Saturday, July 4, 2009

Luahan senja

Sabtu yang menyenangkan! Hari ini tidak perlu hadir ke sekolah. Punya ruang untuk memanjakan mata. Hobi lama yang terpaksa di buang jauh-jauh dek kesibukan tugas rasmi mahupun urusan perjuangan. Tidak mengapa terpaksa membuang hobi ini kerana urusan akhirat yang lebih utama. Dunia ini nimatnya kan sekadar sementara cuma. Carilah nikmat yang lebih kekal dan jauh lebih lazat. Akhiratkan semua urusan dunia.

Semalam sempat bermesyuarat bersama adik-adik JPP/M [ Jabatan Pembangunan Pelajar/Mahasiswa]. Membincangkan dan mengemaskini hala tuju serta perancangan aktiviti gerakan pelajar di bumi peladang ini. Walaupun jabatan ini di bawah dewan pemuda, aku "menebalkan" muka mengambil posisi di dalam organisasinya. lagipun telah mendapat restu dan persetujuan ketua pemuda yang lama. Rasanya ketua pemuda yang baru juga tidak ada halangan dengan kehadiran bbrapa orang muslimat dalam organisasi ini.

Membicarakan tentang gerakan pelajar, bumi Tawau memang bertuah. Generasi pelapis perjuangan kebanyakan dilahirkan oleh PERPPIS[Persatuan Pelajar Islam], di bawah asuhan Penasihat Amnya, Cikgu Mohd. Nasir Ali. Disnilah kami diajar mengenal perjuangan. Arif membezakan adat jahiliah dan amalan taqwa. Sedar dan tahu peranan serta tanggungjawab bergelar khalifah di alam buana ini. Tidak sekadar menghabiskan usia remaja yang bermakna ini dengan buku-buku akademik, berseronok bersama rakan dan teman sebaya ataupun meluangkan masa bersama keluarga tercinta. Tidak sekadar itu! Tetapi memaknakan hidup dan kehidupan dengan menimba pengalaman berorganisasi, menjadi da'ie agar mampu dicontohi oleh rakan sebaya yang lain dan daalm masa yang sama cemerlang akademik serta sahsiah diri.

Seharusnya gerakan pelajar perlu terus hidup dan subur. Bahkan semakin progresif dan proaktif. Apatah lagi dalam dunia semasa kini, graf peningkatan krisis moral remaja muslim tidak pernah menunjukan penurunan. Bahkan meningkat saban tahun. Kes-kes yang timbulkan pula, bukan alang-alang. Bagai tidak terfikir akal rasional kita seteruk itu akhlak remaja hari ini. Bekerjaya sebagai guru, lebih mendedahkan diri ini dengan dunia remaja. Melihat tingkah remaja-remaja yang bermasalah ini, sememangnya cukup memedihkan jiwa. Bertambah pilu, apabila ibu bapanya tidak memainkan peranan sewajarnya. Bahkan kekadang menjadi punca si anak terus liar dan memberontak.

Selepas mesyuarat unit disiplin Khamis lepas, aku jadi banyak termenung dibuatnya. Apa tidaknya, kes-kes disiplin yang kami bincangkan semuanya dahsyat dan kebanyakannya melibatkan remaja muslim. Ada satu kes, ibu-bapa pelajar tersebut hanya mampu berkata

"Kami pun sudah tidak mampu mengawal anak kami, cikgu. Biarkan lah dia. Yang penting dia boleh ambil PMR."

Bayangkan, ibu-bapa yang sepatutnya pelindung, pendidik dan pembimbing si anak, juga sudah surrender. Tentu saja si anak akan menjadi liar dan lebih bebas. Setakat mana sajalah kuasa yang guru ada untuk mengawal "anak" orang lain. Mahu dirotan jika keterlaluan, terpaksa berfikir 1000 kali. Tak pasal-pasal, disaman nanti. Itulah dilema guru zaman kini. Sudahnya, nasihat lah. Mujur kalau hendak didengar. Paling tidak kena jeling dan dijawab :

"Bapa saya pun tak pernah nasihat dan tegur saya, cikgu pula pandai-pandai ya."

Faktor-faktor beginilah antara penyebab krisis moral semakin meruncing. Anak muda sudah hilang rasa hormat pada insan yang sepatutnya dihormati. Sudah lupa jati dirinya melayu-muslim yang kaya dengan akhlak mahmudah.

Cabaran semakin kuat, dugaan semakin bertambah. Insan-insan yang sedar diri dan akur punya tanggungjawab mendepani cabaran dan dugaan ini, perkemaskan langkah, perkayakan strategi. Mereka lancarkan perang, dayusnya diri kita andai lari meninggalkan gelanggang. Dakwah satu kewajipan, bukan pilihan!!!!

0 comments: