Monday, May 14, 2012

Catatan Ulang Tahun

Salam Palestine

Kerinduan sebenarnya mahu mencatat di sini. Apakan daya, sekali lagi laptop pinjaman masuk "ICU". Suami juga sudah beberapa kali bertanya, bila mahu keluar entry baru. Rupanya dia pembaca senyap bicara sufi. Terharu juga tulisan-tulisan di beri respon positif. Apatah lagi saat dia menyedari ada beberapa tulisan memang dikhususkan untuknya.

Kelmarin ulang tahun saya yang ke 29 tahun. Terasa jauh benar angka ini. Ramai yang menghantar ucapan, berkongsi gembira kerana tahun ini saya menyambutnya dengan status puan. Namun jujurnya, sambutan tahun inilah paling biasa-biasa. Saya hanya bersua suami setengah hari sahaja. Itupun saya hanya menjadi peneman suami yang khusyuk dengan buku dan laptopnya. Kebetulan, dia sedang berperang dengan persiapan akhir untuk peperiksaan semesternya. Pertemuan kami diakhiri dengan makan tengah hari bersama. Bukan pun di tempat istimewa. Sebuah warung kecil hampir 40km jauh dari bandar Tawau.

Usai mengucup tangannya, saya melambai sayu. Kembali memandu kereta kecil saya pulang ke rumah. Meninggalkannya di laman ilmunya. Saya memandu perlahan, mahu santai-santai di kereta. Sambil otak saya ligat memikir. Terutama usia saya yang semakin merangkak jauh. Tidak mampu saya nafikan, keadaan sudah tidak seperti dahulu. 29 tahun yang lalu. Saat ketaatan saya hanya pada seorang ibu. Kalau dahulu, saat saya keluar awal pagi dan balik adakalanya mentari sudah berlalu, tidak perlu saya menjelaskan panjang lebar. Ke mana dan dari mana saya. Si ibu sudah maklum, pasti saya daripada program, mesyuarat atau usrah.

Kini semuanya perlu dimaklumkan. Pada dia insan baru dalam kehidupan. Namun, sejuta kesyukuran saya panjatkan. Langkah saya ternyata masih mudah. Perkara baru, saya punya "reminder" bergerak. Dia yang akan mengingatkan aktivti yang perlu saya hadiri. Dan dalam proses penyesuaian ini, kami sentiasa mencari solusi terbaik. Formula kami, sentiasa berbincang. Jangan sesekali masalah komunikasi pencetus masalah. Samada kecil atau besar.

Belum sampai sebulan usia rumahtangga ini. Ucapan Selamat pengantin baru masih kerap singgah di telinga. Tetapi, saya kerap membisik diri, jangan manjakan perasaan. Hanyut dalam suasana bulan madu. Saya pegang kukuh pesan seorang kakak yang sudah jauh berpengalaman dengan rencah hidup sebagai seorang isteri yang turut mahu bergelar mujahidah. Katanya berulang kali :

"Amirah, jangan honeymoon lama sangat. Nanti susah nak kembali berjuang...kesannya perit"

Peringatan yang saya tanpa segan berkongsi dengan suami. Mahu dia juga turut merasa. Saling mengingatkan andai ada yang tercuai dan terlalai. Terpesona dengan pujukan cinta dunia hingga alpa manisnya cinta syurga. Justeru, walau tanpa sambutan luar biasa dan hadiah istimewa dari suami, saya tidak berdukacita. Kerana saya memang mahu membiasakan diri, hidup biasa-biasa sahaja. Memadai saling mengerti dan memahami kasih kami sudah tersimpul utuh, cinta kami sudah mekar bersemi di taman jiwa.

Saya memahamkan hati, perkahwinan adalah perkongsian. Suka duka dan derita bahagia. Jangan lokek memberi dan berlapang dada menerima. Iya, saya masih pasangan baru berkahwin. Belum selayaknya memberi komentar panjang perihal rumahtangga dan cabarannya. Saya belum diuji dan teruji. Namun, saya sengaja mengazetkannya lagi di sini. Saya mahu membacanya kembali saat saya goyah dengan getar ujian Sang Pencipta.

Kesekian kalinya, saya akan terus menitip doa, perjalanan baru di usia baru ini akan semakin cemerlang. Saya dengan segunung harapan pada Dia yang mengatur hati-hati, kekalkan aku dalam langkah juang ini.

Thursday, May 3, 2012

Bicara Pengantin

Salam Palestine

Alhamdulillah..sejuta kesyukuran dipanjatkan. Punya ruang dan kesempatan malam ini. Membuat sedikit catatan pasca majlis bertukar status. Mengisi kotak memori kehidupan. Berakhir juga majlis yang dinanti penuh debar. Terutama saat ijab dan kabul. Degup jantung sukar disembunyi getarnya. Walau diselindung dengan senyuman, masih terpamer riak di wajah, ada resah tersembunyi di kamar hati. Dengan sekali lafaz, seperkiraanku tidak sampai seminit, akhirnya sah bergelar isteri. Subhanallah..ada perasaan yang sukar dimengerti saat pertama kali tangan sang suami dikucup. Sukar ditafsir...

Perkahwinan ini baru mahu genap seminggu esok. Apa yang mampu disimpulkan, indahnya Syariatullah. Berulang kali kami, suami isteri melafaz tahmid penuh syukur. Disatukan dalam ikatan pernikahan. Menamatkan penantian hampir 2 tahun. Isi cerita kami lebih kepada muhasabah sepanjang perkenalan. 2 tahun yang penuh ujian. Terutama hati dan perasaan. Kesetiaan dan kejujuran. Melakar perhubungan yang belum halal tanpa sebarang pencemaran dosa. Berhubung dengan beradab dan berkomunikasi penuh batas. 2 tahun tanpa sebarang panggilan suara, duduk berdua, berbicara semahunya, saat mengenang semua..kami tersenyum bahagia. Syukur lagi, Allah beri kekuatan menjaga perhubungan penuh cabaran itu.

Bukan mahu mendabik dada mencerita apa yang telah dilalui, sekadar mahu berkongsi rasa terutama buat kamu si anak muda yang sedang diuji panahan asmara. Berhati-hatilah melakar cinta. Jangan diluah segalanya. Jangan diturut kata hati. Simpan saat benar-benar halal. Baru terasa kemanisan yang tiada tandingan. Melewati alam perkahwinan tanpa banyangan dosa semalam. Sabar itu perit kerana buahnya manis. Bercinta di alam perkahwinan manisnya lebih manis dari madu. Saya sedang menikmatinya. Percayalah!

Saya mengerti penuh keinsafan, langkah kami baru bermula. Dihadapan menanti ujian dan cabaran yang lebih hebat. Tiada senjata mampu kami sediakan melainkan bergantung pada ihsanNya yang mengatur isi alam, semoga setiapa ujian kami hadapi dengan sabar dan redha serta penuh syukur pada setiap anugerah. Tips berulang dari sang suami..jaga hubungan dengan Allah dan jangan angkuh untuk meminta padaNya. Saya pegang seteguhnya, saling mengingatkan asas perhubungan kami hanya mahu meraih redhaNya. Semoga doa berterusan dari kalian, kami pasangan baru berkahwin ini mampu melayar bahtera dakwah yang haraki. Amin ya Rabb..

p/s-terima kasih tidak terhingga atas kehadiran keluarga, rakan teman ke majlis kami. Tidak dilupakan doa dari kalian yang di kejauhan. Semoga ikatan hati kita semua terpaut dalam redhaNya..Semoga juga saya masih boleh terus melakar madah di sini, walau dengan status isteri ^_^