Monday, August 3, 2009

Generasi Penerus Perjuangan : Satu pemerhatian

SABAH masih terlalu jauh daripada roh Islam dan pendaulatan amal islami. Ini realiti yang harus diterima oleh semua pejuang agama suci ini. Berwadahkan PAS sebagai wasilah perjuangan, generasi penerus perjuangan perlu menyedari bahawa kefahaman kepada politik islam hanya akan lahir setelah memahami dengan baik dan sempurna asas-asas Islam.

Tiada "short-cut" ataupun jalan ringkas untuk memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai kesyumulan Islam ini melainkan melalui gerak kerja dakwah yang tersusun, konsisten dan berhikmah. Para pejuang perlu hadam situasi masyarakat. Kenal mereka sedalamnya. Baru mudah mengatur kaedah dan pendekatan terbaik. Apatah lagi masyarakat Sabah, Tawau khususnya yang terdiri daripada pelbagai etnik dan suku kaum. Adat dan budayanya berbeza antara satu sama lain.


Namun, kondisi ini tidaklah menyukarkan sebenarnya. Berdasarkan statistik keahlian pendokong gerakan Islam di bumi Tawau ini, generasi pejuangnya terutama generasi mudanya 70% adalah daripada anak tempatan. Pastinya kumpulan generasi pejuang ini sudah arif dan mahir adat budaya kaumnya sendiri. Seharusnya sudah kenal dan tahu kaedah pendekatan yang hars diambil.


Sedikit mengecewakan, faktor tidak mengenali mad'u ini bukanlah satu isu besar yang menghalang kepada pemacuan gerak kerja dakwah. Antara faktor yang memungkinkan merencatkan gerak kerja dakwah di bumi Tawau khususnya adalah:


  • Kesediaan para pejuang untuk terjun ke dalam masyarakat.

Generasi muda terutamanya kurang kemahiran komunikasi untuk menonjolkan diri dalam kelompok masyarakat. Masyarakat memandang kita dengan pandangan mata "segan". Segan dengan status kita yang bergelar golongan terpelajar dan segan dengan identiti ustaz/ustazah yang kita bawa. Tidak bermakna kita tidak perlu menjadi golongan terpelajar atau beridentitikan ustaz/usazah, tetapi bagaimana kita perlu mengeksploitasi kelebihan yang ada ini untuk membantu mereka. Membimbing minda mereka untuk menjadi terpelajar dan mengasuh rohani mereka agar seperti ustaz/ustazah juga.

  • Sindrom tidak mahu berfikir semakin berakar umbi.

Sindrom ini semakin merebak dikalangan pendokong gerakan perjuangan. Lebih mengharapkan kepada individu-individu yang dirasakan berautoriti untuk berfikir dan merancang. Lantas membiarkan diri sekadar diam dan memerhati. Menanti dipanggil mesyuarat,menerima tugas dan arahan selanjutnya. Situasi ini sangat merugikan organisasi. Awal-awal lagi para pendokong perjuangan yang sebelum ini bukan calang-calang orang semasa di kampus mematikan potensi diri. Membiarkan pengalaman-pengalaman berharga semasa di alam kampus dulu tersorok di peti besi kenangan. Masih beranggapan, memadailah sekadar hadir program. Itu lebih baik daripada tidak datang langsung. Andainya mentaliti ini masih mengawal minda, bayangkan apa akan jadi pada perjuangan. Siapa yang akan memikir, mengatur dan melaksanakan program-program dakwah?


  • Simptom sukar akur arahan

Simptom tidak sihat ini juga sudah mula kelihatan dikalangan generasi penerus perjuangan. Seakan pejuang-pejuang ini tidak pernah belajar dan mengetahui asas-asas dalam berorganisasi. Kabur kefahaman mengenai kepentingan hieraki kepimpinan. Seakan lupa keharusan wala' dan thiqah pada pimpinan. Tidak rasa malu, segan dan bersalah andai gagal melaksanakan arahan yang diberikan. Apabila dianalisis punca dan sebabnya adalah kegagalan mengimplementasi fiqh aulawiyat dan larut dalam masalah peribadi. Masih gagal memahami letak duduknya dakwah dan perjuangan dalam kehidupan. Kewajipan ini masih menjadi tempat kedua, ketiga atau entah yang keberapa di dalam prioriti kehidupan.


Tiga faktor ini adalah di antara pelbagai faktor yang membelenggu generasi muda penerus perjuangan di bumi peladang ini. Dalam kemudahan mengakses dunia tanpa sempadan ini, sewajarnya kesedaran kepada perlunya usaha berlipat ganda mendaulatkan amal islami di bumi Tawau semakin bertambah. Perkembangan ledakan politik di tanah semenanjung seharusnya membahang di jiwa para pejuang. Bahang yang mampu memanaskan diri untuk tidak diam dan statik. Jangan mudah merasa cukup atas apa yang kita lakukan sekarang ini. Perlu diingat, program-program kita lebih banyak berkisar dikalangan kita. Tidak percaya, ambil takwim buat lah analisis! Jangan syok sendiri!

1 comments:

bicara_sufi said...

artikel yang dituju khas buat penulisnya juga..semoga kita mahu membuka minda dan mencelikan hati..teluslah di jalan juang ini..