Tawau bermandikan hujan dua tiga hari ini. Ramalan cuaca petang tadi yang ku dengar menerusi berita radio memaklumkan keadaan akan berterusan beberapa hari lagi. Syukurlah, aku sudah lama merindui titisan jernih membasahi bumi peladang ini. Biar bertambah subur jagung dan kekacang yang mak tanam di belakang rumah kakak. Suka benar aku melihat riak wajah mak tatkala mengutip hasil tanamannya di atas sebidang tanah yang sekangkang kera cuma. Bertcucuk tanam di kawasan perumahan batu. Jarang berlaku. Tetapi tidak untuk mak. Bersemangat benar dia memanfaatkan apa yang ada. Pengajaran secara tidak langsung yang ku pelajari di lewat usia dewasa ini. Pengalaman memang sesuatu yang bermakna andai mahu dimengerti dan difahami. Tidak akan mampu dibeli dengan wang ringgit. Cuma bermodalkan pengertian dan akan lebih bermakna andai dimanfaati.
Tidak sangka, sudah lebih daripada separuh Januari dilewati. Juga tidak aku sangka, baru hari ini ada entry baru mengisi kesepian bicara sufi. Bukan tidak mahu menulis atau sudah bosan untuk menulis, tidak sama sekali. Cuma ruang dan peluang agak terbatas. Bermula dengan “cpu 2nd hand” yang “meragam” seketika. Selesai cpu, modem internet pula “masuk wad”. Hampir dua minggu juga ujian kecil ini menjadi kabus tebal menghalang sinar cahaya riang menyinari perjalanan kehidupan. Apa tidaknya, semua kerja tidak menjadi. Apabila dilanda ujian sebegini, baru terdetik rasa sesal. Memarahi diri sendiri. Terasa ujian ini sindiran pada diri kesan cuai pada amanah yang diberi oleh perjuangan. Saat punya segala kelengkapan dan waktu mengizinkan, nikmat yang ada tidak digunakan dengan sebaiknya. Tewas meletakan aulawiyat pada tugas yang ada. Perkara yang tidak penting dan tidak perlu disegerakan menjadi keutamaan. Walhal yang menjadi list utama untuk dibereskan telah dibelakangkan.
Moga pelajaran ini akan menjadi pengajaran bererti. Jika tidak, berlalulah ianya sekadar menjadi cebisan kenangan pahit. Tidak menjadi sebuah pengalaman. Gagal menjadikan hari ini lebih baik dari semalam. Bukankah telah merugikan masa yang ada? Saat menulis ini juga, risau apa yang ditulis sekadar menjadi tulisan. Selepas habis “dipublishkan” hilang dari ingatan.
Semoga apa yang ditulis menjadi saksi rasa sedar dan muhasabah diri yang kerap alpa dari beringat, kerap cuai dari bersungguh. Beriku ruang Ya Allah..lapangkan jalan yang aku sempitkan….
1 comment:
CHAYYOK2!!!
Post a Comment