. Namun acapkali merasa terbeban dengan beban yang sentiasa hadir menguji keimanan. Adakalanya, berkira dengan adik-adik. Walhal, siapalah lagi yang diharapkan menjaga dan memenuhi kepeluan mereka.

Jauhnya ak
u dari karektor Anna Althafunnisa. Muslimah solehah yang teguh berpegang pada prinsip syariat. Bijak dan berkarisma. Tidak kalah dengan mainan nafsu dan perasaan. Aku, bukan sekali dua, tewas dan kecundang pada diri sendiri. Berani bermain-main dengan tuntutan agama.

Aku juga tidak seperti Ayatul Husna. Anak yang solehah berbakti kepada ibunnya, mengenal budi kakandanya. Aku berkali-kali juga ingkar suruhan ibu dan membuat garis luka dihatinya. Sudahlah mak tidak lagi punya ayah, teman dia berkongsi duka ceria. Aku si anak pula, selalu buat-buat lupa akan kewajipan. Budi kakanda yang tidak terkira nilaninya pun adakalanya aku alpa. Berkira benar untuk menghulur bantuan tatkala dia memerlukan.


Mengenang semua kekerdilan, rasa macam mahu patah balik sahaja. Tidak daya dan mampu untuk memberi pengisian pada jiwa-jiwa yang masih suci. Bercakap tentang usrah, matlamat dan adab-adabnya. Sejauh mana diri sendiri mengaplikasika
nya? Usrah sendiri pun adakalanya dihadiri tanpa jiwa dan perasaan. Sekadar jasad tanpa roh. Mengumpul segala kekuatan yang masih bersisa, penyampaian yang penuh kekurangan ku teruskan jua. Kepada DIA yang maha menilai ku serahkan segalanya. Moga penyampaian ini ulangkaji buat diri yang sering alpa. Berpesan pada orang lain sambil berpesan pada diri. Ujian pertama bermula minggu hadapan.

Aku harus kuatkan semangat untuk jalankan usrah di sekolah sendiri. Dayus benar rasanya, meminta orang lain melaksanakan usrah di sekolah masing-masing, sedang sekolah sendiri terabai. Walaupun sekolahku antara sekolah paling ramai guru yang berkeupayaan memberi pengisian, namun dari sudut prestasi usrah, sekolahku antara yang terkebelakang. Ujian Allah pada kami semua. Mudahan aku tidak tewas lagi pada ujian ini.
Kesempatan bertemu dengan adik-adik dan orang kuat Nisa petang tadi sedikit sebanyak membakar semangat yang kian pudar.

Bulan kedua 2010 tidak lama lagi akan bertandang. Masa tidak akan berhenti berputar sampai mendapat arahan dari PENGATURNYA. Tiada pilihan lain, aku juga harus bergerak seiring putaran masa.Jangan membiar diri terus berada dalam kerugian. JanjiNya jelas, orang-orang yang beruntung ialah mereka yang berpesan-pesan pada kebenaran dan kesabaran. Mahu berjaya, harus menempatkan diri dalam golongan ini. Jangan berhenti untuk terus memberi.


Perjalanan pulang, berteman sebuah senyuman. Senyuman
kesyukuran kerana DIA yang pemurah dan penyayang sentiasa memberi peluang pada hambanya yang kerdil, hina lagi dhaif ini untuk terus berada di jalan yang lurus. Walau adakalanya terasa sempit, namun akan diluaskanNya agar mudah diharungi.

Hadiah pada diri, sepinggan bakso 'mas' yang sudah mengenaliku. Mujur tidak makan bakso sambil mendengar lagu Ketika Cinta Bertasbih..hehe..janganlah 'over' sangat kan. Kena berpijak pada realiti. KCB hanya filem. Para penontonnya perlu mengambil pengajaran dan ikhtibar a
kan mesej yang cuba disampaikan. Barulah bermanfaat menyaksikannya..


[tetapi..pernah juga hati berdetik..bahagianya kalau dapat macam Abdullah Khaerul Azzam...hahaha..bukti diri ini manusia biasa yang adakalanya tewas pada mainan nafsu..ubatnya..segeralah beristighfar..Astaghfirullah Al Azim..siapa pun jodohku nanti..pasti itulah yang terbaik.. ;-) ]














Sekad
ar gambar hiasan.bakso sebenar lagi banyak 'pantolannya'..sebab selalu sangat beli dengan 'mas' tu..dia bagi 'extra'...rezeki petang Jumaat..

Ketika Cinta Bertasbih

Menahan mata dari terlena. Tidak mahu membiasakan mata dibuai siang hari begini. Takut malamnya susah pula mahu lena. Ruang yang ada dimanfaatkan untuk menulis satu entry yang lama sudah difikirkan mahu digazetkan di bicara sufi. Agaknya ini ulasan filem yang pertama dalam senarai entry.

Sememangnya masa diperuntukan dua tiga hari ini untuk membuat sedikit kajian berkenaan sebuah filem iaitu Ketika Cinta Bertasbih hasil karya novelis terkemuka Indonesia Habiburrahman El-Shirazy [Kang Abik] arahan Chaerul Umam. Tidak berniat mahu mengulas watak demi watak atau jalan cerita filem ini kerana umum sudah mengetahuinya.

Sekadar mahu memberi pujian pada filem berwajah islamik ini. Barisan pelakon terutama 5 tunjang utamanya benar-benar menghayati wataknya hingga terasa lakonan itu hidup dan meninggalkan kesan. Ternyata pelakon yang baru temui bakat mereka melalui satu ujibakat, mempunyai bakat lakonan yang sangat hebat. Terzahir keikhlasan mereka melakonkan watak yang diamanahkan. Kholidi Asadil Alam yang memegang watak Abdullah Khaerul Azzam mengatakan "mahu menjadikan lakonan sebagai medan menyampaikan dakwah Islam". Beliau juga menyatakan akan menerima tawaran berlakon dengan syarat tidak ada adegan "peluk-peluk". Contoh yang seharusnya diteladani oleh para pelakon muslim. Bukan bermakna menjadi pelakon itu kita mempunyai "lesen" untuk mengetepikan batas-batas syariat dalam pergaulan.



Uniknya KCB, walaupun mengangkat tema cinta antara adam dan hawa, tetapi masih berupaya menjaga nilai syariat. Bukan tidak ada babak suami dan isteri bahkan ada babak malam pertama. Namun tidak pun pelakonnya bebas beraksi layaknya seorang suami dan seorang isteri. Tidak sampai pelakon muslimah, membuka jilbabnya walaupun berada di dalam kamar pengantin bersama suaminya. Inilah yang dicontohkan oleh Odi Setiana Dewi yang memegang watak Anna Althafunnisa.



Adakah keadaan sebegini akan mencacatkan kualiti ataupun menjejaskan mutu filem tersebut? Rasanya tidak sama sekali. Sudah terbukti filem itu mendapat sambutan yang sangat menggalakan. Hinggakan sambutan tayangan KCB di Hong Kong juga sangat baik. Filem yang pelakonnya "menghayati" watak, hingga benar-benar bagai suami dan isteri, atau ibu dan anak belum tentu mendapat sambutan hebat sebegini.

Walaupun tidak dinafikan, KCB masih mempunyai kelemahan-kelemahan, namun buat masa ini, tidak keterlaluan kalau dikatakan KCB telah berjaya merintis dan mencetus revolusi baru dalam dunia perfileman. Sewajarnya pembikin filem terutamanya di Malaysia mengambil tauladan dan ikhtibar. Rasanya kita tidak ketandusan skrip ataupun jalan cerita yang baik, kita pasti punya pelakon yang benar-benar mahu berlakon dengan matlamat membawa mesej baik kepada masyarakat disamping menjadikan syariat sebagai garis panduan. Cuma mungkin kita belum punya penerbit yang berani dan mahu "berjihad" dengan filem. Sanggup mengeluarkan modal dan belanja yang besar untuk satu perubahan.

[Sambil menulis, terbayang..alangkah baiknya jika drama popular Nur Kasih juga seperti KCB..]

@w@keN

langkah tetap dititi
walau tidak punya destinasi
hanya menurut kata hati
membiar qalbu diasak sepi


langkah masih terus
walau semakin berkabus
hingga bagai lemas dipukul arus


mengapa laluan semakin sukar
kenapa jalan semakin sempit
hingga bagai dihimpit
dan diri terus tersepit
lemahnya diri..lemahnya diri..
kaki sudah tidak tegak berdiri
akhirnya jatuh terduduk di bumi


dihadapan kabus masih tebal
tidak terpamer walau sejalur sinar
haruskah langkah tidak pasti ini diteruskan


mencari kekuatan di segenap ruang
terasa ada bisikan di sanubari
pulanglah..kembali pada yang pasti
jalan ini bukan milikmu
selagi punya ruang dan masa
pulanglah...............................

[kesilapan yng disedari dan diperbetulkan = pengajaran dan pengalaman yang DIMAKNAKAN]

Terus bertahan....

"Cikgu.." sapa satu suara mengejtkan aku.

"Ehh..dari mana? buat apa sekarang?" tanyaku bak polis menyoal siasat.

"Dari sana, saya kerja di sini sekarang." Jawabnya sambil menunjukkan sampul surat alamat tempat kerjanya.

"Kerja apa? office boy?" tanyaku lanjut.

"Ndaklah...kerani" jawabnya malu-malu.

"Bah oklah tu..kerja bagus-bagus ya..nanti jangan lupa belanja cikgu makan." pesanku diselangi gurauan.

Dia hanya ketawa sambil berusaha 'menyorokan' sebatang rokok yang sedang membara dibalik sampul surat pejabat tempatnya bekerja.

"Rokok tu bah...mau juga di tapok-tapok (disorok)" perliku dengan sedikit jelingan.

"Ndaklah.." jawabnya mengelak dengan senyuman.

"Oklah..cikgu mau jalan sudah..bagus-bagus ya kerja" pesanku sekali lagi sambil izin berlalu dulu.

"Ok cikgu.." jawabnya sekali lagi dengan senyuman manis.

Kereta yang "parking" bukan ditempat 'parking' tidak membenarkan aku bersembang panjang dengannya. Bekas pelajarku yang selalu "menimbulkan' masalah semasa sekolah dahulu. Tidak siapkan kerja rumah, tak bawa buku, tidak fokus semasa P&P dan serba serbi masalah disiplin sudah dizahirkan. Tetapi sejak pertama kali aku bersua dengannya, hati ku berbisik dia pelajar yang baik sebenarnya. Tulisannya juga sangat cantik dan kemas. Mengalahkan tulisan pelajar perempuan. Dia juga seorang yang berpotensi untuk berjaya, namun, kesan "kealpaanya' mengisi zaman sebagai pelajar dengan perkara yang tidak bermanfaat, dia hanyut di telan arus duniawi yang sebentar cuma.

Melihatnya kembali setelah hampir dua tahun tidak bersua, aku rasakan dia sudah berubah. Tatkala dia menegurku pun, aku sudah cukup terharu. Ingat juga dia pada cikgu Sainsnya yang sering "membelasah" fizikal dan mentalnya.

Menjadi seorang pendidik benar-benar terjun ke lubuk dakwah. Mad'u yang perlu dibimbing dan ditunjuk ajar beratus di depan mata. Kekadang terbit rasa, "macam tak wajar rasanya nak ajar sains sedang fardhu ain pelajar-pelajar ini pun tak lepas lagi". Mengajar mereka mengenal mikroorganisma, mengenalkan mereka apa itu atom, molekul dan ion ataupun menjelaskan bagaimana kapal terbang boleh terbang. Sedangkan mereka menyebut Allah pun bagai berbelit lidah. Itu belum lagi diperiksa samada pandai membaca al-Fatihah ataupun tahu tidak rukun dan syarat sah solat.

Lebih menyedihkan semakin ramai yang langsung tidak boleh membaca Al-quran. Hingga terpaksa ku bekalkan Asma'ul Husna bertulisan rumi bagi membolehkan mereka mengalunkannya setiap kali sebelum bermula sesi pembelajaran. Bila direnung, kasihan yang teramat. Kebanyakannya mewarisi kejahilan agama dari ibu dan bapa.

