Monday, March 22, 2010

Lara Jiwa

Niatnya tidak mahu berteman bicara sufi malam ini. Namun desakan jiwa memadamkan hasrat siang tadi. Mungkin kesan emosi dukacita masih menyelubungi jiwa dan minda. Rentetan satu musibah yang menimpa keluargaku. Satu musibah yang cukup memberi tamparan hebat. Pastinya insan yang amat merasa peritnya adalah bonda. Melihat riak wajah sugulnya yang ada kalanya cuba diceriakan di hadapan anak-anak benar-benar menyesakan dadaku.

Tatkala menerima perkhabaran perit itu, ku lihat semua ahli keluarga menitiskan airmata. Aku rasa aku dan 3 orang anak buah ku yang belum mengerti apap-apa sahaja tidak mengalirkan airmata. Bukan aku tidak punya perasaan, atau tidak tersentuh rasa, tapi, aku menggunakan rasional akalku dan mengumpul segenap kekuatan dari jiwa yang patah untuk menahan airmata itu dari terus tumpah. Aku tidak mahu terus hanyut dalam linangan airmata yang tidak mampu merubah apapun.

Kisah semalam ini, meningatkan kembali memori 23 Mac 2008. Saat kami sekeluarga kehilangan insan yang amat bermakna dan kasih yang tiada pengganti. Perginya seorang insan bergelar bapa. Keperitan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Sembilunya masih terasa hingga hari ini. Tika itu, aku juga harus "berlakon" tabah dan kuat. Walau aku punya kakak dan abang. Mereka semua bagai tidak mampu berdiri tatkala aku mengkhabarkan berita perit itu dari Hospital Besar Tawau pukul 3.30 pagi.

Adakalanya aku sudah tidak sanggup terus kuat dan tabah. Aku juga tidak mampu terus berdiri dan bertahan. Terutamanya tatkala melihat wajah bonda. Sejak perkhabaran berita perit itu, bonda sentiasa menyibukan diri melayan karenah anak-anak yang sudah dewasa dan cucu yang mahu bermanja. Namun, aku masih dapat membaca hatinya yang memendam sebuah luka. Pasti bertambah rindunya pada arwah bapa, teman berkongsi duka ceria selama ini. Arghhh..aku lemas dengan pandangan ini!

Hakikatnya, aku tidak mampu membohongi diri. Semua airmata yang ku genang dihadapan mereka, akhirnya tumpah jua. Tatkala aku hanya berteman kesuraman bilikku, segalanya ku luah rasa pada Dia Yang Maha Mendengar. Pada Dia tidak mampu ku sembunyikan dan ku bohongi apa yang sedang ku rasa dan tanggung. Aku sedar dan akur, aku terlalu lemah dan kerdil. Tetapi,adakah aku punya pilihan lain? Bukankah ini semua takdir Pencipta Alam Fana ini yang tidak mampu disangkal oleh sang hamba yang sangat lemah.

"Ya Allah..ampuni hambamu ini kerana tidak mampu menahan airmata ini dari tumpah. Bukan hamba tidak redha dengan takdirMu..Hamba mohon, berikan kekuatan dan kesabaran dalam menyelami hikmah takdir dan ketentuanMu ini..hanya padaMu sebaik-baik tempat bergantung"


Sunday, March 21, 2010

Jangan Ada Benci

Malam yang agak lapang. Malam-malam lain pun lapang juga sebenarnya, tetapi minda diberatkan dengan memikirkan tutorial di OUM. Hari ini, hari terakhir di OUM untuk semester Januari. Sesuatu yang cukup menenangkan. Tiada bebanan mental lagi. ;-)

Ada beberapa agenda lagi menanti diselesaikan. InsyaAllah..bakal diharungi sedaya upaya dan sebaiknya. Lagipun kerja-kerja perjuangan ini bersifat jama'ie. Bebannya tidak terpikul sendiri, tetapi di rasai bersama. Cuma perlu bijak menjaga komunikasi agar tidak tersilap faham hingga mungkin akan mencacatkan amal jama'ie yang cuba dibina.

Walau hakikatnya tidak mudah mahu sentiasa berada dalam keadaan harmoni. Sekali sekala pasti diserang juga penyakit terasa hati hingga membawa kepada susah hati. Bohonglah andai ada yang mengatakan hatinya tidak pernah tersentap dek usikan nakal ataupun jelingan 'manja' sahabat-sahabat seperjuangan.

Apa yang penting adalah kebijaksanaan mengurus konflik hati ini. Insan yang mengalami jangan terlalu melayan rasa hati, ubat dan rawat sesegera yang mungkin. Sahabat yang melihat, jangan memandang remeh perasaan individu yang sedang sakit. Sebaliknya muhasabah diri, mungkin kita lah pemangsa yang meragut 'ketenangan' hatinya. Tidak salah kita memulakan ucapan maaf tatkala melihat wajah sugul sahabat seperjuangan kita. Walau kita tegas yakin, kita tidak bersalah. Memohon maaf bukan bererti kalah dan tewas. Bahkan kata 'maafkan saya' yang dilafaz setulus hati sebenarnya adalah tanda kemenangan. Kemenangan kita dalam menundukan ego dan rasa besar diri.

Tips untuk terus kekal istiqamah dalam jalan juang ini, selain miliki keihklasan yang benar adalah mempunyai ukhuwwah yang mantap. Ini rukun dalam berjamaah. Ukhuwwah yang mantap akan subur apabila kita baja dengan sifat mahmudah. Rendah hati, berlapang dada, mudah memberi maaf, tiada dendam dan hasad dengki.

Muhasabah diri kita bersama. Renung dan fikirkan sikap kita dalam bersahabat. Kerap beralah atau meminta, kerap bersabar atau mencabar, kerap membahagiakan atau mendukacitakan. Hidup ini ibarat putaran roda. Kita sakiti mereka hari ini, esok jangan pelik bila kita disakiti. Astaghfirullah al'azim..moga Allah memelihara kita dan sahabat kita.


“Barangsiapa menghilangkan kesusahan seorang muslim, niscaya Allah akan menghilangkan satu kesusahannya di hari kiamat. Barang siapa menutupi aib di hari kiamat. Allah selalu menolong seorang hamba selama dia menolong saudaranya.” (H.R. Muslim)

Wednesday, March 17, 2010

Bicara Air Mata

Sayu dan sendu meneman malam itu
Tiada riak tawa menghias bibir mesra
Duka tajam itu menghalau sirna ceria
Semua tunduk dengan mata berkaca

Sebak tidak mampu di tahan lagi
Hancur luluh hati sang ibu
masih sukar menerima takdir perit itu
Apakan daya masa bukan milik manusia

Bagai tidak mampu kaki berdiri
Bagai lumpuh seluruh tubuh
kosong sepi sendu dan sayu
hanya itu yang hadir di hati

[UJIAN pasti hadir..menimpa dia, kamu, mereka dan AKU...
Jangan lari darinya, jangan berhenti menghadapinya
Kembali kepada pencipta UJIAN. Mohon dan buat rayuan..UJIAN mampu dihadapi setabahnya dan paling utama UJIAN adalah laluan hampir dengan keampunanNya]

Malam ini terasa benar rindukan kelibat insan bergelar bapa. Rindu pelukannya, bicaranya dan pimpinannya. Membantu menyisih duka perit ini. "Pak, maafkan anakmu ini, gagal menahan airmata mak dari tumpah membasahi bumi". Moga rohmu tetap tenang di sana...

Friday, March 12, 2010

You Get What You Give

Esok cuti persekolahan bermula. Tak sedar, sudah berada dalam Mac. Asyik tak sedar saja, bila nak sedar ni? Siang tadi berkesempatan bertemu beberapa bekas anak didik yang hadir untuk mengambil keputusan SPM. Pelbagai reaksi dapat ku tatap. Sedih, gembira dan tiada perasaan pun ada. Antara dialog kelakar :

"Isk..tak puas hati lah keputusan ni cikgu" rungut seorang pelajar

Macam mana tak kelakar, dialog ni dilontarkan oleh seorang pelajar yang kaki ponteng kelas, kerap tak siapkan kerja rumah, suka menyakitkan hati guru dan 1001 lagi sikap yang tidak menggambarkan langsung ciri-ciri pelajar cemerlang. Ternyata plajar tadi langsung tidak mengetahui hakkat dirinya. Samada memang tidak sedar atau buat-buat tidak sedar.

Realitinya, sikap inilah yang sering kita semadikan dalam kehidupan kita. Kehidupan yang menjadi pentas ujian. Keputusan hanya akan kita perolehi di akhirat nanti. Keputusan hanya ada dua. Syurga atau neraka. Tiada pilihan ketiga, keempat atau seterusnya.

Kita sering mengimpikan syurga, namun sikap dan usaha kita untuk berjaya dalam ujian kehidupan dunia ini tidak setimpal dengan impian agung itu. Tidak relevan, hipokrit dan berpura-puranya kita dengan diri kita sendiri!

Mahu digelar muslim, tetapi tidak mahu menegakan tiang agama. Mahu beroleh takhta mukmin tapi tidak beriman. Mahu dikenali dengan gelaran muttaqin tapi tidak bertaqwa. Suka dipanggil mukhlisin tapi tidak pernah ikhlas.

Rasa kelakar bila sang pelajar buat "lawak" dengan keputusan SPM nya yang mendukacitakan dan tak seperti yang diimpikannya. Tanpa sedar, sedang membuat lawak yang sama di hadapan penilai Agung, Allah Azza Wajalla...


[Sudah lah AMIRAH IZZATI..asyik melihat cacat orang lain tanpa sedar diri penuh dengan kecacatan!]


Wednesday, March 10, 2010

Bersedia atau tidak...bolos saja dinding itu!

Selesai menyemak Ujian Topikal Sains Tingkatan 5. Berkerut-kerut kening dan menggetap bibir berkali-kali jugalah sepanjang menyemak itu. Kecewa dan dukacita dengan pencapaian yang ditunjukan. Satu kesimpulan ku buat. "Budak-budak" ni tak ulangkaji. Apa tidaknya, soalan yang keluar adalah latihan yang baru diberikan kelmarin. Ikutkan amarah hati, mahu saja bagi "hadiah istimewa" dengan pelajar-pelajar tersayang ini. Mujur segera sedar, itu bukan langkah bijak dan terbaik.

Kalau dengan mendenda mereka boleh menyelesaikan masalah, merubah sikap atau menjadikan mereka rajin, pasti kejadiaan ini tidak berlaku. Pasti tidak akan berulang. Bukan tidak pernah aku hadiahkan mereka "gula-gula panjang", menyuruh lari keliling makmal ataupun biarkan berdiri di luar kelas. Semua sudah pernah ku lakukan. Tetapi sikap masih sama, tingkah tidak berubah.Bukankah tidak bijak menggunakan pendekatan yang sama walhal sudah tahu hasilnya tidak berjaya.

Kali ini, pendekatan lain harus dicuba. Aku nekad mahu menyentuh suis utama pada setiap sikap dan tingkah. Membuang karat hati yang tidak lagi berfungsi menjadi cerminan saifat mahmudah dan menghilangkan debu yang mengaburi akal hingga tidak lagi bijaksana.

Perlu diketahui sebab dan asbab. Perlu diselami dan difahami apa yang berada di minda dan fikrah mereka. Nampaknya, tugas seterusnya menjadi kaunselor dan motivator pula. Beberapa minggu lepas, sibuk menjadi "kerani". Ya...sudah biasa, CIKGU kan harus menjadi siapa-siapa sahaja!

Saturday, March 6, 2010

CIKGU = Celik Insan Kerana Guru Unggul

Persekitaran yang baik tidak dinafikan memberi kesan kepada pembentukan peribadi. Membentuk dan mencorak manusia, sekolah antara tempatnya. Maka sudah semestinya, sekolah wajib mempunyai persekitaran yang baik. Tidak ada ibu bapa di dunia ini, menghantar anak-anak mereka ke sekolah untuk menjadikan anak mereka manusia yang jahat. Impiannya pasti satu, mahu anaknya berjaya menjadi manusia. Walau ramai sebenarnya mahu anak mereka berjaya dalam akademik. Berjaya menjadi manusia pastinya tidak sekadar berjaya dalam bidang akademik. Tidak ramai yang meneliti perkara ini.

Namun begitu, biasa juga kedengaran, anasir-anasir negatif di bawa ke rumah daripada sekolah.


" Ibu, adik cakap "bodoh"..kakak mengadu pada ibunya.

"Adik, di mana belajar cakap macam tu" soal ibu

"Adik dengar kawan adik cakap di kelas tadi." jawab adik jujur

Dialog yang biasa dirungutkan oleh teman sekerja tatkala mengulas karenah anak-anak. Justeru, perlu difahami, sekolah secara asasnya telah menyediakan satu kerangka kurikulum membentuk pelajar memperolehi ilmu pengetahuan buat bekal menghadapi peperiksaan untuk membolehkan mereka melangkah ke menara gading seterusnya keluar dan berjaya meneruskan kehidupan dengan pekerjaan yang baik dan memberi kesenangan. Beginilah secara teorinya. Walaupun adakalanya tidak seperti ini keadaannya. Ada yang menjadi pelajar terbaik semasa di sekolah, tetapi mengisi sisa usia dewasa dengan sekadar kerja biasa. Ada yang pelajar biasa-biasa sahaja semasa di sekolah, akhirnya menjadi seorang yang berjaya di alam kerjaya. Ini dipanggil rezeki dan ketentuanNya. Tidak ada teori yang mampu mengubahnya melainkan menggunakan satu-satunya senjata yang ada iaitu doa. Doalah yang menjadi penghubung manusia kepada yang pengatur alam, Allah Yang Maha Gagah agar kehidupan sentiasa dalam kebaikan dan kesenangan.

Sekolah selain di bentuk oleh kurikulum pendidikannya, matlamat kejayaan sekolah menjadi persekitaran baik untuk membentuk manusia baik juga banyak ditentukan oleh barisan pendidiknya. Tidak dinafikan, adakalanya kegagalan guru menjadi pendidik menyumbang kepada kegagalan pelajar menjadi manusia. Satu contoh mudah :


"Kenapa kamu tak pakai tudung?" tegur seorang guru kepada pelajar perempuan muslim semasa sukan sekolah.

"Kenapa cikgu paksa saya pakai tudung, Cikgu Ani [sekadar nama] pun tak pakai tudung?" jawab pelajar perempuan tersebut.

Dilema yang akan dialami oleh pendidik yang punya kesedaran untuk menjadikan pelajar seorang manusia. Bukan seorang pelajar cemerlang semata-mata. Konklusinya, disamping membentuk pelajar menjadi manusia, jangan lupa membentuk guru menjadi pendidik. Tugas dakwah adalah mengeluarkan manusia daripada neraka. Tidak kiralah siapa pun manusia itu. Paling penting manusia itu adalah DIRI SENDIRI!



Tuesday, March 2, 2010

Di Taman Teman

Sahabat yang beriman ibarat mentari yang menyinar. Sahabat yang setia bagai pewangi yang mengharumkan. Sahabat sejati menjadi pendorong impian. Sahabat berhati mulia membawa kita ke jalan Allah.

Pasti kata-kata indah ini biasa kita baca atau terima daripada sahabat-sahabat kita. Kiasan sahabat dalam kehidupan. Sahabat ibarat sang mentari, pewangi nan mengharum, sumber motivasi bahkan teman menuju syurgaNya. Bukan kecil peranan seorang sahabat dalam kehidupan. Rasanya, [menggunakan perkataan "rasanya" sebab belum mengalaminya.. ;-) ] manusia yang sudah berteman hidup pun juga masih perlukan sahabat.

Tidak kurang juga, ramai yang kelam dunianya, membusuk hatinya, hilang semangat hidupnya malah, bersama menempah tiket ke neraka kesan insan bernama sahabat. Sudah terlalu banyak bukti dan saksinya. Menerima padah dan bahana, kesan tersilap memilih sahabat. Fenomena yang sangat merungsingkan. Sahabat lebih dihormati berbanding ibu bapa sendiri. Sahabat lebih dipercayai berbanding guru yang cuba menasihati.

Desakan perubahan zaman menuntut para ibubapa ataupun penjaga, mempelbagaikan pendekatan mendidik anak-anak. Begitu juga para guru yang menjadi ibu dan bapa kedua kepada pelajar, bukan sahaja teknik dan kaedah pengajaran perlu pelbagaikan, tetapi juga pendekatan kita menyelami jiwa-jiwa muda anak-anak didik kita. Tidak mudah, tapi perlu dicuba. Jangan terlalu mesra, takut liat mendengar kata. Jangan terlalu keras, takut memberontak jiwa dan raga. Bersikaplah dengan sikap pertengahan. Itulah acuan Al-Quran dan sunnah ikutan. Apapun keadaan..insyaAllah pasti selamat, tenang dan mendamaikan.

[terasa mahu menulis, selepas "melepaskan geram" di sekolah tengah hari tadi. Tercabar emosi melihat sikap "biadap" pelajar yang masih perlu tunjuk ajar. Terbit kesal pada diri, mengapa tidak bersifat empati. Perlu lebih banyak zikrullah..biar hati suci memandu tingkah tatkala amarah menguasai jiwa..beriku ruang Ya Allah..menebus silap diri! ]

[terima kasih buat sahabat efemwai yang tidak pernah jemu mengingatkan diri yang mudah culas agas terus bekerja dan iltizam di jalan juang ini. Kurangkan monolog, tingkatkan prestasi katanya. Mujur dia tak kata, kurangkan berblog...hehehe]

Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...