Sunday, March 21, 2010

Jangan Ada Benci

Malam yang agak lapang. Malam-malam lain pun lapang juga sebenarnya, tetapi minda diberatkan dengan memikirkan tutorial di OUM. Hari ini, hari terakhir di OUM untuk semester Januari. Sesuatu yang cukup menenangkan. Tiada bebanan mental lagi. ;-)

Ada beberapa agenda lagi menanti diselesaikan. InsyaAllah..bakal diharungi sedaya upaya dan sebaiknya. Lagipun kerja-kerja perjuangan ini bersifat jama'ie. Bebannya tidak terpikul sendiri, tetapi di rasai bersama. Cuma perlu bijak menjaga komunikasi agar tidak tersilap faham hingga mungkin akan mencacatkan amal jama'ie yang cuba dibina.

Walau hakikatnya tidak mudah mahu sentiasa berada dalam keadaan harmoni. Sekali sekala pasti diserang juga penyakit terasa hati hingga membawa kepada susah hati. Bohonglah andai ada yang mengatakan hatinya tidak pernah tersentap dek usikan nakal ataupun jelingan 'manja' sahabat-sahabat seperjuangan.

Apa yang penting adalah kebijaksanaan mengurus konflik hati ini. Insan yang mengalami jangan terlalu melayan rasa hati, ubat dan rawat sesegera yang mungkin. Sahabat yang melihat, jangan memandang remeh perasaan individu yang sedang sakit. Sebaliknya muhasabah diri, mungkin kita lah pemangsa yang meragut 'ketenangan' hatinya. Tidak salah kita memulakan ucapan maaf tatkala melihat wajah sugul sahabat seperjuangan kita. Walau kita tegas yakin, kita tidak bersalah. Memohon maaf bukan bererti kalah dan tewas. Bahkan kata 'maafkan saya' yang dilafaz setulus hati sebenarnya adalah tanda kemenangan. Kemenangan kita dalam menundukan ego dan rasa besar diri.

Tips untuk terus kekal istiqamah dalam jalan juang ini, selain miliki keihklasan yang benar adalah mempunyai ukhuwwah yang mantap. Ini rukun dalam berjamaah. Ukhuwwah yang mantap akan subur apabila kita baja dengan sifat mahmudah. Rendah hati, berlapang dada, mudah memberi maaf, tiada dendam dan hasad dengki.

Muhasabah diri kita bersama. Renung dan fikirkan sikap kita dalam bersahabat. Kerap beralah atau meminta, kerap bersabar atau mencabar, kerap membahagiakan atau mendukacitakan. Hidup ini ibarat putaran roda. Kita sakiti mereka hari ini, esok jangan pelik bila kita disakiti. Astaghfirullah al'azim..moga Allah memelihara kita dan sahabat kita.


“Barangsiapa menghilangkan kesusahan seorang muslim, niscaya Allah akan menghilangkan satu kesusahannya di hari kiamat. Barang siapa menutupi aib di hari kiamat. Allah selalu menolong seorang hamba selama dia menolong saudaranya.” (H.R. Muslim)

1 comments:

Adry said...

ya betul betul... hehe

Adry @ http://www.adrysabry.com