Tuesday, May 21, 2013

Duka tidak pernah lama

Salam Palestine

Hanya punya beberapa minit menyudahkan tulisan ini. Senggang masa menanti Isyak. Sambil tangan sesekali menghayun buai sang puteri yang sudah layu matanya. Terpanggil menulis. Bersama sarat perasaan mendengar beberapa kisah dukacita yang berlaku di sekeliling. Rutin yang pastinya akan hadir dan menjengah catatan perjalanan kehidupan. Lumrahnya memang begitu. Hidup tidak sekadar datar bagai padang pasir yang tandus. 

Saya juga disebalik kegembiraan, keriangan dan kebahagian dianugerahkan cahaya mata penyeri hati, hadir bersama kesedihan, kedukaan dan kegusaran. Saya ingat lagi betapa sayu hati saya saat anak dilanda demam selesma saat hanya berusia dua minggu di samping jaundice yang berpanjangan selama sebulan. Tanpa pengalaman menjadi ibu, sangat sukar untuk saya menguntum senyum ketika itu. Itu baru ujian kesihatan yang saya kira sangat kecil berbanding orang lain yang lagi hebat ujiannya. Terbayang saya, apalah rasa hati ibu-ibu yang sedang menjaga permata hati yang sedang di uji dengan penyakit-penyakit kronik hingga membawa maut. Melihat wajah mulus si anak kecil sahaja, rasa kasih dan sayang kita kepada mereka bercambah mekar.

Ada seribu satu lagi kisah duka yang pasti sedang dilalui oleh sesiapa sahaja yang bernama manusia di alam fana ini. Ada yang sedang berduka kehilangan orang yang tersayang, harta benda yang diusahakan atau tidak mendapat keputusan peperiksaan yang dihajatkan atau apa sahaja yang akhirnya membawa murung di hati. 

Saat bebas dari rasa ini, pada hari ini, saya belajar dari kisah semalam, hanya dengan kembali mengingati hidup ini punya pengakhiran dan akan kembali menemui tuhan, kisah duka, pedih dan lara hati itu sedikit hilang. Kembali mewaraskan akal fikiran dan menenangkan rawan hati yang tidak tenang, semua ini hanya ujian. Hadapilah...bukan lari dan mendiamkan. Hadapi dengan iman. Gagahkan diri. Dekatlah dengan sang pemberi ujian. Penawar ada disitu. Kedamaian dan ketenangan juga datang dariNya. Kelam malam tanpa bintang akan sirna dengan hadirnya mentari ceria bersinar indah. Masa terus berputar dan segala yang berlaku hari ini akan menjadi kenangan. 

Mari bersama menuju tuhan.

Sunday, May 12, 2013

111 Bergelar Ummi

Salam Palestine

Tiga bulan sepi tanpa bicara. Hingga saya sendiri merasa, berakhir sudahkah bicara sufi. Sungguh, tidak pernah hilang rasa rindu bermadah di sini. Tempat berkongsi rasa dengan sesiapa yang singgah membaca. Entah..menulis memberikan satu kepuasan. Saat sepi, terasa berteman. Tika pilu, bagai ada yang memujuk. Tatkala berbahagia, terasa semua turut merasa. Itulah yang sering saya khabarkan..menulis ini terapi jiwa. Mungkin saja kesan sikap diri yang sukar berbicara lisan dari hati ke hati. Cuma sekarang ini sahaja, semenjak bergelar isteri, sudah mula pandai berkongsi cerita hati. Agaknya, kerana itulah bicara sufi sering tertinggal sepi.

Hari ini, genap 111 hari saya bergelar ibu. Bagai baru semalaman saya mendengar lafaz aku terima nikahnya dari sang suami yang tercinta. Juga masih segar di ingatan, di suatu petang Jumaat saya terasa teringin benar membuat ujian kehamilan yang membawa khabar positif. Sejak hari itu, saya mengharungi ujian yang kebiasaan terpaksa di hadapi oleh ibu-ibu mengandung. 39 minggu bertahan dan bersabar, 21 Januari 2013 saya bertarung nyawa melahirkan permata hati yang di beri nama oleh suami Qurrotul 'Ain. Saat saya minta penjelasan, mengapa memilih nama ini, ringkas suami menjawab.."semoga anak ini menjadi penyejuk hati dengan kesolehannya". Saya tersenyum membenarkan pandangan itu. Tidak banyak yang diharapkan oleh ibu dan bapa kepada anak-anak mereka. Melainkan sentiasa menghadiahkan sebuah kebahagian dan kegembiraan. Ada anak-anak yang cerdik dan pintar dalam akademik, tapi tingkah dan akhlaknya menyakitkan hati. Ada yang berjaya berjawatan dan berpangkat besar, tetapi lupa pada ibu dan bapa yang banyak bekorban untuk semua impian menjadi kenyataan.

Saat menatap wajah bening si kecil, hati tidak pernah lepas berbisik, semoga anak ini menjadi hamba Allah yang bertaqwa dan berbakti untuk Islam. Semoga dia tidak mewarisi khilaf dari kedua orang tuanya yang serba kekurangan ini. Sungguh, kasih dan sayang seorang ibu kepada anaknya itu tidak bertepi. Halus dan mendalam. Sejak bergelar ummi, terasa bertambah kasih dan cinta saya kepada ibu saya. Betapa dia gigih dan sabar membesarkan kami anak-anaknya. Saya baru seorang sudah terasa lelahnya. Inikan pula dia 9 orang. Tidak pernah sekali saya dengar dia merungut dan rasa terbeban. Semangatnya akan saya contohi.

Lama tidak menulis terasa lambatnya jemari mengukir bicara. Saya perlu bertatih semula. Sekadar ini dulu untuk langkah saya yang baru bermula kembali. Si kecil menanti pelukan sayang umminya. ;)

Friday, December 21, 2012

Bermula dengan teori

Salam Palestine

Berjaya ke sini lagi. Menulis setelah sekian lama menyepi. Tidak mahu beralasan kerana alasannya tetap sama. Membiarkan blog tanpa sebarang entry baru sesuatu yang meresahkan pemilik-pemilik blog sebenarnya. Paling mengecewakan saat diundang rasa putus asa untuk terus menulis hingga terlintas di fikiran..tutup sahaja blog ini!

Saya belum lagi ke tahap ini kerana saya masih meyakini, saya masih punya minat untuk terus menulis. Bahkan ianya satu terapi diri. Terutama saat saya sepi dan sendiri. Seperti pernah saya alami sebelum-sebelum ini. Dan dalam keadaan saya sedang dianugerah nikmat bahagia begini, ada juga sesekali saya menjenguk kembali di sini. Membaca coretan-coretan lama. Seolah-olah baru mengenal diri sendiri. Setidaknya ada yang akan saya perolehi. Belajar dari diri!

2012 semakin ke penghujungnya. Cuti tinggal beberapa waktu. Mengisi cuti dengan percutiaan cinta juga sudah saya dan teman hidup lalui. Penuh dengan kenangan dan memori indah. Terpahat kukuh dalam kanvas hidup kami berdua. Semuanya menjadi tonik menyubur cinta kami. Akan di putar kembali saat graf cinta menurun. Iya..saya pasti itu akan berlaku dan di lakukan. Mana mungkin graf hidup ini naik dan terus naik. Hidup itukan persis putaran roda. Pasti sampai masanya ia akan berpusing ke bawah. 

Semakin menghampiri tahun baru, semakin saya teruja dibuatnya. Ada satu lagi catatan baru akan saya depani. Menanti hari itu menjadi kenyataan hanya mampu saya isi dengan doa berpanjangan. Berharap penuh kesungguhan..segalannya akan dimudahkan Sang Penguasa Alam. Menjadi tabiat saya sedari dulu, tidak berani berhadapan dengan situasi baru tanpa sebarang maklumat atau punya sesuatu sebagai bekal. Berkesempatan singgah di sebuah kedai buku murah semasa percutian saya baru-baru ini, sempat saya borong beberapa buku panduan menjadi ibu untuk saya dan menjadi bapa untuk sang suami. Saya sudah menyudahkan sebuah buku yang cukup komprehensif isi kandungannya. Sangat saya sarankan di hadam untuk bakal ibubapa juga belum terlambat untuk yang sedang bergelar ibubapa. Cuma buku ini khusus untuk mereka yang bakal atau sedang mempunyai anak perempuan :)

Menutup buku berwarna ungu itu, saya menyimpul sendiri..tidak mudah menjadi seorang perempuan apatah lagi menjadi seorang muslimah solehah. Namun menyempurnakannya akan mudah dengan hadirnya dua insan soleh dalam hidup muslimah tersebut. Ayah dan suami soleh..kalian diperlukan!


Buku berjudul Mendidik Anak Perempuan selesai disudahkan. Ada beberapa lagi menanti. Mudahan semangat membaca masih membara. Seperti saat waktu sering di asak sepi dan sendiri ;)

Saturday, November 10, 2012

Hati yang hidup

Salam Palestine

Cuti panjang yang dinanti membuka tirai. Sebelum-sebelum ini tidak ghairah meraih cuti percuma sebegini. Mungkin kondisi diri yang menuntut banyak istirehat menjadikan cuti sesuatu yang bererti. Jarang juga singgah melayari bicara sufi. Bukan kekangan masa, cuma kekangan untuk sering akses alam maya. Masih berdoa rezeki turun dari langit untuk memiliki sendiri laptop peribadi. Ramai juga seakan tidak percaya tuan punya blog tidak punya kelengakapan asas. Apakan daya, itulah realitinya. ;)

Sedar tidak sedar, berakhir sudah sesi persekolahan untuk 2012. Buku kehidupan di sekolah ditutup dengan keluhan. Tiada garis senyuman terukir. Apa tidaknya, hanya berjaya melangsai amanah kerjaya semata. Namun tewas pada diri dan pengurusan masa yang bercelaru hingga tahun 2012 berakhir tanpa satupun usrah pelajar dijalankan. Rekod paling teruk dicatatkan untuk 6 tahun perkhidmatan. Benarlah, kita akan diuji dengan apa yang kita sering takutkan. Sebelum melangkah ke alam perkahwinan, saya sering membebel sahabat-sahabat yang sangat liat untuk berkongsi ilmu dalam bulatan organisasi yang teratur ; usrah. Habis saya ungkit semua teori perjuangan yang pernah sama dihadam. 

Saya marah pada diri! Saya juga terjebak sama. Lebih memilukan, alasan kegagalan saya pasti akan disabitkan dengan alam baru saya yakni perkahwinan. Walhal sang suami yang mengisi alam ini langsung tidak pernah menyekat keterlibatan saya dalam arena dakwah bersama anak didik. Bahkan sokongan dan dokongannya sentiasa padu. Saya hanya harus mengaku...saya terlalu memanjakan diri!

Pengalaman ini menyedarkan saya, adakalanya kita terlalu kerap beralasan dan mencipta alasan untuk menutupi kesilapan sendiri hingga kita terleka dan terlupa pada tuntutan dakwah yang tidak pernah selesai. Di usia yang sudah jauh dewasa, rasanya bukan masa yang sesuai untuk terus mengulangi kesalahan yang sama. Kesilapan itu sememanganya sering disebut guru pengalaman. Namun itu andai dijadikan ikhtibar dan pedoman. Jika tidak, kita hanya membiarkan diri jatuh ke lubang yang sama berulang dan berulang kali.

Lantas, langkah pertama untuk sentiasa berada pada aras akal sedar, jangan sesekali membiarkan diri hanya hidup untuk diri dan keluarga semata. Pastikan diri terikat dan disimpul dalam rantaian ukhuwwah berjemaah. Barulah langkah tidak tersasar dari landasan sebenar. Sentiasa ada sahabat yang mengingatkan. Ada sahabat yang menyedarkan. Bukan hanyut dengan keputusan yang hanya ditimbang oleh akal sendiri. Dengan bimbingan nafsu dan emosi diri.

Sedari dulu saya memikir dengan kritis, mengapa aktivis sering pasif terutama diawal alam perkahwinan atau kerjaya. Tidak dinafikan, ruang penyesuaian diri itu perlu, saya sendiri mengakui. Namun jangan sampai kita buang semua kegiatan berjemaah kita. Paling kurang, jaga usrah. Jangan sampai tidak hadir usrah dengan rasa selamba dan tidak punya kekesalan. Kalau ini pun kita tegar melakukannya, tidak mustahil, kita akan terus hilang dari radar jemaah. Dan bila ini berlaku, tidak mustahil juga, tindakan-tindakan di luar akal akan kita ambil. Sayangnya ilmu perjuangan kita selama ini...

Saya tidak mengata siapa-siapa pun untuk tulisan ini. Saya menulis dengan niat. Mahu menyindir diri sendiri. Andai ada yang terasa, itu juga niat saya. Hati yang hidup adalah hati yang sering terasa kesilapan itu dilakukannya. Kalau tidakpun, punya rasa bimbang melakukannya. Berdoalah sentiasa dianugerahkan hati yang hidup.


Thursday, October 4, 2012

Biar tinggal kenangan

Salam Palestine

Malam yang agak lapang. Duduk dan menghabiskan masa di hadapan laptop. Puas menjelajah alam maya muka buku, saya singgah di sini. Menulis sedikit catatan isi hati yang kerap mengganggu akal fikir saya dua tiga hari ini.

Tugas saya selaku guru yang berhadapan dengan remaja 16-17 tahun membuat saya sering berfikir, betapa masa dan keadaan mampu merubah suasana dan persekitaran. Umum menyedari cabaran semasa hari ini sangat merungsingkan orang-orang dewasa yang matang fikirannya. Terutamanya ibubapa dalam membesarkan anak remaja yang lebih kerap terdedah dengan unsur-unsur negatif berbanding membina aura-aura positif dalam diri.

Mahu cari salah dan puncanya sudah berjela kertas kerja mendapatkan solusi ditulis dan dibentangkan oleh golongan cerdik pandai. Puas sudah para da'ie dan agamawan mengerah minda biar kreatif pendekatan dakwah dan tidak terus dipersalahkan dengan kejumudan dan dakwah bersifat syok sendiri. Hasilnya belum memberangsangkan bahkan makin menggusarkan.

Hingga saya terfikir, disebalik semua ini sebenarnya adalah ujian. Ujian untuk semua. Dari komuniti sekecil keluarga asas hinggalah sebuah negara. Ujian kesan gagalnya Islam dimartabatkan selayaknya. Islam sekadar agama tanpa penghayatan. Islam sekadar ilmu tanpa pengamalan. Islam tidak sebati dalam kehidupan. Diasing-asing dan dicerai-ceraikan tanpa keinsafan.

Kesilapan yang sering diulang-ulang. Kesilapan yang diwarisi oleh anak dari ibu dan bapanya. Kesilapan yang diwarisi pelajar dari gurunya. Kesilapan yang diwarisi rakyat dari pemerintahnya. Kening saya masih bercantum. Dahi saya masih berkerut. Masalah ini akan berlanjutan. Bahkan lebih hebat dugaanya terutama untuk anak-anak saya seterusnya. Tidak banyak yang boleh saya lakukan. Resolusi diri, saya berusaha tidak terus mewariskan kesilapan yang telah saya lakukan. Saya tidak dapat merubah semuanya, namun saya harus berusaha kuat merubahnya untuk diri dan keluarga terutama anak-anak saya nanti.

Kesilapan itu satu kenangan. Sejauh mana kita berusaha memadamnya dari kotak ingatan, lipatan sejarah hitam itu pasti akan terselak sesekali. Tidak kira dari saya, dia, kamu dan mereka. Hakikatnya kita pasti pernah melakukan kesilapan itu. Jika memadamnya dari kehidupan adalah sukar, berusaha lah memadamnya dari catatan dosa. Sesal dan taubat antara jalannya. Semoga dengan ini kita tidak menjadi pewaris kesilapan untuk mereka yang bakal menjadi amanah kita. Saya sedang berusaha!

Tuesday, September 18, 2012

Terima Kasih Cinta



Pagi ini suria seperti biasa
Sinarnya redup di celah jendela
Embun juga belum pergi semua
Setelah meneman bougenvilla merah

Semua seperti sediakala
Tidak berubah persis semalam yang bersisa
Cuma saja rasa jiwa
Kembang mekar lebih meriah

Bagai taman di kebun bunga
Penuh seri dan warna
Hanya indah..indah dan indah

Sudah berpurnama diusik rasa
Meniti hari bersama dia
Yang setia membelai sukma
Membenih rindu saat terpisah
Menyemai sayang tika bersua

Dia yang tidak jemu
Menuntun langah tika terjatuh
Menggenggam jemari terus beriring
Jangan tersisih di kalut dugaan
Jangan lemas d arus ujian
Mengucup lembut ubun di kepala
Sambil membisik halus ke telinga
Kalimah dan pesanan berharga
Bekal mendepani dunia penuh pancaroba
Dan terus mendamba nikmatnya jannah

Itulah dia..
Teman jiwa dan raga
Semoga kekal selamanya
Di sini dan di sana
Kerana dia terlalu istimewa

Dia itu kamu...
Suami yang memberi bahagia
Terima kasih cinta!


* Puisi terilham saat mata berat menjaga anak didik berperang dengan kertas percubaan 2 Bahasa Melayu pag tadi
* Di gazet di sini..tatapan berulang saya dan dia..semoga kasih kami terus bersemi dengan matlamat meraih redhaNya.
* Mari bercinta kerana Allah.. ^_^

Wednesday, July 11, 2012

Zahir syukur

Salam Palestine

Saya menulis lagi. Setelah agak lama menyepi. Ada juga beberapa teman yang mengikuti secara senyap dan setia bicara sufi bertanya khabar, sampai bila bicara sufi mahu terus sepi. Suami yang saban hari saya tatap wajahnya pun bertanya sedemikian rupa. Saya hanya membalas dengan jelingan manja. Saya sudah di depan mata, apa perlu lagi komunikasi bicara hati sebegini.

Hakikatnya saya juga tersangat rindu untuk menulis. Walau sedar tulisan ini sekadar menjadi koleksi simpanan peribadi semata. Diiring harapan, yang singgah membacanya perolehi sesuatu berupa natijah positif. Kehidupan baru menyukarkan sedikit untuk saya terus cergas di alam maya. Saya diserang perubahan hormon. Merubah rutin harian saya. Minat saya menghadap laptop jatuh menjunam. Baru-baru ini sahaja saya kembali normal seperti sediakala. Saya tersenyum juga, betapa kita sangat kerdil. Tiada upaya menentukan diri kita seperti yang kita hajatkan. Esok belum pasti seperti yang kita bayangkan malam ini.

Pengalaman diri ini saya muhasabah sedalamnya. Sungguh, sudah sebahagian 2012 kita lewati. Betapa saya terasa nikmat Allah hadir mencurah-curah. Satu persatu diselak peristiwa-peristiwa manis untuk saya pahat dalam memori kehidupan. Samada untuk saya peribadi, keluarga yang saya sayangi bahkan kerjaya yang menjadi sebahagian tuntutan kehidupan saya. Semua punya cerita manis dan indah.

Hingga adakalanya, saya termenung sendirian. Meraup wajah penuh kesesalan. Apa balasan saya pada kasih sayang Allah yang tidak bertepi ini. Sejauh mana saya mampu menzahirkan sebuah kesyukuran tanda terima kasih yang tidak terhingga. Saya sedar. Bukan sekadar di sini, tetapi jauh di sudut hati saya. Saya perlu terus kekal seperti dahulu. Sewaktu saya masih muda remaja. Saat saya bertemu sejalur hidayah. Hingga saya gigih berusaha. Merubah diri yang diselebungi awan kejahilan hingga berseri disinar cahaya iman. Saya masih harus seperti dahulu. Saat saya masih bujangan. Bebas ke sana dan ke sini atas urusan dakwah dan perjuangan. Walau sekadar hadir usrah dan mesyuarat yang tidak pun memerlukan saya berpanas di bawah terik mentari atau basah lencun disirami hujan.

Saya mengerti. Tidak mudah untuk masih seperti sebegini. Apatah lagi dalam kondisi saya yang sudah tidak muda remaja. Tidak punya kudrat lincah bertenaga. Saya juga bukan lagi bujangan yang bebas tanpa rantaian amanah dan tangguungjawab yang lebih besar. Namun, saya tidak punya banyak pilihan. Saya sudah melafaz baiah pada mereka sang murabbi juga pada diri. Saya harus terus berada bersama perjuangan ini. Walau apa jua keadaannya. Berpegang pada janji ini dan bertaut pada rahmatNya, saya akan terus menghantar doa pada Sang Pencipta, mudahan saya masih terus terpilih. Dan keadaan diri saya yang semakin tidak gagah dan idea saya yang sudah tidak semakin mencurah diterima penuh lapang hati oleh teman seperjuangan. Saya mohon juga, andai langkah saya terhenti tolong pimpin saya. Jangan sampai saya diam, senyap dan terus hilang. Saya tidak mahu nama saya dipadam dan terpadam dari senarai pejuang-pejuang agama ini. Saya risau penuh khuatir!

Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...