Thursday, April 15, 2010

Jangan dengar cakap orang..

Masih berada di sekolah lagi saat menulis entry ini. Dengan perut yang berdondang sayang minta diisi, berteman kesejukan penghawa dingin bilik guru serta hujan yang renyai-renyai diluar sana, aku harus melebihkan waktu untuk setia seketika disekolah. Ada beberapa urusan kerja wajib diselesaikan segera. Kerja sudah beres sebenarnya, tetapi harus menjadi supir kekandaku. Sementara menanti dia sampai dari bandar Semporna, mengambil ruang yang ada untuk menulis sesuatu. :-)

Bertugas di sebuah sekolah yang sangat indah pemandangannya, tenang persekitarannya satu bonus rasanya. Sesiapa sahaja bertandang ke "white bridge" pasti terpesona dengan landskapnya. Walau terdengar juga rungutan setiap hari Rabu [selepas perhimpunan rasmi sekolah] tatkala terpaksa memanjat lebih daripada 80 anak tangga. Tetapi, rungutan itu tidak lama. Melihat kembali kehijauan yang mendamaikan, hilang lelah yang singgah.



[tangga yang yang harus "didaki"]


Namun, keindahan, ketenangan dan kedamaian persekitaran "white bridge" tidak turut dirasai oleh orang-orang yang tidak menjadi penghuninya. Sehinggakan aku pernah terdengar suara-suara mengatakan terdapat ibu bapa yang takut menghantar anak-anak mereka menuntut ilmu di sini. Risau bukan menjadi cemerlang tetapi semakin menunjuk belang. Khuatir bukan memperoleh ilmu pengetahuan tetapi belajar ilmu menyerang.

Sewaktu mengetahui realiti ini, sedikit terkejut juga dibuatnya. Tidak sangka begitu sekali persepsi masyarakat pada sebuah sekolah yang boleh diberi jaminan, antara yang tercantik di daerah ini. Beberapa kali juga geleng kepala dibuatnya. Apalah yang ditakutkan sangat dengan sekolah ini. Aku yang menjadi tenaga pendidiknya, yang setiap hari berhadapan dengan pelajarnya yang dianggap ganas, gengster, kaki gaduh, kaki pukul atau apa sahaja istilah yang memberi tafsiran negatif, tidak pernah langsung rasa terancam.

Bahkan, selama aku bertugas di sini, setiap tahun ditugaskan mengajar kelas "hujung". Kelas yang dihuni oleh pelajar-pelajar yang selalu dikategorikan sebagai "nakal-malas". Dua sikap yang menjadikan prestasi akademik mereka kurang memuaskan. Sepanjang ini, aku tidak pernah menerima sebarang ugutan. Marahku dan nasihatku tidak pernah dibalas dengan kata-kata protes, yang ada hanya seraut wajah sesal dan tunduk memandang ke meja. Mahu mendongak memandang tepat ke mataku pun mereka tidak lakukan. Lebih mengharukan perasaan, seusai aku "menghamburkan" kemarahanku, ada pelajar yang datang memohon maaf dan mengucapkan terima kasih kerana memarahinya. Ini realiti yang aku alami sendiri.

Kita kerap membuat konklusi pada persepsi yang sempit. Mempercayai laporan yang belum tahu kebenarannya. Menerima khabar angin yang tidak pasti kesahihannya. Tidak dinafikan, sekolahku ini pernah mengejutkan dengan "kes-kes" luar jangka hingga menuntut pihak berkuasa campur tangan. Bahkan beberapa kali mendapat liputan media tempatan hingga nama sekolah ini menjadi sebutan. Sebutan bukan kerana kejayaan tetapi kerana kegagalan pelajarnya bersikap seperti layaknya seorang pelajar. Hanya kerana satu-dua kes yang besar ini, satu label "berat" telah diberikan kepada sekolah ini. Inilah yang aku gelar konklusi pada persepsi yang sempit. Kes-kes yang masih boleh dibilang dengan jari ini, telah memadamkan kebaikan-kebaikan lain yang turut subur di "white bridge".

Apapun, aku sangat bersyukur bertugas di sekolah yang "ditakuti" ini. Berpeluang mendidik anak-anak yang masih tinggi budi bahasa kepada seorang insan bergelar guru. Walaupun mereka mungkin bukan terdiri daripada pelajar yang punya minda yang cemerlang, itu bukan masalah. Bahkan itu menjadi cabaran kepada kami warga pendidik, untuk mengasah minda mereka. Pelajar kurang cerdas tetapi tinggi budi bahasa jauh lebih baik berbanding pelajar pintar tetapi buta budi bahasa. InsyaAllah..dengan keazaman yang tinngi, aku akan berusaha sedayanya, merealisasi misi yang kami padukan, menjadikan sekolah ini antara yang terbaik di daerah Tawau.


"SMK Jambatan Putih : Berdaya Saing Mencapai Kecemerlangan"

Monday, April 12, 2010

Penjara Dunia

menyusur lembah nan hijau
membelah laut membiru
langkah terus tanpa undur
walau ada tikanya jatuh tersungkur

saat dan detik tak pernah henti
memaksa untuk terus pergi
walau ada kalanya hati pedih
tidak mahu terus bertatih

ruang langsung tiada
peluang tidak mahu terbuka
hanya ada kata kata paksa
mengarah agar terus mengalah
pada ketentuan yang sudah tercipta
sesak lemas membalut rasa

inilah sebuah ceritera dunia
nikmatnya ada tapi sementara
bahagianya ada tapi memperdaya
hingga kerap menipu jiwa
kabur membeza dosa pahala

benarlah kata nan bijaksana
dunia penjara mukmin bertaqwa
jangan terpesona pada tenang, damai dan gahnya
takut terpaut pada khayalan semata
pandangnya sekadar sebelah mata
jangan terpaut pada pesonanya.

Dunia dan segala isinya..
sekadar sementara cuma.

[izinkan ku berpuisi..melontar rasa sesaknya jiwa..melalui dunia yang mempesona..risau khuatir terkhayal seketika..hingga lupa pada syurgawi..yang hakiki dan pasti..]
[Ya Allah..PENJARAKAN AKU DI PENJARA DUNIA..AGAR AKU BEBAS BERBAHAGIA DI JANNAHMU]


Friday, April 9, 2010

Sekadar Teori?

Rasanya bukan waktu yang tepat untuk menulis jika difikirkan soal keutamaan masa. Apa tidaknya, ada beberapa perkara yang lebih utama harus disegerakan. Antaranya, menyudahkan soalan peperiksaan semester pertama subjek Kimia dan Tasawwur Islam tingkatan 4. Juga, sekali lagi amanah menyediakan buku aturcara Hari Anugerah Pelajar Cemerlang SMKJP 17hb ini. Janganlah kerja ini tetap dan berpencen pula. Memanglah minat dengan "publisher" tapi mahu juga rasa berada di posisi berbeza. ^_^

Terdetik untuk menulis apabila teringat kembali insiden tengah hari tadi. Sedang aku bersiap-siap mahu pulang..

"Ada usrah kah petang ni?" Tanya seorang ustaz di sekolahku

"Aaa...aa..sepatutnya ada Ustaz. Sebab sudah ada jadual tu." Aku menjawab gagap.

Macam mana tak gagap, orang yang sepatutnya bagi usrah, lebih awal "cabut" daripada aku. Malas hendak bertanya lanjut pada dia, dengan alasan bersangka baik. Agaknya, dia tak balik rumah terus, keluar kejap sahaja kot. Sudahnya, sangka baik sudah berubah menjdi "bersangka-sangka". Sedikit bengang dan geram dengan tingkah sahabat yang satu ini.

Sejurus selepas menjadi nakibah "loncatan"..aku termenung sepi di kereta. Pemanduanku menjadi kosong. Bercampur baur perasaanku. Sedih, geram, marah, kecewa berpadu menjadi satu rasa. Benarlah, manusia apabila sedang berada dalam kenikmatan, susah ditagih sebuah kesyukuran. Merujuk kepada keadaan sekolah ku sendiri. Sebuah sekolah yang sudah punya "green light" untuk mentarbiah ratusan jiwa, namun para murabbinya pula asyik main tarik tali.

Walhal ada sekolah, sangat susah mahu mendapat peluang "rasmi" menjalankan program perkaderan dan pentarbiyyahan jiwa, tetapi para naqibahnya gigih demi sebuah kefahaman dan amanah. Mahu membukti teori menjadi sebuah realiti. Tidak sekadar uslub dakwah bergegar hebat dibicara dan dibahaskan dalam kumpulan usrah semata.

Bagai mahu menjerit, mana perginya teori dakwah yang kita hadamkan selama ini. Mana perginya baiah yang telah kita ikrarkan sebelum ini. Hanyut dan hilang bersama kenikmatan yang sedang kita kecapi?

Aku tidak menyalahkan sesiapa kerana seharusnya aku menuding kesilapan dan kesalahan itu pada diri terlebih dahulu. Sekadar bermohon dan meluah rasa, buat semua sahabat yang masih mahu menabur jasa, ayuh bersama kita membahu. Padukan kembali langkah yang kian longlai ini. Mad'u di depan mata. Menanti huluran tangan kita membawa mereka menuju hidayah.

Sejujurnya..aku tidak kuat terus sendiri bertahan menahan kata hati dan runtunan nafsu..mengajak aku turut diam dan berehat..sekadar menjadi pemerhati dan terus berteori.

Aku tidak kuat untuk terus sendiri...

[monolog malam ~tanpa fokus kepada mana-mana individu..ditujukan buat diri dan semua sahabat terutamanya yang bergelar PENDIDIK..manfaatkan ruang dan peluang di depan mata..apa khabar usrah remaja kalian?]

Monday, April 5, 2010

Kejora Sinar Zaman

Hiba berbelaikan sepi…jiwa meratapi duka
Desir berita hadir…kala berserinya pagi
Sukar dipercaya ia…bagai berilusi mimpi
Namun bukan mainan dusta…benarlah bagai dikata
Tuhan yang Maha Tahu
Apa ketentuan takdir
Kita hanyalah hamba
Berserah kepada Dia
Engkaulah kejora sinar zaman… menginsafkan rohani
Merdu mengalun rima… bermadah dari hati
Menyemaikan cinta Maha Esa…meniup kesyahduannya
Menyerap dijika…tenggelam di alam rasa
Sukar di cari ganti
Mekar kasihmu ria
Segar menghibur hati
Tak mungkin dilupakan
Senandung zikir ku titipkan..hadiah perpisahan
Buat dirimu kasih…yang pergi selamanya
Wahai Tuhan Dikau maafkanlah…hulurkanlah keampunan Mu
Rahmatilah rohnya…sentosa di alam sana
Pulanglah…bersama…ketenangan…menuju Allah
Damailah…bahagialah…bersama kasihnya

[lirik yang cukup puitis dan menyentuh jiwa..apatah lagi menghayatinya bersama alunan gemersik suara syahdu Zulkifli Rabbani..lagu yang didedikasi buat Allahyarham Ust Asri]
[terfikir diri..andainya dijemput pulang menghadap yang maha pencipta, mampukan dikenang sebagai kejora...terutamanya buat adinda-adinda yang menjadi amanah..mampukah mereka terus teguh berdiri dengan dua kaki sendiri menongkah dunia yang penuh pancaroba..]
[buat adinda-adindaku..moga kalian tetap teguh dalam keimanan menyusuri dunia yang ada pengakhirannya ini..]

Sunday, April 4, 2010

Tiada upaya

Berteman Nota Cinta, album baru Saujana. Minat pada muzik masih mendalam. Sukar membuang minat yang satu ini. Dialog "kalau tak terlibat dengan jemaah ni, kali Amirah ni dah jadi penyanyi" pernah juga dilontarkan buat diri. Kelakar rasanya.

Cuti tiga hari, tidak sangka aku lebih banyak berteman katil. Menahan perit sakit sendi, tulang belakang dan pening yang luar daripada kebiasaan. Hingga mahu mengendalikan ST 7909 K pun tidak larat. Pernah ku cuba melawan perit kesakitan ini, ternyata tersiksa benar sepanjang berada di kereta. Mejur selamat pergi ke destinasi dan kembali ke rumah.

"Kak mirah penat betul bah ni..24 jam depan komputer" tegur adik bongsuku tatkala melihat aku hanya mampu terbaring menahan sakit.

Aku juga rasakan itu punca kesihatan ku tidak berada pada tahap memuaskan. Kerja yang melebihi masa minggu lepas benar-benar menuntut waktu rehatku. Akhirnya aku tewas juga. Kemuncaknya, aku sendiri gagal hadir ke Muktamar DMPKT. Takdir dan perancanganNya mendahului segalanya. Terkilan tidak dinafikan. Apakan daya, kudratku terlalu lemah mengatasi ketentuannya.



Apapun, syukur kesihatan semakin pulih. Tanpa perlu berjumpa tuan doktor. Aku memang kurang gemar mengunjungi hospital ataupun klinik. Bau ubat sudah cukup memualkan. Aku lebih rela menelan ubat-ubat kampung cadangan mak. Walau kekadang pahitnya tidak kurang hebatnya.

Diruang ku ini, kurakamkan penghargaan dan terima kasih buat semua sahabat, AJK pelaksana muktamar atas susah payah dan kelam kabut kalian menguruskan muktamar siang tadi. Maaflah, muktamar berlangsung tanpa mampu aku laksanakan amanahku selaku nahkodanya. InsyaAllah..kita perbaiki segala kekurangan hari ini pada muktamar negeri 29 Mei ini.

Ayuh...bersama Memacu Perjuangan!

[mohon jasa baik, sesiapa yang punya foto-foto menarik muktamar siang tadi untuk dikongsi bersama dan tujuan pendokumentasian...hantarkan ke emel.]

Tuesday, March 30, 2010

Nota Pada Diri

Baru selesai menjamu keropok lekor [hadiah dari big bos dmpkt] beserta secawan teh o panas. Alhamdulillah..mengisi petang dan menutup siang yang sibuk hari ini. Tidak dinafikan minggu ini minggu yang mencabar fizikal dan mental. Kerja berantaian datang tanpa simpati pada diri. Lebih mencabar semua mahu segera dan sempurna. Bukan mudah!

Sudah lama tidak di asak begini. Zaman di kampus dulu, keadaan begini sudah menjadi kebiasaan. Kalau tiada tugas dan kerja itu yang pelik. Masa harus dicabangkan kepada tiga yang utama. Akademik, perjuangan dan kolej. Harus semua kelihatan sempurna di mata mereka yang memerhati. Keluar alam kampus, di sambut alam kerjaya, keadaan sedikit berubah. Agaknya masih dalam fasa ta'ruf. Lagipun dengan imej "ustazah" yang dipamerkan, kerja-kerja yang dipertanggungjawabkan di sekolah agak selektif. Satu rahmat dan terasa berkatnya memilih kekal dengan imej sebegini. Mudah-mudahan Allah terus memilih hingga hujung usia...Amin Ya Rabb.

Ini belum lagi memasuki alam rumahtangga. Alam yang menjadi idaman semua manusia terutamanya usia-usia sepertiku.

"Kerja sudah bagus, kereta sudah ada, keluarga pun sudah rasa duit gaji..apa lagi di tunggu?"

Soalan yang sering menerjah jiwa dan raga. Ada juga ketikanya aku menjawab :

"Tunggu di pinang lah"

Jawapan paling ampuh ku rasakan. Tapi ternyata tidak mematikan persoalan.

"Memilih sangat kali ni.."

Kata berbaur tuduhan yang malas untuk di bawa ke medan perbicaraan. Biarlah memujuk hati, jodoh itu rahsia Allah. Waktu, siapa dan bagaimana keadaanNya, menjadi rahsia disisiNya. Hanya doa mampu dipanjatkan, jodoh itu menjadi jambatan ke syurga. Manis atau pahit, duka atau bahagia ini persoalan kedua. Tidak semestniya pahit atau duka di dunia itu, neraka pengakhirannya. Tidak mustahil dengan pahit dan duka itulah, yang menjadikan diri lebih hampir kepada Sang Pencipta hingga membawa kita ke syurga. Apa ertinya bahagia punya suami dan anak-anak yang tercinta andai itu menjauhkan dari Allah..melalaikan dari tanggungjawab pada Allah dan Rasul yang hiraki cintanya lebih tinggi dari insan bernama suami.

Getar juga menulis selantang ini. Lagilah diri belum dimiliki oleh seorang lelaki. Namun, berbekal tawakal yang satu padaNya, mudah-mudahan kata yang lahir dari hati dan digazetkan di bicara sufi, akan menjadi saksi dan bukti untuk tampil mendakwa diri andai jauh tersasar dari teori dan amali jalan juang ini.

Berpesan pada diri dan semua yang mahu mengerti, hidup dan kehidupan sekadar jalan dan laluan menemui tuhan pencipta sekalian alam. Apa yang telah kita lalui, sadang lalui dan bakal lalui dinilai dan diperhati. Fahamilah, semuanya sudah tertulis di lauh mahfuz. Andai berhadapan dukacita, jangan terlalu kecewa. Usah terlalu membazirkan airmata yang ada titisan akhirnya. Simpan airmata itu untuk bukti sesal dan taubat kita atas segala noda dan dosa yang telah kita lakar di kanvas kehidupan. Jadikan dukacita penyubur sifat hamba dalam diri. Bukti kita ini maha lemah, hanya mampu merancang tetapi tiada upaya menentukan.

Saat melihat orang lain, tersenyum ceria diulit bahagia, pujuk hati.."aku tidak ditakdirkan bahagia sebegitu kerana jika aku dalam kebahagiaan itu, belum tentu aku akan menjadi orang yang bersyukur..boleh jadi aku kufur akan nikmat dan anugerah pinjamanNya ini". Bimbing diri, sentiasa bersangka baik dengan Allah. Tiada yang sia-sia dalam penciptaanNya.

Hargai siapa diri kita, syukuri apapun keadaan kita..yakin dan pasti..hidup kita berteman BAHAGIA. Walau tidak lagi berdua. ^_^

Friday, March 26, 2010

Demam AF lagi!

Kerja banyak namun rasa tidak tahu mahu buat kerja apa. Perkara biasa yang akan dihadapi tatkala kerja berlambak perlu diselesaikan. Sudahnya, mencari titik fokus agar kerja mampu diselesaikan satu persatu dengan baik, ku cari seketika "butang hijau" ku. Istilah yang ku pelajari daripada pakar motivasi tanah air, Dr Fadhilah Kamsah. Dan butang hijau ku malam ini adalah blogging..Apa "butang hijau" ni sebenarnya? Butang hijau ni adalah kita melakukan sesuatu yang boleh membangkitkan motivasi diri kita. [ni tafsiran gaya bahasaku..kalau nak yang lebih tepat, tanya lah Dr Fadhilah Kamsah..hehe]



Sebentar tadi, sempat menjenguk Diari AF, rancangan realiti no 1 Malaysia. Geleng kepala juga dengar makluman, hampir 10 000 rakyat Malaysia yang hadir untuk uji bakat. Betapa besarnya kesan hiburan kepada masyarakat. Namun, membazir masa sebentar tadi melihat telatah dan karenah pelajar-pelajar AF, menjawab persoalan dan kehairananku.

Akademi Fantasia walau sudah sampai musim ke 8, namun masih mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia, antara faktor kejayaannya adalah kesungguhan dan kekreatifan "team produksi" menjayakan rancangan tersebut. Lihat sahaja, rupa bentuk akademi yang menjadi "penjara" pelajar-pelajar tersebut, mewah dan mempesonakan. Bukan itu sahaja, dengan menyertai akademi, mereka dapat berpeluang berjumpa secara eksklusif dengan artis-artis pujaan mereka. Untung nasib, dapat berduet bersama lagi di hadapan ribuan penonton. Dalam pada itu, adegan-adegan drama yang menjadi taktik daripada AF1 hinggan AF8 masih menjadi senjata utama. Hingga cukup menjerat terutamanya golongan veteran untuk menjadi penonton setia.

Renungan sepintas lalu ini, menjawab persoalan dan kehairananku atas sambutan hangat Akademi Fantasia. Walau ramai yang sedar, impian mereka menjadi realiti sangat tipis. Buktinya, lihat sahaja mana perginya graduan-graduan AF sebelum ini. Adakah sudah berjaya menuju puncak? Atau masih terus bermimpi berada di pentas undian orang ramai.

Berada di pihak oposisi pada rancangan sebegini, menyedarkan bahawapara da'ie perlu bekerja lebih keras lagi. Harus berfikir dengan lebih bersungguh dan kreatif bagaimana mahu melariskan program-program yang dirangka dan direncana. Perlu menjadi pesaing hebat kepada AF, Mentor, One In A Million, LG Star dan yang seumpama dengannya.

Cuma yang penting, jangan sampai matlamat menghalalkan cara. Ini yang perlu dikawal. Adakalanya terlalu ghairah memburu impian hingga melekakan kita pada adab dan pantang larang. Paling penting, bijak membaca situasi dan persekitaran. Contohnya, kita memilih "membuang tudung labuh" ataupun "kopiah" semata-mata mahu mudah didekati oleh mad'u. Risau dengan kopiah dan tudung labuh itu, mewujudkan jurang serta mematikan peluang kita berdakwah. Terutamanya kepada golongan muda. Rasanya, "teori-teori" sebegini perlu dikaji terlebih dahulu. Yakinkah kita dengan imej "islamik" ini yang menjauhkan mad'u daripada kita? Atau sebenarnya sikap dan kemahiran komunikasi kita yang masih lemah. Mungkin contoh ini terlalu umum, namun adakalanya terzahir kerisauan melihat 'trend' baru dakwah hari ini.

Apapun jua, isu ini bersifat subjektif dan masing-masing punya pandangan yang tersendiri. Apa yang dilontarkan disini sekadar pandangan peribadi dengan keyakinan bahawa kekal dengan imej "islamik" masih membuka ruang kepada dakwah tanpa diskriminasi daripada mad'u. Paling penting teknik, kaedah dan pendekatan. Imej yang kita bawa adalah mukaddimah kepada apa yang kita mahu sampaikan. Melihat imej kita, mad'u sudah tahu produk kita adalah ISLAM. Islam yang hebat..bahkan sangat hebat dan sentiasa hebat! Jadi tidak perlu terlalu membuang masa bermukaddimah, terus boleh lompat ke langkah seterusnya.


Wallahua'lam..

Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...