Sunday, April 1, 2012

Mainan Hati [Jihad Cinta 6]

Hadi bersiap-siap untuk ke Surau Kolej KUO. Kedengaran laungan Azan sudah dikumandangkan. Dia kenal benar suara itu, milik Syafiq yang merupakan anak buahnya di dalam Biro Kerohanian. Suara Syafiq memang tidak dinafikan lunak dan mampu menggetarkan hati. Apatah lagi tatkala dia mengimamkan solat. Bertarannum persis Imam Saad Said Al-Ghamidi. Semasa bulan Ramadhan, nama Syafiq paling kerap naik untuk menjadi imam solat Taraweh. Kelebihan lainnya, beliau menghafaz surah Al-Baqarah surah terpanjang dalam Al-Quran. Kalau dilihat secara luarannya bagai tidak disangka. Sangat biasa dari segi pemakaian. Tidak rajin mengenakan kopiah di kepala. Bahkan sangat aktif dan lincah di padang. Kerap mewakili universiti dalam MASUM (Majlis Sukan Universiti Malaysia). Terkenal dengan jolokan Wayne Rooney kerana kelincahannya menggelecek bola. Satu yang membanggakan, Syafiq mampu membuka mata, aktif sukan bukan halangan untuk dia menjadi aktivis dakwah. Berbekalkan kelebihan itulah, dia diamanahkan mengepalai Lujnah Sukan & Rekreasi Biro Kerohanian Kolej Kediaman Ungku Omar. Faktor penarik ramai penghuni kolej terutamanya lelaki gemar ke surau kerana program-program kesukanan yang dianjurkan Syafiq. Jurang antara geng berkopiah yakni ahli jawatankuasa surau dengan mereka yang lincah di padang mampu di dekatkan. Tiada lagi kelihatan penghuni kolej asyik mengeluarkan peluh saat azan maghrib sudah dikumandangkan. Semua memahami tuntutan solat berjemaah.


Berbeza betul karektor Syafiq dengan Hadi. Hadi jarang sekali kelihatan kepalanya bogel tanpa kopiah. Kerap berserban ketika ke surau pada waktu subuh dan senja. Selamba berkain pelikat ke kafetaria ataupun ke pasar malam. Lagaknya persis seorang Ustaz. Dengan ketinggian mencecah 175cm dan berbadan tegap, Hadi kelihatan sangat dewasa. Sesuai dengan jawatannya selaku Pengerusi Biro Kerohanian dan tunjang utama Surau KUO. Kemahiran komunikasi interpersonal dan intrapersonalnya juga sangat baik. Petah berbicara saat berhujah. Rasional dalam mebuat keputusan dan bijak mengawal suasana yang diluar jangkauan. Dia juga bijak mengambil hati pihak pengurusan kolej. Aktivti keislaman mampu di beri laluan mudah dan mendapat sokongan pihak pentadbir. Kelebihan-kelebihan ini menjadikan dia disenangi dan mudah dihormati sebagai seorang ketua.


Ketinggian ilmunya juga terserlah berbanding sahabatnya yang lain. Berbekalkan kelebihan bersekolah di sebuah sekolah agama di negeri jelapang padi, Hadi pasti saja tidak punya masalah besar menambah dan memperluaskan ilmunya dalam bidang agama kerana telah mempunyai asas agama yang baik. Di tambah lagi dia mengambil subjek Pendidikan Islam sebagai minornya. Jarang sekali Hadi berhujah tanpa sokongan fakta samada dari Al-Quran ataupun hadis. Paling tidak daripada petikan kitab-kitab ulama’ muktabar yang rajin dibacanya. Tanpa mengabaikan disiplin ilmu yang lain, antara yang paling digemarinya berkaitan Sirah Nabawiah. Baginya mempelajari sirah akan membantu umat Islam mengetahui kebudayaan dan pengetahuan Islam yang sebenar, sama ada pengetahuan yang berkaitan dengan aqidah, hukum hakam dalam Islam atau tatasusilanya. Kehidupan Rasulullah S.A.W adalah satu gambaran yang jelas bagi prinsip-prinsip dan hukum-hukum Islam. Kandungan Al-Quran juga akan mudah difahami lantaran banyaknya ayat Al-Quran yang dihuraikan atau ditafsirkan melalui kejadian dan peristiwa dalam kehidupan Rasulullah S.A.W. Selaku bakal pendidik, sirah memberikan teladan terbaik untuk dia mencontohi sistem pengajaran yang telah digunakan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Guru paling unggul dan sempurna di alam buana ini.


Setibanya Hadi di surau, Ahmad Syahmi sudah sedia mengangkat takbir. Tugasnya menjadi imam petang itu. Surau KUO antara surau yang hidup berbanding kolej kediaman yang lain. Faktornya, kedudukan surau yang strategik. Di kekelingi oleh rumah-rumah penghuni kolej. AJK surau juga sentiasa kreatif merangka pelbagai aktiviti untuk menarik penghuni kolej. Kuliah maghrib setiap malam Isnin hingga Ahad. Hujung minggu pula ditambah dengan kuliah Subuh. Selain daripada AJK Surau yang memberikan pengisian, beberapa orang Ustaz daripada Fakulti Kemanusiaan turut di jemput. Bacaan Al-Ma’thurat selepas asar setiap hari Sabtu dan Ahad. Risalah penerbitan juga kerap singgah di pintu rumah penghuni kolej. Selain itu aktiviti besar-besaran seperti yang bakal diadakan iaitu Malam Apreseasi Kesenian Islam. Sebelum ini mereka telah menjayakan Kempen Struggle For Faith selama seminggu. Antara pengisiannya, Kempen Senyum dan Salam, Kempen Mesra Masjid dan juga program khusus untuk wanita, Muslimah: Solehahmu Hiasan Dunia. Tidak hairan jika Biro Kerohanian sudah 2 kali menjadi biro terbaik semasa Jamuan Akhir Tahun Jawatankuasa Mahasiswa Kolej. Kedua-duanya semasa kepimpinan Hadi.


Selesai memimpin Al-Ma’thurat yang menjadi kebiasaan mereka di petang Ahad, Ahmad Syahmi membuat makluman bahawa usrah mingguan Biro Kerohanian akan diadakan selepas Isyak malam itu bertempat di surau. Semua ahli usrah di minta membawa teks mingguan mereka buku Hadis 40 terjemahan Ustaz Mustafa ‘Abdul Rahman.


“Mujur anta ingatkan pasal usrah malam ni. Ana hampir terlupa.” Syafiq menepuk bahu Ahmad Syahmi yang sedang ralit mengemas wayar mikrofon surau yang tidak tersusun rapi.


“Kebetulan ana terpandang jadual usrah kat bilik tadi masa nak gerak ke surau. Ana pula pengerusi malam ni. Jadi sekalilah mengingatkan orang-orang yang mudah lupa macam anta ni.” Selamba Ahmad Syahmi mengusik Syafiq. Tanpa niat mengguris hati. Bukti akrabnya tali persahabatan mereka. Ukhuwwah yang ikatannya adalah tali aqidah.


“Oh ya, tadi Ustaz Abdul Rahman ada mesej ana, dia tak dapat datang malam ni. Ada hal keluarga yang tidak dapat dielakan katanya.” Hadi yang tiba-tiba muncul dari ruangan wudhuk menyampuk perbualan Syafiq dan Ahmad Syahmi.


“Takda lah nakib kita malam ni?” Ahmad Syahmi memberi pernyataan yang berbaur soalan.


“Apa nak susah..Ustaz Hadi kan ada.” Syafiq menepuk belakang Hadi yang sudah bersimpuh di sebelahnya.


“InsyaAllah...walaupun ana tak sehebat Ustaz Abdul Rahman. Lagipun dia dah pesan minta sambung je tajuk minggu lepas. Puas juga ana menolak tadi, tapi dia terus memujuk. Tak sampai hati pula nak memberatkan perasaan Ustaz yang sedang ada masalah tu. Tambahan pula Ustaz dah meluahkan rasa bersalahnya gagal hadir usrah ni.” Hadi menceritakan isi perbincangannya melalui SMS dengan Ustaz Abdul Rahman sebelum Asar tadi.


“InsyaAllah pakat tambah point sikit-sikit, banyaklah input kita dapat nanti.” Ahmad Syahmi memberikan pandangannya.


“Zati dah bagi ke senarai VIP tuk program Malam Apresiasi Kesenian Islam tu.? Ana bahagian protokol ni. Senang sikit kalau dapat list tu awal.” Syafiq mengubah topik perbincangan.


“Takda lagi dia bagi ana. Malam ni masa usrah kot dia bagi. Bagilah dia masa siapkan. Anta fikir dia tu robot ke?” Hadi menjawab soalan Syafiq dengan sedikit penjelasan berdasarkan perkiraanya. Dia meyakini Zati pasti punya tugas lain yang juga perlu diselesaikan secepat mungkin.


“Cewah..ambil berat nampak. Tahulah setiausaha anta..ke dah jadi setiausaha peribadi ni?” Syafiq dengan sengihan nakal menyakat Hadi.


“Astaghfirullah..melencong ke situ pula ye. Tapi kalau jadi kenyataan pun tak salah kan?” Hadi membalas usikan Syafiq tanpa penafian. Bahkan berbunyi harapan.


“Ada hati nampak.. dah...jom..pergi padang. Keluarkan peluh. Bosan terperuk dalam bilik seharian ni. Ana nak bagi Wayne Rooney KUO kita ni terkejar-kejar nak rampas bola dari ana.” Ahmad Syahmi yang baru selesai menyudahkan kerja sukarelanya menarik lengan Syahmi dan Hadi.


Ketiga-tiga mereka ketawa serentak. Berjalan beriringan ke rumah masing-masing. Menukar kain pelikat dan baju solat kepada baju sukan dan menyarung kasut bola. Masa untuk memanasakan badan. Hadi berjalan dengan senyuman sambil memikirkan kata-kata spontannya kepada Syafiq tadi. Dia segera beristighfar, memadamkan bayangan wajah Zati yang mula bermain di mindanya.

*******************************


Mujur tugasan Dr. Mustaffa sudah diselesaikan dengan sempurna. Tiada lagi kerjanya yang tertangguh. Sebab itu Zati sangat gemar melaksanakan kerja awal di waktu, tidak mahu dikejar masa yang akan mengurangkan kualiti kerja. Segalanya mudah dengan mengelakan sikap bertangguh dan bijak mengurus masa. Mahu atau tidak sahaja untuk dilakukan, mustahil tidak sama sekali.


Usrah malam ini pun dapat dihadirinya dengan tenang dan tanpa gangguan perasaan mengingati kerja lain yang perlu disudahkan. Semua aktivtinya dapat berjalan dengan lancar. Selesai sahaja bersolat Isyak, dia dan teman seperjuangan dalam Biro Kerohanian sudah siap untuk memulakan majlis ilmu mereka. Sebulan sekali, mereka akan berusrah gabungan. Nakib mereka Ustaz Abdul Rahman. Usrah untuk muslimat di pimpin oleh Ustazah Nur Munirah, merangkap isteri kepada Ustaz Abdul Rahman, juga pensyarah daripada Fakulti Kemanusiaan. Mengajar subjek akidah bagi pelajar-pelajar yang mengambil kursus Pendidikan Islam.


“Malam ini, Ustaz Abdul Rahman tidak dapat bersama dalam usrah ini. Beliau menyampaikan salam dan InsyaAllah, akan digantikan oleh Ustaz Hadi yang kita jemput khas.” Ahmad Syahmi selaku pengerusi memulakan majlis. Sengaja dia menekankan sedikit suaranya ketika menyebut perkataan Ustaz di depan nama Hadi. Memulakan majlis dengan suasana yang ceria dan sedikit humor.


Semua yang hadir tersenyum. Melihat Hadi yang mengerling Ahmad Syahmi di sebelahnya. Usrah kebiasaannya lebih santai berbanding mesyuarat. Semua yang hadir bersedia untuk menadah ilmu. Sesekali perlu mengeluarkan pandangan. Apatah lagi Ustaz Abdul Rahman tidak suka ahli usrah yang pasif. Semua ahli usrah perlu bersedia untuk disoal dan jangan sesekali malu memberikan pendapat.


Hadi memulakan pengisian malam itu dengan membacakan hadis ketujuh daripada buku Hadith 40 susunan Imam Nawawi.


“Dari Abi Ruqayyah Tamim bin Ausin Al-Dari radiyallahuanha bahawasanya Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda: Bagi Agama itu nasihat. Kami berkata : Bagi siapa? Baginda bersabda : Bagi Allah dan bagi kitabnya dan bagi Rasulnya dan imam-imam kaum muslimin dan bagi orang ramai mereka. Diriwayatkan oleh Muslim.


Hadi memulakan huraiannya dengan membawakan pengertian nasihat yakni sesuatu yang dapat memberikan kebaikan. Kemudian menghuraikan dengan panjang lebar maksud nasihat bagi Allah, kitabnya, Rasulnya dan imam-imam kaum muslimin serta bagi orang ramai. Hadi menyimpulkan, nasihat ini terguna pakai untuk semuanya. Samada pada golongan pemimpin mahupun orang awam. Cuma perlu dipastikan agar nasihat itu dalam keadaan berhikmah. Barulah kesannya akan sampai kepada orang yang dinasihati.


“Kita kerap mendengar perkataan hikmah digandingkan dengan uslub dakwah. Mungkin ada sesiapa yang boleh menjelaskan dengan lebih detail apakah hikmah ini sebenarnya?” Hafiz memulakan sesi perbincangan setelah Hadi selesai menghuraikan topik utama usrah mereka hari itu.


“Dalam Buku Fiqhud Dakwah karya Allayarham Muhammad Natsir, tokoh dakwah terkenal dari tanah seberang menjelaskan bahawa hikmah dalam konteks berdakwah itu adalah mencernakan ilmu yang dimiliki oleh seorang da’ie sehingga mampu menjadi daya penggerak kepada mad’unya. Dalam erti kata yang lain, berjaya merubah tingkah laku atau pemikiran yang salah kepada kebenaran. Hadi menjawab persoalan Hafiz saat semua terkunci mulut dan memandangnya menanti jawapan.


“Ana menambah sedikit, menyentuh soal hikmah dalam berdakwah ini, elemen lain perlu ditekankan ialah mengenal pasti siapa mad’u ataupun golongan sasar dakwah. Barulah kaedah dan gaya penyampaian ilmu pendakwah tadi dapat dialirkan dengan lebih baik.” Aiman yang tertarik dengan topik yang di bincangkan menambah info.


“Ana bersetuju dengan Aiman. Apabila kita mengenal mad’u kita, kita akan menyeru berdasarkan apa yang mereka perlu dan bukannya apa yang kita tahu. Dua keadaan ini berbeza. Pengulangan info kepada mad’u tetapi tidak menambah nilai kepada keperluan ilmunya untuk perubahan sikap dan pemikirannya beralih daripada kebatilan kepada kebenaran boleh sahaja kita kategorikan sebagai dakwah, tetapi bukan dakwah yang berhikmah.” Syafiq yang kerap menjadi pemerhati memberikan pandangan kritisnya.


Semua ahli usrah kelihatan mengangguk-angguk dan bersetuju dengan semua pandangan yang diutarakan. Akhirnya Ahmad Syahmi selaku pengerusi usrah hari itu, menutup sesi usrah mereka yang sudah memakan masa.


“Kesimpulannya, hikmah dalam berdakwah ini sudah pun dizahirkan oleh Rasulullah S.A.W untuk ikhtibar kita yang bergelar da’ie. Catatan sirah menukilkan, Rasulullah dalam memberikan respon kepada persoalan yang diajukan kepadanya pasti akan melihat terlebih dahulu penyoalnya. Misalnya, Rasulullah pernah memberikan definisi Islam yang berbeza. Adakalanya bersangkutan dengan jihad dan peperangan serta pernah juga yang berkaitan dengan hal-hal kekeluargan. Ana tutup usrah hari ini dengan sepotong Ayat Al-Quran daripada surah An-Nahl ayat 125. Semoga kita terus terpilih menjadi penyeru hidayah Allah.


“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang Engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih Mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”


Selesai usrah yang penuh dengan input dan info itu, Zati segera kembali ke biliknya. Kelihatan Sarah sudah lena di ulit mimpi. Zati membuka laptopnya. Terpampang wajah familinya nun jauh di negeri bawah bayu. Terasa rindu yang membuak di nuraninya. Mahu menelefon ibunya, pasti orang tua itu juga sedang lena. Apatah lagi waktu di Sabah awal sejam berbanding di tanah semenanjung. Sekarang ini sudah pukul 11 malam, pastinya di sana sudah tengah malam. Di simpan saja hajatnya esok pagi. Baru dua hari dia tidak mendengar suara ibunya, hatinya sudah rawan. Dengan kemudahan komunikasi seperti telefon bimbit yang mampu di miliki oleh sesiapa sahaja hari ini, tiada alasan untuk dia membuatkan ibunya risau tentang khabar kesihatan dan kehidupannya di rantauan. Dia pasti akan memberi laporan keadaannya kepada keluarga paling kurang seminggu sekali.


Zati membuka e-melnya dan Yahoo Messenger. Dia melihat senarai e-mel yang masuk ke inboxnya. Tiada yang penting. Tiada juga respon daripada Hadi. Senarai nama jemputan sudah diemelnya siang tadi. Fikirnya, tiada apa-apa arahan susulan yang perlu diambil tindakan.


Hadi : Assalamualaikum

Zati : Waalaikumussalam

Sedikit terkejut Zati. Baru sahaja nama Hadi bermain di mindanya, kini muncul pula di YM.

Hadi : Dah hantar list tu?

Zati : Dah..pagi tadi lagi ana dah hantar. Tak buka e-mel lagi ke? Ke tak dapat?

Hadi : Oh dah hantar ke. Maaf, ana baru nak buka e-mel…hmm..Thanks..ada dah ni.

Zati : Nanti tolong bagi kat mana-mana ajk muslimin yang nak guna list tu ye.

Hadi : InsyaAllah..nanti ana bagi

Zati : Ada lagi apa-apa yang perlu ana buat?

Hadi : hmm..buat masa ni tak da lagi..just setlekan surat-surat yang berkaitan je.

Zati : InsyaAllah..ana setlekan dalam 1-2 hari ni.

Hadi : Dah pilih sekolah tuk praktikum?


Agak lambat Zati membalas mesej Hadi. Kehairanan dia dengan pertanyaan Hadi yang lebih bersifat peribadi. Di luar bidang tugas yang sedang mereka bincangkan. Dia memang jarang sekali berhubung dengan Hadi. Hanya melalui mesyuarat dan usrahlah dia bersua muka dengannya. Berbicara secara berdua tanpa ditemani sesiapa tidak pernah sekali. Bercakap melalui telefon atau berbalas-balas SMS juga tidak pernah. Pokok pangkalnya, hubungannya dengan Hadi sangat terbatas dan di bataskannya.


Zati : InsyaAllah..plan nak pilih sekolah dekat-dekat kampus je. Area Slim River kot.

Hadi : Kenapa nak duk dekat kampus..sayang nak tinggalkan kampus ke?

Zati : Senang kalau ada apa-apa nak rujuk dengan pensyarah pembimbing.

Hadi : Zati asal Sabah kan?


Sekali lagi Zati merenung skrin laptopnya. Bertambah hairan dengan soalan-soalan Hadi. Sahih benar di luar bidang tugasnya selaku ketua Zati.


Hadi : Maaf kalau soalan ni tak sesuai. Ana harap anti tak fikir apa-apa. Ana sekadar nak mengenali setiausaha ana ni.


Hadi tiba-tiba rasa bersalah dengan soalan-soalannya kepada Zati. Apatah lagi dia bertanya soalan yang dia sudah tahu jawapannya. Mustahil saja, dia tidak mengetahui asal Zati sedangkan sudah 2 tahun dia bekerjasama dengannya. Cuma dia tidak tahu mahu bertanya apa lagi. Yang pasti, dia mahu terus memanjangkan perbualannya dengan Zati. Itu sahaja!


Zati : Ya..ana asal Sabah. Baru nak kenal, dah 2 tahun duk sebumbung dalam Biro Kerohanian..


Hadi terperangkap sendiri dengan soalan tidak masuk akal itu. Dia menepuk dahinya sendiri. Mujur Hafiz teman sebilinya sudah lena. Kalau tidak pasti saja dia akan ditertawakan Hafiz.


Hadi : Kenal dah..cuma nak kepastian je. Okey lah, ana mohon permisi dulu. Maaf ye anti kalau soalan tadi tak bersesuaian. Semoga hari esok membawa sinar yang lebih membahagiakan. Assalamualaikum.

Zati : Waalaikumussalam.


Hadi segera menamatkan perbualannya dengan Zati. Risau terkeluar lagi soalan-soalan yang hanya memalukannya sahaja. Sungguh dia benar-benar gugup. Walau tidak pun dia menatap wajah Zati. Perasaannya tidak tenteram. Adakah ini kesan usikan Syafiq petang tadi? Dia sendiri sukar menafsir perasaannya. Sebelum dia melayan ajakan matanya yang sudah mula kuyu, dia menunaikan solat witir terlebih dahulu. Sahaja mahu membuatnya awal dari kebiasaan, risau tidak terjaga untuk bangun berqiamullail memandangkan dia tidur agak lewat malam itu. Dia juga merasakan mahu kembali menenangkan hatinya dengan basahan air wudhuk dan lantunan kalimah suci Al-Quranul Karim. Mudahan wajah Zati tidak hadir dalam mimpinya. Segera dia bangun ke bilik air dengan istighfar yang tidak putus dari bibirnya.


Zati masih lagi dibalut kehairanan dengan sikap Hadi. Bukan baru pertama kali dia berYM dengan Hadi, sudah beberapa kali. Tetapi tidak sepelik malam ini. Kebiasaannya hanya beberapa soalan akan diajukan yang pastinya berkisar bidang kerja dakwah mereka semata. Zati juga akan menjawab tanpa perlu menambah bunga-bunga bahasa yang bernada memanjangkan perbualan. Begitulah kebiasaanya.


Zati pantas menutup laptopnya. Melihat Sarah yang sedang lena diulit mimpi turut menggoda matanya. Berlalu ke bilik air, dan mengambil wudhuk. Dia menggapai Al-Quran kecilnya di atas rak buku yang terletak di atas meja belajarnya. Segera dia membaca surah Al-Mulk. Bekalnya sebelum menamatkan sehariannya yang indah. Penuh dengan majlis ilmu. Bermula dengan perbincangan bersama sahabat sejatinya Dinah, dengan teman sebiliknya Sarah dan usrah Biro Kerohanian KUO yang bersemangat. Dia melabuhkan badannya. Ingatan kepada Hadi yang mahu muncul, segera dipadamnya. Beristighfar dia sebanyaknya. Kerap pula nama Hadi singgah di telinganya hari ini. Bermula dengan Dinah, sampai ke Sarah, dan malam ini tuan badan sendiri menyapanya.


Ada perasaan yang berbunga di taman hatinya. Namun dia tidak mahu memanjangkan perasaannya. Tidak mahu perasan sendiri. Mainan syaitan yang halus cuba mengambil peluang. Dia mengiringkan badannya ke kanan. Berbaring dalam posisi yang dianjurkan sunnah, dia berbisik dalam hati, jangan mimpikan Hadi, mimpikan ibu dan adik-adiknya yang dirindui. Dia menutup malam itu dengan sebuah senyuman kerinduan.

0 comments: