Thursday, December 23, 2010

Jangan berpaling lagi

Salam Palestine

Berbaki dalam 8 hari untuk kembali bertugas. Meneruskan langkah di tahun ke 5 bergelar pendidik. Seakan baru semalam melapor diri. Dengan tudung labuh dan mini jubah coklat, aku yang tanpa persediaan mental terus diminta melapor diri kerana agak lewat surat tiba ditangan ku. Dengan imej "ustazah" itu, pasti sahaja ramai yang kelihatan segan dan teragak-agak menegurku. Ditambah lagi dengan sikapku yang kurang ramah dan hanya pandai tersenyum apabila disapa. Seperti yang dijangka, ramai yang memanggilku dengan gelaran Ustazah. Sering aku membetulkan fakta, "saya Ustazah Sains".

Empat tahun bukan tempoh yang singkat sebenarnya. Namun, untuk aku merasakan kepuasan dalam melangsaikan amanahku selaku pendidik berjiwa murabbi, aku masih sangat tidak layak untuk tersenyum. Jujur, tempoh ini aku lebih banyak belajar memahami persekitaran dan beban amanahku sahaja.

Tidak dinafikan, cabaran mendepani remaja hari ini bukan boleh dipandang mudah. Menggunakan pengalaman semasa berada di alam seperti mereka semata sebagai senjata ibarat pedang tumpul berdepan dengan senjata canggih.

Pengalaman semata tidak memadai. Remaja hari ini ibarat menyedut racun-racun berbisa setiap saat. Berteman baik dengan teknologi yang memusnah iman dan minda mereka. Proses kematangan berfikir beracuankan fikrah yang murni tidak dijana apatah lagi mahu melahirkan amal-amal Islami. Jauh sekali. Doktrin-doktrin musuh Islam sedang diserap sedalamnya. Berhala-berhala moden menjadi sembahan. Ibu bapa gagal berperanan menjadi pencorak kain yang suci bersih. Lebih menyedihkan, ibu, bapa dan anak sama-sama derhaka.

Kerja perlu lebih kuat. Minda perlu berfikir lebih ligat. Masa jangan sekadar milik diri dan keluarga semata. Kalau bukan kita siapa lagi. Hidayah punya rasa sedar akan tugas dakwah pada ummah ini satu anugerah. Hanya insan terpilih sahaja yang memilikinya. Kita gagal manfaatkan sebaiknya, bersedialah untuk digantikan. Digantikan dengan yang lebih baik!

Setahun ini, tidak dinafikan, aku banyak menurut rasa jiwa. Turut hanyut dengan "perang senyap dan rehat" yang dilancarkan teman-teman seperjuangan. Lebih banyak berfikir, berteori dan bersolusi, bagaimana mahu mereka melangkah seiring bersama. Namun akur, segalanya dibawah takluk dan kekuasaanNya. Hati-hati ini dibawah pemeliharaanNya. Hanya Dia yang menentukan semuanya. Belajar dari pengalaman mereka yang mungkin sedang tersilap. Bukti sayang dan kasihnya Dia pada diri. Tiba masanya, membiarkan mereka menurut suara hati mereka. Mereka punya alasan untuk diberikan di hadapan Sang Pencipta, atas segala tindakan yang telah diputuskan.

Tugas ku, tugas kalian, kita teruskan langkah kita. Kita tidak punya alasan untuk rehat. Kerja dakwah banyak menanti. Bahkan melebihi masa yang ada. Terus melakar sejarah..kita da'ie, kita murabbi!

1 comments:

Adry said...

Teruskan semangat sebagai guru... aku tak segan pun tegur ustazah sains ni... hehehe

Adry Sabry @ http://www.adrysabry.com