Mengakhiratkan Dunia

"Kenapa sekarang ni dah jarang dengar suara. Kalau dulu ada lah jugak gurau-gurau mesra..dengar jugaklah bising-bising" Tegur seorang rakan sekerja usai kami bersolat zuhur di bilik kesihatan merangkap surau guru perempuan.

Seperti biasa, teguran-teguran sebegini hanyaku balas dengan senyuman lebar dan memulangkan kembali persoalan buat yang bertanya "Iya ka?"

"Iyalah..duk bilik guru menghadap laptop je. Tak bunyi apapun" balasnya lagi


Aku tersenyum saja...

Aku akui, memang sikapku agak berubah sedikit tahun ni. Kurang bunyi suaraku kedengaran di bilik guru. Mungkin ramai yang membuat kesimpulan, sebab sahabat baikku dunia-akhirat merangkap teman sebelah semeja telah berkahwin. Bahkan sedang sarat mengandung nak sulungnya. Perubahan statusnya mungkin menjadi mangkin aku menjadi agak pendiam.

Hipotesis ini tidak aku terima sepenuhnya. Aku sendiri mahu merubah diri. Dari dahulu lagi aku sering meminta padanNya yang Maha Mengatur agar aku kurang berkata-kata apatah lagi yang sia-sia. Selain itu, tahun ini rasanya kerja terlalu banyak di sekolah. Sangat berbeza dengan tahun lepas. Seawal Januari lalu hinggalah hujung Julai ini, bagai tiada hentinya tugasan sampingan disekolah. Satu persatu. Kalau setakat tugas mengajar dan mendidik pelajar, rasanya tiada masalah sangat. Sukarnya apabila kerja-kerja pengkeranian terlalu banyak dibebankan. Hingga kekadang hilang fokus pada tugas utama.

Semakin dihimpit dengan bebanan kerja, semakin hati juga dihimpit rasa bersalah. Rasa hina dan zalimnya diri. Apa tidaknya, apabila berkejar dengan masa, yang sering menjadi korbannya "urusan-urusan rasmi" dengan Allah. Solat sekadarnya. Zikir seringkasnya. Itulah kekadang rasa malas sangat mahu buka mulut di sekolah. Berusaha mencari ruang dicelah kesempitan waktu untuk menambah informasi. Melayari internet dengan singgah ziarah dari satu blog ke satu blog ilmiah lebih afdhal rasanya dari bertepuk tampar dan bergurau mesra dengan rakan sekerja. Bila sudah mula berkumpul-kumpul, berklik-klik mulalah syaitan main peranan. Tak pasal-pasal masuk dalam halaqah mengumpat ataupun kutuk mengutuk. Tak kutuk pentadbir, kutuk rakan sekerja lain tak pun kutuk pelajar sendiri. Aduh..guru oh guru..

Realiti persekitaran yang sangat melemaskan dan merimaskan iman setipis kulit bawang. Lebih meresahkan keperitan ini harus dihadapi hari ke hari selagi masih bergelar manusia. Inilah kesan kepincangan sahsiah dan rapuhn
ya iman insan bergelar muslim. Saat dan tika jiwa meronta-ronta mahu bebas dari belenggu rantaian kejahilan ini, hati hanya mampu berdoa moga Allah terus memelihara diri dan iman. Biarlah manusia memandang serong jangan kasih Allah berkurang.

Tidak mudah : Mengakhiratkan dunia


Comments

Popular posts from this blog

Zon Selesa

Pendam

Kisah Kita