"Mak solat?"... geleng kepala

"Bapa solat?"... geleng kepala

"Ada yang solat di rumah?..geleng kepala

Istighfar dibuatnya. Inilah sampel kebanyakan keluarga hari ini. Terutama untuk masyarakat di Sabah. Macam mana anak hendak bertudung, kalau maknya pun mendedah aurat. Anak yang ibarat kain putih, tidak dicorakan dengan corak amal islami. Agama benar-benar jadi warisan. Warisan turun temurun. Itupun ada juga yang nekad membuang warisan hingga sanggup memilih agama lain.

Sesungguhnya cabaran berat bagi yang prihatin dan peka pada tugas dan amanah dakwah. Malangnya, terlalu ramai guru yang meletakan tugas membentuk sakhsiah pelajar dibahu para ustaz/ustazah ataupun guru disiplin. Guru lebih sensitif menegur pelajar yang tidak memakai tanda nama ataupun lencana sekolah berbanding menegur pelajar perempuan yang berlengan pendek ataupun lelaki berseluar pendek semasa bersukan.

Berhadapan dengan realiti ini, membuat diri sentiasa bermohon pada Dia yang menguasai seluruh hati manusia, cekalkan sekeping hati yang rapuh dan kuatkan semangat yang mudah goyah ini. Tatkala terdetik rasa hati mahu culas pada amanah khalifah di bumi, cepat-cepat membisik pada hati, 'kalau aku pun jauh dari karektor mukmin sejati, macam mana aku nak bentuk pelajar ku nanti'...

Ya Allah..terus bimbing dan hadiahkan aku hati "yang hidup"..biar menjadi temanku di sepanjang jalan bergelar pendidik...amin Ya Rabb.

Pelajaran yang bererti

Tawau bermandikan hujan dua tiga hari ini. Ramalan cuaca petang tadi yang ku dengar menerusi berita radio memaklumkan keadaan akan berterusan beberapa hari lagi. Syukurlah, aku sudah lama merindui titisan jernih membasahi bumi peladang ini. Biar bertambah subur jagung dan kekacang yang mak tanam di belakang rumah kakak. Suka benar aku melihat riak wajah mak tatkala mengutip hasil tanamannya di atas sebidang tanah yang sekangkang kera cuma. Bertcucuk tanam di kawasan perumahan batu. Jarang berlaku. Tetapi tidak untuk mak. Bersemangat benar dia memanfaatkan apa yang ada. Pengajaran secara tidak langsung yang ku pelajari di lewat usia dewasa ini. Pengalaman memang sesuatu yang bermakna andai mahu dimengerti dan difahami. Tidak akan mampu dibeli dengan wang ringgit. Cuma bermodalkan pengertian dan akan lebih bermakna andai dimanfaati.

Tidak sangka, sudah lebih daripada separuh Januari dilewati. Juga tidak aku sangka, baru hari ini ada entry baru mengisi kesepian bicara sufi. Bukan tidak mahu menulis atau sudah bosan untuk menulis, tidak sama sekali. Cuma ruang dan peluang agak terbatas. Bermula dengan “cpu 2nd hand” yang “meragam” seketika. Selesai cpu, modem internet pula “masuk wad”. Hampir dua minggu juga ujian kecil ini menjadi kabus tebal menghalang sinar cahaya riang menyinari perjalanan kehidupan. Apa tidaknya, semua kerja tidak menjadi. Apabila dilanda ujian sebegini, baru terdetik rasa sesal. Memarahi diri sendiri. Terasa ujian ini sindiran pada diri kesan cuai pada amanah yang diberi oleh perjuangan. Saat punya segala kelengkapan dan waktu mengizinkan, nikmat yang ada tidak digunakan dengan sebaiknya. Tewas meletakan aulawiyat pada tugas yang ada. Perkara yang tidak penting dan tidak perlu disegerakan menjadi keutamaan. Walhal yang menjadi list utama untuk dibereskan telah dibelakangkan.

Moga pelajaran ini akan menjadi pengajaran bererti. Jika tidak, berlalulah ianya sekadar menjadi cebisan kenangan pahit. Tidak menjadi sebuah pengalaman. Gagal menjadikan hari ini lebih baik dari semalam. Bukankah telah merugikan masa yang ada? Saat menulis ini juga, risau apa yang ditulis sekadar menjadi tulisan. Selepas habis “dipublishkan” hilang dari ingatan.

Semoga apa yang ditulis menjadi saksi rasa sedar dan muhasabah diri yang kerap alpa dari beringat, kerap cuai dari bersungguh. Beriku ruang Ya Allah..lapangkan jalan yang aku sempitkan….

Melepas rasa

Salam Jumaat

Sudah dua hari lepas terasa mahu menulis. Walau mungkin tulisan ini hanya dibaca dan difahami oleh penulisnya sahaja. Biarlah..bicara sufi sememangnya sering menjadi tempat melepas rasa. Rasa pada sebuah kehidupan. Kebiasaannya, naluri dan emosi untuk menulis membuak-buak setelah melayari 3 blog pilihan..

Tidak dinafikan empunya blog ini menjadi inspirasi untuk terus menulis sesuatu. Walau realitinya kualiti dan intipati penulisan sangat jauh berbanding mereka yang hebat ini. Sekurang-kurangnya apa yang tersirat dan terbuku di lubuk hati mampu diterjemahkan dalam sebuah tulisan.

Selalu juga terfikir, macam mana mahu menjadi hebat seperti mereka. Mampu memberi sesuatu pada ummah. Aku mahu mengajak adik solat jemaah bersama pun sangat berat mulut. Kerja dan amanah dakwah yang diberikan pun jarang disempurnakn dengan suksesnya. Ada saja cacat lelanya. Kemudian mudah pula menuding jari pada orang lain. Mencari silap orang lain. Jauhnya aku dari karektor insan-insan yang hebat. Di mata manusia pun sudah 'biasa-biasa" sahaja, apalah nasib diri pada nilaian Dia yang mencipta.

Mudah-mudahan kesedaran bahawa diri ini terlalu banyak kelmahan, sering melakukan kesilapan bahkan acapkali mengulanginya akan mampu menjadi momentum perubahan sikap yang lebih positif. Berfikir positif dan bertindak juga secara positif. Aku sangat menyedari, kerja dakwah terlalu banyak bahkan melebihi masa yang ada. Namun mengintrepitasikannya dalam bentuk tindakan teramat sukar.

Ya Allah dengan rahmat dan redhanMu, semoga aku masih terus mampu melangkah. Memberi sesuatu pada ummah tercinta....

Tinggal sejarah

Salam Hijarh 1431.

Syukur Ya Rabb..atas segala limpahan rahmat dan nikmat sepanjang melewati 1430 H yang sudah tinggal menjadi sejarah. Sejarah yang hanya mampu dikenang tanpa mampu diminta untuk dibetulkan mana yang silap dan dibaiki mana yang salah. Sudah tidak mampu. Sebarang pembetulan diberi ruang dan peluang sekali lagi bermula malam ini. Tirai 1431H telah dibuka untuk kita lewati. Sejauh mana langkah kita, tiada yang dapat memastikannya. Menjadi rahsiaNya yang tersimpan kukuh. Segenap makhluk ciptaanNya hanya berupaya menanti dengan terus mengharungi hari-hai mendatang. Mahu cemerlang, pastikan hari ini lebih baik dari semalam. Tidak mudah, namun tidak punya pilihan melainkan berusaha dan terus berusaha. Akurlah, sesekali pasti langkah tersadung batu penghalang kejayaan. Menjadikan langkah sedikit tempang dan bergerak perlahan. Sekali lagi, terus berusaha dan mara ke depan dan hanya berhenti melangkah apabila memang sudah tiba masa untuk berhenti. Masa ini, mahu terus melangkah pun sudah tidak upaya. Tiba masa untuk menilai apa yang telah kita lakar disepanjang laluan sebelum ini.

Pekat malam bersinarkan bebintang dan rembulan menjadi teman muhasabah diri seketika. Cuba memainkan semula pita memori 1430H. Apa dan bagaimana pengisiannya. Terkenang segala azam dan impian yang dicita penuh semangat diawal Muharram lepas. Yang pasti 1430H boleh dikatakan tahun perubahan. Paling ketara, aku semakin sedar, betapa perlunya aku kepada mak, adik-adik dan seisi keluarga. Terutama sejak arwah bapa meninggalkan kami 23 Mac 2007. Mahu tidak mahu, aku harus berperanan lebih. Mudah-mudahan mampu menebus kelekaan sebelum ini.

Persekitaran juga banyak berubah. Teman-teman ramai yang sudah bertukar status. Tidak dinafikan ada juga kesannya. Terutama teman yang akrab. Hilang sudah teman bicara, berkongsi rasa dan bersenda gurau. Tetapi, mujur sudah ada sedikit persediaan mental sebelum ini. Sudah berpesan pada sekeping hati, setiap pertemuan ada perpisahan. Jangan ditangisi apa yang pergi kerana yang hilang akan berganti. Dan yang pasti, ada yang sentiasa setia di sisi dalam apa jua kondisi. Itulah Allahu Rabbi yang hakiki.

Esok dan hari mendatang sudah ada tugas yang harus dilaksanakan. Kelembapan di pentas dakwah pada 1430H lepas tidak harus dibiar berlanjutan. Sudah cukup rasanya 12 purnama tempoh untuk bermenung, berfikir dan merangka strategi. Sudah terlalu panjang masanya. Bermohon penuh harap pada Dia Yang Maha Mengatur, semoga langkah dakwah lebih kemas dan perkasa. Bukan mudah layu menurut rasa. Perlu lebih kebal pada asakan jiwa dan runtunan nafsu yang hanya memandu jauh dari amanah dan tanggungjawab pada ummah.

Diruang ini, sekalung maaf buat sahabat-sahabat seperjuangan dan barisan pimpinan atas kelekaan, kecuaian dan keculasan diri menunaikan amanah yang diberi. Mohon terus diberi peluang menebus kesilapan dan membuktikan potensi diri. Agar terus kekal menempah nama menjadi pejuang penegak Islam d bumi peladang ini.

Potret wajah-wajah insan yang pernah sangat dekat di hati..teman berkongsi cerita, teman bergaduh manja dan teman yang sangat banyak meninggal memori bersama..selamat menempuh alam yang lebih mencabar duhai sahabat-sahabatku..



Asma' Abu Bakar dan suami..teman yang penyabar..usia perkenalan masih muda, namun seakan berpuluh tahun mengenalinya.."terima kasih awak..atas luangan masa 2 tahun menemani diri yang sangat takut pada sebuah kesepian"



Aufa Adeena..cahaya mata pertama Asma'..tak sabar nak jumpa baby girl comel ini..harap-harap dia kenal Cik Manya yang selalu teman mamanya di sekolah...



Nordianah Maliki @ Abdullah..insan yang sangat banyak mencorak diri..3 tahun di alam kampus membuktikan bahawa dia seorang sahabat setia..susah senang sentiasa bersama..budi dan jasanya tak mungkin ku lupa hingga hujung nyawa.. "kak dinah..terima kasih atas segalanya.."



Aisyah Izzah Labongko..kawan seawal zaman kanak-kanak lagi..teman gaduh dan teman berjuang.. "syah..betul-betul macam mimpi..ko dah bergelar isteri har ini..jangan nakal-nakal dah ya..hehe"

1431 H..ku harap sinar cemerlang terus menerangi langkahku..berbekal kekerdilan diri dan kedhaifan ilmu..ku harap dengan rahmatMu yang maha luas..aku mampu melewat 1431H dengan lebih gemilang..izinkanku Ya Allah...

Bicara Cinta

"Assalamualaikum..welcome to sabah". Nada riangku menyambut panggilan telefon.

"Waalaikumussalam.belum sampai lagi lah..ni di LCCT. Petang baru sampai. " Jawabnya juga dalam nada ceria.

"Siapa ambil di airport? duk hotel mana?" Tanyaku bertubi-tubi

"Awaklah ambil ya..kan selalu sanggup bekorban.." Jawabnya diselangi gurauan.

"Jauh sangat bah..lainlah kalau di Tawau. Tak apa, sekarang tak payah bekorban, dah ada yang akan berkorban 24 jam" Jawabku mengusik disertai senyum tertawa.

Perbualan telefon dengan seorang sahabat lama yang berkunjung ke Sabah untuk berbulan madu. Terasa bagai baru semalam berdua bersama hidup sebagai sahabat setia di menara gading. Dua tahun dipisahkan oleh jarak dan masa. Hari ini, keadaan sudah berubah. Dia telah pun bergelar isteri kepada seorang lelaki yang tidak aku kenali. Cuma aku yakin dan pasti lelaki itu adalah yang terbaik untuknya bahkan lelaki itu sangat bertuah memiliki dia seorang insan yang punyai banyak kelebihan. Bukan sahaja tingkah laku yang menyenangkan, tetapi juga punya sekeping hati nurani yang suci murni. Kalaulah jarak Tawau-Kota Kinabalu ini sekadar 100km, akan ku redah jalan raya agar bisa bertemu dengannya. Melepaskan rindu dan menyampaikan salam tahniah buatnya. Apakan daya, jaraknya melebihi 1000km. Terpaksalah sekadar butir bicara menerusi telefon sebagai ucapan selamat datang buatnya.

Satu Malaysia rasanya, cuti ini penuh dengan majlis perkahwinan. Sana-sini ada majlis dan jemputan. Sehari bukan satu, kekadang sampai 2-3 jemputan. Pagi tadi juga, mak sempat memaklumkan hari ini ada "tour walimah". Ada 10 undangan walimah yang kena dihadiri. Mak sememangnya jenis yang akan memenuhi semua jemputan. Katanya, kalau malas ke kenduri, esok lusa kita buat kenduri, tiada orang nak datang. Mujurlah abangku sudi menjadi "supir" mak. Dapatlah aku memenuhi tuntutan kerjaku yang lain.

Bila musim kahwin ni, orang-orang yang bujang seperti aku ada juga kesannya. Pasti punya soalan yang akan di tanya.. "haa..dia dah kahwin, ko bila lagi?" Ini soalan standard dan kalau dibuat pengumpulan soalan, jenis soalan macam ini menduduki tangga teratas. Paling banyak! Walaupun soalannya mempunyai nada yang sama, tetapi adakalanya aku memberikan jawapan yang berbeza.. "belum sampai seru lagilah".."belum ada yang masuk meminang".."masih mahu bujang lagi" dan pelbagai lagi aneka jawapan yang masih menjadi tanda tanya kepada yang bertanya. Macam mana aku nak berikan jawapan yang tepat, aku sendiri tidak punya jawapannya...hihi

Menyentuh soal jodoh dan perkahwinan ini, sesuatu yang sangat "complicated" aku rasa. Takdir diri, jodohku tak semudah orang lain. Tak semudah sahabat-sahabatku yang dah pun selamat diijab kabulkan. Ada yang tak pernah jumpa dan kenalpun, kerana memang dah jodoh, selamat dah. Ada yang kenal sebulan setengah sahaja, kerana jodoh, selamat dah. Ada yang tak ready lagi nak kahwin..kerana dah sampai jodoh..kahwin juga. Cuma, sejak dua menjak ini, bila ramai sangat kawan-kawan yang dah kahwin, satu benda yang aku belajar, kahwin ini bukan perkara mudah dan boleh diambil mudah. Boleh nak ambil mudah, tapi bersedialah untuk sedikit sukar dihari mendatang. Sebelum semangat hendak tamatkan zaman bujang, wajib bersedia dari segenap aspek. Mental, fizikal, spritual dan segalanya lah. Jangan main tangkap muat sahaja. Perkahwinan itu sendiri adalah satu risiko, jadi jangan tambahkan lagi risiko-risiko yang sedia ada.

Jalan paling selamat, memahami, menghayati dan mahu mengaplikasi konsep perkahwinan menurut Islam. Jelas apa tujuan perkahwinan, mengerti dimana nilai perkahwinan dan tahu apa pengisian kepada sebuah perkahwinan. Semuanya ini harus disandarkan kepada syariat Islam barulah segala kebaikan dan hikmah perkahwinan itu mampu dinikmati. Tidak siapa dapat menyangkal bahawa perkahwinan itu satu nikmat. Perhatikan sahaja amaran Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis baginda kepada yang menyangkal perlunya untuk berkahwin:

"nikah adalah sunnahku, dan barangsiapa tidak suka akan sunnahku, maka dia bukanlah dari umatku"

Sesungguhnya jodoh itu rahsia Allah. Sesuatu yang tidak mampu kita tetapkan menurut dan mengikut kehendak kita. Kita punya hak mencari dan memilih teman mengharungi sebuah alam bernama alam rumahtangga, tetapi hak untuk memperkenankan permintaan dan pilihan hati kita hanya Allah Yang Maha Berkuasa. Makanya, kepada yang masih bersamaku dengan status bujang ini, mari kita tunaikan hak kita. Mencari, memilih dan paling penting meminta pada Dia yang Maha Menentukan..

"Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahu segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan..) adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya da seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya".

Tidak akan menyesal sesiapa yang bertanyakan penciptaNya dan berbincang dengan orang-orang mukmin kemudian berhati-hati dalam menangani persoalannya. Setelah dilaksanakan segala hak kita sebagai hamba...maka bertawakkallah kepada Allah..Bujang tidak berlalu sia-sia tetapi juga penuh dengan ibadah...Indahkan hidup bersyariat... :-)



Kaku berdiri

Kondisi diri kini-berada dalam keadaan tidak yakin diri dan berjiwa kecil. Mungkin sudah lama aku diselubungi simptom ini, tapi baru kini tertonjol dan terzahir. Sebentar tadi juga aku menolak untuk memenuhi jemputan adik Perpis bagi mengisi satu slot kuliah dasar KAMI yang bakal diadakan 16-20hb Disember nanti. Rasa sangat tidak berkeyakinan mampu memberi mutiara hikmah berbentuk madah bicara saat diri tidak berada di paksi ketenangan ini. Terlalu jauh rasa diri banding sahabat-sahabat lain yang sudah semakin bergaya langkahnya di jalan juang ini.

Tidak suka sebenarnya menghampakan dan menyulitkan lagi gerak kerja adik-adik, namun apakan daya, gagal membendung rasa negatif yang menguasai diri kala ini. Syukur juga, mereka sudah ketemu pengganti yang jauh lebih berilmu, berpengalaman dan sangat berkelayakan.

Sebentar tadi juga baru selesai membaca blog sahabat maya. Membaca entry bertajuk berjiwa besar, membuat diri terpukul sendiri. Terngiang-ngiang katanya lewat penulisan itu

"Mustahil tokoh-tokoh besar tersebut mampu bertahan tanpa pembantu-pembantu yang sentiasa sedia memberikan bantuan."

Sejauh manalah selama ini mampu menjadi pembantu kepada barisan piminan yang harus ditaati. Sudahlah membantu pun kurang, memberi kesulitan lagi agaknya. Program tidak dihadiri dengan jiwa dan raga, sekadar datang seadanya. Ada juga ketikanya mencari sejuta alasan untuk berjaya bolos daripada menghadiri program. Dalam mesyuarat pula, tidak fokus dan sekadar hadir memenuhi surat panggilan mesyuarat. Tidak datang dengan idea. Tetapi datang dengan harapan yang tinggi mesyuarat segera habis dan mahu secepat kilat pulang ke rumah.

Kenapa jadi begini? Mana hilangnya rasa manis ukhuwwah bergerak kerja bersama. Menghabis masa untuk ummah dan Islam tercinta. Memerah minda biar lahir idea bernas untuk kecemerlangan jemaah dan perjuangan. Persoalan yang perlu ditangani dengan tindakan. Bukan sekadar membiar menjadi persoalan demi persoalan.

Sejujurnya, aku juga tersangat berharap mampu kembali "beraksi" di pentas dakwah ini. Walau dengan langkah yang sedikit tempang, akan ku usahakan menuruti kamu, dia dan mereka yang semakin gagah melangkah.


[aku lihat mereka sedang berdiri,aku masih terduduk..aku lihat mereka sedang berjalan, aku masih berdiri..aku lihat mereka sedang berlari..aku baru melangkah..aku lihat mereka semakin jauh..aku masih disini dan begini..]

Bahasa Jiwa

masih segar diingatan
kita berdua berlari berkejran
memburu masa dan impian
saling mengingati dan berpesan-pesan
biar betul di landasan
tanpa tersasar dari haluan

tidak kan pernah ku lupa
saat aku goyah dan hilang arah
hingga bagai tidak berupaya
melawan deras arus dunia
kau tetap utuh berdiri setia
menahan aku dari terus rebah

akan kuingati selamanya
kisah suka duka kita bersama
difitnah dikeji kita tabah menerima
dipuji disanjung kita tidak alpa
kita kutip segala-galanya
menjadi pengalaman yang berharga

seketika aku disentak lena
dibuai indah mimpi cerita kita
saat aku bangun dan terjaga
ku sedar kau sudah tiada

jarak dan masa terus memisah
meninggal hanya memori bersama
tidak mampu aku ters berdusta
tidak terasa saat kau tiada
apakan daya apakan upaya
aku hanya perindu setia

disisa usia yang masih ada
aku hanya mampu meminta
kisah kasih kita bersama
tidak kau biarkan sirna
hilang pergi bersama masa

semoga segala-galanya
akan kita semadi dikamar jiwa
menjadi sebuah ceritera cinta
kau dan aku sahabat setia

Sekali lagi bilik peperiksaan tingkatan 6 SMK Umas-Umas menjadi ruang aku berbahasa jiwa. Kali ini semasa menjaga STPM. 3 jam bukan tempoh yang singkat. Kebetulannya, salah seorang calon STPM sekolah ini, wjahnya iras seorang sahabat lama. Terpandang wajahnya, memutarkan kembali memoriku dengan sahabat ku ini. Lantas terilhamlah puisi ringkas ini.


Siap mengarangnya, ku tunjukan kepada teman yang turut menjaga STPM. Selang beberapa minit, dia menghantar mesej.. 'kau kena cari suami ni'..Membacanya dengan sedikit kerutan di dahi..kebetulan pula dihadapanku ada sebuah buku bertajuk 'Khadijah Cinta Sejati Rasulullah'..aik macam kebetulan pula saranan temanku ini dengan buku dihadapan ini..mengalih pandangan ke luar jendela..pandanganku kosong..kosong sekosongnya hati ini...

Sekian lama menyepi dari dunia blog. Kekangan laptop yang sudah diambil hak millik. Ramai juga teman-teman yang "menegur" kenapa tidak punya laptop sendiri. InsyaAllah..suatu hari nanti..tunggu rezeki lebih sedikit. Kalau ada yang nak menderma pun dialu-alukan..hihi

Cuti terus berlalu. Masa kekadang tidak pasti kualitinya. Rasanya banyak tidak dimanfaati sebaiknya. Sehari dua ini, sedikit tidak stabil emosi. Kerap bermenung sendirian. Pandangan kosong! Aku tahu dan sedar apa puncanya. Tahu hujung pangkalnya. Namun, tidak jumpa penawarnya. Kabur jalan pulangnya. Tidak pasti apa cara terbaik membawa kembali ceria dan senyum yang sudah dua hari ini hilang meninggal pergi.

Masih keliru dan sangsi atas tindakan yang dilakukan. Silapkah terlalu objektif menilai sesuatu yang subjektif sifatnya. Semua ini untuk memberi keyakinan kepada diri. Mencari satu jaminan sesuatu yang lebih baik di hari mendatang. Akur, masa depan sesuatu yang tiada siapa dapat memberi jaminan apa dan bagaimana corak keadaannya, namun tidak salah rasanya merancang dan merangka pelannya. Disamping berdoa kepada yang Maha Menguasai seluruh alam agar perancangan ini sama dengan perancanganNya.

Namun inilah namanya hidup dan kehidupan. Pelbagai warna dan lakarannya. Manusia itu tidak semua sama. Apatah lagi dalam memahami dan menilai sesuatu. Sejauh manapun perbezaan dalam menilai itu, jangan lupa mengguna pakai segala senjata keimanan. Biar mampu mencari titik persamaan. Menambah apa yang terkurang, membuang apa yang terlebih. Apabila silap, berani mengatakan "saya bersalah, maafkan saya". Apabila benar, elakkan berkata "kan saya yang betul". Depani keduanya dengan rendah diri dan tawadhuk. Baru manis dipandang manusia, mulia di sisi pencipta.

Penuh pengharapan, ketenangan yang hilang segera pulang bermukim di qalbu. Penat dihempas ombak jiwa yang resah. Rindu dibelai hembusan angin damai dan menenangkan. Andai kekhilafan yang tercetus ini berpunca dari diri yang dhaif, kerdil dan hina ini, mohon dimaafi setulus nurani. Moga tiada benci mengiringi. Mari kembali berkasih sayang kerana Allah..peace no war!!! [tetiba pulak kan..hihi]

Salam terakhir..

[Entry ini mungkin tidak memberikan sebarang input pun kepada pembaca..andai rasa tidak punya banyak masa..tidak payahlah meneruskan pembacaan..tiada sesuatu yang istimewa..sekadar luahan rasa tuan blog semata-mata]

Hari ini malam terakhir aku bersama laptop pinjaman ini. Tahun hadapan, kalau masih punya rezeki dan keizinan baru aku bertemunya semula. Dengan ketiadaan laptop ini, maka terputuslah seketika dunia nyataku dengan dunia maya ini. Tiada lagi coretan sepi, bicara bisu mahupun luah rasa untuk tatapan pengunjung bicara sufi.

Aku juga akan semakin sepi dari perkembanga semasa terutama berkisar isu politik negara ataupun jatuh naik keadaan ekonomi negara. Tidak lagi mampu aku melayan ajakkan minda nakalku yang mahu aku mengetahui perkembangan dunia hiburan tempatan. Lebih mendukacitakan, tidak lagi aku berteman mykuliah.net. Teman rohaniku saban maghrib. Walau sebulan cuma, semuanya ini pasti aku rindui.

Sememangnya informasi dan perkembangan terkini nasional dan antarabangsa, mudah ku dapati menerusi kaca televisyen, tetapi sesungguhnya aku jenis manusia yang cukup malas melihat TV. Terutamanya siaran perdana iaitu berita. Tidak kisah dari "channel" mana sekalipun. Bukan apa, sudah muak disajikan dengan berita-berita yang boleh dipertikaikan kesahihannya. Yang rasanya boleh dipercayai berita sukan dan laporan dunia sahaja. Ada juga ketikanya aku setia menghadap TV, selalunya melihat drama-drama melayu yang aku tapis skrip dan pelakonnya. Cerita mat saleh memang aku tolak tepi. Bagi aku banyak buruk dari baik melihatnya. Biarlah aku dikatakan kuno sekalipun. Manusia bebas memberi persepsi. Kita juga punya hak menilai persepsi tersebut. Jadi diri kita. Garis panduan hidup adalah syariat, bukan manusia!

Adakalanya terbayang, apalah pengisian cuti ini. Cuti bukan sehari-dua, mahu-mahu sebulan-dua juga lamanya. Ruang berkarya sudah tiada. Harap-harap masa yang bersisa akan dipenuhi dengan segala yang bernilai ibadah.

Sesuai sebenarnya masa yang ada ini dujadikan ruang uzlah seketika dari segala yang sudah terbiasa. Mencari ruang mengkoreksi diri biar sedar diri hanyalah hamba yang sangat dhaif lagi hina.

Selamat tinggal dan selamat bercuti dunia maya...

Kasih tak sempurna

November bagai bulan yang berat rasanya. Sarat dengan pelbagai isu. Samada berbentuk peribadi ataupun urusan perjuangan. Hingga kurang aku mengarang dan menulis disini. Meregangkan sedikit saraf otak yang kekadang bagai beku, masa di alam maya banyak dihabiskan melayan FB. Meneroka kenangan dan khabar sahabat-sahabat lama dan baru, jauh dan dekat.


Berhibur dengan cara sebegini, hanya menahan daripada memikir masalah buat seketika cuma. Seusai menutup laptop, pasti minda terjah dengan persoalan-persoalan kehidupan yang belum selesai dan diselesaikan. Diasak dengan segala kesulitan ini, membuktikan diri jauh benar dari karektor muslim-mukmin sejati. Masih belum mampu mengawal minda dan emosi. Tidak tenang menghadapi tekanan. Tidak sabar menghadapi ancaman. Tewas pada ujian.


Dalam usaha memujuk diri dan hati, sujud syukur padaNya. Memilihku lahir ke dunia pentas ujan ini sebagai muslim. Punya tuhan pencipta alam dan segala isinya.yang Maha Pengasih lagi Penyayang. Disaat manusia tidak mampu mendamai sekeping hati, memberi ketenangan pada satu jiwa, aku masih punya Allah yang Esa. Tidak membiar dan meninggalkan hambaNya begitu sahaja.


Pantas benar, hieraki cinta seorang muslim Allah berada di atas, diikuti oleh Rasul junjungan tercinta. Seingkar mana seorang hamba pada Dia Sang Pencipta, tetap dibalas dengan segunung keampunan. Rasul pula, di saat sedang berperang dengan maut, masih menyebut ummati, ummati, ummati. Adakah manusia semulia ini? Seorang ibu pun belum tentu mampu kasihkan anaknya sekasih Rasulullah s.a.w kepada umatnya. Hingga berkorban segala-galanya hanya untuk memastikan sinar Islam menerangi seluruh buana.


"andai bulan diletakan di tangan kananku
dan matahari ditangan kiriku,

demi Allah tidak akan kuhentikan dakwah
ini"


Justeru, buat teman pembaca coretan ini, andai kala ini, kita diuji dengan sifat manusia, jangan gundah dan resah. Itu sudah aturan alam. Adakala kita disakiti, adakala kita menyakiti. Bukti kasih manusia tidak sejati. Maka apabila mengasihi juga jangan sepenuh hati. Hingga mengatasi kasih pada yang selayaknya, kalau tidak kita juga akan makan hati hingga membawa diri...


Hidup pentas ujian..bersedialah untuk diuji!!!

Apakah manusia mengira bahwa mereka akan dibiarkan mengatakan, `Kami telah beriman,’ sedangkan mereka tidak diuji lagi?” ( Al-Ankabuut: 2)

Dunia semakin tua

Kes 1

"Semalam ada budak perempuan bergaduh kan di dalam kelas..bertumbuk sampai berdarah-darah, habis koyak baju dengan tudung."

Kes 2

"Cikgu bukan 2 kes jak bertumbuk kelmarin. Ada satu lagi. Perempuan sama perempuan. Fuyyo bergasak. Menyambung lagi dorang di bandar lepas itu."

Dua kes pergaduhan yang aku dengar dibicarakan hangat. Berlaku dalam jarak terdekat. Melibatkan PELAJARKU. [pelajar kelas Tasawwur Islamku]. Sedikit kaget aku mendengar laporan-laporan ini.

"Kamu ada di kelas, masa bergaduh kelmarin?" Tanyaku kepada sahabat 'pelakon utama drama aksi di dalam kelas'.

"Ada.." Jawabnya teragak-agak.

Aku menghulurkan kerusi plastik berwarna merah meminta dia duduk dekat dengan ku. Suasana yang sunyi daripada guru-guru, memberi peluang aku menyiasat lanjut kes semalam. Siasatan bukan atas dasar aku guru disiplin atau siasatan untuk merekod kesalahan itu dan di masukan ke dalam SSDM. Siasatan atas dasar insani. Naluriku mendesak ingin tahu apa punca dan sebabnya. Lebih-lebih lagi pelajar yang bergaduh ini antara pelajar yang aku kira karektornya "unik". Unik yang aku definisikan punya naluri baik dan sifat kepimpinan yang tinggi. Tetapi menzahirkan dirinya dengan karektor pelajar "gedik". Hingga kerap benar aku dengar namanya menjadi sebutan di kalangan guru-guru. Tidak puas hati dengan sikap yang ditunjukan semasa di dalam kelas.

"Apa puncanya tu?" Tanyaku ringkas.

"Hmm...dendam mungkin. Lama bah sudah tu cikgu, kakak tu yang datang serang ke kelas kami." Jawabnya bersemangat

"Kenapa kamu tidak halang?" Tanyaku lanjut.

"Kami pun tidak berani." Jawabnya.

"Sarimah [bukan nama sebenar] tu tinggal dengan siapa? " Aku menyelidik pelajarku yang terlibat dengan pergaduhan.

"Bapanya kerja di kem. Mamanya tiada sudah. Meninggal tahun lepas. Dia saja di rumah dengan adik-adiknya 4 orang." Ceritanya lanjut dengan air mata bergenang. Syahdu menceritakan kisah hidup sahabatnya.

Benar jangkaanku. Pelajarku ini [Sarimah] punya "sesuatu" dengan kisah hidupnya. Bayangkan anak gadis seusia 16 tahun harus memainkan peranan sebagai ibu, bapa dan kakak kepada adik-adiknya. Bapa yang hanya balik sekali sekala pasti punya kekangan menjalankan tanggungjawab sebagai bapa sebaiknya.

Satu lagi daripada beribu sampel keluarga yang tidak "sempurna". Namun tidak punya pilihan melainkan meneruskan kehidupan seperti biasa.Namun apapun jua kondisi hidupnya, atau hidup kita, bukan tiket untuk kita memilih jalan salah, jalan gelap atau jalan hitam. Ibarat kita telah terjatuh ke dalam lubang, adakah kita mahu terus membiarkan diri di dalam lubang itu, atau membiarkan kita jatuh sekali lagi? Sebaliknya perlu memikir jalan keluar atau kaedah supaya tidak jatuh kali kedua.

Jalan keluar dari segala kegelapan atau kejahilan hanya satu..ISLAM. Bukan sekadar bergelar muslim pada nama. Tidak sama sekali! Melainkan masuk ke dalam Islam itu secara menyeluruh. Tanpa membuat pilihan dengan mengambil yang digemari dan membuang yang tidak di sukai. Islam adalah sebuah cara hidup yang lengkap dengan tatacara dan kaedah menjalani kehidupan (syariat). Agar kehidupan itu sebuah persinggahan yang baik sementara kembali ke alam yang kekal abadi.

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan.
[Al-Baqarah :208]

Kembali kepada Islam bukan hanya saranan kepada pelajar tetapi juga kepada para guru. Malang juga, apabila guru gagal menjalankan tugas sebagai pendidik. Sekadar pengajar akademik. Mengejar silibus dan berhempas pulas memprojekkan pelajar agar mampu meraih A sebanyak mungkin. Bersalahkah guru dalam konteks ini? Tidak adil langsung menyalahkan guru. Guru melakukannya kerana itulah sistem yang telah diacukan kepada seluruh rakyat jelata. Hatta mengajar subjek pendidikan Islam atau Tasawwur Islam [fokus pelajar sekolah harian biasa..bukan sekolah agama], tidak berkeupayaan ustaz dan ustazah menyerapkan content subjek berkenaan kepada pelajar agar diterjemahkan dalam bentuk peribadi dan sakhsiah. Kenapa masih ada pelajar tidak tahu solat, mengucap dua kalimah syahadah atau apa-apa perkara fardhu ain yang lain? Walhal seawal sekolah rendah lagi, pelajar di Malaysia wajib menduduki PAFA [Penilaian Asas Fardhu Ain]. Antara sebabnya, ilmu ini tidak dihayati sebagai satu kewajiban untuk bergelar muslim sejati.
Sekadar dipelajari agar mampu lulus dan memperolehi sijil.

Allahu Akbar..semakin di fikir masalah ummah ini..semakin gerun di buatnya. Ini baru kes-kes pelajar. "Orang luar". Bagaimana keadaan adik-adik kita, anak-anak saudara kita, dan suatu hari nanti anak-anak kita? Dunia semakin tua..dunia semakin tua..kita bagaimana??????