Tuesday, January 24, 2012

Kesekian Kali

Salam Palestine

Catatan ini sedikit terlewat. Bukan kesan kesibukan mengejar waktu hingga saya tidak punya ruang menulis. Cuma saja kesan penyakit malas saya yang saya layan. Malas menyusun kata. Malas mengatur bicara. Selalunya saat saya di timpa sakit begini, saya manipulasikannya untuk rajin membaca. Membaca tulisan-tulisan yang saya gemari. Tulisan yang boleh merubah rasa malas saya untuk kembali pulih. Alhamdulillah..selalunya strategi saya ini berjaya. Sebagaimana saya berjaya juga ke sini dan meneruskan tugasan menulis. Tugasan saya untuk diri sendiri. :)

Kuliah APSA berjalan dengan baik untuk kali kedua. Dengan beberapa penambah baikan yang kami usaha lakukan dengan sebaiknya. Walau saya tidak mampu mendabik dada mengatakan semuanya berjalan dengan jayanya kerana yang menilainya bukan kami urusetia, tetapi para peserta. Soal pengurusan dan teknikal tidak mahu saya bicarakan di sini. Bukan ruang yang terbaik.

Sebaliknya jauh lebih utama adalah intipati dan objektif utama kuliah APSA ini di adakan. 40 orang peserta yang mendaftarkan diri pasti sudah jelas, tujuan dan keperluan mereka meneruskan sesi kuliah yang baru masuk ke semester pertama ini. Keseluruhannya, matlamatnya adalah untuk melahirkan naqibah yang mampu mencorak kumpulan usrah yang efektif. Bukan usrah yang hanya bersifat melepaskan batuk di tangga.

Mengambil manfaat punya ruang waktu menjadi pemandu pensyarah APSA yang juga kebetulan orang yang banyak memberi bimbingan menghadam teori dakwah dan perjuangan sepanjang bergelar mahasiswa di alam kampus 5 tahun lalu. Bukan kali pertama saya bercerita tentang karenah dakwah di daerah tercinta ini. Bercerita menurut pandangan dan persepsi saya. Juga berdasarkan perbincangan bersama teman yang turut merasai perlunya kerja dakwah yang konsisten jika benar mahu Islam subur di daerah yang terkenal dengan jolokan bumi peladang ini.

Dan setiap kali usai berceloteh panjang, saranan yang saya terima pasti sama. Bukan sahaja kali ini tetapi juga sebelum-sebelum ini. Usaha dakwah perlu diperhebatkan lagi. Asas kejahilan masyarakat kerana kurangnya kefahaman kepada ilmu. Majlis-majlis ilmu perlu disuburkan. Masjid perlu hidup. Badan agama perlu memainkan perana semaksima mungkin. Juga sepanjang sesi saranan itu saya akan diam dan hanya menganggukkan kepala. Terus-terusan menambah kefahaman dan memujuk hati terus terbuka menghadam pencerahan. Begitulah berlalu hingga saya melambaikan tangan perpisahan menghantar sang atizah yang datang pulang kembali ke negeri mereka.

Tinggal saya lagi disini. Memandu kereta kecil saya dengan ditemani kalimah kata mereka yang membekas di dada. Cuma kali ini. saya lebih banyak menuding diri. Jangan persoalkan apa yang telah di buat oleh mereka. Badan agama, NGO Islam, jawatankuasa masjid, ustaz dan ustazah serta mereka, mereka dan mereka. Saya pulas telinga sendiri, saya tunjuk hati sendiri dan saya celikan mata sendiri. SAYA! Apa yang telah saya lakukan.

Kesekian kalinya, Allah Ya Wadud, tanda kasih cintaNya pada saya hamba yang culas ini, terus menghantar tarbiyyahnya. Menyedarkan saya yang masih tidak berhenti berprasangka, mencari salah orang menutup kelemahan diri. Saya perlu bangkit dari zon selesa. Keluar dari belenggu hati dan rasa yang merantai jasad dan jiwa saya untuk cergas berlari di lapangan dakwah yang saya yakini jambatan saya meraih kasihNya. Saya perlu terus memahat azam padu. Mulakan dengan saya sebelum sibuk meminta dia dan mereka.

Dengan setulus jiwa, saya memanjat doa dan harapan, rasa yang sedang saya rasai turut dikongsi oleh rakan sekuliah APSA kerana kami diberi ilmu dan suntikan motivasi dari sang guru yang sama. Semoga!

[Bicara Sufi berwajah baru..terima kasih untuk adinda yang memberikan sentuhan kreatifnya..kesibukan kerja yang sudah bermula pasti merindukanku pada kedamaian alam yang pasti kurang kunikmati..di sini aku menjamu mata..walau sekadar maya ^_^]

0 comments: