Monday, October 3, 2011

Berusaha lebih biasa

Salam Palestine

Biasanya bukan saat yang baik menulis waktu begini. Persekitaran yang kurang kondusif. Di kanan suara anak-anak buah bertikam lidah sambil berlari keliling. Riuh seisi rumah bagai sebuah "nursery". Di kiri suara sang ibu menjerit memanggil nama anak-anak satu persatu minta senyap dan duduk diam. Cuba memekakan telinga. Hanya punya ruang ini untuk menulis cacatan hujung minggu yang sarat.

Badan masih terasa lenguh. Keluar seawal pagi dan hanya kembali saat orang di rumah sudah siap beradu. Mujur bonda tidak banyak bersuara. Sudah lelah agaknya mahu menyoal siasat kegiatan anaknya yang kerap hilang dari radarnya. Sebelum menyulam mimpi, memutar kembali aktiviti seharian yang padat. Terasa kerdilnya diri. Baru sibuk sehari dua begini sudah teruji kesihatan fizikal dan penat menanggung beban minda. Memproses segala input yang di perolehi. Mudahan mampu membenih output yang baik dan bermanfaat buat semua. Perjuangan dan diri terutamanya. Bukankah segala perbuatan yang dilakukan betul pada syariatnya dan lillahi taala adalah satu ibadah.

Segalanya ini masih jauh dari bandingan para tetamu yang hadir menziarahi kami minggu ini. 4 orang ikon perjuangan muslimat berkelapangan berkongsi pengalaman dengan generasi perjuangan di bumi peladang. Awal mukaddimahnya sahaja membuat aku terpana. Sudah hampir satu Malaysia mereka jelajah. Sudah dua minggu meninggalkan anak dan suami di rumah. Aku baru dua hari di minta mengerah tenaga. Cuba melangsai amanah yang minta dibereskan sebaiknya. Usia ku jauh lebih muda dari mereka. Mereka berstatus ibu dan aku berstatus anak. Tetapi kudratnya mereka lebih ke depan. Malu alah dibuatnya.

Merenung jauh, risau yang teramat. Prestasi jauh tertinggal berbanding sahabat yang lain. Semakin merasa rendah diri yang tinggi. Gelanggang ini bukan ruangku. Namun harus juga di paksakan diri. Keluarkan lah segala kemahiran yang bersisa. Walau pasti langkahnya tempang dan lompang. Bermotivasikan saranan Ketua DMPP, siapa kita mahu mengundur diri saat perjuangan ini menjadi satu kewajipan. Aku terus mengasak nurani, memujuk sanubari, bersabarlah untuk seketika ini. Menarilah di pentas perjuangan mengikut rentak yang dimainkan. Walau iramanya tidak mesra telinga. Telan dulu keperitannya. Sabarlah..sabar teman terindah.


0 comments: