Thursday, November 19, 2009

Salam terakhir..

[Entry ini mungkin tidak memberikan sebarang input pun kepada pembaca..andai rasa tidak punya banyak masa..tidak payahlah meneruskan pembacaan..tiada sesuatu yang istimewa..sekadar luahan rasa tuan blog semata-mata]

Hari ini malam terakhir aku bersama laptop pinjaman ini. Tahun hadapan, kalau masih punya rezeki dan keizinan baru aku bertemunya semula. Dengan ketiadaan laptop ini, maka terputuslah seketika dunia nyataku dengan dunia maya ini. Tiada lagi coretan sepi, bicara bisu mahupun luah rasa untuk tatapan pengunjung bicara sufi.

Aku juga akan semakin sepi dari perkembanga semasa terutama berkisar isu politik negara ataupun jatuh naik keadaan ekonomi negara. Tidak lagi mampu aku melayan ajakkan minda nakalku yang mahu aku mengetahui perkembangan dunia hiburan tempatan. Lebih mendukacitakan, tidak lagi aku berteman mykuliah.net. Teman rohaniku saban maghrib. Walau sebulan cuma, semuanya ini pasti aku rindui.

Sememangnya informasi dan perkembangan terkini nasional dan antarabangsa, mudah ku dapati menerusi kaca televisyen, tetapi sesungguhnya aku jenis manusia yang cukup malas melihat TV. Terutamanya siaran perdana iaitu berita. Tidak kisah dari "channel" mana sekalipun. Bukan apa, sudah muak disajikan dengan berita-berita yang boleh dipertikaikan kesahihannya. Yang rasanya boleh dipercayai berita sukan dan laporan dunia sahaja. Ada juga ketikanya aku setia menghadap TV, selalunya melihat drama-drama melayu yang aku tapis skrip dan pelakonnya. Cerita mat saleh memang aku tolak tepi. Bagi aku banyak buruk dari baik melihatnya. Biarlah aku dikatakan kuno sekalipun. Manusia bebas memberi persepsi. Kita juga punya hak menilai persepsi tersebut. Jadi diri kita. Garis panduan hidup adalah syariat, bukan manusia!

Adakalanya terbayang, apalah pengisian cuti ini. Cuti bukan sehari-dua, mahu-mahu sebulan-dua juga lamanya. Ruang berkarya sudah tiada. Harap-harap masa yang bersisa akan dipenuhi dengan segala yang bernilai ibadah.

Sesuai sebenarnya masa yang ada ini dujadikan ruang uzlah seketika dari segala yang sudah terbiasa. Mencari ruang mengkoreksi diri biar sedar diri hanyalah hamba yang sangat dhaif lagi hina.

Selamat tinggal dan selamat bercuti dunia maya...

Monday, November 16, 2009

Kasih tak sempurna

November bagai bulan yang berat rasanya. Sarat dengan pelbagai isu. Samada berbentuk peribadi ataupun urusan perjuangan. Hingga kurang aku mengarang dan menulis disini. Meregangkan sedikit saraf otak yang kekadang bagai beku, masa di alam maya banyak dihabiskan melayan FB. Meneroka kenangan dan khabar sahabat-sahabat lama dan baru, jauh dan dekat.


Berhibur dengan cara sebegini, hanya menahan daripada memikir masalah buat seketika cuma. Seusai menutup laptop, pasti minda terjah dengan persoalan-persoalan kehidupan yang belum selesai dan diselesaikan. Diasak dengan segala kesulitan ini, membuktikan diri jauh benar dari karektor muslim-mukmin sejati. Masih belum mampu mengawal minda dan emosi. Tidak tenang menghadapi tekanan. Tidak sabar menghadapi ancaman. Tewas pada ujian.


Dalam usaha memujuk diri dan hati, sujud syukur padaNya. Memilihku lahir ke dunia pentas ujan ini sebagai muslim. Punya tuhan pencipta alam dan segala isinya.yang Maha Pengasih lagi Penyayang. Disaat manusia tidak mampu mendamai sekeping hati, memberi ketenangan pada satu jiwa, aku masih punya Allah yang Esa. Tidak membiar dan meninggalkan hambaNya begitu sahaja.


Pantas benar, hieraki cinta seorang muslim Allah berada di atas, diikuti oleh Rasul junjungan tercinta. Seingkar mana seorang hamba pada Dia Sang Pencipta, tetap dibalas dengan segunung keampunan. Rasul pula, di saat sedang berperang dengan maut, masih menyebut ummati, ummati, ummati. Adakah manusia semulia ini? Seorang ibu pun belum tentu mampu kasihkan anaknya sekasih Rasulullah s.a.w kepada umatnya. Hingga berkorban segala-galanya hanya untuk memastikan sinar Islam menerangi seluruh buana.


"andai bulan diletakan di tangan kananku
dan matahari ditangan kiriku,

demi Allah tidak akan kuhentikan dakwah
ini"


Justeru, buat teman pembaca coretan ini, andai kala ini, kita diuji dengan sifat manusia, jangan gundah dan resah. Itu sudah aturan alam. Adakala kita disakiti, adakala kita menyakiti. Bukti kasih manusia tidak sejati. Maka apabila mengasihi juga jangan sepenuh hati. Hingga mengatasi kasih pada yang selayaknya, kalau tidak kita juga akan makan hati hingga membawa diri...


Hidup pentas ujian..bersedialah untuk diuji!!!

Apakah manusia mengira bahwa mereka akan dibiarkan mengatakan, `Kami telah beriman,’ sedangkan mereka tidak diuji lagi?” ( Al-Ankabuut: 2)

Thursday, November 12, 2009

Dunia semakin tua

Kes 1

"Semalam ada budak perempuan bergaduh kan di dalam kelas..bertumbuk sampai berdarah-darah, habis koyak baju dengan tudung."

Kes 2

"Cikgu bukan 2 kes jak bertumbuk kelmarin. Ada satu lagi. Perempuan sama perempuan. Fuyyo bergasak. Menyambung lagi dorang di bandar lepas itu."

Dua kes pergaduhan yang aku dengar dibicarakan hangat. Berlaku dalam jarak terdekat. Melibatkan PELAJARKU. [pelajar kelas Tasawwur Islamku]. Sedikit kaget aku mendengar laporan-laporan ini.

"Kamu ada di kelas, masa bergaduh kelmarin?" Tanyaku kepada sahabat 'pelakon utama drama aksi di dalam kelas'.

"Ada.." Jawabnya teragak-agak.

Aku menghulurkan kerusi plastik berwarna merah meminta dia duduk dekat dengan ku. Suasana yang sunyi daripada guru-guru, memberi peluang aku menyiasat lanjut kes semalam. Siasatan bukan atas dasar aku guru disiplin atau siasatan untuk merekod kesalahan itu dan di masukan ke dalam SSDM. Siasatan atas dasar insani. Naluriku mendesak ingin tahu apa punca dan sebabnya. Lebih-lebih lagi pelajar yang bergaduh ini antara pelajar yang aku kira karektornya "unik". Unik yang aku definisikan punya naluri baik dan sifat kepimpinan yang tinggi. Tetapi menzahirkan dirinya dengan karektor pelajar "gedik". Hingga kerap benar aku dengar namanya menjadi sebutan di kalangan guru-guru. Tidak puas hati dengan sikap yang ditunjukan semasa di dalam kelas.

"Apa puncanya tu?" Tanyaku ringkas.

"Hmm...dendam mungkin. Lama bah sudah tu cikgu, kakak tu yang datang serang ke kelas kami." Jawabnya bersemangat

"Kenapa kamu tidak halang?" Tanyaku lanjut.

"Kami pun tidak berani." Jawabnya.

"Sarimah [bukan nama sebenar] tu tinggal dengan siapa? " Aku menyelidik pelajarku yang terlibat dengan pergaduhan.

"Bapanya kerja di kem. Mamanya tiada sudah. Meninggal tahun lepas. Dia saja di rumah dengan adik-adiknya 4 orang." Ceritanya lanjut dengan air mata bergenang. Syahdu menceritakan kisah hidup sahabatnya.

Benar jangkaanku. Pelajarku ini [Sarimah] punya "sesuatu" dengan kisah hidupnya. Bayangkan anak gadis seusia 16 tahun harus memainkan peranan sebagai ibu, bapa dan kakak kepada adik-adiknya. Bapa yang hanya balik sekali sekala pasti punya kekangan menjalankan tanggungjawab sebagai bapa sebaiknya.

Satu lagi daripada beribu sampel keluarga yang tidak "sempurna". Namun tidak punya pilihan melainkan meneruskan kehidupan seperti biasa.Namun apapun jua kondisi hidupnya, atau hidup kita, bukan tiket untuk kita memilih jalan salah, jalan gelap atau jalan hitam. Ibarat kita telah terjatuh ke dalam lubang, adakah kita mahu terus membiarkan diri di dalam lubang itu, atau membiarkan kita jatuh sekali lagi? Sebaliknya perlu memikir jalan keluar atau kaedah supaya tidak jatuh kali kedua.

Jalan keluar dari segala kegelapan atau kejahilan hanya satu..ISLAM. Bukan sekadar bergelar muslim pada nama. Tidak sama sekali! Melainkan masuk ke dalam Islam itu secara menyeluruh. Tanpa membuat pilihan dengan mengambil yang digemari dan membuang yang tidak di sukai. Islam adalah sebuah cara hidup yang lengkap dengan tatacara dan kaedah menjalani kehidupan (syariat). Agar kehidupan itu sebuah persinggahan yang baik sementara kembali ke alam yang kekal abadi.

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan.
[Al-Baqarah :208]

Kembali kepada Islam bukan hanya saranan kepada pelajar tetapi juga kepada para guru. Malang juga, apabila guru gagal menjalankan tugas sebagai pendidik. Sekadar pengajar akademik. Mengejar silibus dan berhempas pulas memprojekkan pelajar agar mampu meraih A sebanyak mungkin. Bersalahkah guru dalam konteks ini? Tidak adil langsung menyalahkan guru. Guru melakukannya kerana itulah sistem yang telah diacukan kepada seluruh rakyat jelata. Hatta mengajar subjek pendidikan Islam atau Tasawwur Islam [fokus pelajar sekolah harian biasa..bukan sekolah agama], tidak berkeupayaan ustaz dan ustazah menyerapkan content subjek berkenaan kepada pelajar agar diterjemahkan dalam bentuk peribadi dan sakhsiah. Kenapa masih ada pelajar tidak tahu solat, mengucap dua kalimah syahadah atau apa-apa perkara fardhu ain yang lain? Walhal seawal sekolah rendah lagi, pelajar di Malaysia wajib menduduki PAFA [Penilaian Asas Fardhu Ain]. Antara sebabnya, ilmu ini tidak dihayati sebagai satu kewajiban untuk bergelar muslim sejati.
Sekadar dipelajari agar mampu lulus dan memperolehi sijil.

Allahu Akbar..semakin di fikir masalah ummah ini..semakin gerun di buatnya. Ini baru kes-kes pelajar. "Orang luar". Bagaimana keadaan adik-adik kita, anak-anak saudara kita, dan suatu hari nanti anak-anak kita? Dunia semakin tua..dunia semakin tua..kita bagaimana??????

Tuesday, November 10, 2009

Monolog malam

Mentari terus memancar
Menyuluh pergi subuh yang dingin
Membahang garang hari yang terang

Puas sudah sinarnya menerangi alam
Senja datang membawa sayu
Mentari pula izin berlalu
Suram dan kelam teman malam
Dihias bintang bersama bulan

Aturan yang tidak terlawan
Walau dikerah segenap upaya
tidak sesekali bisa merubah
Siang dan malam tetap serupa

Kaburnya meniti hari
Punyakah amal bekal diri
Sembahan buat Rabbul Izzati
Menebus janji syurga Firdausi
Hanya mengharap simpati
Menagih kasih yang hakiki
Semoga mampu kumiliki.

Hari berlalu tanpa mampu kita tahan walau sesaat. Meninggal pergi kita bersama kisah semalam. Menoleh coretan peristiwa kelmarin, tidak yakin telah melakukan yang terbaik di sisiNya. Apakah nasib esok yang tidak pasti? Dunia semakin tua, diri tetap rasa mahu muda...Ya Allah ampuni atas keterlanjuran kami..yang kami zahirkan atau sembunyikan..Engkaulah sebaik-baik pengampun..



Saturday, November 7, 2009

Berdirinya Seorang Perindu

Di waktu ini
aku ditinggal dan tertinggal sendiri
meniti hari melakar mimpi
membina sebuah makna diri


Di waktu ini
aku tidak lagi berteman dia dan mereka
aku berseorangan meniti senja
melewati masa di batas usia


Di waktu ini
adakalanya aku tewas pada sepi
mengundang rindu seribu memor
i
yang takkan bisa kuulangi lagi


Di waktu ini
aku bertatih memujuk kalbu
jangan lemas dilautan sendu
usah dibaja segunung rindu



Di waktu ini
aku mulakan langkah pertama
mengejar sejalur sinar cahaya
buat teman menyuluh hidayah
biar sepi dan sunyi itu punah
biar rindu dan sendu itu musnah
hingga aku terus tersenyum ceria
beroleh raja segala cinta
yang tidak akan sesekali sirna
mengharum mewangi di taman jiwa
hingga tidak ada lagi selain bahagia


[puisi ini ku lakar tatkala "kebosanan" menjaga MUET di SMK Umas-Umas siang tadi..intipati ini tidak menggambarkan keadaan penulis tika ini..keadaan ini pernah menimpaku beberapa bulan yang lalu..kini aku sudah biasa dengan keadaan ini dan sedang merasai nikmat dan hebatnya bila di sapa sepi, sunyi dan sendiri...terima kasih Ya Allah atas perancangan dan ketentuan ini..]

[tajuk entry juga sebenarnya tidak ada kaitan dengan puisi hati ini..]


Wednesday, November 4, 2009

Hilang seketika

Salam

Tidak menulis sehari dua ini. Tidak tahu kemana hilangnya mood untuk menulis. Buka blog sendiri pun sedikit malas. Masa tetap juga berlalu, entah apa yang diisi dengan masa. Astaghfirullah..bermain-mainnya aku dengan dunia yang sebentar cuma ini. Tanpa ku tahu kecil dan hinanya dunia ini di sisiNya..

Dua hari diberi kekuatan dan peluang olehNya untuk istiqamah mendengar kuliah melalui
http://www.kuliyah.net. Terubat rindu suasana menadah kitab yang seketika cuma di pondok pasir tumbuh. Kupasan Minhajul Abidin karangan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali yang merupakan antara buku kegemaranku oleh Ustaz Mustafa Kamal Hamzah benar-benar menyentuh jiwa.

Terasa manfaat teknologi dan berbaloi membayar RM 70 sebulan untuk langganan streamyx. Sekarang tengah mengumpul bahan untuk melancarkan kempen "1 Keluarga 1 Internet" program di bawah lujnah IT DMPKT untuk tahun 2010. Bolehlah website-website sebegini dijadikan sebagai "hujah" kewajaran berinternet dari rumah. Tiada lagi alasan muslimat tidak celik ilmu kerana segalanya kini di hujung jari.

Kesekian kalinya, bersama kita berdoa dan bermuajat agar Allah terus memilih kita dalam kebaikan. Sentiasa dalam kebaikan..dunia-akhirat.

"Wahai penulis, apa yang engkau tulis atas lembaranmu, ia ditulis di sisi Tuhanmu. Maka ketika tanganmu mencatat di bumi, jiwamu hendaklah mendongak ke langit tinggi." [Dr MAZA]


Sunday, November 1, 2009

Dua Khabar Gembira

Hari ini mentari memancar ceria. Jadual pagi ini dimulai dengan tugasan berusrah bersama adik-adik pelapis Nisa' Kawasan Tawau. Semasa menanti enjin kereta panas, 3 mesej masuk ke dalam handset yang semalaman "off" kesan ketiadaan bateri. 2 mesej pemakluman kuliah amal pagitadi dan 1 mesej khabar gembira dari sahabat Nisa' [Asma' Abu Bakar] yang telah selamat melahirkan "baby girl"nya pukul 10.30 malam semalam. Sudah lama tidak mendengar berita sahabatku ini. Semoga hidupnya bertambah ceria dengan kehadiran cahaya mata yang dinanti. Apatah lagi, berpeluang memberi sepenuh perhatian kepada babynya sepanjang cuti ini.

Usrah juga berjalan dengan baik. Gembira melihat perkembangan adik-adk usrah yang semakin matang dan menyerlah komitmennya dengan perjuangan. Sepanjang memberi pengisian, rasa banyak 'terkena' pada diri sendiri. Usrah acapkali menjadi medan memuhasabah diri. Apa yang terlontar dan dilafazkan, bagaikan ilham dari Ilahi menjawab segala persoalan jiwa dan diri. Sebab itu, setiap kali jadual berusrah dengan adik-adik, jarang aku menolak dan sedayanya dipenuhi jemputan ini. Walaupun terpaksa berusrah seawal 8.30 pagi.

Selesai berkongsi intipadi bahagian kedua Sebab-Sebab Keciciran-Faktor Individu petikan buku Golongan Yang Tercicir Di Sepanjang Jalan Dakwah karangan Ustaz Fathy Yakan, bergegas untuk mesyuarat kali ke3 DMPKT. Seronok dapat berjumpa kakanda-kakanda DMPKT. Kehadiran pun sangat memuaskan. Sedikit sebanyak menyuntik semangat yang semakin layu dan kendur. Kerja dan amanahku di "refresh" semula. Walau sekadar lujnah yang kecil, bukan alasan aku boleh "selamba" sahaja menunaikannya. Kerja-kerja semakin menimbun di depan mata. Sebentar tadi juga, pengasas blog DMPKT memberi khabar gembira kedua hari ini. Masalah blog DMPKT sudah berjaya ditangani. Kerja-kerja "memblog" sudah boleh dijalankan.

Nampaknya cuti sudah semakin terisi. Amanah semakin banyak menanti. Semoga aku terus kuat untuk berbakti. Buat bekal menghadap Rabbul Izzati.