Wednesday, November 30, 2011

Tiga Janji

Siling itu ku renung tajam. Membiar bebola mata mengikut putaran kipas yang akur berkhidmat menghilangkan haba panas bilik kecil berwarna hijau terang ini. Pandangan ku kosong sebenarnya. Sudah hampir 11 jam aku terperap seorang diri di sini. Hanya berteman laptop Toshiba 14 inci yang semakin kurang memberangsangkan prestasinya. Aku sudah tidak mampu menghadam e-book ilmiah memenuhi kotak memoriku. Aku sudah tidak punya minat melihat jutaan video menarik terhidang di Youtube. Bahkan aku sudah lelah menjelajah mukabuku. Melihat perkembangan rakan-rakan yang pelbagai warna. Ada yang sedang gembira bahagia, ada yang sedang berduka lara. Ada juga yang seperti aku. Kebosanan!

Spontan aku bangkit, bertepuk tangan kuat dan menghembuskan nafas dalam. Tabiatku sedari dulu. Terutama untuk mengubah mood bosan menjadi lebih ceria.

Terpamer riak kehairanan di wajah adik bongsuku saat melihat aku yang serabut terpacul tegak di hadapannya.

"Bosankah?" Dia mendongakan kepalanya dan bertanya sepatah.

Aku hanya mengangguk lemah.

"Pergilah pantai..tapi pegi sendirilah..banyak lagi ni mau baca." Dia memberikan cadangan. Sambil memegang buku rujukan Kimia yang tebal. Dia sedang berhempas pulas dengan peperangan SPM. Aku hanya menjadi teman setia. Tinggal kami berdua di rumah ketika ini. Ibu dan kakakku pergi bercuti sambil menyelesaikan tugasan luar abang iparku.

"Hmm...ok jugakah tinggal sendiri?" Aku agak keberatan membiarkannya seorang. Aku mahu menunjukan sokongan dan dokongan padu pada perjuangan SPMnya.

"Okey..jangan balik lewatlah..takut kalau dah gelap" Dengan sengihan dia memberikan isyarat tangan menyuruh aku pergi.

Seminit bersiap. Aku sudah sedia di kereta. Pantas memecut ke destinasi. Hanya 10 minit perjalanan. Aku tiba berkeseorangan di pantai yang mendamaikan. Kelihatan ramai pengunjung datang bersama keluarga. Musim cuti sekolah. Masa terluang dimanfaatkan sebaiknya. Budaya positif yang aku senangi.Tanpa rasa janggal, aku mencari posisi sesuai untuk duduk bersantai. Hanya membawa sebotol air mineral dan memasang MP3 yang aku usung ke mana-mana. Aku duduk memerhati alunan ombak dan menikmati angin petang yang membelai. Tiada kata yang mampu kuungkap menggambarkan betapa damainya di sini.

Sambil menguis pasir di hadapanku dengan sebatang ranting kayu yang kecil, aku berlagu mengikut rentak muzik yang sedang beralun di telingaku. Lagu dendangan kumpulan Nice berjudul Metafora itu tiba-tiba mematikan suaraku. Aku seolah kelu untuk menutur irama. Dadaku tiba-tiba berdegup kencang. Memori 5 tahun lalu itu berputar lagi. Belum mampu aku memadamnya kemas.

"Ina..minggu ni minggu terakhir kita kan?" Huda bertanyaku saat kami minum petang menanti azan maghrib berkemundang seruan kami segera ke surau kolej.

"Hmm..iya. Cepatnya 4 tahun kan. Macam baru je kita tahun 1. Dengan beg besar mendaftar masuk kolej ni." Aku menjawab pertanyaan Huda sambil megimbas kembali detik pertemuan kami.

"Esok last paper kita kan..lepas je exam, kita enjoy puas-puas" Semangat Huda merancang sisa masa kami bersama.

Aku hanya mengangguk dengan senyuman. Permulaan yang dirancangan Huda esok akan menghampirkan kami pada sebuah pengakhiran. Akhirnya sebuah kehidupan bersama dalam ikatan persahabatan.

"Dah jom siap. Azan dah tu." Aku menarik lengan Huda lembut. Kami perlu segera ke surau.

"Bestkan tazkirah tadi. Ringkas je. Tapi padat isinya. Sesuai betul untuk orang seperti kita ni. Menanti masa untuk turun ke tengah masyarakat. Dakwah kita tidaklah bersifat teori semata-mata. Tapi sudah perlu dipraktikan dalam dunia realiti. Bukan dunia idealis seperti alam kampus ni" Huda mengulas intipati kuliah maghrib yang mengisi senggang masa kami tadi.

"Yup..tenoklah siapa yang sampaikan. Tuan Pengerusi kita kan. Dia mesti dah hadam teori-teori dakwah ni dan sedar perlunya pada pengaplikasian. Bukan sekadar khazanah simpanan di dada semata." Aku mengiyakan pendapatnya sambil memuji Haikal, Pengerusi Biro Kerohanian Kolej kami.

"Waa..memuji melangit nampak. ehem..ehem" Huda mengusap belakangku lembut sambil menghadiahkan senyuman nakalnya.

"Ya Allah..ke lain pula lah tu fikirnya. Aduh..baru cakap pasal dakwah tadikan..ni dah nak mematikan semangat yang berkobar ni..Astaghfirullah..istighfar cepat" Sambil menggelangkan kepala, aku berjalan lebih pantas. Meninggalkan Huda yang pasti terkesan dengan pernyataanku yang membunuh usikannya.

"Ina..ina..eh..tunggulah" Kedengaran suara Huda mula merapatiku. Aku meneruskan langkah dengan senyuman. Wanita dan gosip memang akrab. Aku juga sering terperangkap!

Seperti perancangan awal, hari-hari terakhir kami manfaatkan sebaiknya. Pusing menjelajah kota besar Kuala Lumpur. Mengambil peluang berbelanja buat ole-ole keluarga di kampung halaman. Huda juga sama.Dia juga akan kembali ke tanah kelahirannya. Terengganu Darul Iman, negeri kelahiran ulama' yang aku kagumi ketokohannya, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

"Huda..jom kita buat janji." Aku memecahkan atmosfera syahdu yang membelenggu kami tika itu.

"Janji?" Huda kehairanan.

Aku menghulurkannya sekeping kad kecil. Bercorak pantai senja berwarna jingga.

"Hmm..tulis 3 janji yang akan kita simpul kemas dalam diri..walau selepas ini kita berpisah jasad, namun hati kita tetap erat. Janji ini adalah tali penguatnya."

Huda merenungku. Pandangannya sayu. Bebola matanya kelihatan berkaca. Aku tidak mammpu terus membalas renungannya. Tidak mahu turut hanyut dalam rasa sayu yang sudah bertamu dari semalam.

"Apa janji yang kita nak tulis ni?" Huda akhirnya bersuara. Datar nadanya.

"Okey..1.Istiqamah di jalan perjuangan selamanya. 2. Bina baitul dakwah yang haraki..hmm..satu lagi apa ya..ada idea?"

"Ukhuwwah ini terus mekar kerana Allah" Pantas Huda memberikan jawapan.

Aku hanya mengangguk dengan senyuman. Bersetuju dengan pandangan bernasnya.

Aku mengambil kad Huda. Menukarkannya dengan kadku. Huda kehairanan.

"Tulisan kita jadi kenangan." Ringkas peneranganku. Dia tersenyum. Namun masih berwajah syahdu.

Huda mengeluarkan beg duitnya. Menyisip kad kecil itu di belakang gambar dia bersama umi dan abahnya. Huda sememangnya seorang yang sentimental. Lembut jiwanya. Selembut tingkahnya. Seorang sahabat yang sangat setia. Empat tahun di alam kampus, dia lah teman sejati. Apatah lagi untuk orang seperti aku. Anak Sabahan yang merantau jauh merentas laut Cina Selatan demi segulung ijazah. Huda melayanku persis seperti adik kandungannya. Walau usia kami sebaya. Cuma dia tua tiga hari sahaja. Dia sering menganggap dirinya sebagai kakak. Pernah suatu masa, aku terkandas di kampus kerana tertinggal bas. Sedang hari semakin senja dan hujan pula turun dengan lebatnya. Dia sanggup meredah hujan datang mengambilku di kampus menggunakan motor yang dipinjamnya dari teman serumah kami. Sampai mati budinya akan ku ingati.

Aku menghembus nafas dalam. Mengeluarkan kad kecil daripada beg duitku buat kesekian kalinya. Mengulang baca 3 janji yang kami ikrarkan. Terutama janji yang ketiga. Janji yang Huda sendiri canangkan.

Aku kembali merenung pantai yang beralun perlahan. Mencari sebuah jawapan. Persoalan yang Huda tinggalkan. Janji yang dia mungkiri. Salam dan pelukan akhir sebelum aku dan dia meninggalkan tanah kami meraih ilmu benar-benar menjadi yang terakhir. Huda tidak langsung menghubungiku. Semua mesej yang aku hantar tidak berbalas. Panggilan telefonku tidak bersambut. Mujur saja dia sudi menerimaku menjadi rakan dalam mukabukunya. Itu pun semua sapaanku di pandang sepi. Aku benar-benar hanya menjadi pemerhati. Melihat perkembangannya dari alam maya. Dia pula kelihatan ceria dan bahagia. Terutama bersama mahligai yang dibinanya. Setiap kali melihat senyumannya lewat foto yang meghiasi mukabukunya, aku merasakan senyuman itu bagai belati tajam menghiris sukma. Aku benar-benar perlukan sebuah penjelasan. Satu penjelasan sudah memadai menyirnakan rasa sesal yang tebal. Aku sudah bersedia dengan sebuah kemaafan pada tingkahnya yang diluar jangka.

Kesannya,aku menjadi pesimis pada sebuah perhubungan. Khuatir menjalin hubungan akrab. Hatta untuk sebuah perkahwinan. Selesa untuk memilih sendiri. Buat masa ini. Mengisi sepi hati, aku fokus pada kerjaya dan bersungguh pada amanah perjuangan. Seperti yang sudah aku dan Huda janjikan!

"Sampai bila nak hidup sendiri ni, usia makin bertambah tau. Kahwin tu sunnah." Pertanyaan dan pernyataan yang kerap singgah di telingaku.

"Nantilah..bagi adik habis sekolah dulu." Jawapan tanpa fikir yang selalu aku tutur.

Tiba-tiba bagai ada yang membisik kamar hati. Lagi beberapa hari adikku benar-benar selesai dengan urusan persekolahannya. Bebola mataku membulat. Aku mengurut dahiku yang berkerut.

"Iya..masa sudah tiba agaknya.." Aku berkata pada hati. Cukuplah Huda menjadi kenangan. Dia pun sedang berbahagia. Tidak perlu aku terus lemas resah. Bahkan aku perlu mencari cinta. Cinta yang akan terus menyubur dakwah. Menjadi jambatan ke syurgaNya.

Aku juga akan mengota 3 janji. Janji itu bukan untuk aku, Huda dan persahabatan kami semata. 3 janji ini jauh lebih besar perlunya. Pada kehidupan selepas dunia yang fana ini. Aku bingkas bangun. Mentari sudah semakin melambai pergi. Aku melangkah longlai ke kereta. Merumus muhasabah di pantai yang tenang itu.

"Saudari..saudari.."

Aku menoleh ke belakang. Terasa ada yang memanggilku.

"Kad ni jatuh tadi." Seorang pemuda menghulurkan kad kecilku yang terjatuh.

"Owh..terima kasih" Aku menyambutnya pantas. Segan dia membacanya. Lebih segan berbicara dengannta tanpa ditemani sesiapa.

"Sama-sama" Dia membalas penghargaanku dengan iringan senyuman.

Aku hanya mengangguk tanda hormat. Meninggalkannya tanpa kata. Memadailah ucapan terima kasih yang sudah ku lafaz jelas.

Meneruskan langkah ke kereta. Aku memegang kad kecil itu kukuh. Mindaku tidak lagi ligat berfikir. Kosong. Terasa masih ada yang memerhatiku dari jauh. Aku tidak mahu menoleh. Sekadar membiar rasa itu berlalu.


*************************************************************************************
#Cerpen ini tiada kaitan dengan sesiapa..termasuk penulisnya juga :)
#Terilham saat penulis gagal memejamkan mata walhal malam sudah terlalu gelita ^_^

Tuesday, November 22, 2011

Cuti dan Sepi

Cuti sudah bermula. Sudah 4 hari sebenarnya. Cuma esok secara rasminya jadual ku bebas tanpa sebarang tugasan rasmi. Termasuk urusan perjuangan. [statement yang pasti tidak digemari oleh teman yang serius bekerja ^_^].

Seperti lazimnya, cuti masih sama coraknya. Mata lewat tertutup, lewat juga terbuka semula. Dugaan cuti yang paling berat aku rasakan. Tabiat tidur yang sukar diubah. Terkenang zaman persekolahan. Punya berazam untuk menikmati sepertiga malam, beli jam loceng besar. Siap letak di atas almari yang tinggi. Dengan harapan mampu gagah bangun. Sudahnya jam loceng berwarna hijau itu hanya bertahan seminggu. Habis hancur berkecai jatuh dari almari yang tinggi itu. Aku tetap juga tergam di katil. Gagal membangunkan diri!

Cuti ini juga, bermula dengan sedikit keresahan. Keghairahan ku pada buku jatuh ke tahap membimbangkan. Seingatku, sebulan dua ini, tiada satu buku mampu ku ringkaskan. Rak buku ku juga sudah lama tidak ku sapa. Kalau ianya mampu berkata-kata, pasti di pujuk rayunya aku. Kenapa meninggalkannya sedemikian lama. Tidak sudi singgah membelainya mesra. Sedang dulu, dia teman setia. Mengisi hari-hariku indah. Menerobos dunia tanpa sempadan. Berundur jauh ke belakang. Meneliti sejarah yang beri sejuta pengalaman. Semuanya ada pada sebuah buku. Inilah aku yang semakin lupa daratan!

Orang selalu berkata, kesilapan beri kita pengajaran. Biar jangan sampai sejarah berulang. Jatuh ke lubang yang sama lebih dari sekali. Itu maksudnya, kesilapan hanya menjadi latihan. Latihan menjadi semakin kurang baik. Namun, seakan cuti ini bermukaddimah sebegini. Aku bagai mahu di tanam sahaja di dalam lubang ini. Aku yang masih tidak sedar diri!

Lebih buruk, cuti menghilangkan teman bicara ku. Walau nada yang lebih tepat, teman yang aku paksa mendengar ceriteraku. Aku terjah dengan persoalan yang hanya memberatkan mindanya. Aku asak dengan teori-teori kehidupan yang aku cipta hingga menyesakan jiwanya. Walhal, cuti ini latihan, sebelum dia benar-benar meninggalkan aku. Aku yang tidak pernah mahu mengerti...

Adakalanya aku terfikir, mungkin sahaja aku silap memilih profesion. Tidak sesuai dianugerahkan cuti yang panjang. Cuti sering memberi konotasi negatif pada bicara kehidupan. Ini tahun kelima aku berperasaan sebegini..Cuti dan sepi..aku tidak boleh lari!

p/s-kamu yang membaca..jangan membuat resolusi..aku perlu segera bertukar status..sebagai satu solusi..cuti menjadi lebih bererti..ingat..resolusi cadangan itu bukan di bawah kawalanku..bahkan jauh dari jangkauanku..matikan saja mainan minda "nakal" mu itu!

[mengazetkan lagi kisah cuti yang panjang di sini..untuk tujuan perbandingan..terutama saat aku sampai seru..hidup tidak lagi sendiri..]

Tuesday, November 15, 2011

Di Pantai Itu

Di pantai itu
aku pernah melakar impian
bersama dia seorang teman
yang sudah tidak kelihatan
jauh pergi membawa kenangan

Di pantai itu
aku pernah menyaksi
deru ombak berlagu sepi
desir angin menyapa pergi
seiring rasa hati yang mati

Di pantai itu
aku pernah berteman
rembang senja menawan
dibalik gelap awan
persis rasa jiwa yang rawan

Di pantai itu
aku pernah menanggung sendu
menahan rasa hati pilu
menanti saat semua berlalu
jangan terus bermukin di kalbu

Di pantai itu
aku rindu mahu kembali
tanpa terus tercari-cari
apa yang sudah pergi
pasti dia takkan kembali
kerana dia tidak sejati
akurlah..duhai diri.

[di terjah kenangan..kehilangan seorang teman melakar kehidupan..dia pernah membawa ceria taman hati..merawat resah gundah jiwa..sukar membuang segala yang pernah terakam di minda...dia masih ku rindui..dia masih ku ingati..dan dia..seorang perempuan ^_^]

p/s-untuk si "dia"..puisi ini aku gubah istimewa..hadiah untuk sebuah persahabatan yang sepi tanpa berita..

Sunday, November 13, 2011

Mengaku tanpa ragu

"Rupanya..dia tua lagi dari kita..nampak muda je kan"

"Itulah..tak kahwin lagi kan..nampak tak matang lagi..macam awak lah"

"Erk?"

Dialogku dengan teman rapatku beberapa waktu dulu. Ada kaitan rupanya kematangan dengan sebuah perkahwinan. Sebentar tadi :

"Rupanya baru 25 umurnya..aku punyalah berkakak dengan dia"

"Haa..iya ka..aku pun ingat lebih tua dari kita"

"Awal dia kahwin..umur 21..anak pun dah 2 orang..kita jak ni yang lambat"

Lagi dialog kaitan kematangan dengan status perkahwinan. Seakan aku semakin bersetuju dengan teori ini. Bersandarkan kepada pengalaman-pengalaman peribadi yang mencorakan kehidupanku. Samada soal keluarga bersama ahli keluarga, hal-hal kerja bersama teman kerjaya ataupun urusan perjuangan bersahabat sejemaah. Aku sering merasakan aku masih "muda" dan kurang keyakinan untuk memberi keputusan. Hal-hal kecil pun, aku kerap merujuk dengan orang lain. Walaupun usia kami sebaya atau dia lebih muda, tetapi dengan statusnya yang sudah berumah tangga, aku rasa pandangannya lebih bernas dan rasional.

Semoga ramai menyedari, rasa kurang yakin diri ini mempengaruhi kehidupanku. Semoga juga, mereka akan mengerti, aku budak yang masih sangat mentah dan perlu lebih banyak belajar. Jangan menilai dari luaran atau satu kelebihan yang menutup seribu kelemahan untuk memberikan aku tanggungjawab di luar kemampuanku.

Semoga lagi, aku akan segera berada dalam "zon matang". Memastikan aku tidak terus terlabel suka mengelak juga mengelat. ^_^

[menulis ini kerana terkenang di tawarkan sesuatu yang di luar jangkaan..serius..aku masih belum matang..mengaku tanpa ragu :)]

Tuesday, November 8, 2011

Mungkir lagi..


Keluhan saya berat saat mula menekan abjad demi abjad pada papan kekunci usang laptop ihsan seorang teman baik saya ini. Bagai menyimpan bebanan besar di sudut jiwa. Beberapa hari lepas lagi saya mahu menulis sesuatu walau saya tidak punya sebarang lakaran peta di minda tentang apa yang bakal saya persembahkan mengisi bicara sufi. Saya tidak berniat sama sekali menjadikan ruang peribadi saya ini sebagai diari kehidupan. Kalau kelihatan seperti itu pun, persepsi yang bernada kebetulan sahaja. Pada saya!

Terangnya, saya sedang berada pada dua persimpangan. Simpang yang saya sendiri reka kewujudannya. Beratnya, saya seolah [rasanya pasti] sedang berada pada persimpangan yang salah. Kalau kiri kerap dikaitkan dengan negatif sedang kanan sering dikatakan berkat, saya sedang berada pada kedudukan kiri.

Agak pelik bunyinya kan. Tahu sedang bermasalah tetapi kenapa tidak mahu untuk keluar dari masalah tersebut. Inilah masalah saya! Bertambah rumit apabila saya seolah hilang motivasi luar dan dalam, senjata yang saya kira cukup ampuh untuk membantu saya dalam peperangan "masalah" ini. Saya bagai berada di medan tempur dengan bekal jasad semata. Tanpa roh dan jiwa untuk berperang. Tanpa sebarang senjata untuk melawan. Bahkan bagai sudah bersedia untuk tewas dan ditewaskan.

Saya mengeluh lagi. Walau sedar ini bukan salah satu strategi untuk saya bersedia keluar dari konflik masalah ini. Masalah yang saya cipta sendiri. Semakin saya sedar, susahnya melawan diri sendiri. Susah yang amat!

Saya mengintai juga kalau ada sahabat untuk saya mohon saranan atau teman untuk saya minta pandangan, tetapi seakan kelu untuk lidah saya menutur satu persatu apa yang sedang saya tanggung. Seakan kaku untuk tangan saya melakar kata demi kata untuk merungkai apa yang sedang saya pikul. Sungguh saya sedang bermasalah!

Sudahnya, saya ke sini juga. Berkias tanpa petunjuk. Hanya mengerutkan kening kamu yang sedang membacanya. Maafkan saya. Terbuang masa kamu seminit dua hanya membaca coretan yang tidak membina minda membangun jiwa.

Sebelum kamu keluar dari sini..saya mohon sesuatu..lafazkan setulus nurani..

"Ya Allah..semoga pemilik blog ini keluar daripada kesulitan jiwa yang sedang dideritainya..berikannya kebaikan di dunia dan akhirat"

Terima kasih..saya masih sedar..saat saya tidak punya sebarang upaya [kesan kegagalan sistem pertahanan jiwa]..saya masih punya sesuatu..berpaut dan terus bertahan pada Dia yang sentiasa ada. Moga keampunannya yang meluas dan rahmatNya yang tidak bertepi menjadi talian hayat untuk saya berjaya memenangi peperangan ini dan membunuh kenakalan yang saya cipta dan membersih noda yang membekas. InsyaAllah!