Monday, April 1, 2024

Pelangi Indah

 

Pagi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak bukit. Dalam renyai hujan kelihatan sekumpulan anak-anak kecil membimbit beg usang menuju ke sekolah. Kasut sekolah juga dibalut plastik. Kreativiti untuk bermandiri. Terperuk di perkampungan ladang yang jauh tersisih dari arus kemodenan. Jalannya masih belum berturap. Saat musim hujan begini, ramai yang memilih berkaki ayam. Lebih pantas berjalan daripada berkasut tapak tebal dipenuhi tanah merah basah.

Rizal keasyikan menyaksi panorama indah di kampungnya. Dikelilingi pokok-pokok kayu seperti akasia, cendana dan pulpa. Tanah dia di lahirkan. Terbayang saat kanak-kanaknya. Persis seperti anak-anak yang melintas di hadapan rumah kecilnya. Kisah hampir 20 tahun lalu. Namun masih segar diingatan. Cerita lama yang masih berulang. Pelakunya saja berbeza. Kalau dahulu watak anak-anak itu adalah dirinya, kini watak yang sama diperanankan oleh anak-anak itu pula.

“Kenapa tak sarapan? Bapa kamu ada di meja makan tu. Ada ibu masak nasi kuning.” Suara ibu tua Rizal mematikan lamunannya.

“Kejap lagi lah ibu. Rizal belum lapar lagi. Nanti Rizal ambil sendiri.” Rizal menolak lembut ajakan ibunya.

“Iyalah..ibu dengan bapa mahu pergi kerja sudah ni. Nanti kamu sarapan lah ya.”

Rizal hanya mengangguk sambil melambai ibu dan bapanya yang sudah siap mahu pergi ke ladang. Deruman enjin lori 12 tan sudah jelas kedengaran. Kenderaan berat itulah yang akan mengangkut pekerja-pekerja ladang. Berdiri bagaikan menari di belakang lori sudah menjadi kebiasaan bagi mereka. Perjalanan sejauh 10km dengan jalan berlubang sudah menjadi rutin. Sudah tidak terasa perbezaannya menaiki lori dan kereta pacuan empat roda berkelajuan 3000cc. Sama kerana sudah terlalu biasa.

Rizal kembali semula ke anjung rumahnya. Ditangan kirinya dengan secawa kopi panas dan tangan kanannya membawa sepinggan nasi kuning berlaukkan ikan kembung goreng sambal kegemarannya. Hari-hari menu yang sama pun tiada masalah. Apatah lagi kalau menu itu air tangan ibunya. Semua menyelerakan.

Sambil mencicip kopi panas pekat itu, Rizal mengurut-urut dagunya yang bersih. Hanya ditumbuhi bulu-bulu halus. Walau hakikatnya dia sangat ingin punya janggut. Biarlah hanya setompok kecil. Selain menurut sunnah, dirasakan wajahnya lebih kelihatan dewasa. Seiring usianya yang sudah menjangkau 30-an. Ini tidak, ramai yang menyangka dia masih di awal 20-an. Ditambah lagi saat dia menguntum senyum manis yang memang sentiasa terukir di bibirnya. Wajah keanak-anakan itulah paras rupanya.

Tetapi tidak pemikirannya. Rizal sangat matang. Mindanya ligat berputar. Isu-isu ummah setempat dan global sering dihadamnya. Tidak hairan dia menjadi kebanggaan penduduk kampungnya. Berjaya menjejak kaki ke menara gading. Saat teman sebaya dengannya ramai sangkut ditengah jalan. Hanya setakat berkelulusan SPM dengan keputusan tidak memberangsangkan. Sudahnya kembali ke ladang sawit meneruskan tradisi ibu dan bapa mereka. Menombak, meracun, menebas di ladang sawit  itulah menjadi jalan akhir.

Cuma saja nasib baik tidak menyebelahi Rizal. Rezekinya belum ada. Dia masih menjadi penganggur. Tawaran kerja kebanyakan daripada syarikat-syarikat besar di Tanah Semenanjung. Dia belum sedia berhijrah. Meninggalkan hanya ibu dan bapanya yang sudah tua di kampung itu bukan jalan terbaik fikirnya. Dia sanggup mengetepikan hasrat hatinya ingin bekerjaya sepadan dengan kelulusannya.

Hanya tiga tahun sahaja dia merasa nikmat bergaji empat angka. Semasa dia ditawarkan guru sandaran tidak terlatih (GSTT) di sebuah sekolah di pinggir bandar. Tiga tahun yang membenih kecintaanya kepada dunia perguruan. Menjadi arkitek manusia bagai satu medan dia beramal jariah. Mendidik dan membentuk anak bangsa menjadi watan yang berjaya. Selari benar dengan jiwanya. Itulah yang dihajatkan mampu dilakukan untuk anak-anak kampungnya. Dia mahu menyaksikan anjakan sikap dan paradigma daripada orang-orang kampung. Mahu mereka sedar peri pentingnya ilmu dan pendidikan. Hanya itu yang akan merubah nasib mereka. Keluar dari kepompong kemiskinan yang bergenerasi membelenggu. Kalau golongan tuanya sudah tiada kesedaran sebegitu, dia mahu anak-anak dan remaja yang merintis perubahan. Semua hasrat besarnya itu akan mampu direalisasikan andai dia seorang guru yang bertauliah. Sayangnya cita-citanya masih sekadar impian. Sesekali timbul juga sesal dihati. Tidak memilih kursus pendidikan sewaktu di universiti dahulu.

Keluhan Rizal panjang. Terimbau lagi kata-kata akhir Pengetua sekolah tempat dia bertugas sementara beberapa hari sebelum khidmat baktinya berakhir.

“Cikgu, saya baru dapat surat daripada Pejabat Pendidikan Daerah. Semua GSTT di seluruh negara akan ditamatkan kontrak hujung tahun ini.”

Rizal menyambut helaian surat pekeliling yang dihulurkan pengetua. Terasa longlai kepala lututnya. Bagai tidak berdiri di bumi nyata. Hanya gelap dan kelam yang dilihat. Berita diawal pagi yang memadam suria hatinya.

“Saya harap cikgu dapat menyelesaikan semua tugasan cikgu dan menyerahkan fail tugas dengan Penolong Kanan Pentadbiran. Tidaklah sukar guru lain mahu menyambung tugas cikgu tahun hadapan. Saya secara peribadi berdukacita atas berita ini dan saya pasti seluruh warga sekolah terasa kehilangan cikgu. Saya doakan rezeki cikgu ada lagi selepas ini kerana cikgu memang layak menjadi seorang guru. Dedikasi dan komitmen cikgu pada sekolah cukup membuktikan apa yang saya maksudkan.” Pengetua memberi kata penenang buat Rizal. Jelas terzahir di wajah Rizal kecewa yang amat.

“InsyaAllah Tuan. Saya akan selesaikan semuanya sebelum sesi persekolahan berakhir tahun ini. Terima kasih atas pujian dan doa Tuan.” Rizal hanya mampu menutur kata penghargaan. Lidahnya kelu hatinya beku. Dia hilang bicara.

Esok Rizal akan menyertai ibu dan bapanya. Turut ke ladang bersama mereka. Daripada duduk melangut di rumah menanti durian runtuh, elok kiranya dia membanting tulang empat keratnya. Walau hanya dengan gaji RM10 sehari. Biarlah tidak padan dengan kelulusan yang sepatutunya menempatkan dia di bilik berhawa dingin dan duduk di kerusi empuk. Ditelan semua kepahitan itu. Hati kecilnya tetap berbisik, hasrat dan niatnya menjadi seorang guru akan tertunai. Dia juga tidak tahu mengapa dia seyakin itu. Apa yang pasti dia tahu dan percaya ada jalannya.

Baru mahu mengangkat punggung meninggalkan anjung rumah dengan monolog panjang, telefon bimbitnya berbunyi. Tertera nama Azman di skrin telefon. Azman teman GSTT yang senasib dengannya. Pantas Rizal menjawab panggilan telefon.

“Assalamualaikum Cikgu Rizal..apa khabar?” Suara garau Azman di hujung talian.

“Waalaikumussalam..ish..jangan bercikgu lah. Itu tinggal kenangan saja. Ada apa hal telefon pagi-pagi ni?” Rizal yang terasa segan dengan gelaran cikgu bertanya tujuan Azman menelefonnya.

“Begini..semalam aku ada sembang dengan Norman, GSTT daripada Kota Kinabalu. Sembang di Facebook. Dia bagitahu, GSTT pantai barat sedang berusaha untuk menyiapkan memorandum untuk diserahkan dengan Menteri Pelajaran memohon rayuan agar ada penyerapan semua GSTT bertugas kembali. Memandangkan kita sudah ada pengalaman dan kebanyakan sekolah di Sabah dan Sarawak terutama kawasan pedalaman masih kekurangan guru. Jadi antara isi kandungan memorandum tu minta kita diberi peluang belajar di mana-mana IPG atau Universiti dalam kursus DPLI.”

“Ohh..bagus sangat lah tu. Jadi apa yang boleh kita tolong?” Rizal bersemangat mendengar perkhabaran Azman.

“Norman minta kita hantar wakil zon Pantai Timur untuk turut sama dengan delegasi mereka ke Putrajaya. Dia mahu kita bersatu dalam hal ini. Barulah nampak kesungguhan kita semua. Mengikut perancangan Norman, delegasi akan ke Putrajaya bulan hadapan. Jadi aku nak tanya kau boleh pergi atau tidak? Aku harap sangat kau boleh pergi sebab setakat ni hanya aku seorang yang mahu pergi.” Azman menyatakan tujuan utama menelofon Rizal.

“InsyaAllah..rasanya aku boleh pergi. Apapun aku akan maklumkan selewat-lewatnya esok.” Rizal memberi janjinya.

Berita Azman membuka sinar baru impiannya yang sudah malap. Hanya satu dibenaknya. Kos untuk menyeberang Laut China Selatan pasti tidak sedikit. Diingat-ingat baki duit simpanannya yang baru dikeluarkan minggu lepas untuk membayar ansuran motorsikal yang sudah tertunggak dua bulan. Paling banyak pun, dia pasti tidak lebih daripada RM 1000. Pasti nilai itu hanya cukup-cukup menampung kos makan dan perjalanan sahaja. Selepas itu apa yang tinggal hanya tawakkal kepada Dia Yang Maha Pemberi.

Nekad hatinya akan menyertai delegasi itu. Peluang ini harus dimanfaatkannya sebaik mungkin. Teringat dia kalamNya pada kitab suci Al-Quranul Karim dalam Surah Ar-Rad ayat 11.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ”

 

Pantas Rizal menuju ke bilik air. Bersiap untuk berwudhuk. Dia mahu bersolat dhuha. Amalan yang sudah menjadi kebiasaannya sedari remaja lagi. Dia percaya, ini antara usaha yang disandarkan pada Sang Pencipta agar rezekinya dimurahkan dan didatangkan dari jalan yang tidak di sangka-sangka. Tiada yang sukar bagi Yang Maha Kuasa. Semua dan segalanya dibawah aturanNya. Dia sangat percaya pada itu.

Namun ujian sifatnya menanam sabar pada diri. Itu tujuan dihadirkan dalam kehidupan. Menjadi pembeza golongan yang beriman dengan sebaliknya. Manusia merancang tetapi Allah adalah sebaik-baik perancang. Walau sudah pelbagai usaha dilakukan membela nasib orang seperti Rizal, kemanisan atas usaha mereka belum menampakan hasil. Hari berganti hari, bulan berganti bulan masih tiada perkhabaran. Hanya ada janji apa yang telah diusahakan oleh para delegasi akan diambil perhatian dan tindakan oleh pihak-pihak berwajib. Rizal memahami urusan sebegini bukan mudah mahu diselesaikan. Pasti perlu melalui karenah birokrasi yang mengambil masa yang panjang.

Acapkali juga dia terasa lemah dan kalah dengan ujian yang sedang meneman hidupnya. Hampir setahun sudah dia hanya terperuk di kampungnya. Bekerja keras sebagai buruh ladang. Mengubat rindunya pada kerjaya guru, dia mengadakan kelas tuisyen percuma kepada anak-anak di kampungnya. Itulah khidmat bakti yang mampu dihulurkan. Walau duit poketnya hanya setakat cukup menampung makan minum dan ansuran motosikal, dia tidak tergamak mengenakan yuran kepada anak-anak itu. Semoga ganjaran pahala yang diraihnya lebih besar nilainya berbanding duit kertas yang hanya laku di dunia fana sahaja.

Walau dia akur, usianya yang sudah cukup dewasa itu, waktu yang sangat cocok untuk dia segera menamatkan zaman bujangnya. Calon pilihan hatinya juga sudah ada. Sudah pun dikhabarkan kepada wanita idaman hatinya itu. Ditemui semasa bertugas sementara sebagai GSTT.

Cinta pandang pertama Rizal dengan gadis itu membuatkan hatinya nekad dan bulat, itulah calon sesuai menjadi suri hatinya sepanjang usia bahkan moga kekal hingga ke jannah. Namun, apalah dayanya. Mahu menyunting sang bunga sedang diri masih serba kekurangan. Kusut dan serabut benar fikirannya.

Terasa segala tidak memihak padanya. Keinginannya sangat banyak namun kemampuan pula terbatas. Dengan langkah berat, Rizal menuju ke mejanya. Mengisi masa rehat dihujung minggu dengan menjelajah alam maya. Kegiatan rutinnya. Terutama untuk mengetahui perkembangan GSTTnya. Disamping mencuba rezeki lain dengan kerja yang lebih baik. Semua masih hanya penantian. Hanya menyeksa batinnya terus menunggu. Siksa jiwa!

Sedang dia dilanda kemurungan memikir nasib diri. Seseorang menyapanya dia alam maya. Ruangan sembang Facebooknya tertera di skrin laptop. Insyirah menyapa. Baru tadi nama dan bayangan gadis itu bermain di benak Rizal. Kini hadir walau sekadar maya.

Insyirah          :    Assalamualaikum. Maaf menganggu.

Rizal               :  Waalaikumussalam. Eh..tidaklah. Apa khabar? apa yang boleh saya    bantu?

Bertalu pertanyaan Rizal. Bukti dia sangat menghargai sapaan Insyirah.

Insyirah          : Alhamdulillah sihat. Saya saja nak bertanya khabar cikgu. Masih tiada berita kontrak akan disambung?

Rizal               : Ish..janganlah bercikgu. Saya dah tak sesuai dipanggil gelaran tu. Hmm..masih belum ada khabar lagi. Hanya mampu berdoa semoga rezeki memihak saya. Macam mana sekolah? Rindu pula.

Insyirah          : Sekolah macam biasa. Tak ada perubahan. Lagipun sekarang cuti sekolah. Saya pun dah lama tak pergi sekolah.

Rizal menepuk dahinya membaca pernyataan Insyirah. Macam mana dia boleh terlupa.

Sekarang ini kan hujung tahun. Musim cuti persekolahan. Malu sendiri dia dibuatnya.

Rizal               : Astaghfirullah..dah lama “pencen” jadi cikgu kan. Cuti pun saya dah lupa. Hmm.. cikgu, boleh saya tanya sesuatu?

Insyirah          : Ya boleh..apa dia?

Rizal merasakan ini peluang terbaik dia memperbaharuhi janji Insyirah. Sebelum ini

Insyirah sudah bersetuju mahu serius menjadi teman hidupnya. Cuma saja, dia dan Insyirah tidak seperti pasangan lain. Cinta mereka terbatas dan dibataskan. Tidak bebas keluar berdua, bertelefon berjam-jam atau berbalas sms semahunya. Sangat jarang mereka berkomunikasi. Semua ini atas permintaan Insyirah. Dia bersetuju menerima lamaran Rizal andai Rizal mahu dan sanggup mengikut syaratnya. Alasan Insyirah mudah. Dia tidak mahu menjebak diri dengan cinta fitnah. Biarlah kemanisan cinta itu dirasai setelah segalanya sudah halal untuk dizahirkan. Bercinta di alam perkahwinan itu jauh lebih manis. Insyirah sangat yakin hal itu.

Rizal               : Cikgu masih sudi menunggu saya?

Ringkas pertanyaan Rizal. Biar jelas dan tepat maksudnya ditafsir Insyirah. Beberapa

minit suasana sepi. Tiada balasan dari Insyirah. Rizal menanti penuh debar.

Insyirah          : InsyaAllah. Sehingga hari ini saya masih berpegang pada janji saya  Saya sudah berbincang dengan kedua orang tua saya dan memberitahu mereka tentang cikgu. Saya ceritakan keadaan diri cikgu. Alhamdulillah..orang tua saya memahami. Mereka menyerahkan segala keputusan di tangan saya. Saya sudah beristikharah padaNya. Penentu keputusan yang terbaik. Hati saya sudah bulat memilih cikgu. Ini juga tujuan saya menghubungi cikgu hari ini. Saya mahu maklumkan, kalau boleh saya nak kita sudahkan saja hubungan ini dengan ikatan perkahwinan. Soal cikgu disambung kontrak atau tidak, bukan hal yang utama. Saya yakin rezeki Allah sudah atur semuanya. Saya menerima diri dan keadaan cikgu seadanya. Lebih saya risaukan sepanjang hubungan tanpa akad nikah ini, kita gagal mengawal hati dan perasaan. Menodai cinta fitrah ini dengan fitnah. Hanyut dengan mainan dan buaian perasaan. Bagaimana pandangan cikgu?

Insyirah masih tidak boleh membuang gelaran cikgu yang dibahasakan dengan Rizal.

Baginya itu lebih selesa dan sopan. Rizal pula terkedu. Bercampur baur perasaannya. Ternyata pilihannya tepat selama ini. Memilih Insyirah atas agama yang ada pada dirinya. Insyirah mampu menterjemahkan ilmu dan kefahamannya dengan perbuatan. Tidak sekadar teori yang membuku di dada.

 

Rizal               : Saya bagai hilang kata-kata. Terharu dengan apa yang cikgu putuskan.

Apalah yang mahu saya bangkangkan saat semuanya memihak kepada diri saya. Hanya kesyukuran mampu saya lafazkan dan terima kasih tidak terhingga atas pengertian yang cikgu tunjukan. InsyaAllah saya akan berbincang dengan lebih lanjut hal ini. Terima kasih sekali lagi.

Insyirah          : Sama-sama. Terus berdoa semoga apa yang kita sepakati ini yang terbaik untuk kita. Bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat sana. Saya mohon izin mengundur diri. Maghrib sudah sangat hampir. Assalamualaikum.

Rizal               : Oh..iya..sila..waalaikumussalam.

Mata Rizal melirik jam dinding coklat di tepinya. Lagi 15 minit azan Maghrib berkumandang. Pantas Rizal bangkit dan bersiap untuk ke masjid. Dia mahu berlama-lama di Rumah Allah senja itu. Mahu menzahir rasa syukurnya pada satu anugerah indah yang menyinar kelam hatinya. Semoga khabar Insyirah petang itu, merintis khabar gembira yang lain. Dia tidak pernah berputus asa dan berhenti berharap. Dia yakin Allah mendengar doanya selama dia tetap bersabar.

Hasil perbincangan dengan orang tua Rizal, mereka sepakat untuk meminang Insyirah cuti pertengahan semester tahun hadapan. Kira-kira 5 bulan lagi. Masih sempat Rizal berjimat dengan gaji yang sedikit. Menampung segala keperluan yang pasti banyak untuk majlis perkahwinan yang sangat sederhana dirancangnya. Selebihnya, ihsan orang tuanya. Rizal tidak tahu apalah yang mampu dikorbankannya buat membalas segala jasa dan budi orang tuanya. Dia sentiasa mengingatkan diri, saat dia sudah punya rezeki yang luas dia akan menyenangkan orang tuanya. Perkara pertama yang akan dilakukan ialah menghantar orang tuanya ke tanah suci. Dia maklum, itu hajat yang mereka yang terpaksa pendam sekian lama. Akan Rizal tunaikan suatu hari nanti. Dia akan!

“Rizal..telefon kamu berbunyi.” Kedengaran suara bapanya memanggil dari hujung dapur.

Pantas Rizal bergegas ke meja makan. Menyambut panggilan Azman.

“Assalamualaikum ..” Suara Azman ceria dihujung talian.

“Waalaikumussalam..ada khabar baik kah? Ceria saja ni.”

“Alhamdulillah..rezeki kita dah sampai. Tadi aku dapat sms dari Norman. Dia kata semua GSTT akan diserap ke IPTA dan IPG untuk Diploma Pendidikan. Link untuk semakan ada dia bagi di Facebook. Pergilah buka. Tengok dapat IPT ka IPG. Aku dapat IPT. Apa-apa nanti sms aku ya.” Azman menamatkan perbualan. Dia tahu pasti Rizal sudah tidak sabar mahu tahu nasib dirinya.

Tidak dapat Rizal menahan sebak hatintya. Matanya berkaca walau airmata lelakinya tidak tumpah. Tiada lain dilafaznya melainkan tahmid memuji Allahu Ya Wahhab. Pantas dia sujud syukur. Segala penantiannya hampir setahun berakhir hari ini. Perjuangannya dan sahabat yang lain membuahkan hasil. Dia berjaya mendapat tempat di IPGM di daerahnya. Rezeki yang berganda-ganda. Segalanya bagai dimudahkan. Tidak terganggu perancangan pernikahannya. Tidak perlu juga meninggalkan jauh ibu dan bapanya yang sudah tidak berkudrat gagah.

Pantas Rizal mencapai telefon bimbitnya. Mahu berkongsi rasa bahagia itu dengan Insyirah. Mahu gadis solehah pilihan hatinya turut gembira atas kesetiaannya yang tidak berbelah bagi. Hanya kuntum senyuman menghiasi bibirnya malam itu. Sebelum dia menutup mata lebih awal dengan niat mahu bangun di sepertiga malam, sempat Rizal membayangkan masa depannya yang semakin bersinar. Melunas segala janji pada dirinya mahu menjadi pendidik yang berdedikasi. Melahirkan generasi anak bangsa yang berjaya bukan sahaja di dunia tetapi jauh lebih penting di akhirat. Dia semakin bersedia dan bersemangat menggalas amanah dan tanggungjawab itu. Itulah zahir syukurnya pada segala nikmat yang datang bertalu. Dia menutup matanya dengan membisik diri kalimah Ilahi dalam surah Ibrahim Ayat ke 7 :

“Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya aku akan menambah nikmat kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari nikmatKu, maka pasti azabKu sangat berat”

Rizal akan sentiasa mengingat diri, tidak rugi sedikitpun orang yang sentiasa berteman dengan sabar. Dia sedang menuai hasilnya. Indah. Bagai pelangi selepas hujan.


# cerpen ditulis sekitar tahun 2012. Bukan kisah 100% sama..tetapi insprasinya datang dari si dia..yang beronak laluan rezekinya untuk menjadi dia yang hari ini.

# sebenarnya lupa sudah pernah menulis cerita ini..terjumpa saat menggeledah kembali segala chat dengan dia dalam mesenger.

# bahasa cinta sepanjang ikatan belum halal..semuanya melalui kiasan..yang sebahagiannya di simpan di sini.


Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...