Senyuman itu palsu

Salam Palestine

Suasana ziarah menziarahi di lebaran ini masih terasa lagi. Walau Syawal sudah 9 hari bersama kita. Kemeriahan inilah yang meningalkan pelbagai memori kepada ramai orang. Hingga menjadikan Syawal sebagai bulan yang dinanti.

Kalau kanak-kanak, pastinya ziarah menziarahi menjanjikan duit raya. Walau sekadar RM1 satu rumah, tapi kalau berjaya memperolehinya daripada 10 rumah. Sudah mampu menampung duit topup bekal seminggu. Telefon bimbit hari ini bukan sekadar keperluan bagi orang dewasa, kanak-kanak jauh lebih hebat. Mungkin ada sahaja, anak-anak yang belum reti membaca tapi sudah punya telefon bimbit. Budaya ikut-ikutan yang membelenggu masyarakat.

Kepada yang dewasa, raya dan ziarah punya pelbagai makna. Biasa kelihatan, raya menjadi ruang menjernihkan ikatan ukhuwwah yang keruh. Samada antara ahli keluarga mahupun sahabat handai. Raya juga adakalanya, menjadi medan memperkenalkan pasangan kekasih kepada bakal keluarga mertua. Mood hari raya yang baik, dimanfaatkan sebaiknya.

Namun, sayangnya, perkara ziarah menziarahi ini masih dicemari oleh amalan-amalan yang tidak bertepatan dengan syariat. Contohnya budaya bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim masih menjadi amalan. Adakalanya alasan keluarga diguna pakai. Bagi yang faham hukum hakam, sudah tentu keadaan ini memberi tekanan. Menghilangkan mood ceria di hari raya. Aku sendiri saban tahun terpaksa kerap berlakon. Bila melihat sahaja tetamu mahu beransur pergi, terpaksa berlakon dan memboloskan diri. Pura-pura ada urusan di dapur, menyorok dalam bilik ataupun tandas. Kalau kanak-kanak ataupun anak-anak didik, ada juga kekuatan mahu bertegas disamping memberi pengajaran, tetapi kalau pakcik-pakcik, abang-abang sepupu..kelu lidah mahu berkata. Cabut larilah jawabnya. ^_^

Lain hal pula, dengan acara memperagakan pakaian raya. Pening lalat dibuatnya. Ada yang bertudung, tanpa faham apa konsep menutup aurat. Yang tidak bertudung, lagi dahsyatlah. Konon berkebaya dan berbaju kurung, sudah menepati piawaian pakaian sopan. Walhal masih dedah dan mendedahkan yang tidak sepatutnya terdedah. Sekali lagi mematikan mood ceria di hari raya.

Belum masuk lagi segala pembaziran yang seakan dipejamkan demi meraikan hari raya. Memaksa diri berbelanja lebih untuk perabot baru, cat rumah baru, kuih muih yang berlebihan dan bermacam keperluan lain yang tidak perlu sebenarnya. Sekadar memenuhi keinginan naluri mahu hari raya nampak hebat dan meriah.

Justeru aku adakalanya masih mencari makna Hari Raya dalam realiti yang berlaku dihadapan mata hari ini. Masih cuba memahami apa makna hari kemenangan ini. Dalam pencarian ini, terus mengharap dan berdoa, semoga hari raya mendatang, aku benar-benar bertemu dengan hari yang membawa kegembiraan hakiki bukan kegembiraan yang hanya dinukilkan melalui sebuah senyuman ceria yang tidak jujur.


Memikir dan mencari makna Hari Raya

Comments

Popular posts from this blog

Zon Selesa

Pendam

Kisah Kita