Monday, July 19, 2010

Ruang masih ada..

"Data SMM ni penting..sumber maklumat. So akak plan kita betulkan data ni. Kita usahakan 90% tepat. Risau juga zalim dengan pelajar. Sepatutnya layak mendapat bantuan, tercicir pula disebabkan kesilapan kita" Perbincanganku dengan rakan SMM yang sangat banyak membantu.

Walau terpaksa bekerja keras berurusan dengan hampir 300 orang pelajar, aku gagahkan jua diri.

"Siapa nama penuh bapa kamu?" tanyaku pada seorang pelajar lelaki tingkatan 4.

" Tidak tahu cikgu" Jawabnya selamba.

"Aik..mana bapa kamu?" Tanyaku kehairanan

"Tidak tahu cikgu..." Jawabnya berterus terang.

Kisah seorang lagi pelajar.

"Siapa nama penuh ibu kamu? Tanyaku ringkas

"Tidak tahu cikgu, dari kecil saya tak pernah jumpa. Nenek yang jaga saya." Jawabnya sayu

Aku hanya mampu terdiam. Bukan seorang dua kes sebegini. Ada beberapa lagi. Belum masuk kes ibu bapa yang bercerai. Terzahir benar di wajah anak-anak didikku ini sesuatu yang mengecewakan. Agaknya, cemburu melihat rakan-rakan mereka punya sebuah keluarga yang sempurna.

Aku bertambah sayu apabila terpaksa menemubual anak-anak kepada ibu tunggal yang gigih bekerja. Pendapatan sekadar RM 350 sebulan namun terpaksa membesarkan anak-anak seramai 8 orang. Hati sayu ku tidak mampu ku sembunyikan.

Kesannya, aku kerap "berceramah" sebelum memulakan sesi P&P. Itulah set induksiku. Dalam nada pelbagai suara hati ku lontarkan. Adakalanya sayu merayu agar mereka mengenang jasa si ibu tua, si bapa yang kurang berupaya, si abang yang gigih bekerja atau kakak yang tidak mengenal lelah. Aku mohon mereka mengerti dan memahami, tidak mudah membiarkan mereka terus kekal bersekolah.

Ada waktunya aku lantang bersuara. Menyentak lamunan panjang mereka. Minta mereka bangkit dan mara membela kesusahan yang sekian lama membelenggu. Kemisikinan bukan sesuatu yang wajib untuk mereka warisi. Mereka mampu keluar darinya. Paling utama keluar diri kemisikinan ilmu dan pengetahuan agama. Berulang kali aku tegaskan..jangan biar miskin dunia kita bawa hingga miskin juga di akhirat sana.

Aku berpesan juga, kepada siapa yang ditakdirkan berhadapan dengan "ibu bapa derhaka" jadikannya sebagai satu pengajaran dan sempadan. Jangan warisi kejahilan mereka. Pastikan generasi yang bakal lahirkan nanti cukup kasih, sayang dan pedoman buat menongkah arus dunia. Namun, jangan sampai disimpan dendam kesumat buat ibu dan bapa yang derhaka itu. Sejahil mana pun mereka, mereka tetap insan yang harus dihormati. Doakan kebaikan mereka, samada di dunia juga di akhirat. Semoga Allah mengampunkan dosa dan kesilapan mereka.

Suasana senyap sunyi saat aku menutur bicara. Sejuah mana mereka memahaminya, aku tidak pasti. Apapun jua aku sudah melakukan sedayaku selaku insan yang hanya layak berusaha..selebihnya aku serahkan kepada pemilik hati-hati ini..semoga DIA mengabulkan niat dan harapanku..bukakan pintu hati anak-anak didiku ini, beri ruang mereka merasai indahnya nur hidayahNya..


0 comments: