Sunday, September 18, 2011

Sinar yang menyinar

Salam Palestine

Berperang dengan mata yang minta dibelai manja dengan mimpi siang hari. Dari semalam punya hajat besar untuk melakar coretan peristiwa kelmarin. Tidak punya ruang dek modem yang kesekian kalinya mengalami masalah teknikal. Lelah mengurusnya!

Alhamdulillah, berjaya juga Program I'm Proud to Be Muslimah dilaksanakan. Walau dengan beberapa masalah teknikal, semuanya menjadi rencah pengalaman terutama kepada barisan pelaksana program dan generasi muda bakal penerus kepimpinan Nisa' Tawau. Beberapa catatan yang mahu saya gazetkan di sini. Kenangan peribadi yang akan saya selongkar kembali terutama saat iman menipis dan terasa payah melangkah di jalan dakwah ini.

Cabaran mendepani golongan remaja semakin menguja akal. Segala saraf minda perlu di rancakkan. Pastinya perlu berfikir lebih ke hadapan daripada mereka. Beza benar dengan saat saya menjadi remaja. Kebelakangan ini saya semakin perasan, sambutan remaja kepada program bernuansa keIslaman semakin hambar. Kiasannya program semalam, sasaran peserta hanya mampu di penuhi 1/3 sahaja. Tidak menyalahkan bahagian promosi dan publisiti kerana saya sendiri menyaksikan mereka bekerja. Bahkan saya sendiri yang menjadi agen promosi. Lebih mendukacitakan, sekolah saya hanya berjaya menghantar seorang peserta. Kekadang jadi buntu juga di buatnya. Kita berusaha sehabis tenaga memerah minda, merangka program yang mesra remaja dan dengan matlamat utama menjadikan mereka remaja mulia. Menjadi duta penyelamat agar mereka tidak terus hanyut dengan pukulan arus globalisasi modenisasi yang tidak berpandu syariat. Namun sambutannya suam-suam kuku.

Mengeluh begini pastinya bukan solusi terbaik. Sekadar mahu mendedahkan realiti. Kerja perlu lebih keras, usaha perlu lebih gigih. Di pilih dan masih terus terpilih dalam sebuah organisasi jemaah yang kerangkanya adalah tarbiyyah, dakwah dan siasah menjadikan cabaran peribadi kepada saya. Jika ada segolongan di kalangan sahabat saya yang berhempas pulas menyusun strategi dan merealisasi modus operandi agar masyarakat cakna siasah syar'iyyah dengan nekad berubah memilih kepimpinan Islam untuk menjadi pemerintah, saya sentiasa memotivasikan diri untuk terus bertahan memainkan peranan dalam usaha dakwah ini. Terutama kepada golongan remaja yang menjadi aset negara. Justeru saya sering menempelak, rakan taulan atau kenalan yang hanya melabel jemaah yang saya dokongi ini sekadar sebuah parti politik. Mengapa di nafikan usaha kecil yang ada di jalankan ini.

Ruang berprogram kelmarin juga menjadi suatu penanda aras kepada saya, selaku individu yang di beri amanah mengemudi bahtera Nisa' Tawau penggal ini. Melihat komitmen sahabiah yang menjayakan program semalam, saya masih mampu mengukir kuntuman senyuman. Saya masih punya rakan seangkatan yang mendokong aspirasi dakwah ini. Cuma saja saya perlu menggunakan segala hikmah dan kebijaksanaan menyelaras organisasi. Ini yang sangat saya gusarkan. Pengalaman memimpin senipis kertas. Seingat saya jawatan paling tinggi pernah saya di amanahkan dalam organisasi hanya ketika menjadi Timbalan Pengerusi HEPI Perppis sebuah badan dakwah pelajar di bumi peladang dalam tahun 1999-2000. Itupun saya tidak terasa memimpin kerana Pengerusinya sudah cukup baik. Empat tahun di alam kampus juga saya tidak pernah berada dalam saff kepimpinan jemaah kampus. Sekadar menjadi ahli jawatankuasa lujnah memenuhi korum organisasi. Namun dengan dokongan dan bantuan jawatankuasa yang telah di lantik, saya mendamaikan perasaan sendiri, organisasi ini bukan milik saya peribadi, ianya milik kami bersama. Akur dengan kelemahan kepimpinan, maka sewajarnya saya berlapang hati ditegur dan dikritik. Saya pasti, saya tidak akan dibiarkan kekal dalam kesilapan membuat keputusan kerana sahabiah yang mendokong saya adalah mereka yang sudah hadam adab dan tuntutan berjemaah.

Saya akan berusaha, menjadikan organisasi ini suatu platform yang selesa untuk disinggahi oleh sesiapa sahaja yang mahu memberi nilai tambah kepada amal fardi dengan turut memakai label da'ie. Andai coretan ini dibaca oleh sahabat yang terasa menjauh, adik-adik kampus yang sudah kembali ke bumi peladang atau seseorang yang kini sudah sedar perlunya terlibat dan melibatkan diri dengan organisasi dakwah, Nisa' Tawau dengan sepenuh hati menerima intima' kalian. Semarakan medan ini. Ketahuilah, nikmatnya sangat indah tatkala masa terisi penuh dengan segala tugas menjayakan program-program dakwah. Lelahnya pasti terasa namun tidak terlawan dengan manisnya perjuangan.

Semoga semua entiti jemaah akan terus maju ke hadapan merealisasikan visi dan misi perjuangan yang akan menzahirkan kesyumulan organisasi. Label tarbiyyah, dakwah dan siasah akan terus tertonjol dengan kesepaduan gerak kerja bersama. Siiru 'ala barakatillah.


0 comments: