Sunday, January 30, 2011

Secawan Teh

Salam Palestine

Sedang menikmati erti cuti. Walaupun tidak keluar ke mana-mana destinasi percutiaan, memadailah punya waktu seketika menghirup udara pagi tanpa perlu berada di white bridge. Seminggu cuti sempena Tahun Baru Cina. Kalau di hitung masa, panjang bunyinya. Tapi melihat tugasan yang menanti, diari sudah penuh. Modul untuk program PERPIS sekolah belum sempurna. 3 subjek OUM menanti untuk dihadam. Memikirkan ini sudah cukup membeban minda.

Hati juga tidak berbunga ceria. Bagai memendam sesuatu yang bersimpul padu. Sukar dirungkai! Sudahnya badan tidak cergas, minda tidak cerdas. Pergerakan menjadi lambat, otak menjadi lembab. Beriringan dengan cuaca yang tidak menentu. Langit jarang cerah sepanjang hari. Mentari sering dibayangi awan gelap pekat.

Apa lagi pilihan yang ada. Melainkan duduk setia di rumah. Mencongak masa, menanti waktu semua kembali pulih. Rasa jiwa kembali berbunga indah. Akan sampai waktunya, cuma memerlukan kesabaran yang tinggi. Itu pesan seorang teman, saat aku tidak mampu menahan beban jiwa ini berseorangan.

Sedang bersabar..berusaha untuk tenang...mari, kita nikmati secawan teh panas.



Monday, January 3, 2011

Kongsi Rasa

Salam Palestine

Hari pertama persekolahan untuk sesi 2011. Kelam kabut tidak terkata. Kesihatan pula tidak mengizinkan. Bersin dan batuk bersilih ganti. Alhamdulillah, demam sudah semakin kebah. Kepala sudah tidak pening. Gagahkan juga ke sekolah. Tidak mahu ada yang tertangguh saat semua baru bermula.

Ahad lepas, Allah beri berikan rezeki masa dan kekuatan hadir Kuliah Amal Islami. Kuliah rutin hujung minggu anjuran Unit Amal Kawasan Tawau. Walau anggota Unit Amal dan brigednya yang prihatin pada kebajikan, tidak kelihatan sangat di medan ilmu itu. Pasti punya urusan yang lebih aula. Syukur Alhamdulillah, tautan hati pada majlis-majlis ilmu masih utuh. Menghadiri majlis ilmu ibarat satu suntikan motivasi melalui jalan perjuangan yang penuh ranjau ini.

Itu yang aku perolehi Ahad lepas. Kebetulan pengkuliahnya "Murabbi Realiti" ku. yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu. Insan yang mendidik jiwaku seawal usia ku 14 tahun lagi. Butir nasihatnya pasti saja meninggalkan kesan yang mendalam dijiwaku. Aku tahu rasa ini aku kongsi bersama ramai teman-temanku yang lain.

Tertunduk tajam aku merenung karpet usang, tempat kami setia bersimpuh.

"Benarkah kita telah melaksanakan dakwah kepada masyarakat?" Kalau kita seorang guru, pagi dengan rutin mengajar, petang kita buat apa? Dakwah kita bersifat berkala, hujung minggu atau cuti umum." Tegas nada Cikgu.

Tiada silapnya kalimat sinis itu. Aku terutamanya masih sangat tenang damai berehat-berehat di zon selesa. Gagal menjadi pendakwah sepenuh masa. Pagi dengan gelaran cikgu, petang dan malam memenuhi tuntutan keluarga. Hujung minggu, paling lama dalam setengah hari, berusrah atau bermesyuarat atau berprogram. Gagal menjadikan apa jua lapangan kerja sebagai medan dakwah.Di sekolah, adakalanya hanya sibuk mengajar mengejar silibus. Di rumah tidak menunjukan qudwah hasanah, dakwah yang paling ampuh dan berkesan.

Tidak sewajarnya untuk hanya terus lemas dalam emosi rasa bersalah. Langkah 2011 baru bermula. Moga rasa sedar ini mukaddimah yang baik untuk meniti hari mendatang. Tidak dinafikan, semakin tinggi azam dan kesungguhan yang dipasakkan, semakin mudah jatuh ke bawah dan tergelincir dalam mainan rasa jiwa. Ketepikan semua yang cuba menghalang, fokus pada matlamat dan bekerja dengan berperancangan, yakin bahawa usaha yang baik berteman redha serta rahmatNya, InsyaAllah, optimislah, kalau bukan kejayaan yang digenggam, pasti akan mampu menguntum sebuah senyuman manis..dengan nafas lega..hati akan berdetik

"aku masih meneruskan hayat yang ada atas usaha agama benar ini..terus pilih dan pimpin aku, dia dan mereka Ya Allah.."