Monday, March 22, 2010

Lara Jiwa

Niatnya tidak mahu berteman bicara sufi malam ini. Namun desakan jiwa memadamkan hasrat siang tadi. Mungkin kesan emosi dukacita masih menyelubungi jiwa dan minda. Rentetan satu musibah yang menimpa keluargaku. Satu musibah yang cukup memberi tamparan hebat. Pastinya insan yang amat merasa peritnya adalah bonda. Melihat riak wajah sugulnya yang ada kalanya cuba diceriakan di hadapan anak-anak benar-benar menyesakan dadaku.

Tatkala menerima perkhabaran perit itu, ku lihat semua ahli keluarga menitiskan airmata. Aku rasa aku dan 3 orang anak buah ku yang belum mengerti apap-apa sahaja tidak mengalirkan airmata. Bukan aku tidak punya perasaan, atau tidak tersentuh rasa, tapi, aku menggunakan rasional akalku dan mengumpul segenap kekuatan dari jiwa yang patah untuk menahan airmata itu dari terus tumpah. Aku tidak mahu terus hanyut dalam linangan airmata yang tidak mampu merubah apapun.

Kisah semalam ini, meningatkan kembali memori 23 Mac 2008. Saat kami sekeluarga kehilangan insan yang amat bermakna dan kasih yang tiada pengganti. Perginya seorang insan bergelar bapa. Keperitan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Sembilunya masih terasa hingga hari ini. Tika itu, aku juga harus "berlakon" tabah dan kuat. Walau aku punya kakak dan abang. Mereka semua bagai tidak mampu berdiri tatkala aku mengkhabarkan berita perit itu dari Hospital Besar Tawau pukul 3.30 pagi.

Adakalanya aku sudah tidak sanggup terus kuat dan tabah. Aku juga tidak mampu terus berdiri dan bertahan. Terutamanya tatkala melihat wajah bonda. Sejak perkhabaran berita perit itu, bonda sentiasa menyibukan diri melayan karenah anak-anak yang sudah dewasa dan cucu yang mahu bermanja. Namun, aku masih dapat membaca hatinya yang memendam sebuah luka. Pasti bertambah rindunya pada arwah bapa, teman berkongsi duka ceria selama ini. Arghhh..aku lemas dengan pandangan ini!

Hakikatnya, aku tidak mampu membohongi diri. Semua airmata yang ku genang dihadapan mereka, akhirnya tumpah jua. Tatkala aku hanya berteman kesuraman bilikku, segalanya ku luah rasa pada Dia Yang Maha Mendengar. Pada Dia tidak mampu ku sembunyikan dan ku bohongi apa yang sedang ku rasa dan tanggung. Aku sedar dan akur, aku terlalu lemah dan kerdil. Tetapi,adakah aku punya pilihan lain? Bukankah ini semua takdir Pencipta Alam Fana ini yang tidak mampu disangkal oleh sang hamba yang sangat lemah.

"Ya Allah..ampuni hambamu ini kerana tidak mampu menahan airmata ini dari tumpah. Bukan hamba tidak redha dengan takdirMu..Hamba mohon, berikan kekuatan dan kesabaran dalam menyelami hikmah takdir dan ketentuanMu ini..hanya padaMu sebaik-baik tempat bergantung"


0 comments: