Sunday, February 7, 2010

Berjalanlah tanpa henti

Kurang benar terisi bicara sufi akhir-akhir ini. Ingatkan sekadar Januari kesepiannya, berlanjutan juga hingga ke Februari. Ternyata kelembapan internet selama beberapa hari dan tugasan data SMM yang tidak berkesudahan menghalang dari terus aktif menulis. Selepas ini, harapnya setelah SMM tidak lagi minta perhatian, aku harus pula beralih ke SSDP [data lagi..tapi kerja data yang tak bergaji di dunia]. Kebetulan pula bidang tugas di sekolah lebih kurang dengan amanah perjuangan. Agaknya, kesan keakraban ku dengan laptop menjadikan aku dirasakan sesuai dengan amanah sebegini. Apapun, ianya sesuai dengan jiwa. Memang mahu beralih, dari "menonjol" di hadapan dengan harus petah berkata-kata, kepada lebih "pendiam" namun masih bekerja. Harapnya berjalan seperti yang diharapkan. :-)

Hujung minggu ini ternyata agak padat namun penuh dengan kepuasan. Seminggu lepas fikiran tidak tenang dan perasaan kurang senang. Asyik memikirkan tentang aktiviti ko-kurikulum yang harus dikendalikan. Menjadi ketua guru penasihat kepada Persatuan Pendidikan Islam [PERPIS] di sekolah, pastinya menjadi satu beban amanah yang tidak mudah. Risau juga, ada yang akan mempertikaikan jawatan ini. Maklumlah bukan guru agama, tetapi pegang pula persatuan Agama Islam. Tetapi memikirkan keharusan dan rasa tangungjawab menurunkan ilmu yang ada berada dalam organisasi "Islam" sepanjang berada di sekolah, amanah ini ku galas sedaya mungkin. Macam-macam bermain difikiran. Perasaan malu dengan para ustazah dan ustaz yang turut menjadi guru penasihat tidak dapat diafikan. Bagai tidak berkeyakinan dihadapan mereka. Dalam masa yang sama, memerah minda, memikirkan pendekatan yang harus dibawa agar PERPIS tidak menjadi persatuan yang membosankan dan "ditakuti" oleh pelajar. Mentaliti pelajar yang merasakan "ISLAM" tidak bebas dan tidak seronok harus dikikis. Minda mereka harus disetkan untuk sedar bahawa apa-apa yang berkaitan dengan ISLAM hanyalah kebaikan dan kebahagiaan sahaja.

Syukur Alhamdulillah, bilangan ahli PERPIS antara yang terbanyak diantara kelab dan persatuan yang ada di sekolah. Maksudnya ramailah mad'u yang menjadi amanah untuk aku kongsi segala ilmu yang ada. InsyaAllah..melihat respon mereka sepanjang aktiviti Sabtu lepas, turut membakar semangat yang kurang membara ini. Cukuplah 3 tahun disekolah itu tanpa ada perananku menjalankan tugasku sebagai "murabbi". Jangan sekadar mengajar ilmu Sains ataupun Kimia. Aku mahu mengajar mereka apa itu ISLAM dan bagaimana harusnya seorang MUSLIM. Aku mahu..sangat mahu!

Dibesarkan dalam keluarga dan persekitaran yang kurang "islamik" menjadi motivasi diri untuk keluar dari kepompong jahiliah ini. Bersyukur yang tidak terhingga pada DIA yang Maha Pengasih keraan mencampakan sejalu hidayah pada sekeping hati kecil ini. Melihat anak-anak didik yang masih dibelenggu kepompong jahiliah, menjadi semangat untuk terus bertahan dan terus memberi sesuatu. Walau hakikatnya diri tidak punya apa-apa. Adakalanya kaki tidak kuat juga untuk terus gagah melangkah, ingin bertongkat dengan sahabat yang ada, tetapi tongkat pula sudah tidak ada. Acapkali juga memarahi diri, kenapa harus bergantung pada manusia. Bukankah yang maha berkuasa itu sentiasa ada. Bahkan sangat setia dan tidak pernah meninggalkan.

Sejauh mana lagi perjalanan ini, tidak dapat dipastikan. Yang pasti, langkah baru bermula. Dan..semoga awal langkah ini dibekahi hingga ke akhirnya...amin Ya Rabb..



No comments:

Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...