Wednesday, July 21, 2010

Nikmati keindahannya..

Salam Palestine

Pelbagai isu melingkar rakyat hari ini. Isu lama belum berkesudahan, isu baru pula membelenggu. Isu yang tidak berkesudahan bahkan semakin menekan, isu masalah moral. Bukan sahaja melibatkan generasi remaja, terpalit juga pada golongan dewasa. Bukan sahaja pada orang awam, termasuk juga penguatkuasa agama dan undang-undang. Statistik salah laku terus naik dan tidak turun-turun. Sangat menakutkan dan cukup menyeramkan.

Isu ulangan, isu kenaikan harga barang. Bukan kali pertama, kali keseterusnya. Bezanya kini, media diminta jangan menulis barang naik diminta ganti dengan perkataan yang lebih mesra telinga. Harga baru, penyelarasan subsidi antara istilah yang dipopularkan. Macam rakyat tidak celik minda dan jiwa. Rakyat hanya tahu satu, barang semakin mahal. Walaupun yang dinaikan hanya sebahagian, tetapi semua maklum, rantaian kenaikan harga barang pasti berlaku. Apalah nasib rakyat yang susah. Semakin disusahkan sedangkan ada yang tidak susut kemewahannya. Hendak marah dan tolong bela orang-orang susah ini pun, berfikir juga. Kenaikan harga barang ini dinaikkan oleh kerajaan yang menjadi pilihan hati orang-orang susah ini sendiri.

Isu lain, isu perpaduan orang melayu. Berkesempatan juga menyaksikan 13 episod wacana bolehkan melayu bersatu menerusi Facebook. Selaku pemerhati, konklusi yang boleh dipelajari, boleh bersatu dengan tiket Islam sahaja. Kalau masih ada satu pihak yang mewakili majoriti melayu tidak mahu akur syarat utama ini, sampai bila pun tak akan bersatu. Kalau bersatu pun, tidak padu. Sebab pengikatnya bukan akidah islamiah yang sudah djamin sangat utuh. Jadi, baik sahaja pihak yang mewakili imej Islam dengan lambang hijau putihnya itu, kekal dengan pendiriannya. Jangan risau, orang yang celik mata hati akan dapat menilai fakta dan auta. Walau ada suara-suara sumbang hatta dari golongan berkopiah sekalipun, tidak perlu rasa gentar dan tercabar. Pegang sahaja kata-kata tok guru, kalau kembali kepada dasar Islam..kita bubar.

Pengajaran dari semua ini, mahu tidak mahu, bermula dari diri sendiri baliklah kepada syariat Islam yang sebenar. Dari perkara yang kecil hinggalah perkara yang besar, jangan pernah terpisah daripada garis panduan yang telah ditentukan oleh sang pencipta alam ini. Kalau akhlak dan peribadi Islam yang kita pakai, tiada isu bohsia, bohjan, sumbang mahram, rogol, rasuah dan seribu macam lagi. Kalau sistem ekonomi Islam kita amalkan, tiada lagi riba, tiada lagi penindasan, tidak lagi yang susah terus susah, yang mewah terus mewah. Kalau sistem politik Islam kita aplikasikan, urus tadbir negara pastinya sejahtera. Semuanya akan tenang dan harmoni. Mahu sistem politik Islam, pastinya terlebih dahulu menerima parti Islam. Bukan kempen bukan melobi, sekadar minta kita renung bersama. Teringat kata-kata Dr. Asri yang boleh direnungkan bersama.

"Parti politik bukan maksum. Semua akan melakukan kesilapan. Bezanya, ada yang silap dari sudut dasar, ada yang silap dari sudut teknikal"

Pastinya kita tahu dan maklum, siapa yang silap dasar dan siapa yang silap dari sudut teknikal. Keindahan Islam itu kerana kesyumulannya. Jadi jangan rosakkan Islam kita dengan menerima sebahagiannya dan menolak sebahagiannya.

Islam indah..nikmati keindahanya!



2 comments:

Yusz Felda@mahkamah-akhirat said...

a;kum.. tahniah, blog ukhti masuk ranking hits di blog saya.. www.mahkamah-akhirat.blogspot.com

bicara_sufi said...

wslm..syukran ustaz..sy penulis biasa..bukan fokus pada isu siasah semata..mudah2an..ada manfaat untuk semua :)