Salam Ramadhan
Sedikit lewat hari ini ke sekolah. Padah menyambung tidur seusai subuh. Berat benar mata. Agaknya kesan tidur kurang berkualiti semalam. Meninggalkan rumah tepat 6.05 minit pagi. Biasanya 5.55 a.m sudah bergerak perlahan ST7909K meninggalkan parkir. Cuaca kurang "sihat" hari ini. Jerebu agak teruk. Saat menulis ini pun, pagi masih berselubung jerebu.
Salah satu ujian dan peringatan Allah s.w.t kepada hamba-hambaNya di alam fana ini. Peringatan yang hanya akan dimengerti oleh hati-hati yang celik. Peringatan-peringatan ini datang silih berganti. Muncul dalam pelbagai keadaan dan situasi. Malangnya manusia acapkali lalai dan tersilap membuat tafsiran pada peringatan-peringatan ini.
Apabila seisi dunia diuji dengan ujian H1N1, semua orang sibuk mula menjaga kesihatan. Mengurangkan kegiatan bersosial. Pokok pangkalnya mengambil apa jua tindakan yang yang dianggap sebagai langkah pencegahan. Namun, berapa ramai yang mengkaji, memikir dan menilik kenapa dan mengapa "bala" ini datang? Ketakutan kita pada virus H1N1 ini melebihi ketakutan kita menghadapi kematian yang pastinya PASTI. Apa langkah pencegahan kita ambil agar kita menghadapi hari yang PASTI tiba itu dalam keadaan baik dan cemerlang?
Tiada siapa tahu bila waktu ajal menjemput. Walau sebenarnya sudah dihantar isyarat untk mengingatkan. Namun, sekali lagi, manusia kerap buta melihat "signal" Allah s.w.t. Syukur juga jerebu ini hadir menyambut pagi yang kurang bersinar. Menyentak diri supaya jangan terus asyik dibuai nikmat kesenangan dunia yang sementara cuma.
Jom semua..tawaran keampunan Allah dibulan penuh keberkatan ini belum berakhir..ayuh ramai-ramai kita melatih diri sentiasa memohon keampunan dan menjadi insan yang suka bertaubat.
No comments:
Post a Comment