Wednesday, August 5, 2009

Terimalah aku seadanya..


Bermanfaat benar cuti H1N1 ini. Banyak perkara boleh diselesaikan. Sememangnya berkira-kira mahu meminta cuti rehat 1-2 hari sebelum ini. Mahu fokus membantu pengurusan kedai "Dr. Call Communication. Kedai adik lelakiku. Tanda sokongan padu padanya yang mahu berjinak dengan dunia perniagaan. Bagus juga ada usahanya ini. Kalau setakat mengharap gaji "office boynya" itu, hasrat hatinya untuk segera berumah tangga pasti sukar dipenuhi. Semoga langkah beraninya ini diteruskan dengan kesungguhan.

Permulaan pagi yang ceria ini dibuka dengan berdua-duan bersama bonda tercinta. Berkelapangan aku untuk membawa mak bersarapan roti canai di restoran yang digemarinya. Sempat lagi dia menyatakan hasratnya teringin makan laksa di "warung jawa". Jarang benar mak meluahkan permintaan sebegini. InsyaAllah...akan ku tunaikan sesegera mungkin. Apatah lagi mak jenis tidak suka makan diluar. Dia hanya akan makan roti canai dan kopi o panas di Restoran Keningau, laksa dan cendol di Warung Jawa dan tomyam ayam, nasi putih dan air suam di Utama Tom Yam. Hanya 3 tempat makan dan menu-menu ini yang boleh melepasi tekak mak. [hmm..siapa-siapa yang ada hati nak jadi menantu mak..ni antara tips memikat mak..hahaha..iklan lagi..]

Hari ini juga beresempatan bertemu dua orang anak muda, penerus perjuangan di bumi peladang. Bersembang sambil menjamu nasi beriyani di Yassin Curry House memang membuka minda. Jauh disudut hati, aku terharu bercampur bangga dengan kesedaran diri yang ada pada kedua-duannya. Sedar status dan peranan yang perlu mereka mainkan dalam meneruskan agenda perjuangan. Semoga kalian tetap istiqamah. Terima kasih juga atas belanja nasi beriyani tadi. Berbaloi menunggu lama!

Esok pula ada satu lagi temujanji. Dengan seorang adik yang pernah bertungkus lumus meneruskan gerak kerja cemerlang PERPPIS [selaku badan pelajar yang berwibawa dan disegani] di Tawau ini. Keadaan dirinya kini dalam ujian Allah. Aku sudah lama memikul rasa bersalah kerana gagal menziarahinya. Walaupun tugas itu sepatutnya tidak aku pandang sebelah mata. Apatah lagi dia pernah mengutus surat mengkhabarkan keadaannya yang tidak sihat. Aduh..sungguh rasa bersalahnya aku. Inilah kelemahan diri. Mudah terlepas pandang perkara-perkara "kemanusiaan/ukhuwwah". Agaknya faktor ini yang menjadikan insan lain melabel diri ini "serius-tegas". Label terbaru, "suka memberi tekanan". Sukar ya mahu menjadi yang terbaik di mata manusia. Semasa menerima panggilan telefon adik ini, aku tanpa berfikir panjang terus bersetuju untuk berjumpanya Khamis pagi. Aku kosongkan jadual ku demi memenuhi tuntutannya. Semoga pertemuan ku dengannya nanti dapat memberi sedikit kelapangan pada masalah dan derita yang dialaminya.

Semoga keperluan manusia pada diri ini dapat kulaksanakan dengan sebaiknya. Semoga semua yang mempunyai kepentingan pada diri ini mendapat apa yang diingini dengan secukupnya. Sesungguhnya aku insan yang penuh dengan kekurangan dan kelemahan. Namun sentiasa punya kemahuan dan azam untuk menjadi yang terbaik di mata kalian. Ku perbaharui salam kemaafanku atas segala khilaf dan kekurangan yang pernah aku zahirkan, fikirkan atau lisankan...

0 comments: