Thursday, July 14, 2011

Kenal Diri

Salam Palestine

Kurang saya sedari, rupanya Jun ini berlalu tanpa sebarang entry mengisi bicara sufi. Ruang yang saya miliki di alam siber ini. Yang adakalanya menjadi senda gurau teman-teman.

"Blog bicara sufi macam sesuai tukar jadi bicara sepi"

Hanya saya balas dengan senyuman. Pandangan orang kalau tak mampu di terima hati dan perasaan, janganlah di bangkang sesukanya. Raikan sahaja dengan senyuman. Saya selalu mencabar diri, saat diterpa sesuatu yang kurang membahagiakan, rawatlah dengan senyuman. Walau tidak akan memulih perasaan sepenuhnya, setidaknya, tidak terus menyakitkan hati sendiri.

Jun ini memang saya sedikit sibuk. Sibuk dengan urusan peribadi. Saya memulakan langkah pertama, cuba mengarang sebuah novel. Memulakan langkah pertama yang sangat sukar saya kira. Tapi dorongan adik bongsu saya terus terusan memberikan saya semangat.

"Kalau ada apa-apa kak mirah nak suruh, bagi tahu saja"

Sambil menghantar segelas teh o panas dia memberikan saya motivasi secara tidak langsung. Melihat saya duduk berenggang dari laptop toshiba yang dipinjamkan oleh seorang sahabat yang juga meraikan keinginan saya, adik perempuan saya akan bertanya lagi

"berapa muka surat sudah?"

Saya tersenyum. Kita akan jadi jauh bersemangat apabila ada dorongan dan sokongan samada dari unsur yang zahir depan mata atau sesuatu yang perlu di capai dengan akal minda. Saya cuba mengimplementasikan kisah semangat yang di dorong ini dengan kegiatan lain saya selain menjadi seorang guru Sains.

Saya suka menulis sesuatu yang lahir dari jiwa. Samada ianya benar saya alami atau saya berkongsi pengalaman dengan sesiapa. Hingga bila saya membaca semula tulisan-tulisan saya.. saya tertampar sendiri.

"Lantangnya aku berkata-kata"

"Isk..cakap macam tak serupa bikin saja ni..tak takut ka ancaman Allah..surah As-Saff ayat 2-3?"

Ada beberapa tulisan saya yang menyentuh soal perlunya konsistensi pada dakwah itu hadir dalam diri para duat. Terutamanya bagi yang mahu merebut gelaran da'ie. Atau lebih tegas lagi, bagi yang sudah berbaiah di hadapan murabbinya, akan mengguna segala upaya yang ada untuk meneruskan usaha dakwah. Saya sering mengulang bicara, jangan sekadar menjadi guru yang hanya mengajar tulis baca dan kira. Tetapi terlebih penting, menyuluhkan mereka laluan lurus yang perlu mereka tempuh terutamanya saat sudah menanggalkan uniform rasmi seorang pelajar sekolah.

Tulisan-tulisan saya sendiri sebenarnya adalah salah satu motivasi untuk saya terus merebut gelaran da'ie itu. Saya mengingatkan orang lain dalam masa yang sama, saya menembak diri sendiri. Walau adakalanya saya seakan kelihatan syok sendiri, saya positifkan minda. Lihat pada natijahnya. Dalam masa yang sama sentiasa kawal hati, jangan biar terlari walau 1 darjah dari garis keikhlasan yang menjadi rahsia kita dengan Sang Pencipta.

Kalau di renung sejenak, terlalu banyak sebenarnya janji janji Allah yang akan menjadikan kita terus bersemangat untuk memberi sesuatu kepada orang lain. Sesuatu yang mampu membenih amal soleh untuk kita.

"Barang siapa membuat (menganjurkan dan mengamalkan) kebaikan dalam Islam maka ia akan mendapat pahala serta tambahan pahala dari orang yang mengikuti (ajarannya itu) tanpa sedikitpun mengurangi ganjaran orang itu. Dan barang siapa membuat (menganjurkan dan mengamalkan) keburukan, maka ia akan mendapat dosa serta tambahan dosa dari orang yang mengikuti (ajaran itu) tanpa sedikitpun mengurangi dosa orang itu." (HR. Muslim)

Sebelum mencoret di sini, saya berkesempatan membaca tulisan terbaru Ustaz Zaharudin.

http://www.zaharuddin.net/senarai-lengkap-artikel/3/995-dilema-saya-dan-mengapa-ustaz-tak-jawab-.html

Saya bermonolog..Ustaz juga manusia biasa sama seperti saya. Juga akan diadili dihadapan Sang Penguasa sama seperti saya. Ustaz secara zahirnya sudah mampu membuktikan, masanya diisi dengan sesuatu yang ada peluang untuk dituntut sebagai ibadah. Saya bagaimana? Adakah mahu terus beralasan..

"Ustaz bolehlah..dia kan Ustaz...Ilmu banyak"

Kata-kata pesimis yang tidak sewajarnya berlegar di ruang minda. Bukankah sepatutnya, ilmu yang sedikit ini perlu di banyakan. Kalau orang yang dah ada ilmu sibuk memberi, kita yang masih kurang ilmu ini kenapa tidak sibuk untuk menerima ilmu? Walhal setiap detik yang kita titi dalam jambatan waktu ini, semuanya akan di hisab oleh Allah Rabbul Jalil. Tanpa satu pun yang terlepas.

Mari kita bersama, ambil ruang dan masa. Suluh kelam hati kita, gagahkan langkah longlai kita. Manfaatkan setiap saat yang kita ada. Kerja melebihi masa yang ada. Kenal diri, cari kelebihan yang dimiliki. Pergunakan dengan semaksimanya. Terus memberi...



No comments:

Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...