Thursday, September 10, 2009

Pecutan Akhir


Salam Ramadhan

Sampai juga kita akhirnya ke permulaan fasa ketiga bulan penuh keberkatan ini. Janji Allah pada fasa ini ialah pembebasan dari api neraka. Allah..satu anugerah yang sangat nikmat. Dinasihatkan kepada kita pada 10 malam terakhir ini, gandakan lagi amal ibadah. Maksimakan masa dengan sepenuhnya untuk fokus kepada amalan-amalan yang mampu beroleh pahala.

Kali ini, mengambil sedikit tindakan berani dan diluar kebiasaan. Awal-awal lagi, sudah mewartakan bahawa Ramadhan ini tiada sebarang 'pesta membuat kuih-muih'. Alasanku, tiada cuti. Kalau mengharap mengambil masa pulang dari sekolah ataupun pada malam hari, tidak larat rasanya. Dalam masa yang sama, berterus terang dengan semuanya, sayang 'masa keemasan untuk beribadah ini' dibazirkan dengan berhempas pulas membuat kuih raya. Bukan menafikan keperluannya, tetapi tidak berbaloi mengorbankan masa memburu lailatul qadar. Sudahnya, tahun ini 'kuih tunjuk' lah jawabnya. Raikan peniaga-peniaga kuih dimusim lebaran ini. :-)


Melakukan sesuatu perubahan sememangnya sukar. Terutama mahu memulakan langkah pertama. Lahir daripada kalangan keluarga yang 'kurang pengetahuan agama' satu cabaran besar. Kena berusaha keluar dari adat dan kebiasaan masyarakat yang tidak subur untuk jiwa dan rohani. Syukur punya kekuatan untuk bersuara. Lebih bersyukur apabila ahli keluarga mahu menerima idea dan saranan ini. Terasa benar manisnya menuai berkat sabar. Bersabar atas segala-galanya yang menguji diri sebelum ini.


Maka harus meneruskan langkah pertama ini. Terus berani mencetus perubahan. Merubah diri dan keluarga. Biar benar pada landasan syariat. Kemudian bergerak gagah bersama jamaah. Melebar dakwah pada ummah dan masyarakat. Moga mampu membina sebuah negara bangsa yang menjadikan taqwa sebagai dasar dan landasan. Mudah-mudahan terus mampu dan terpilih. Walau kekadang jatuh tersungkur juga. Terutamanya jiwa dan hati, yang mudah ralat pada emosi. Semoga jatuhnya tidak lama..segera bangkit menerus langkah. Walau kekadang ramai. kekadang seorang, kekadang bahagia, kekadang terhimpit..apa pun jua kondisi..jangan berhenti..terus dan terus cari redha Ilahi.


Tuesday, September 8, 2009

Soto Banjar

Salam Ramadhan..

Sudah hari yang ke-18 Ramadhan Kareem membuka tirai. Bahang perpisahan semakin terasa. Bahagianya andai dapat berjumpa "mesin penghenti masa"..biar Ramadhan jangan berlalu. Sesuatu yang mustahil dan sekadar angan-angan...

Seronok hari ini. Puas berada di dapur. Dari semalam berjanji dengan adik-adik untuk masak sesuatu yang istimewa sebagai juadah berbuka hari ini. Walaupun tiadalah istimewa sangat juadahnya. Sekadar soto banjar. Tetapi bila yang memasaknya tu aku, maka menjadi istimewa lah ia. Apa tidaknya, jarang benar kelibatku menunjukan "skil-skil" memasak dirumah. Bukan apa, ramai yang dah memang "expert", jadi tak payahlah aku tunjuk bakat kan. [ayat helah bela diri..haha]

Melihat mak menjamah soto banjar yang aku masak dengan khusyuk, cukup membahagiakan rasanya. Bukan senang mak nak penuhi citarasa mak. Abang ipar, adik-adik, abangku, pokoknya semua yang berbuka dirumah hari ini, aku lihat makan dengan bersungguh-sungguh. Walaupun 'tawar" sedikit tapi dimaafkan sebab puasa. Inilah kelainan Ramadhan kali ini, menjadi ruang dan memberiku peluang untuk mengasah dan menggilap bakat memasak. Tiada pilihan lain. Kakak yang sepatutnya tukang masak di rumah ni, masuk maktab untuk KPLInya.Kalau aku tak masak, alamat berbuka kurma sahajalah jawabnya. Sebenarnya memang minat bab-bab masak ni, tapi sebab dah ada orang yang asyik "volunteer" nak masak, terpaksalah aku pendam bakat..hehe..

Jadi kepada yang pernah risau aku tak reti masak, hilangkanlah kerisauan kalian. InsyaAllah.. kalau ada yang datang hantar pinangan, dah layak dah ni... :-D

[thanks to adrysabry.com..aku ambil resepi ni dari dia..memang bestlah adry soto warisan awak ni..lepas ni nak try bubur ayam bersantan pula ya..hehe]

Monday, September 7, 2009

Yakinkah sudah?

Di lautan perjuangan suci itu

Mereka terus gagah membelah badai

Dia terus gigih menongkah arus

Aku masih kaku menahan ombak kecil



Di tengah gelombang kebangkitan

Mereka terus maju menghayun langkah

Dia tetap padu mara bersama

aku memerhati bisu dipinggir tirai



Dibawah ledakan semangat waja

Mereka memacu jiwa raga

Dia ikut berkongsi rasa

Aku senyap seribu bahasa



..semua ke syurga kecuali dia..ku bimbangi dia lah diriku.. [luahan hati Saidina Umar Al-Khattab]..insan yang sebgini hebat dan terbukti kehebatannya..masih sangsi dan takut adakah syurga menjadi miliknya..

Duhai diri..yang tidak punya apa-apa..terlalu hina dan kerdil, bagaimana keadaan mu? Yakin dan pastikah syurga itu milikmu? Cukupkah sudah bekal diri menghadap Rabbul Izzati?

Rebutlah peluang sementara masih ada..apatah lagi dibulan ibadah ini..teruskan "berpesta" ibadah..masa semakin suntuk..



Sunday, September 6, 2009

"Moody"

Salam Ramadhan

Bermanfaat lagi hujung minggu ini. Sabtunya diisi dengan pengisian bermakna bersama Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Puan Salbiah Abdul Wahab dan pagi Ahad ini bersama YB Ustaz Muhammad Awang dari Gual Periuk, Kelantan.

Kena sangat pada tempatnya pengisian-pengisian rohani ini. Tatkala jiwa terasa gersang dan tandus dari siraman rohani yang mampu mendidik jiwa. Peringatan dari Puan Salbiah agar para muslimat di bumi peladang ini keluar mempraktikan teori dakwah dan bersama dengan para mad'u satu saranan yang mencabar diri. Akur pada keperluan ini. Tanpa menafikan kepentingannya sama sekali. Cabarannya adalah diri sendiri yang kurang mahir berkomunikasi. Hanya pandai senyum-sengih sahaja.Huhu...

Pengisian YB pula berkenaan sifat orang mukmin. Pengisian jiwa yang cukup memuhasabahkan diri. Dengan loghat Kelantannya, sedikit sebanyak mengimbau kenangan-kenangan semasa berada di negeri "Serambi Mekah Itu". Teringat juga kepada sahabat lama, orang Kubang Kerian yang sering membenarkan diri menumpang teduh dirumahnya sepanjang percutian sambil menimba pengalaman semasa cuti-cuti semester pengajian di UPSI dahulu. Apa khabar agaknya dia sekarang. Pasti tersangat sibuk menanti hari berbahagianya 2 Syawal ini.

Mujur ada dua pengisian ini. Merawat seketika mood yang kurang ceria. Blog DMPKT masih mengalami masalah teknikal. SSDP pula belum "run" lagi. Masih berhadapan masalah "birokrasi" yang kekadang membantut semangat bekerja. Motivasi di sekolah juga masih belum pulih. Semua bagai serba tidak kena. Terasa lama pula demam "moody" ini. Ya Allah..moga segera pulih..lemas dan rimas lemah begini...


Thursday, September 3, 2009

Celik mata hati



Salam Ramadhan

Sedikit lewat hari ini ke sekolah. Padah menyambung tidur seusai subuh. Berat benar mata. Agaknya kesan tidur kurang berkualiti semalam. Meninggalkan rumah tepat 6.05 minit pagi. Biasanya 5.55 a.m sudah bergerak perlahan ST7909K meninggalkan parkir. Cuaca kurang "sihat" hari ini. Jerebu agak teruk. Saat menulis ini pun, pagi masih berselubung jerebu.

Salah satu ujian dan peringatan Allah s.w.t kepada hamba-hambaNya di alam fana ini. Peringatan yang hanya akan dimengerti oleh hati-hati yang celik. Peringatan-peringatan ini datang silih berganti. Muncul dalam pelbagai keadaan dan situasi. Malangnya manusia acapkali lalai dan tersilap membuat tafsiran pada peringatan-peringatan ini.

Apabila seisi dunia diuji dengan ujian H1N1, semua orang sibuk mula menjaga kesihatan. Mengurangkan kegiatan bersosial. Pokok pangkalnya mengambil apa jua tindakan yang yang dianggap sebagai langkah pencegahan. Namun, berapa ramai yang mengkaji, memikir dan menilik kenapa dan mengapa "bala" ini datang? Ketakutan kita pada virus H1N1 ini melebihi ketakutan kita menghadapi kematian yang pastinya PASTI. Apa langkah pencegahan kita ambil agar kita menghadapi hari yang PASTI tiba itu dalam keadaan baik dan cemerlang?

Tiada siapa tahu bila waktu ajal menjemput. Walau sebenarnya sudah dihantar isyarat untk mengingatkan. Namun, sekali lagi, manusia kerap buta melihat "signal" Allah s.w.t. Syukur juga jerebu ini hadir menyambut pagi yang kurang bersinar. Menyentak diri supaya jangan terus asyik dibuai nikmat kesenangan dunia yang sementara cuma.

Jom semua..tawaran keampunan Allah dibulan penuh keberkatan ini belum berakhir..ayuh ramai-ramai kita melatih diri sentiasa memohon keampunan dan menjadi insan yang suka bertaubat.

Wednesday, September 2, 2009

Berpuasa tanpa perasaan


Salam Ramadhan....

Ramadhan sudah masuk fasa kedua. Tawaran Allah di fasa ini adalah maghfirah untuk hamba-hambanya. Wajib benarlah kita mengaut sebanyaknya tawaran ini. Bersesuaian dengan keadaan kita bergelar insan yang acapkali terlalai hingga tersasar ke lembah dosa. Semoga hati hitam dan kelam dek debu-debu dosa mampu disisihkan biar terang dan suci semula.

"Cikgu sah kah puasa kalau orang tu minum" satu panggilan telefon ku terima seusai berbuka. Panggilan dari bekas pelajarku tahun lepas.

"Minum apa?" Tanyaku kehairanan..

"emm..emm..minum tu bah cikgu.." Jawabnya tergagap-gagap


"Arak"? Suaraku sedikit keras meminta kepastian.

"Iya..batalkah cikgu?" Tanyanya lagi

"Cikgu sahkah puasa kalau setengah hari?" Tanya pelajarku ketika aku sedang asyik menulis soalan ulangkaji Sains di papan putih.

Antara soalan-soalan berkaitan puasa yang kuterima daripada pelajar-pelajarku. Ada macam-macam lagi soalan yang kadang-kadang cukup "menyengalkan". Soalan yang kadang-kadang tak terfikir pun akan ditanya oleh seorang muslim berusia 17 tahun ke atas.

Inilah realiti umat islam hari ini. Tidak ramai yang benar-benar memahami bahawa Ramadhan Kareem ini adalah satu bonus dan tawaran yang sangat hebat dari Allah Rabbul Jalil untuk umat Nabi Muhammad. Berapa ramai yang berpuasa tetapi tidak bersembahyang. Berpuasa tetapi mengisi puasa dengan tidur mati seharian. Berpuasa tetapi mulut masih lancang mengumpat dan mengadu domba. Pokoknya berpuasa sekadar menahan dari makan dan minum sahaja. Berpuasa tanpa perasaan!

Semoga Allah terus memilih diri ini dan kita semua menjadi golongan yang benar-benar berpuasa!!


Tuesday, September 1, 2009

Melawan Kesepian

Salam Ramadhan..

Macam biasa apabila kakak sulungku ada ad-hoc meeting di sekolah, aku pasti akan mendapat arahan mengambil anak saudaraku, Fatihah Fatin di sekolah "cinanya". Memandangkan bulan puasa, tidak perlu kalut melayan hidangan tengah harinya. Dia pun turut berpuasa sama. Walaupun badannya kurus kering, namun dia tetap gigih berpuasa. Mahu mengulang rekod cemerlangnya tahun lepas. Berpuasa penuh 30 hari. Walau baru berusia 7 tahun. Tapi, jenuh juga melayan imbuhan untuk kejayaannya itu. Berkali-kali bertanya, apa yang hendak aku berikan jika puasanya penuh. Jawapan ringkasku..biarlah rahsia. Jawapan yang cukup "menyengalkannya"..haha..

Oleh kerana tiada "slot" makan tengah hari, dia pun mengajak aku menemaninya menonton tv. Sambil memegang buku ditangan, aku layan juga lah kehendaknya. Sudah lama rasanya tidak duduk menghadap skrin TV. [asyik menghadap laptop jak..] Banyak benar drama bersiri yang tidak aku ketahui. Fatin pun memperkenalkan aku dengan sebuah drama bersiri Wadi Unung. Pertama kali melihatnya. Itupun siaran ulangan pada episod ke 15. Menarik juga drama ini. Kisah persahabatan. Terusik juga hati sepanjang sejam melihat cerita ini. Bermain-main diminda kisah aku dan sahabat-sahabatku yang kian jauh. Jauh dihati walau dekat dimata. Ada yang jauh dimata, bertambah jauh dihati.

Kekadang kecewa juga dengan situasi begini. Cumanya, perlu akur. Keadaan tidak akan sama selama-lamanya. Yang tumbuh akan patah, yang datang akan pergi. Lagilah kini semuanya sudah dewasa. Semuanya sedang merangka kehidupan yang lebih mencabar. Kehidupan dalam fasa yang baru. Fasa berumah tangga. [aku jugalah yang tertinggal dan ditinggalkan]

Tapi benarlah kata pepatah alah bisa tegal biasa. Perubahan menjadi lebih sendiri ini, semakin dapat disebatikan. Bahkan dari satu sudut yang lain, terzahir hikmah yang tidak terbayang sebelum ini. Inilah aturan Allah. Tidak pernah Dia menciptakan sesuatu itu dengan sia-sia..pasti ada kebaikannya. Cuma terpulang kepada diri kita mahu menafsir ketentuan yang telah tersurat ini. Kaedah yang telah diajarkan kepada kita selaku muslim, bila susah..sabarlah. Bila senang..syukurlah. Nescaya kita akan sentiasa dalam kebaikan. Allah..nikmatnya hidup bertuhan.. :-)

Apapun yang terjadi
Berjalanlah tanpa henti
Air mata tertahan
Waktu untuk dijatuhkan

Nanti kita kan tahu
Betapa bijaknya hidup
Sepahit apapun ini
Pelajaran yang berarti

Semoga kepergianmu
Tak akan merubah apapun
Semoga mampu kulawan
Kesepianku...


Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...