Bicara Tentang Cinta [Jihad Cinta 8]

Dinah melangkah keluar daripada dewan peperiksaan dengan senyuman puas. Soalan Kimia Fizik berjaya dijawab dengan penuh keyakinan. Soalan yang sudah pernah dibincangkan bersama Zati beberapa hari lepas. Mata Dinah melilau mencari kelibat Zati. Jarak nama mereka yang jauh memisahkan kedudukan mereka dalam dewan peperiksaan yang di susun mengikut abjad.


“Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh”. Kedengaran jelas suara Zati memberi salam penuh dari belakang sambil mencuit pinggang Dinah cuba membuatkannya terkejut.


“Waalaikumussalam warahmatullahi wa barakatuh..Senyum je ni, mesti leh jawab kan?” Dinah mejawab salam Zati tanpa terkejut pun dengan tindakan Zati kerana sudah merasakan ada kelibat Zati di belakangnya.


“Alhamdullillah..faiza azamta fatawakkal Allalah..dah habis berusaha..tawakal je lah kan sepenuhnya pada Dia yang Maha Menentukan dan Maha Mengurnia. Allah tidak zalim pada hambaNya. Kita tunggu saja keputusannya nanti.” Masih beriring senyuman, Zati menjawab soalan Dinah.


“Jom balik kolej ana. Free dah kan. Lama dah anti tak datang rumah ana. Rindu nak sembang-sembang ni. Dua minggu menghadap buku je.” Zati mengajak Dinah yang memang dirinduinya.


“Hmm..ok jugak tu. Sarah ada ke? karang ganggu pulak dia nak studi.” Dinah mahu kepastian. Tidak mahu mengganggu teman sebilik Zati.


“Takde, paper dia start pukul 2 ni. Dia lepak kat library dari pagi lagi. Adik-adik rumah ana pun semua takde. Petang ni kan paper TITAS 2, semua adik-adik tu ambil exam ni. Itu yang ana ajak anti, boring duk rumah sorang-sorang.” Zati menerangkan kepada Dinah dengan terperinci kondisi rumahnya tika ini.


“Amboi..kalau tak boring tak nak ajak lah ye.” Dinah dengan muka masam yang sengaja dibuat-buatnya.


“Allah..nak mengada-ngada lah pulak makcik ni. Jom ler..panas ni, perut pun tengah berkeroncong.” Zati menarik tangan Dinah lembut. Mengajaknya beredar. Peluh terasa menitik di dahinya. Terik mentari tepat memanah mereka yang berdiri tanpa bumbung di hadapan dewan peperiksaan.


Dinah membuntut sahaja Zati yang masih memegang lengannya. Dia menggelengkan kepala melihat Zati yang berjalan laju. Tengah kelaparan sangat fikirnya. Dia pun juga turut dahaga. Matahari yang terik menambahkan lagi rasa hausnya.


Selesai menjamu selera dan menunaikan solat zohor berjemaah. Zati membuka laptopnya memasang lagu nasyid daripada kumpulan Fareast yang diminantinya. Lagu maafkan teman berkumandang sayu. Lagu yang banyak memberi inspirasi kepadanya. Terutama berada di perantauan, tanpa ibu dan adik-adiknya. Hanya menumpang kasih Dinah, temannya yang setia.


Thanks ye..belanja lunch tadi.” Dinah yang menumpang di katil Sarah memulakan perbualan sambil tangannya membelek-belek Novel Ketika Cinta Bertasbih, karangan penulis kegemaran Zati, Habiburrahman El-Shirazy atau lebih dikenali sebagai Kang Abik.


“Asyik anti je belanja ana..kali ni giliran ana pula.” Balas Zati yang mula duduk di katilnya. Di hadapannya ada selonggok kain yang tidak sempat dilipatnya semalam kerana mahu fokus sepenuhnya pada ulangkaji terakhir kertas Kimia Fizikal yang telah berjaya di jawabnya dengan baik tadi.


“Nak ana tolong ke tu?” berapa hari tak lipat tu?” Dinah yang melihat Zati mula melipat kain bajunya satu persatu berbasa basi mahu menghulurkan bantuan.


“Eh..takpe..sket je ni..anti bacalah buku tu..”


“Ana nak tanya anti satu soalan ni?” Dinah yang sudah pun menutup buku tebal itu dan meletakan kembali di atas meja Zati, duduk bersimpuh di katil menghadap Zati yang mula kembali mahu duduk di katilnya.


“Apa dia?”


“Anti pernah fikir tak tentang cinta ni?” Soal Dinah dengan wajah serius.


“Hmm..pernah jugalah. Bagi ana perkara tu normallah. Pasti akan datang menyentuh rasa setiap insan. Fitrah semulajadi yang tidak akan dapat di singkirkan dari melewati taman hati.” Jawab Zati dengan bunga bahasa yang indah.


“Tu dia...ayat-ayat cinta dah keluar dah.” Dinah yang memang mengetahui Zati suka berbunga bahasa saja mahu mengusik Zati.

“Laa..anti juga yang tanya kan. Bagi ana cinta ni memang sesuatu yang indah. Saat menuturnya je, ana rasa bahasa yang indah sahaja yang akan mampu menafsirnya. Sebab itulah, bagi ana cinta perlu di jaga dan jangan dimurahkan dengan menjebaknya ke jurang fitnah. Bayangkan dengan cintalah dua hati mampu di satukan. Dua hati yang sebelum ini tidak punya sebarang pertautan akan menjadi erat seteguh simpulan yang diikat mati. Simpulan itulah simpulan cinta.” Zati masih menggunakan bahasa-bahasa indahnya menjawab soalan Dinah.

“Dah boleh jadi doktor cinta dah ni.” Dinah yang kagum dengan jawapan Zati.

“Kalau ana doktornya, antilah pesakit ana..ana tak jamin lah makin sihat ke makin sakit. Sebab ana pun takda pengalaman ni.” Dengan tawa kecil, Zati membalas usikan Dinah.


“Hmm..kat kolej ni tak kan anti tak minat dan berkenan dengan sesiapapun. Ana tengok baik dan soleh je muslimin Biro Kerohanian kolej anti ni.” Dinah mula mengajukan soalan yang lebih berfokus pada peribadi Zati.


“Pandai anti nak mengorek rahsia ana ye.” Zati belum mahu menjawab soalan Dinah.


“Tak kan lah nak berahsia dengan ana kot. Lagipun kita dah habis dah ni masa tuk fikir studi. Sebelum ni ana malas nak tanya, anti kan serius dengan studi. Kalau ana tanya, mesti jawapan yang sama juga. Ibu ana pesan bawa ijazah bukan bawa suami. Itu je jawapan anti kan.” Dinah mengajuk Zati tanpa rasa risau mengguriskan hati Zati. Dia yakin, Zati tidak akan berkecil hati dengan ajukan itu.


Zati hanya ketawa melihat telatah Dinah. Memang bersungguh benar dia mahukan jawapan. Dia juga sudah bersedia berkongsi rasa hatinya yang dipendam jauh ke nuraninya. Dia tidak mahu membaja perasaan yang pernah singgah di taman hatinya. Dia memang mahu fokus sepenuhnya pada pelajaran. Disamping aktiviti dakwahnya melalui biro kerohanian yang juga perlukan masa dan perhatian yang tidak kurang. Namun dia mengiyakan kata Dinah. Masa untuk memikirkan hal-hal pelajaran sudah berakhir hari ini. Jadi tidak salah dia membuka semula kisah taman hatinya yang pernah berbunga indah.


“Jujur, memang ana ada menaruh hati dengan seseorang di kolej ni.” Zati menjawab soalan Dinah dengan suara yang seakan tertahan.


“Alhamdulillah..tak sangka ye, sangkaan ana ada juga kebenarannya. Ceritalah anti..jangan lah nak sorok-sorok dari ana.” Dinah sangat teruja mendengar pengakuan Zati. Sambil memeluk bantal Sarah, dia tidak sabar mahu mendengar cerita lanjut dari Zati.


“Anti kenal orangnya. Hmm...ana bagi clue, anti teka ye.” Zati masih mahu merahsiakan nama si dia yang ditunggu dengan tidak sabar oleh Dinah.


“Allah..nak main kuiz-kuiz pulak. Okey cepat-cepat. Bukan ramai pun muslimin kerohanian kolej anti ni. Tak Hadi, Ahmad Syami. Tak pun Aiman, Hafiz ataupun Syafiq. Lima orang je. Senang je nak teka. Okey bagi clue cepat.” Dinah yang memang teruja tidak sabar mahu meneka lelaki bertuah itu.


“Orangnya tinggi, kulit agak gelap, rambut lurus dan lebat serta mata agak besar.” mula memberikan petunjuk untuk Dinah membuat tekaan.


“Hafiz, Ahmad Syahmi dan Aiman memang dah keluar dari list. Ketiga-tiga mamat ni putih. Tinggal Hadi dan Syafiq je lah kan. Tapi Syafiq mustahil, sebab anti suka orang yang ala-ala Ustaz penampilannya. Syafiq ala-ala ahli sukan yang berjaya adalah. Sahih lagi pasti orang itu adalah Hadi Asyraf Bin Usman...haa..betul tak?” Dengan empat ciri yang dizahirkan Zati, Dinah memang mampu meneka dengan tepat.


Zati hanya tersenyum melihat Dinah yang begitu bersemangat mahu mengetahui rahsia hatinya.


“Senyum-senyum..betullah tu kan.” Dinah membaling bantal yang dipeluknya kepada Zati. Geram melihat Zati yang tidak berkata apa-apa namun sekadar mengiyakan tekaannya dengan sebuah senyuman.


“Aduh..terkejut ana.” Zati yang tidak menyangka tindakan spontan Dinah, memang terkejut dengan balingan lembut itu. Tidak pun menyakitkannya.


“Malu lah ana..ni rahsia tau, jangan bagitau sape-sape pulak. Siap anti kalu ada yang tahu rahsia ni.” Zati kembali membaling bantal Sarah ke arah Dinah.


“Ana bagi tau seorang je..ni ana nak SMS dia sekarang juga” Dinah mencapai telefon bimbitnya di atas meja milik Sarah berhampiran kepala katilnya.


“Nak SMS siapalah konon?” Zati yang tidak menunjukan reaksi risau pada tindakan Dinah yakin itu hanyalah sebuah lakonan.


“Nak SMS dengan Pengerusi Biro Kerohanian Kolej Ungu Omar. Nak buat laporan, ada seseorang sedang memendam rasa padanya.” Dinah menjawab soalan Zati sambil tangannya pura-pura menaip SMS.


“Tak kisah, SMS je. Bagitau sekali, ana kirim salam kasih bersulam rindu ye..” Zati melayan usikan Dinah dengan usikan juga.


“Eee..gelinya.” Dinah juga akhirnya terperangkap dengan mainan usikan yang dimulakannya.


Zati sekali lagi tertawa melihat Dinah. Kali ini dia tidak mampu menahan tawanya. Tapi sempat dia menutup mulutnya dengan tangan kanan, tidak mahu tawanya itu meletus keluar menggegarkan biliknya.


“Tapi, ana perasan sorang je ni..apa kata orang..SS..syok sendiri. Dia tak tahu pun yang ana suka kat dia.” Zati meneruskan perbualan setelah ketawanya berhenti. Suaranya kembali mendatar. Seakan ada sesuatu yang berat ditanggungnya.


“Apa yang membuatkan anti suka kat Hadi tu?” Dinah mahu tahu dengan lebih lanjut. Masih tidak menyangka Zati yang tidak pernah membicarakan soal cinta bahkan sangat mengelak untuk membincangkan isu ini, rupa-rupanya memendam dalam diam.


“Rasanya karektor dia kot. Karisma dan gaya kepimpinan yang dimilikinya tu. Lepas tu, walaupun dia seorang ketua, tapi dia bukan seorang yang diktator. Ana suka caranya memimpin. Dia sering meminta keputusan mesyuarat dalam apa jua tindakan. Suka meraikan pandangan orang lain hinggakan semua orang punya keyakinan untuk berkata-kata. Selebihnya fikrah yang jelas pada tuntutan dakwah. Selalu pandangan yang diutarakan dalam ceramah-ceramahnya sama dengan pandangan ana. Dia tidak melihat dakwah sesuatu yang terasing dalam dirinnya. Bahkan dia kerap berpesan, suburkan jiwa da’ie dalam diri bermula sekarang, sebelum kita melangkah ke alam pekerjaan yang akan benar-benar menempatkan kita pada realiti dakwah. Berhadapan dengan pelajar-pelajar yang bakal menjadi mad’u utama kita. Terutama dalam senario hari ini, generasi muda sudah sangat jauh menyimpang dari landasan syariat. Mereka keliru memilih cara hidup yang sewajarnya menjadi pakaian harian. Selaku pendidik, bukankah kita punya peranan besar merubah keadaan ini. Itu antara kata-katanya yang ana betul-betul ingat sampai sekarang.” Panjang huraian Zati. Dinah pula asyik melihat Zati bercerita. Terpancar dari bening mata Zati yang dia memang jujur meminati Hadi kerana agamanya semata. Bukan kerana raut wajahnya yang bagaikan pelakon bollywood juga bukan kerana tubuhnya yang sasa ibarat ahli sukan ragbi.


“Jujur juga, ana pun merasakan anti sangat sepadan dengan Hadi. Banyak persamaan yang ana lihat pada kalian berdua. Kedua-duanya jenis cintakan ilmu dan suka membaca. Ana memang setuju sangat dengan pilihan anti ni.” Dinah menyatakan pandangannya pada keserasian Hadi dan Zati. Dia memang beberapa kali terserempak Hadi berteman buku saat di kafetaria ataupun di lobi perpustakaan. Bukti dia memang gemar membaca kerana berteman buku walau di mana jua. Persis Zati.


“Sejak bila anti menaruh hati pada Hadi ni?” Dinah meneruskan soalannya.


“Ana perasan dalam semester ni lah. Tak tau macam mana perasaan tu boleh hadir. Datang tanpa ana pinta.” Zati menjawab soalan Dinah tanpa selindung.


“Itulah yang di namakan cinta.” Selamba Dinah menjawab. Sengihan nakal dihadiahkan buat Zati.


“Amboi..pandai pulak anti ye. Ke dah ada pengalaman ni tapi senyap-senyap je.” Zati mengusik Dinah yang masih tersengih.


“Isk takde lah, kalau ada pasti anti orang yang pertama tahu. Hmm..sampai bila anti nak memendam rasa seorang-seorang ni?”


“Entahlah..ana tidak menaruh harapan yang tinggi pada perasaan ni. Ana tak mahu membajanya berlebihan. Risau hanya akan memakan diri sendiri sendiri.” Zati meluah rasa pada perasaan yang singgah di hatinya itu.


“Macam mana maksud memakan diri sendiri tu?” Dinah mahu penjelasan lanjut. Tidak dapat menangkap maksud Zati dengan jelas.


“Memakan diri sendiri dengan hanya mematikan jiwa ana. Cinta ini belum ada kepastiannya bersambut. Ana sekadar perasan sendiri. Walhal si dia ana tidak tahu pun kedudukannya macam mana. Entah-entah sudah berpunya. Ye lah orang hebat macam tu, mesti ramai yang minat. Hak memilih bermula dari lelaki.” Zati mengutarakan jawapannya.


“Tak salah anti memulakan. Cari orang tengah. Kalau anti nak, ana pun boleh ni. Tu pun kalau anti yakinlah. Ana risau, Hadi sangkut kat ana pulak.” Dinah sendiri tidak yakin dengan bantuan yang dihulurkan. Dia tertawa sendiri.


“Eh takpe, kalau dia sangkut kat anti, ana tumpang gembira. Cinta itu bukan paksaan. Melepaskan orang yang dicintai demi kebahagiaannya juga adalah bukti cinta.” Zati kembali berbunga bahasa. Mengeluarkan falsafah-falsafah cinta melalui pembacaannya yang pelbagai.


“Eee..taknak lah ana. Walaupun Hadi tu diminati ramai bak kata anti, tapi ana tidak termasuk dalam kelompok itu. Hadi tu terlalu syadid lah bagi ana.”


“Tak nak jadi macam Siti Khadijah ke? Guna orang tengah yang anti percayai. Tak salah kan kaedah tu. Lagi pula, Hadi memang calon yang sangat sepadan dengan anti. Ana yakin, dia juga pasti tidak akan menolak anti. Anti apa kurangnya, orangnya manis, senyuman menawan, rajin menimba ilmu dan juga tinggi semangat juang dalam arena dakwah ni. Tidak ada kurangnya dengan Hadi.” Dinah memberikan motivasi kepada Zati supaya jangan mengalah dengan perasaan yang mahu dimatikannya itu.


“Melangit sangat pujian anti tu lah. Tak sepadan dengan realitinya. Lagipun ana belum bersedia dan mampu mengikut jejak langkah Siti Khadijah. Perasaan malu dan rendah diri ana pada kehebatan Hadi masih kuat menyelubungi diri ana ni. Biarlah cinta itu datang dengan sendirinya. Hanya itu yang akan menyisih rasa rendah diri dan kurang yakin ana yang tebal ini.” Zati jujur meluah apa yang dirasnya. Berkongsi dengan Dinah mohon pengertian.


“Perasaan anti je tu macam tu. Janganlah di layan sangat. Tapi ana tetap mendoakan cinta terpendam ini turut di rasai Hadi. Ana doa setulus hati”


“Ana serahkan segalanya pada Dia Yang Maha Mengatur dan Maha Menentukan. Andai ada jodoh satu rahmat yang sangat ana syukuri, andai tiada, ana wajib redha dan pasrah atas ketentuanNya yang tidak sesekali akan menzalimi ana.” Zati menutup perbualan cinta mereka dengan perasaan yang disandarkan semata kepada Allah.


Dinah kelihatan mengangguk-angguk tanda bersetuju. Sekali lagi, dia kagum dengan sahabatnya itu. Sangat bijak mengawal perasaannya. Kalau dia ditempat Zati belum tentu saja mampu seperti itu. Tenang dan bersahaja. Pantas sahaja dia belum di uji dengan sebuah ujian bernama panahan asmara. Belum yakin mampu mengawal perasaan cinta yang mekar tetapi melayukan pula cintanya pada dakwah dan perjuangan. Pokok pangkalnya dia belum bersedia. Sangat belum bersedia.

*****************************************************************************


Zati menghantar SMS pula kepada Ustazah Munirah, mahu memastikan samada Ustazah tidak berhalangan untuk datang usrah muslimat Biro Kerohanian pada Ahad petang. Kebiasaannya dia akan memaklumkan Ustazah sehari lebih awal kerana akan mempunyai ruang untuk memaklumkan ahli usrahnya seandainya usrah terpaksa di batalkan tatkala Ustazah berkeuzuran untuk datang.


InsyaAllah, Umi boleh datang. Lepas usrah, nak jumpa Zati kejap. Ada hal nak bincang.


Selang beberapa minit, Zati menerima balasan SMS daripada Ustazah Munirah.


InsyaAllah


Ringkas sahaja balasan SMS Zati, walaupun di saluti seribu tanda tanya. Atas urusan apa Ustazah Munirah mahu berjumpa dengannya. Jika mahu memberikan amanat khusus untuknya, tidak mungkin kerana Ustazah tidak pernah membezakan anak-anak usrahnya hingga melebihkan Zati yang bertindak selaku Amirah usrah. Dia tidak mahu bertanya lanjut kerana kurang sopan dirasakan. Pasti sukar untuk Ustazah Munirah menjelaskannya melalui SMS. Sebaiknya dia bersabar sahaja. Tidak payah memberatkan fikirannya memikirkan hal yang dia sendiri tidak punya jawapan pun.


Mata Zati belum mengantuk lagi. Baru pukul 10 malam. Memaksa matanya terpejam saat belum kuyu dan layu hanya menyusahkannya. Terpaksa bergolek ke kiri dan ke kanan berjam lamanya. Segera dia membuka laptopnya. Mahu melihat siapa teman-teman YM yang turut berjaga sepertinya. Mana tahu ada sesiapa yang sudi berbicara dengannya. Berkongsi input membina minda. Dengan hanya ditemani lampu belajar, tanganya lincah menekan papan kekunci laptop Asusnya yang sudah semakin usang. Dia menggelengkan kepala saat melihat ramai temannya yang online tetapi kelihatan sibuk. Terpamer status sepeti “exam..peningnyer”, “FOKUS”, “minggu stress!!” dan beberapa lagi. Zati hanya senyum sendirian. Terfikir di benaknya, kenapa online jika tahu mahu fokus pada studi dan perlu penumpuan sepenuhnya. Tetapi manusia memang punya 1001 ragam yang sukar dimengerti. Bukti kepelbagaian sikap manusia. Dia suka mengkaji sifat dan sikap insan lain. Mengenali karektor seseorang akan memudahkan dia menyalurkan dakwahnya. Kaedah dan method dakwah perlu pelbagai. Pendekatan yang mahu digunakan perlu sesuai dengan mad’u. Barulah dakwah punya roh dan mampu meresap jauh ke dalam nurani.


Ada juga dia melihat Hadi dalam senarai YM, tetapi tidak dia bercadang mahu menegurnya. Tidak ada sebarang perkara yang mahu dibincangkan. Walaupun menurut nalurinya, punya keinginan untuk menyapa dan bertanya khabar. Mencari peluang dan ruang untuk memulakan perbualan dan mewujudkan komunikasi di antara mereka. Segera dia beristighfar, membuang jauh-jauh bisikan syaitan yang cuba menjeratnya. Dia pantas membuka beberapa laman web tarbiyyah buat bacaan mindanya malam itu. Di samping melihat perkembangan dan isu semasa negara melalui blog-blog yang tumbuh melata di alam maya. Sedang asyik dia membaca, Dinah menyapanya. Senyum riang Zati sendirian. Ada juga teman bicarannya malam itu.


Dinah : Assalamualaikum cik adik.

Zati : Waalaikumussalam...Bosan malam ni..Sarah tidur awal. Dia masih ada exam.

Dinah : Nape tak baca buku?

Zati : Buku pun dah habis baca..nak buku baru..hadiahkan lah satu.

Dinah : Okey..esok ambil kat kedai, tapi bayar sendiri.

Zati hanya tertawa membaca Dinah cuba berjenaka

Zati : Tadi Ustazah Munirah mesej, esok dia ada hal nak bincang.

Zati yang tiba-tiba teringat SMS Ustazah Munirah, saja berkongsi dengan Dinah. Walau asalnya dia malas mahu memikirnya. Dia mahu tahu apa pandangan Dinah pada SMS itu.

Dinah : Untuk apa?

Zati : Entah..segan nak tanya.

Dinah : Nak merisik anti kot...jeng..jeng..jeng

Zati : Pandailah anti..suspen pulak.

Dinah : Ana pun tak sabar nak tahu ni. Esok jangan lupa khabarkan ye apa beritanya.

Zati : Pasti!

Dinah : Ana kena sign out dah. Roomate ana nak tidur. Dia tak tahan silau. Kena tutup lampu. Lampu meja ana rosak..huhuhu

Zati : Laa..ye ke..tak bestnya...baru sembang.

Zati: Okey..pegilah tidur..bangun qiam, jangan lupa miscall..sweet dream..assalamualaikum

Dinah : Okey...InsyaAllah..waalaikumusslam


Zati dan Dinah masing-masing tersenyum di hadapan laptop. Keakraban yang dianugerahkan benar-benar suatu rahmat yang disyukuri. Hati mereka telah diikat dengan ikatan keimanan. Kemesraan mereka disemarakkan dengan cahaya rabbani. Segalanya menjadi mangkin mendekatkan mereka kepada Allah S.W.T.


Waktu yang di nanti Zati tiba jua. Usai usrah muslimat kerohanian KUO, dia bertemu dengan Ustazah Munirah. Dengan sedikit debar di dada, dia mengalih posisi kedudukannya untuk lebih hampir dengan Ustazah Munirah yang lebih mesra dengan panggilan Umi.


“Umi nak bincang apa dengan saya?” Zati memulakan perbualan.


“Ada hal peribadi.” Ustazah Munirah menutur lembut beriring senyuman. Senyuman yang semakin mendera perasaan Zati.


“Peribadi? Apa dia Umi. Aduh..makin berdebar saya ni.” Zati jujur menyatakan perasaannya.


Ustazah Munirah masih dengan senyuman.


“Jawab jujur ye, Zati dah dikhitbah oleh siapa-siapa?” Ustazah Munirah berterus terang. Kasihan pula dia melihat Zati yang serba tidak kena jika dia meneruskan teka-tekinya.


Zati senyap tak berkata. Terkesima dengan soalan Ustazah Munirah. Tidak menyangka itu yang akan ditanya. Walau sudah Dinah memberi bayangan semalam. Tetapi dia tidak mengambilnya secara serius. Fikirnya dia punya silap tingkah yang perlu teguran secara peribadi oleh Ustazah Munirah. Menyedut nafas yang dalam, dia menjawab soalan Ustazah Munirah jujur.


“Tak ada lagi Umi.” Hanya itu yang mampu dilontarkannya.


Ustazah Munirah senyum lagi. Membayangkan wajah Ustaz Abdul Rahman, suaminya dan Hadi Asyraf yang menaruh hati pada muslimah solehah ini. Ada harapan besar untuk Hadi. Juga akan mengembirakan suaminya kerana dia memang berkenan dengan pilihan Hadi.


“Alhamdulillah..kiranya masih solo lagi lah kan. Ada seseorang bertanyakan Zati. Itupun kalau Zati mahu menerima.” Ustazah Munirah meneruskan tugasannya merisik Zati.


“Siapa Umi?” Zati yang bagaikan tidak percaya dengan pernyataan Ustazah Munirah.


“Orangnya Zati dah kenal. Dah biasa berjumpa. Bahkan dah selalu bekerjasama.” Ustazah Munirah tidak menyatakan dengan jelas siapakah orangnya yang merisik Zati. Sekadar memberikan petunjuk yang sangat umum.


“Ramai orang yang ana dah biasa berjumpa dan bekerjasama Umi.” Zati yang memang tidak dapat meneka sesiapa, jujur memberitahu Ustazah Munirah.


“Hadi Asyraf Bin Usman.” Sebaris nama keluar dari mulut Ustazah Munirah.


Bagaikan terhenti seketika aliran darah Zati. Sungguh dia tidak menyangka. Apa yang dipendamnya selama ini rupanya turut dirasai Hadi.


“Macam mana Zati?” Ustazah Munirah yang masih menanti jawapan Zati mengejutkan lamunannya.


“Ana pun tak tahu macam mana nak jawab Umi. Ana betul-betul terkejut.” Zati jujur meluah rasa. Tidak terkeluar dari mulutnya apa yang dipendamnya sebelum ini. Hatinya tiba-tiba rasa sangsi pada apa yang dirasanya dan didengarnya dari Ustazah Munirah.


“Umi faham, sukar membuat keputusan sekarang. Ambil masa istikharah dulu. Minta petunjuk dan bimbingan Allah. Kalau sudah punya keputusan, maklumkan dengan Umi. Hadi tidak mendesak, bukan nak meminang esok. Kena tunggu grad dulu. Tenang ye.” Ustazah Munirah yang memahami perasaan Zati cuba menenangkannya sambil memeluk bahu Zati erat. Terzahir resah dan celaru di wajah Zati. Kasihan pula dia melihatnya. Dia mengenali muslimah seperti Zati bukan jenis hanyut dan terbuai dengan cinta. Pantas menerima cinta yang bertandang. Zati pasti memikirnya jauh dan mendalam. Menilai setelitinya natijah cinta itu pada kehidupan, pada masa depannya.


“Terima kasih Umi memahami perasaan ana. InsyaAllah..dah ada keputusan nanti, ana akan maklumkan kepada Umi.” Zati bersyukur Ustazah Munirah tidak mendesaknya, bahkan memahami kondisinya.


Semalaman Zati asyik memikirkan perbincangannya dengan Ustazah Munirah. Bohong andai dia menyatakan dia tidak terkesan apa-apa pada apa yang telah disampaikan. Apatah lagi lelaki yang dimaksudkan adalah Hadi. Dia juga keliru pada perasaannya. Bukankah seharusnya dia melonjak girang. Cintanya tidak bertepuk sebelah tangan. Kasihnya bersambut bukan sekadar bayangan. Tetapi sukar dia menafsir perasaannya. Bagai ada beban yang ditanggungnya hingga mulutnya terkunci rapat tidak mahu mengatakan setuju pada risikan itu. Dia masih mahu memahami rasa hatinya. Masih perlu membedah jiwanya melihat sejauh mana benar perasaannya pada Hadi. Terlebih penting, seakan dia tidak meyakini yang Hadi memilihnya. Bagaikan mimpi..sungguh!


Sedang asyik dia bermonolog sendirian. Duduk di beranda rumahnya, ditemani sang rembulan bercahaya dan bebintang bersinar indah, telefon bimbitnya berbunyi. Tertera nama Dinah di skrin telefon. Dia lega, sahabatnya itu menelefonnya. Dia mahu mencurah segala isi hatinya yang sangat berat ditanggungnya tika itu.


“Assalamualaikum..apa cerita?” Dinah yang memang menanti khabar cerita mendebarkan Zati, bertanya dengan penuh teruja. Dari tadi dia menanti Zati menelefonnya. Tidak sabar menunggu, dia bertindak menghubungi Zati.


“Waalaikumussalam” Lemah suara Zati.


“Kenapa lemah je suara ni..apa Ustazah Munirah bagi tahu anti?” soal Dinah bertubi-tubi. Tidak senang dengan suara Zati yang tidak bersemangat.


“Hmm..tekaan anti betul.”


“Iye..siapa risik anti?”


Sunyi seketika. Terasa berat Zati menyebut nama Hadi.


“Hadi Asyraf” Zati menyebut nama Hadi dengan suara yang tertahan.


“Allahu Akbar..Alhamdulillah..Ya Allah..betul-betul tak sangka kan. Inilah yang dinamakan jodoh..jadi kenapa anti macam tak bersemangat je?” Dinah yang kehairanan kerana hanya mendengar suara Zati yang lemah sedangkan itu adalah khabar gembira buatnya.


“Entahlah..ana pun tak tahu kenapa ana rasa macam ni. Ana jadi sangsi dengan apa yang Ustazah Munirah beritahu. Benarkah ianya memang datang daripada Hadi? Atau hanya cadangan Ustazah Munirah.” Zati menyatakan sebahagian kesangsiannya.


“Kenapa pula anti fikir macam tu? Kalau dah Ustazah Munirah kata risikan itu dari Hadi, apa yang nak disangsikan lagi. Takkan lah Ustazah Munirah pandai-pandai nak pasangkan anti dengan Hadi tanpa pengetahuan ataupun persetujuan Hadi.” Dinah meyakinkan Zati pada rasa sangsinya yang hanyalah mainan perasaan semata.


“Ana masih tak percaya yang Hadi memilih ana. Apa kelebihan yang ana ada? Dia boleh saja memilih muslimah yang lebih baik dan sepadan.” Zati menyatakan lagi sebahagian kebimbangannya.


“Astaghfirullah..kenapa anti berfikiran senegatif ini. Hadi pasti punya alasan tersendiri kenapa dia memilih anti dan bukan muslimat yang lain. Macam anti sendiri memendam rasa sebelum ini dengan dia. Kenapa anti tidak memilih Aiman, Syafiq, Hafiz atau siapa-siapa sahaja? Kenapa rasa hati anti ada pada Hadi? Tak lain kerana anti punya alasannya yang tersendirikan.” Dinah meneruskan nasihatnya. Mahu menyisih perasaan-perasaan yang tidak sewajarnya menguasai hati Zati. Apatah lagi Dinah memang sangat gembira andai Zati dan Hadi punya jodoh. Hadi cukup pakej menjadi pendamping Zati.


“Anti pernah kata, anti tidak mahu mula menyatakan perasaan pada Hadi kerana rasa rendah diri dan tidak layak dengan Hadi. Rasa rendah diri itu hanya akan hilang, apabila Hadi sendiri yang memulakannya. Bukankah itu yang sedang berlaku sekarang. Apa yang perlu anti risau dan sangsikan lagi?” Dinah terus mengingatkan Zati pada apa yang telah dilafaznya. Zati masih senyap di hujung talian. Dapat Dinah bayangkan keruh wajah Zati.


“Beginilah, anti istikharah dulu. Mohon dengan tulus pada Dia yang Maha Mengetahui. Tunjukan jalan keluar pada resah jiwa anti ini. Ana doakan anti dapat buat keputusan yang terbaik. Ambil ruang memikirkannya dengan halus dan teliti. Jangan beri keputusan saat hati masih bercelaru.” Dinah masih meneruskan pandangannya. Ibarat bercakap seorang diri kerana Zati membisu di hujung talian.


“InsyaAllah..terima kasih anti.” Zati akhirnya bersuara.


“Pergilah rehat, ambil wudhuk, tidur ye..jangan fikir berat-berat sangat. InsyaAllah ada jalan keluar pada kesulitan perasaan yang anti lalui ini.” Dinah dengan penuh kasih sayang memujuk jiwa Zati. Pesannya sama seperti Ustazah Munirah. Memang itulah yang akan Zati lakukan. Jauh dihatinya dia bersyukur, ujian cinta dan percintaan baru hadir dan menyapa hidupnya. Sebelum ini sekadar perasaan suka kepada sang Adam yang baginya normal akan dilalui oleh semua wanita. Perasaan suka itu datang dan hilang pergi begitu sahaja. Tidak langsung disuburkannya kerana dia tahu cinta sebegitu hanya membuka kepada pintu-pintu syaitan. Bercinta saat belum masanya bernikah, hanya menghampiri zina!

************************************************************************************

masih bersambung ^_^

Comments

Popular posts from this blog

Zon Selesa

Pendam

Kisah Kita