Cuti Cuti Malaysia

Salam palestine

Sudah 3 hari menghirup udara tahun baru hijrah, 1432 H. Tahun ini meraikan tahun baru bersama sahabat-sahabat dengan makan malam istimewa di Anjung Penghalian, Semporna. Mengisi cuti persekolahan yang masih bersisa. Seronok musafir bersama teman-teman sefikrah. Topiknya berkisar urusan-urusan perjuangan. Samada kenangan semalam yang dijadikan pengalaman, atau perancangan mendatang yang penuh teka teki. Kerap diperkatakan soal jodoh dan teman hidup. Masih bujangkan, topik ini lah yang paling relevan. Apatah lagi saat usia sudah cukup sesuai dan sudah punya kerjaya yang diimpikan. Menariknya, setiap kali mengatur angan-angan dan impian, ada sahaja yang mengingatkan, pastikan mahligai yang dibina nanti adalah baitul dakwah. Ambil ikhtibar dan renungan sahabat-sahabat yang terlebih awal menyahut seruan jodoh. Mana yang baik jadikan teladan, yang buruk sekadar sempadan. Inilah indahnya apabila berteman dengan yang punya didikan perjuangan.

Sepetang pusing-pusing bandar Semporna bersama Fillah si Avanza Putih, macam-macam bemain di minda. Melihat dengan mata kepala sendiri, penghuni tetap daerah pelancongan tersohor dunia, simpati dan tanda tanya bersilih ganti. Kelihatan segelintir anak-kanak bahkan warga emas, berjalan bebas tanpa alas kaki. Memijak simen dan jalan bertar waktu tengah hari, nampak sangat sudah menjadi kebiasaan. Agak menghairankan, di sepanjang jalan, kelihatan rumah yang bukan alang-alang besarnya. Ada yang bagaikan istana rupanya. Aku dikhabarkan, sebuah rumah dihuni oleh beberapa generasi. Disitulah moyang, di situlah cucu. Di situ pakcik di situlah sepupu. Tanpa didikan agama yang baik, bukankah menjurus kepada masalah sosial. Sahabat-sahabatku hanya mampu tersenyum kelat tatkala aku membangkitkannya.

Apapun, kagum juga dengan kegigihan sahabat-sahabatku yang bertugas mendidik anak-anak daerah ini. Kesungguhan dan dedikasi pada sebuah amanah. Pengajaran tersirat yang aku pelajari dari mereka. Tidak kenal erti lelah dan sentiasa kenal pasti apa matlamat yang perlu dicapai. Fokus akan terarah dan kerja lebih tersusun. Pesan mereka, pelajarlah mad'u terdekat seorang da'ie berkerjaya pendidik. Bersemangat juga dibuatnya. Bersesuaian dengan hijarh yang sedang diraikan. Disudut hati, aku membisik doa pada diri, mudah-mudahan 1432 langkahku semakin gagah, menyemai benih dakwah pada anak-anak di White Bridge. Terus kuatkan aku Ya Allah.


Comments

Popular posts from this blog

Zon Selesa

Pendam

Kisah Kita