Monday, March 12, 2012

Erti Bahagia

Salam Palestine

Hari ini saya mahu berkisah tentang catatan pengalaman saya bersama Nisa' Camp. Sebelum saya menyusun kata, sekalung tahniah saya ucapkan buat seluruh jawatankuasa pelaksana program yang cuma beberapa kerat. Mesyuarat perlaksanaan program sering tidak cukup korum. Mujur pengarah yang beramanah punya jiwa yang besar. Tidak patah semangat pada kekurangan yang ada. Krisis tenaga penggerak untuk program-program Nisa' semakin membimbangkan. Saya selaku "kakak senior" dalam organisasi ini sudah tidak mampu menyembunyikan kerisauan. Sering juga saya meluah rasa kepada "kakak-kakak yang lebih senior dari saya". Tetapi sudahnya strategi dan pelan tindakan mendepani cabaran ini balik semula kepada saya. Saya masih kerisauan. Sampai hari ini!

Program kali ini dibuat di pantai. Persekitaran yang sangat-sangat mengujakan. Bunyi deruan ombak dan desir bayu cukup mendamaikan. Saya bagai tidak mahu mengelipkan mata, jangan terlepas pandang keindahan pantai yang memutih ini walau sesaat. Sungguh saya sangat terhibur berada di sini. Dalam program yang di pandang sepi ini.

Sasaran peserta tidak tercapai lagi. Tidak sampai pun setengah. Tetapi entah kenapa, saya tidak gundah sedikit pun. Tidak seperti sebelum-sebelum ini. Mungkin memandangkan cabaran program ini sekiranya peserta seperti yang kami sasarkan sampai tidak mampu kami depani. Peserta perlu tidur di dalam khemah dalam keadaan cuaca tidak mengizinkan. Hujan hampir seharian. Kawasan pula terdedah dengan orang luar. Sedang kami tiada kawalan daripada pihak muslimin. Saya bersyukur peserta sekadar yang ada.

Modul dan pengisian saya serahkan sepenuhnya kepada pelapis-pelapis saya. Memberi ruang mereka berfikir dan bertindak. Saya bantu sekadar yang perlu. Saat saya benar-benar diperlukan. Selebihnya saya perhati dari jauh sahaja. Dan mereka telah buktikan, mereka mampu melakukannya dengan sebaik mungkin.

Sepanjang dalam perjalanan balik ke rumah berteman keletihan, saya merenung sendirian. Kegemaran saya saat berseorangan di kereta. Saya bersetuju dengan kata hati saya. Bahagia itu hanya dapat dirasa oleh jiwa. Bukan apa yang terzahir di depan mata semata. Benarlah kata orang, harta bertimbun belum tentu bahagia, ada ilmu segunung belum tentu jaminan bahagia, sudah berjaya melangkah ke alam rumahtangga belum tentu mencapai bahagia. Bahagia itu anugerah dari Dia yang Maha Memberi. Ini yang saya rasa. Walau keletihan tidak terungkap. Bayangkan saya dan 2 adinda saya, bersengkang mata semalaman. Mengambil tugas berjaga malam. Hanya tidur beberapa jam usai Subuh. Itupun di dalam kereta sahaja. Hati saya lapang dengan kebahagian. Saya berjaya membunuh pujuk rayu nafsu saya untuk membiarkan program ini tanpa komitmen. Walau saya punya ruang untuk tidak hadir dengan alasan urusan keluarga yang boleh diterima pakai. Tapi saya gagahkan juga hati saya.

Saya membisik diri lagi. Untuk kesekian kalinya. Dunia ini indahnya fatamorgana. Lamanya tidak kekal. Sifatnya menipu dan pura-pura. Penuh dengan pesona dan tipu daya. Mahu selamat dan terselamat, beradalah pada jalan Ilahi. Bukan pada apa yang digaris oleh aturan manusiawi. Kalau orang lain sibuk memburu harta, memilih bersenang bersama keluarga, tetapi berhenti daripada memperjuangkan agama, tidak salah kita mengambil langkah lain. Langkah yang mungkin dilihat tidak bahagia oleh manusia. Tetapi hakikatnya, bahagia itu sedang kita rasai. Penuh nikmat dan sukar diungkap dengan sebaris kata. Itu lebih selayaknya.

"Ya Allah terus kekalkan aku dengan perjuangan..bahagiaku di sini"


Bersama pembantu saya yang setia.

0 comments: