Monday, August 31, 2009
Sunday, August 30, 2009
Hilang dan pergi...

Hari ini mengisi cuti yang terakhir. Memang terlalu "malas" bila memikirkan esok perlu ke sekolah. Bertambah beban di minda bila mengingati kerja-kerja yang menanti disempurnakan. Untuk tidak terus mematikan "mood" baki cuti ini, harus mengarah minda supaya berhenti memikirkan hari esok. Sebaliknya menghayati dan menghargai sepenuhnya hari ini. :-)
Seharusnya begitu..hargai hidup yang sedang dilalui. Optimumkan sepenuhnya penggunaan masa untuk sesuatu yang berkualiti. Corak kehidupan hari ini adalah kenangan untuk esok hari. Mahu sentiasa punya memori yang manis untuk dikenang di esok hari, pastikan yang terbaik untuk hari ini. Antara tips menjadikan hidup lebih manis dan bermakna, ikat diri dengan jalan perjuangan dengan erat dan utuh. Jom..terus berjuang!
Friday, August 28, 2009
Terima Kasih Mak..

Semakin pulih..itu rasa hati tika ini. Fizikal pun bermula hari ini, sudah kurang sakitnya. Sakit yang "dideritai" seawal usia 9 tahun. Puas sudah menelan pelbagai pil, menyapu pelbagai ubat. Tidak juga hilang untuk selama-lamanya. Kekadang muncul dan memberi peringatan pada diri yang kekadang terlupa apa itu "sakit". Inilah hikmahnya "sakit misteri" ini. Peringatan buat diri!
Esok ada satu program akan berlangsung. Sejenak di Kg Pasir Putih. Kampungku sendiri. Tugas sebagai ajk perhubungan dan promosi diamanahkan pada ku kali ini. Buat pertama kali program, aku terasa bergerak "sendiri". Tidak terasa amal jama'ie nya kali ini. Agaknya kerana tugasan kali ini memang tidak memerlukan keterlibatan sahabat-sahabat yang lain. Syukur sangat kerana mak yang tersayang sangat banyak membantu. Aku langsung tidak membuka mulut mempromosikan program ini. Memang aku jenis berat mulut. Apatah lagi dengan orang-orang kampung. Walhal hampir saban senja membawa anak buah , Nabilah, berusia 1 tahun 10 bulan itu keliling sekitar rumah. Kalau bertembung mana-mana makcik atau pakcik yang mengusik Nabilah, aku hanya menguntum senyum. Tidak ringan mulut untuk menyapa mesra. Macam manalah nak jadi da'ie berjaya ni. Huhu..
Emak lah selama seminggu ini setiap petang menjenguk ziarah memaklumkan jiran-jiran yang layak mendapat sumbangan untuk hadir program ini. Mak langsung tidak kisah yang program ini adalah program PAS. Sebuah parti politik ISLAM yang masih asing di kalangan penduduk kampung seperti kampungku ini. Kalau program parti cap Keris yang dah"tumpul" atau parti lambang dacing yang memang "berat sebelah", tidak menghairankan mereka. Apatah lagi di kampungku turut menetap seorang YB yang rumahnya besar dan kereta-keretanya juga besar. Mereka memang cukup sinonim dengan parti kerajaan 1Malaysia ini.
Parti Islam Semalaysia belum lagi jelas di mata dan telinga mereka. Masih samar-samar. Harapnya usaha mak mengumpulkan 20 orang jiran-jiranku esok akan membantu mencelikan mereka apa itu Parti Islam Semalaysia. Yang lambangnya sangat mudah. Bulan bulat penuh berwarna putih dilatari warna hijau yang mengamankan.
Keterbukaan emak memahami perjuangan yang kudokongi ini satu anugerah yang cukup besar nikmatnya bagi diri. Mudah benar hati mak menerima perjuangan ini. Tidak perlu kusyarahkan panjang lebar. Cukup sekadar membawa contoh di depan matanya. Contoh jalan kampung yang tidak pernah dalam sejarah sejak ku diaminya, elok tanpa lubang walau hanya seminggu cuma. Apa tidaknya diturap cantik hanya menjelang pilihanraya. Itupun turap macam mahu tidak mahu saja. Kekadang, untuk menambah bukti, aku sengaja membawa mak lalu pusing-pusing sekitar di rumah YB. Meminta mak membanding sendiri jalan di sekitar rumah YB dengan jalan di sekitar rumah kami, atau jalan-jalan di tempat lain di kampung ini. Tidak payah membuka mulut, mak sendiri akan berkata. "Bilalah orang mahu sedar ini..masih lagi mahu undi BeEnd."
Alangkah indahnya kalau semudah ini juga mak bisa memahami bahawa adat-adat yang diwarisinya tu tidak semuanya boleh diguna pakai. Benarlah kata pepatah "biar mati anak jangan mati adat". Keadaan ini, sekali lagi membuka minda hati, dakwah bukan sekadar membawa manusia untuk bantu membina sebuah daulah islamiah di bumi Malaysia dengan satu undi semasa pilihanraya. Tidak memadai. Dakwah harus mampu mengeluarkan manusia-manusia dari segenap aspek jahiliah dan membawa kepada taqwa sepenuhnya. Membawa manusia hanya berada dalam manhaj Lailahaillallah.
Merealisasikannya tidak semudah mengatakannya. Namun, buat masa ini, hingga ke hari ini, aku masih tidak dapat menafikan Parti Islam Semalaysia, sebuah harakah islamiah berkonsepkan dakwah-siasah platform terbaik untuk aku melaksanakan kewajipan menyeru yang hak dan menentang yang bathil. Semoga aku terus terpilih..terus ada rezeki..hingga biarlah aku mati bersama jalan perjuangan..doaku buat kesekian kalinya..aku mohon Ya Rabb..
Wednesday, August 26, 2009
Format Minda & Jiwa
Memang pantas benar masa berlalu. Meninggal pergi kisah semalam, menyelam apa yang berlaku kini dan memburu sesuatu yang tidak pasti esok. Cuti persekolahan penggal kedua, cuma berbaki 3 hari. Ramadhan pula sudah masuk hari keenam. Semuanya bagai sekelip mata. Terus berlalu namun kehidupan masih jua tetap dan kaku begini.
Sepanjang cuti sekolah ini, langsung tidak mahu memikirkan hal-hal persekolahan. Sememangnya mahu melupakan tugas-tugas itu. Namapun cuti. Kalau cuti pun nak fikir hal sekolah, baik tak payah cuti kan. Biarlah kerja-kerja sekolah itu diselesaikan di sekolah juga. Barulah kena dengan tempat dan masanya.[helah bela diri orang yang agak malas]
Sejak Ramadhan membuka lembarannya, masa lebih banyak dihabiskan bersendiri di bilik. Samada bilik "tumpangan" di Taman Daya Maju [rumah kakak] ataupun bilik "tumpangan" di Kg. Pasir Putih [rumah mak]. Kalau berteman pun berteman dengan laptop pinjaman ini. Kalau bercerita pun, bercerita dengan sahabat-sahabat yang sudi menyapa di YM. Pokoknya butir suara jarang kedengaran. Tidak pasti samada keadaan ini sesuatu yang positif atau tidak. Pasti ada pro-kontranya.
"Awak kan memang selalu tak normal., tak macam orang lain" Pandangan seorang sahabat yang aku kira sangat mengenali diri ini.
Semasa dia membuat tafsiran diri itu, mulanya tidak mengambil kisah sangat. Tetapi apabila memikirkannya semula, tidak senang duduk juga dibuatnya. Biar betul tak normal..tak normal tu macam dah dekat-dekat dengan "@#%$"...Na'uzubillah..
Tetapi ada ketikanya, kerap sendiri begini terasa bahagia dan tenang. Ada ketikanya, sunyi dan sepi. Kalau diikutkan sangat rasa-rasa hati, mainan-mainan jiwa ni, memang tak ke mana lah jawabnya. Dalam memuhasabah diri, bersyukur sangat..sangat-sangat-sangat [jangan tiru ayat ini..salah dari hukum tatabahasanya]..di lahirkan ke dunia sebagai muslim. Mudah-mudahan mampu menjadi mukmin-muttaqin. Sentiasa ada tujuan dan matlamat hidup. Tidaklah membiar masa berlalu begitu sahaja. Dalam mood "jiwa tidak menentu" ini, bersukur sekali lagi, hadirnya Ramadhan Kareem. Tidaklah bertambah celaru jiwa. Bahkan bisa dilentur dan diasuh, lebih tenang dan tetap pada agama dan ketaatan pada Dia Sang Pencipta.
Kesimpulan entry ntahapapa ni, sentiasalah rasa bertuhan. Rasa ada yang mengawasi. Macam mana sekalipun mood jiwa kita, tidak lah sampai tega melakukan sesuatu diluar batas seorang muslim. Paling baik, cepat-cepat keluar dari mood jiwa kacau..jangan di layan sangat bah..
[tetapi pengalaman diri..tidak mudah nak lepas lari..apatah lagi kalau sentiasa dihantui bayangan kenangan silam yang kini tinggal memori..bestnya kalau dapat format tanpa buat backup semula minda dan jiwa ni..lepas format semuanya data-data lama hilang..mudahlah nak mulakan sesuatu yang baru..angan-angan..huhu]
Taman Daya Maju @ 2.00p.m
Tuesday, August 25, 2009
Sufi-Haraki-Ilmi
Naluri jiwa ini sebenarnya kurang gemar dengan "kisah-kisah politik" .Tetapi terpaksa dibelai dan dipujuk agar jangan terus membutakan minda dan jiwa dengan ceritera politik ini. Seperti yang banyak terjadi kepada golongan-golongan anak muda kini. Terutamanya yang bergelar wanita. Bukan apa perlu terus celik politik ini, ada banyak sebabnya. Antaranya yang sering disyarahkan dalam usrah dan juga tamrin-tamrin semasa di kampus dulu, politik ini adalah sebahagian daripada agama. Tidak dinafikan, ramai yang mengotorkan politik. Hingga politik sinonim dengan kezaliman, penindasan, rasuah dan apa jua istilah yang menjijikan pemikiran. Atas sebab itulah, seharusnya kita memilih parti politik Islam. Dapatlah kita menjaga diri dari turut mencemarkan kesucian diri dengan "najis-najis" kekotoran politik. Bukankah dengan Islam kita pasti selamat?
Semalam juga selesai mengkhatam sebuah buku yang dipinjam dari seorang teman. Buku berjudul Jatuhnya Sebuah Tamadun dan Khalifah Islam. Buku yang menceritakan dengan ringkas namun komprehensif kronologi pembinaan sebuah tamadun Islam yang dipelopori oleh Nabi Muhammad s.a.w ini hingga berakhirnya pada zaman kahlifah Uthmaniah. Kesimpulan yang aku buat daripada pembacaan ku, semaju mana pun satu-satu tamadun itu dari aspek perkembangan ilmunya, penjajahan kuasanya, kemantapan ekonominya, tapi jika ditadbir dengan politik yang jauh dan lari dari apa yang telah digariskan oleh syariat Islam, tamadun itu tidak akan bertahan. Politik itu diwarnai oleh sistem ataupun dasarnya dan juga pemain-pemainnya [pemimpin-pemimpin]. Dua unsur ini harus diikat ketat dan dirantai dengan kuat bersama syariat Islam. Barulah tidak goyah dan mudah dicerai beraikan oleh anasir-anasir kuffar dan taghut yang sejak azali diciptakan untuk menjatuhkan Islam.
Menyedari hakikat dan realiti ini, mahu tidak mahu, dalam usaha menanam kesufian di dalam diri agar mudah dan dekat dengan Allah Rabbul Jalil, harus juga punya minda dan jiwa yang haraki. Sedar kewajipan dan tuntutan diri sebagai individu yang punya peranan dan tanggungjawab membantu mendaulatkan Islam di bumi ini. Biarlah usaha itu tidak seberapa kesannya. Seperti beburung dalam kisah Nabi Ibrahim dan api. Kita tidak dinilai pada kejayaan ataupun hasil akhirnya, tetapi kita dinilai pada usaha yang kita lakukan dalam membantu agama suci ini. Dalam masa yang sama, perlu terus meneroka khazanah ilmu yang sangat luas ini. Jangan membunuh diri dengan kejahilan dan kebodohan. Barat maju kerana mereka sedar pentingnya ilmu. Hingga mengaut rakus khazanah ilmu milik umat Islam. Akhirnya umat Islam tingal apa? Tinggal sejarah dan kenangan sahaja...
Rindu Terhenti
TELAH KU TINGGALKAN
MEMORI SILAMKU ITU
TIDAK KU BIARKAN
HIDUPKU DIBELIT PILU
WALAU DUKA MENAMPAR DADA
WALAU SEPI MENCALAR HATI
RINDUKU TERHENTI
KU PINGGIRKAN SAYU
YANG MERUNDUNG KALBUKU
KASIH DULU KU BIAR BERLALU
KU PINGGIRKAN LARA
YANG BERPAUT DI JIWA
KU TERUSKAN HIDUP TANPA DIA
PADAM NYALA PATAH TUMBUH,
HILANG KAN BERGANTI
CINTA TIBA CINTA PERGI,
YANG AZALI KU NANTI
KU LUPAKAN MU JUA DISINI
RINDUKU TERHENTI
SEJAK KAU PERGI MENJAUHI
RINDUKU TERHENTI
[ketika mendengar lagu ini..terasa sesuatu yang mendalam di sudut jiwa..mencari dan menafsir apa kaitannya dengan diri..sesuatu akan berlaku 2 Syawal 1423 H..semoga rindu ini benar-benar terhenti..selamanya pun aku rela..]
Monday, August 24, 2009
Sahabat Bloggers

Sejak 3 hari Ramadhan membuka tirainya, jadual cuba di atur agar berhadapan dengan laptop dan mengakses internet hanya apabila urusan-urusan "Ramadhan" selesai disempurnakan. Kebiasaannya waktu yang agak panjang untuk berlama-lamaan dengan bicara_sufi seusai tarawih dan moreh bersama keluarga tersayang.
Sejak kewujudan bicara_sufi beberapa bulan ini, ada beberapa bloggers yang dahulunya merupakan adik-adik junior dan anak murid sendiri singgah kunjung di sini. Alhamdulillah keberadaan mereka di menara gading turut membuka minda mereka untuk tidak "buta" dunia tanpa sempadan ini. Blog-blog mereka juga sangat bagus. Punya "trademark" tersendiri. Lebih menyenangkan hati, daripada blog mereka jelas terpamer fikrah yang mereka dukungi kini. Kalau semasa di bumi peladang, tidak terzahir sejauh mana kefahaman mereka terhadap tuntutan perjuangan. Apatah lagi mereka bukan daripada generasi PERPPIS yang memang tidak dapat di sangkal sumbangan dan perngorbanan mereka pada perjuangan.
Situasi positif begini, diharapkan dapat berterusan sehingga mereka selesai melaksanakan amanah di menara gading sana. Paling penting merealisasikan aspirasi perjuangan yang mereka manifestasikan dalam blog masing-,asing dalam benetuk pengamalian bersama wadah perjuangan di kawasan Tawau atau di mana-mana tem;at mereka berada kelak.
Dalam perancangan di minda, insyaAllah akan diusulkan kepada individu-individu berwajib untuk menyegerakan kelahiran komniti "sahabat bloggers" kawasan Tawau. Walau ramai juga yang memandang dunia ICT ini belum terlalu berkembang dan diguna pakai dibumi Tawau ini. Tidak mengapalah, kami para bloggers dan pengguna internet mahu juga memastikan wujudnya komuniti bloggers di alam maya ini. Biar satu dunia tahu, kami mahu turut serta mewarnai wadah penyebaran dakwah dan fikrah menerusi dunia maya ini.
Justeru, saya menyeru kepada semua bloggers supaya terus aktif berkarya. Terus aktif menyampai sesuatu. Jangan biarkan blog kita seperti rumah usang tidak berpenghuni. Blog Anda Tanggungjawab Anda!!
Pelangi Indah
P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...
-
Salam Ramadhan.. Hari ini mengisi cuti yang terakhir. Memang terlalu "malas" bila memikirkan esok perlu ke sekolah. Bertambah beba...
-
Sedang asyik mengemas laptopnya, seseorang menyapanya. “Tak balik lagi Cikgu?” Zati kalih mendongakan kepalanya. “Tak balik lagi. Saya ada u...
-
Catatan pertama setelah bertahun-tahun. Mujur kata laluan masih belum hilang dari ingatan. Memang berhajat mahu menulis hari ini. Anak soleh...