Tuesday, April 3, 2012

Orang Tengah [Jihad Cinta-7]

Sibuk benar Hadi hari itu. Program yang direncana beberapa minggu lepas tinggal beberapa hari lagi. Mujur semua ahli jawatankuasa program menjalankan tugas dengan baik. Hadi hanya perlu membuat susulan beberapa perkara teknikal sahaja. Terutama berkaitan jemputan VIP. Pengetua kolejnya, En Sulaiman Hasyim sudah bersetuju untuk hadir merasmikan program. Beberapa jemputan lain juga sudah memberi maklum balas. Semuanya memberikan respon yang positif. Lega hatinya, program ini mendapat restu yang baik daripada pihak pengurusan kolej.


“Minum sorang ke bos?” Hafiz yang merupakan teman sebiliknya merangkap AJK Lujnah Pendidikan Biro Kerohanian menyapa Hadi yang sedang menghilangkan dahaga di kafetaria Kolej KUO.


“Jom Fiz, minum sekali. Anta dari mana ni?” Hadi mengajak Hafiz menemannya.


“Baru balik dari kampus. Ada tutorial tadi. Anta takda kelas ke ni?” Hafiz duduk di hadapan Hadi dengan membawa sepinggan nasi berlaukan ayam masak merah dan sayur pucuk ubi masak lemak serta sambal tempoyak. Tangan kanannya membibit segelas milo ais.”

Hadi memerhatikan sahaja hidangan yang dibawa Hafiz. Terasa lapar pula perutnya.

“Ana nak ambil nasi kejap. Best pulak tengok lauk anta tu.” Hadi berlalu tanpa menjawab soalan Hafiz.

“Kelas ana petang ni, kul 2. Pagi free, tu tadi ana setlekan beberapa perkara pasal program lusa ni. Ana jumpa dengan En. Sulaiman, confirmkan dia datang tak perasmian nanti.” Dengan membawa hidangan seperti Hafiz cuma tanpa milo ais kerana Hadi telah mempunyai sirap bandung yang sudah setengah diteguknya, Hadi menjawab soalan Hafiz.

“So macam mana? Dia nak datang tak?”

“InsyaAllah..dia siap puji lagi program ni. Dia kata ada kelainan. Biasa orang buat, tetapi menggubahnya berwajah islamik tu jarang.”

“Ada masalah lain lagi tak?” Hafiz yang juga terlibat sebagai AJK Publisiti bertanya ambil berat.

“Alhamdulillah..setakat ni semua ok. Petang ni dorang akan pasang kanopi dan setup pentas. Esok pagi budak-budak Fakulti Seni dan Muzik leh dah buat raptai. Kalau anta tak de kelas, datang lah jenguk-jenguk. Kot-kot ada masalah. Kelas ana full esok. Tak nak lah ponteng. Syahmi dan Aiman InsyaAllah ada. Muslimat pula rasanya Nabilah dan Maryam.” Hadi menerangkan kepada Hafiz.

“Kelas ana petang je esok. InsyaAllah ana turun jenguk nanti.” Hafiz memberitahu jadualnya.

“Tolong pastikan label susunan kerusi nanti jelas memisahkan tempat duduk muslimat dan muslimin. Kita tak nak nanti masa konsert tu, ada pulak yang duk sebelah menyebelah. Dah lah gelap tapak program tu. Hanya bersinarkan cahaya bulan purnama dan lampu jalan yang malap. Bukan mengundang rahmat nanti, menjemput bala namanya.”

“InsyaAllah..baik bos.” Hafiz tersenyum sambil akur dengan arahan Hadi.

“Promosi anta hari tu ok kan? Ada dapat apa-apa respon lagi tak?” Hadi meminta maklumat tambahan daripada Hafiz.

“Setakat ni Kolej Aminudin Baki dan Za’ba ada respon. Satu bas akan datang dari sana. Ahli jawatankuasa mahasiswa kolejnya pun akan datang sekali. Pamplet ada juga kita hantar di sekitar Taman Universiti dan taman berdekatan kolej kita ni. Ana yakin, sambutan menggalakan. Program santai macam ni selalu orang minat nak datang.”

“Alhamdulillah..harap begitulah. Sebab tu ana optimis nak buat program ni. Selama ni orang selalu label, program surau ni ceramah semata kan. Jadi dengan kelainan ni kita harap tanggapan tu diubah.” Hadi bersemangat mendengar maklumat Hafiz. Tambah bersemangat juga dia menyuap nasi ke mulutnya.

“Mulanya ana risau juga kita gagal memastikan program ni patuh syariat. Terutama dari aspek persembahan dan batas pergaulan. Tapi ana dah tengok sekali latihan daripada budak-budak Fakulti Seni dan Muzik tu, memang terbaik. Mengangkat kisah Bilal Bin Rabah ke pentas teater, rasanya orang pasti akan tertarik. Anta ke bagi skrip tu?” Hafiz menyatakan pandangannya beriring soalan kepada Hadi.

“A’ah..lama dah ana simpan skrip tu. Ana buat 2 tahun lepas. Cuma sebelum ni, tak tau nak pentaskan bila dan macam mana. Dari situ juga idea program ni sebenarnya. Cuma ana luaskan lagi dengan menambah beberapa pengisian lain. Risau kalau teater semata, orang yang tak minat dengan teater malas nak datang pula kan. Audiens mengecil mesej yang kita nak sampaikan pun turut mengecil ruangnya. Desakan jadi kreatif ni bila program seperti ceramah ataupun forum yang kita anjurkan mendapat sambutan daripada kalangan orang-orang yang sememangnya sudah berkecenderungan kepada agama. Kira macam orang-orang dah baik dah, tapi orang-orang yang masih jahil hukum hakam tu tak berminat dan terus menjauh. Sudahnya mereka terus dengan kejahilan dan kita asyik dengan sesama kita. Itu yang ana nekad, kena buat juga program ni sebelum ana keluar daripada kampus.”

“Hebat..ada bakat jadi penulis skrip pula lepas ni. Jadi pelakon tak nak ke?” Hafiz memuji Hadi sambil berseloroh.


“Pelakon tu, ana bagi anta je lah. Ana ni macho sangat lah, karang tak pasal-pasal peminat beratur pula. Mahu-mahu yang perempuan. Pening pulak ana nak memilih nanti. Tak jalan pulak kerja-kerja dakwah yang melebihi masa yang ada ni.” Hadi menjawabnya dengan jawapan yang juga diiringi gurauan.


“Ana lagi tak boleh, sebab ana lagi macho dari anta. Kita sesuai jadi orang belakang tabir je lah nampaknya” Dengan tawa yang tidak mampu ditahan, Hafiz menolak saranan Hadi.


“Dah..jom..kenyang dah ni. Ana ada kelas kul 2 ni, nak qailulah kejap. Ada setengah jam lagi nak Zuhur. Kat kelas nanti luas sikit mata ni terbuka.” Hadi mengajak Hafiz beransur.


Amalan qailulah memang menjadi rutin Hadi. Sunnah tidur seketika sebelum Zohor itu memang sangat membantunya menahan mata terutamanya saat punya kelas di waktu petang. Selain itu juga, dia tidak perlu tidur selepas asar kerana tenaganya masih mampu untuk dia terus mencelikkan mata. Lebih seronok, dia mudah tidur malam dan berjaga di sepertiga malam untuk mengisi masa-masa keemasan itu dengan beribadat.


“Perut tengah penuh, terus tidur. Elok sangatlah tu..selamat datang ke dunia boroi.” Hafiz menepuk perut Hadi dengan spontan.


“Takpe petang ni jogging 5 km..azam..azam.” Hadi menjawab dengan sengihan. Dia sendiri tidak yakin mampu melakukan dengan kelasnya berturutan hingga ke malam. Sepatutnya dia tidak makan tadi kerana memang berhajat mahu qailulah sebentar nanti, tetapi melihat hidangan Hafiz yang menyelerakan, dia tewas.

*****************************


Malam Apreseasi Kesenian Islam yang direncana sejak sebulan lalu berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang hangat daripada warga kolej dan warga kampus. Tidak putus-putus ucapan pujian daripada para tetamu.


“Tahniah, Hadi. Program malam ini memang sangat baik.” En. Sulaiman Hasyim, pengetua kolej mengucapkan tahniah sambil menepuk-nepuk bahu Hadi.


“Alhamdulillah, kerjasama dari semua ahli jawatankuasa. Terima kasih juga atas sokongan moral daripada En. Sulaiman dan pihak pengurusan kolej. Semuanya membantu memudahkan dan melancarkan lagi program ini.” Hadi berbahasa pada pujian yang diberikan. Dia mengiringi En. Sulaiman keluar daripada bilik jamuan setelah selesai menjamu hidangan ringan.


Hadi sedikit terperanjat saat membuka pintu mahu masuk kembali ke bilik jamuan, tiba-tiba Zati muncul di hadapannya. Zati bergerak beberapa langkah ke belakang. Memberi ruang Hadi masuk terlebih dahulu. Debaran dada Hadi berdegup kencang. Selepas insiden berYM dengan soalan-soalan yang memalukan dirinya sendiri, dia tidak pernah lagi berbicara dengan Zati secara personal. Semua arahan diselesaikan melalui mesyuarat sahaja. Zati yang manis dengan tudung labuh dan baju kurung batik ungu, baju batik rasmi kolej kediaman mereka hanya menundukan pandangan. Hadi berusaha mengawal raut wajahnya agar kelihatan biasa-biasa sahaja. Dia meneruskan langkahnya tanpa singgah menyapa Zati. Segera dia bergerak mendapatkan Aiman dan Hafiz yang sedang sibuk mengemas bilik jamuan itu. Beberapa saat berkumpul bersama Aiman dan Hafiz, sempat Hadi menoleh ke pintu. Wajah Zati sudah tidak kelihatan. Hadi tersenyum. Senyuman dengan seribu makna yang Hadi sahaja mengerti akannya.


“Tahulah dah kena puji oleh pengetua. Tak kan nak sengih sampai esok kot.” Aiman menyiku Hadi yang tidak perasan Aiman dan Hafiz sedang memerhatikannya.


“Ana sengih hal lain lah.” Spontan Hadi menjawab.


“Aik..lagi pelik..sengih pasal apa pulak ni?” Hafiz pula bertanya kehairanan.


“Biarlah rahsia..dah jom kemas cepat. Tak nak balik tidur ke? Ana dah letih ni.” Hadi cuba mengelak dari terus di tanya atas jawapannya yang meninggalkan persoalan.


“Dah..nak mengelak pulak.” Aiman mencebik muka dengan Hafiz tanda tidak berpuas hati dengan jawapan Hadi. Mereka meneruskan kerja yang tinggal sedikit lagi. Sambil khusyuk mengemas, Hadi sedang merencana sesuatu yang besar untuk dirinya. Dia akan menyegerakannya. Dia nekad.


Sebelum dia memejam mata malam itu, sempat dia menghantar SMS membuat janji temu untuk berjumpa dengan Ustaz Abdul Rahman esok. Dia lega kerana Ustaz Abdul Rahman memberikan respon yang segera dan mereka akan bertemu di surau KUO usai Isyak. Kebetulan pula esok Ustaz Abdul Rahman akan datang untuk menyampaikan kuliah maghrib.


Selesai solat sunat ba’da Isyak, Hadi membiarkan semua jemaah yang datang solat beransur pulang. Perlahan-lahan dia mengesot menghampiri Ustaz Abdul Rahman yang juga baru selesai berdoa. Kini hanya tinggal mereka berdua sahaja di dalam surau itu.


“Ada apa nak bincangkan Hadi?” Ustaz Abdul Rahman memulakan perbualan.


“Hal peribadi Ustaz. Ana nak minta pandangan Ustaz.” Hadi menjawab dengan perasaan malu-malu.


“InsyaAllah, ana bantu mana yang boleh. Silakan.” Ustaz Abdul Rahman mengemaskan duduknya. Tanda bersedia mahu mendengar masalah Hadi. Hadi di anggapnya seperti adiknya. Melihat Hadi ibarat dia melihat dirinya sendiri. Daya kepimpinan Hadi dan semangatnya pada jalan dakwah persis dirinya sewaktu menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia dahulu. Dia yang kaya dengan pengalaman tidak pernah lokek berkongsi dengan anak-anak usrahnya yang merupakan penggerak aktivti dakwah di kolej itu.


“Begini Ustaz, ana sebenarnya tertarik dengan seorang muslimah di kolej ini. Jadi ana nak minta pandangan Ustaz dahulu. Ana tak arif sangat hal-hal macam ni.” Hadi meluahkan perasaannya dengan menahan malu yang tidak mampu di selindungi. Dia memang tidak pernah punya perasaan begini. Walau ada beberapa kali dia menerima SMS daripada rakan perempuan kelasnya, semuanya tidak di layan. Baginya bukan begitu caranya memulakan perhubungan yang serius di antara seorang lelaki dan perempuan. Perlu adab dan tatasusila yang harus di ambil berat. Apatah lagi perempuan-perempuan yang mahu berkenalan itu tidak menepati citarasanya. Perkara pertama yang akan diperhatikannya adalah mampu menutup aurat dengan sempurna. Kalau bab ini pun perempuan itu tidak mampu, bagaimana dia mampu menjadi ibu yang akan dicontohi oleh anak-anaknya.


Ustaz Abdul Rahman hanya mengangguk sambil bibirnya mengukir senyuman. Dia tidak memberikan respon kepada soalan yang diajukan Hadi.


“Ustaz janganlah senyum je..ana malu dah ni Ustaz.” Hadi bertambah tidak senang duduk melihat telatah Ustaz Abdul Rahman yang diam tanpa kata dan hanya melemparkan senyuman.


“Siapa muslimat yang bertuah tu?” Ustaz Abdul Rahman mula bersuara.


“Ustaz kenal..dia pun AJK kerohanian juga.” Hadi tidak menyebut nama muslimat itu secara terang.


“Ye lah..tak kan semua muslimat tu anta berkenan. Mesti seorang je kan.” Ustaz Abdul Rahman tidak berpuas hati dengan jawapan Hadi.


“Zati..Ustaz.” Ringkas jawapan Hadi dengan nada yang sedikit bergetar. Dia hanya merenung karpet surau. Tidak mampu dia mengangkat wajahnya menatap Ustaz Abdul Rahman.


Ustaz Abdul Rahman tersenyum lagi. Ternyata berbeza betul karektor Hadi malam ini. Seorang yang petah berbicara, cekap berhujah dan bijak mengepalai organisasi menjadi kelihatan sangat lemah dan pemalu. Bukti Hadi bukan seorang lelaki yang gemar bermain ayat-ayat cinta. Dia biasa bertemu, lelaki yang berimej soleh, bahkan juga mengaku aktivis dakwah tetapi tidak mampu menjaga batas ikhtilat dengan baik. Tidak kisah menabur ayat-ayat manis kepada seorang muslimah, bahkan ada yang lebih dari seorang muslimah yang dimainkan perasaaannya. Tidak punya niat pun untuk serius berkahwin, tetapi sekadar bermain-main. Test market kata mereka. Sikap yang sangat tidak digemari oleh Ustaz Abdul Rahman. Tetapi Hadi tidak begitu. Dia sangat menjaga kesucian dirinya sebagai seorang lelaki. Tidak hairan jika pilihannya antara muslimat yang terbaik dalam organisasi kerohanian kolej itu.


“Oh..Zati..Setiausaha anta kan.” Ustaz Abdul Rahman ingin kepastian.


“Ye Ustaz.” Ringkas jawapan Hadi.


“Alhamdulillah..dia pilihan yang baik. Anta sudah nekad dengan pilihan ni?” Ustaz Abdul Rahman terus mengajukan soalan.


“InsyaAllah Ustaz. Ana tak terus terang lagi dengan dia. Lagipun ana tak pasti samada dia sudah di khitbah oleh sesiapa atau belum. Ana nak minta pandangan Ustaz terlebih dahulu.” Hadi menyatakan rasa hatinya.


“InsyaAllah..ana akan berbincang dengan zaujah ana terlebih dahulu. Zaujah ana kan..nakibah usrah Zati. Ana akan minta zaujah ana risik dengan Zati.” Ustaz Abdul Rahman memberikan saranan.


“Alhamdulillah Ustaz, itu yang terbaik. Ana serahkan pada Ustaz ye.” Lega Hadi mendengar pandangan Ustaz Abdul Rahman.


“Memandangkan minggu depan final exam, kita biarkan dahulu exam selesai. Ustaz tak nak Zati terganggu pula nanti. Orang perempuan selalu pandang serius perkara macam ni. Kasihan pula dia nanti terbeban fikiran. Anta boleh sabar ke ni?” Ustaz Abdul Rahman memberikan cadangan sambil mengusik Hadi.


“InsyaAllah..ana boleh sabar Ustaz. Lagipun kalau ada rezeki jodoh, lepas konvo baru ana nak meminang. Bagi dapatkan segulung ijazah dulu Ustaz.” Hadi menjawab dengan bersemangat dan tidak terkesan dengan usikan Ustaz Abdul Rahman.


“Eloklah gitu. Hadiahkan mak ijazah dulu, kemudiaan baru jauzah...ye tak.” Beriring senyuman, Ustaz Abdul Rahman terus memberikan semangat kepada Hadi.


Hadi mengangguk setuju. Perbincangan malam itu benar-benar mententeramkan perasaannya.


Dia tidak terus balik ke biliknya selepas menghantar Ustaz Abdul Rahman ke kereta. Tanda penghargaan dan terima kasih atas kesudian Ustaz Abdul Rahman melayan masalah peribadinya. Orang yang dianggap sebagai orang tua sepanjang dia menadah ilmu di kampus ini. Inilah benih usrah. Ukhuwwah yang terhasil tidak di kira berdasarkan ikatan tali kekeluargaan semata. Malah ikatan akidah islamiah lebih erat menyatukan mereka. Ustaz Abdul Rahman selaku murabbi berjaya menaut hati-hati mereka kerana Allah. Menanam benih-benih kebaikan dalam diri. Nasihatnya berhikmah dan sampai ke hati.


Hadi mengambil angin malam dengan berjalan-jalan di sekitar kolejnya. Dengan kain pelikat dan baju melayu biru dia duduk berseorangan di sebuah pondok bercorak cendawan yang sering digunakan oleh penghuni kolej untuk mengadakan perbincangan. Sesekali dia mengangkat kopiah putihnya. Mengusap rambutnya yang lebat ke belakang. Angin malam yang bertiup sepoi-sepoi bahasa dengan sinaran bulan purnama yang penuh, cukup mententeramkan jiwanya.


Sejak insiden memalukannya melaui YM hari itu, dia kerap beristikharah, meminta petunjuk pada perasaannya yang sering tidak tenteram saat nama Zati sampai ke corong telinga atau wajah Zati terzahir di matanya. Sudah beberapa kali dia memohon petunjuk pada resah jiwanya itu dan setiap kali itulah dia bermimpi berpimpin tangan dengan seseorang melewati batas-batas sawah di hadapan rumahnya di kampung. Wajah gadis yang dipimpinya itu tidak jelas kelihatan. Cuma secara zahirnya seperti Zati. Bahkan dia sangat mengharap, gadis itu adalah Zati. Tiga kali mengalami mimpi yang sama, dia nekad menyatakan perasaan yang dibendungnya kepada Ustaz Abdul Rahman. Ternyata urusannya semakin mudah kerana Ustaz Abdul Rahman kelihatan sangat merestui pilihannya.


Kini Hadi cuma perlu mengawal hatinya. Membendung gelora cinta dan rindu yang sudah membenih di jiwanya. Dia tidak boleh tewas pada tuntutan nafsunya. Bisikan syaitan pasti sahaja akan terus membuai-buai perasaannya. Dia perlu membuktikan, rasa cinta sebelum termaterinya sebuah ikatan yang sah tidak perlu di zahirkan. Apatah lagi bagi dirinya dan Zati yang merupakan aktivis dakwah. Perlu mempamerkan akhlak yang soleh dan solehah. Mampu dijadikan qudwah hasanah oleh orang lain.


Hadi tersenyum sendirian. Sudah jauh benar dia berfikir. Walhal Zati belum memberikan sebarang jawapan. Bahkan Ustazah Munirah juga belum pun memulakan bicara merisik Zati. Dia perlu bersabar sepanjang tempoh peperiksaan. Sekali lagi dia mengangkat kopiahnya. Menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia perlu beredar dari situ. Suasana kelam malam makin meningkatkan ingatannya pada Zati. Beristighfar dia di dalam hati. Sabar..sabar..dia memjuk hatinya sendiri. Sambil berjalan ke rumahnya, dia mengulang baca ayat 45 daripada surah Al-Baqarah menceritakan perihal sabar dan pertolongan Allah. Mulutnya berhenti kumat kamit membaca ayat tersebut hanya saat dia sudah tiba di muka pintu dan kedatangannya di sambut dengan senyuman oleh Hafiz. Wajah Zati sudah tiada di fikirannya. Hilang dari pandangan matanya. Zati lenyap bersama azamnya mahu fokus pada final exam yang tinggal beberapa hari lagi. `

0 comments: