Wednesday, May 12, 2010

BEBAS

senja melabuh tirai
gelap malam kian pekat
tanpa bayu dan desiran angin
kosong dan seakan kaku

hati seakan resah
gelisah yang sukar dimengerti
tidak tahu apa mahunya
tidak kutemu akan puncanya

cuma yang sahih
ternanti sesuatu yang tidak pasti
realiti atau sekadar ilusi
benar-benar menjerut emosi

mahu bebas di alam lepas
mahu lari mengejar cahaya
mahu mendaki gunung tak berpuncak

apa-apa sahaja
aku mahu BEBAS!

hingga tiada lagi cintaku
hilang semua rinduku
sirna semua kasihku
pada dunia dan isinya

hingga tiada lagi
selain cinta rindu kasih
pada DIA yang selayaknya.

BEBASKAN aku Ya Allah!

Friday, May 7, 2010

Islamik kah kita?

Salam Perjuangan

Mengambil ruang menanti Isyak. Kosong senjaku seminggu ini. CPU masuk ICU. Tidak dapat mengisi rohani dengan Kitab Fikah Mazhab Syafie yang dijelaskan oleh Dr. Abdul Basit Abdul Rahman. Terdetik untuk menulis akibat terkesan dengan soalan seorang sahabat maya yang saya kagumi. Tidak dilahirkan dalam Islam namun embun hidayah yang membasahi hatinya di lewat usia dewasa, menjadikan dia adakalanya aku rasa jauh lebih muslim berbanding aku yang muslim sedari lahir ke dunia. Iltizam dan bersungguhnya dia mahu bergelar muslim sejati.

"Apa hujah yang membolehkan seorang muslimah bekerja?" Tanyanya lewat YM dua hari lepas.

Mahu menjawab persoalan ini kepada seorang yang detail dan teliti pastinya tidak memadai sekadar memberikan dalil aqli. Jawapan ringkasku - "Saya tak boleh jawab malam ini, bagi saya masa, InsyaAllah, esok tanya saya semula." Berharap jawapanku tidak mematikan "mood" ingin tahunya.

Pagi-pagi lagi disekolah, aku menyerbu Ustaz di sekolahku. Cuba memulakan tugasanku. Perbincangan memberi beberapa idea. Namun masih tidak cukup. Lantas, dengan izin Allah, dimudahkan urusanku. Talian internet lancar sahaja pagi itu. Segera ku "google" persoalan yang dikemukakan. Alhamdulillah..bertemu beberapa laman web dari sumber yang sahih dan dipercayai. Menjawab persoalan yang diamanahkan kepadaku.


Tidak perlulah aku mengulas panjang di sini akan hujah dan jawapan pada persolan itu. Satu yang aku muhasabahkan, betapa diri ini menganggap remeh urusan beragama. Sepatutnya, persoalan-persoalan sebegini sudah ku hadam dan ku fahami sedalamnya. Bukankah hukum ini kena pada batang tubuhku sendiri? Iya, aku akur. Masih banyak perkara yang sepatutnya dititk beratkan tetapi masih dipandang remeh. Justeru itu, keberkatan dalam melakukan sesuatu itu tidak ada. Malunya rasa diri. Kerap bercerita soal perjuangan tetapi benda asas tidak "pass" lagi.

Sekadar berkongsi rasa keinsafan yang dianugerahkanNya, aku menyeru kepada semua sahabat seperjuangan, perhalusi kembali keadaan kita semasa bekerja. Terutama dalam aspek pergaulan. Biasa kelihatan, gurau senda kita terhadap rakan sekerja yang bukan muhrim seakan diluar batas sepatutnya. Bagi pendidik, tingkah kita kepada pelajar lelaki benarkah seperti yang dibolehkan? Adakalanya, usia yang terjarak antara kita dengan pelajar lelaki seakan "menghalalkan" tingkah yang tidak seharusnya. Bebas mencubit lengan atau perut mereka. Dengan alasan masih berlapik. "Islamik" kah tindakan sebegini? Apatah lagi bagi kita yang mengaku pejuang agamaNya.

Ini belum lagi menyentuh soal toleransi kita dalam berpakaian. Tidak dinafikan, kita masih menutup aurat. Bezanya, dahulu kita menutup aurat dengan terbaik. Kini berbekalkan alasan kerjaya dan menjaga "cakap-cakap orang", kita rela menurunkan sedikit darjat "terbaik" kepada "baik sahaja".

Satu lagi keadaan yang terasa agak kurang diberi perhatiaan terutamanya kepada para pewaris perjuangan, nilai dan etika kita semasa berFB. Isu ini pun tidak perlu lah dihuraikan dengan panjang lebar di sini. Memadai dengan menghayati tulisan terkini Ustaz Zaharudin Abdul Rahman di sini :


Budaya "membuat laporan" aktiviti harian di FB rasanya perlu diminimakan. Tegur menegurlah sesama sahabat. Jangan jadikan FB sebagai medan ukhuwwah semata-mata. Perkembangkan lagi dengan sesuatu yang lebih ilmiah. Kita mampu mengubahnya!

Berat juga mahu menulis seserius ini. Penulisnya juga tidak sempurna dan banyak melakukan kesilapan. Namun, memberanikan jiwa melawan belenggu rasa bersalah. Memaparkan untuk tatapan umum dengan harapan ada budaya saling mengingatkan. Hari ini, kesedaran dianugerahkan pada diri, maka tanggungjawab diri berkongsi rasa sesal dan berdosa. Esok lusa, mungkin giliran orang lain.

Semoga Allah terus memelihara kita..

Monday, May 3, 2010

Mengatur langkah

Malam yang agak lapang. Tidak punya tuntutan kerja yang mendesak. Seakan "lembab" perjalanan aktivti kehidupan sejak dua menjak ini. Hanya berfokus pada sekolah dan pulang ke rumah merehatkan badan yang tidaklah letih sangat. Petanda tidak baik!

Minda sudah tidak ligat berfikir untuk sesuatu yang boleh dikongsi selain pada diri sendiri. Sudah hampir-hampir masuk ke zon bahaya. Zon rehat tanpa disedari. Mungkin antara puncanya, usrah semakin kurang mengisi hujung minggu. Aduhai..bermain-mainnya dengan masa. Berani membiarnya berlalu tanpa kualiti untuk penilaian hakiki. Ikutkan hati mahu mencari kaunselor buat menyedar diri. Menyentak lamunan dan menungan panjang. Membangkit kembali ghairah berjuang bak singa di rimba. Mara dan fokus ke hadapan. Aduh..rindunya tika dan waktu itu. Monolog lagi!!

Hujung minggu lepas berkesempatan singgah jenguk Nisa' Games kali ke-2 di Kompleks Sukan Tawau. Bertegur sapa dan bersalaman ringkas sambil angguk-angguk mendengar penjelasan daripada adik-adik pelaksana program. Persis YB ziarah rakyatnya. Terasa bagai ada yang kurang. Kurang sahabat-sahabat "seangkatan". Realiti yang harus diterima. Ya..keadaan sudah tidak sama. Seiring berubahnya masa. Tiada yang perlu disesalkan atau dikenang-kenangkan. Semua ini aturan alam. Tidak ada yang bersifat statik. Dunia itukan ibarat roda. Berputar bersilih ganti.

Tapi benarlah. Jalan juang ini bukan milik individu. Patah tumbuh hilang berganti. Tanpa rakan seangkatan, perancangan tetap berjalan seperti takdirnya. Bezanya pelakunya sahaja. Allah gantikan yang tiada dengan hambaNya yang lain-yang dipilihNya. Pelajaran yang perlu dipelajari, jangan merasakan diri penting pada perjuangan sebaliknya perjuangan lah yang penting buat diri. Mahu berehat? Silakan..perjuangan tidak akan menghalang dan menunggu hingga hilang lelah manja itu. Perjuangan akan pantas mara ke hadapan bersama-sama dengan mata rantaian yang tidak pernah putus hinggalah ISLAM kembali berdaulat di alam semesta ini.

Tengah berusaha memulihkan motivasi diri agar langkah kembali kemas. Takut dan risau tempat di dalam jalan perjuangan ini digantikan dengan orang lain. Kepada yang mengenali diri..mohon teguran andai kalian melihat langkahku semakin perlahan....

Thursday, April 29, 2010

Wahai orang MUDA

Salam Perjuangan..

Dua hari lepas berkesempatan bersembang dengan seorang sahabat yang baru pulang dari musafirnya yang jauh. Gembira dan sedikit "cemburu" mendengar ulasannya. Cemburu yang dibekali azam, InsyaAllah..mahu menurut jejak nya suatu hari nanti.

Perbincangan tidak lama. Namun, impaknya besar. Masih ku rekod kemas diminda butir katanya yang dia kongsi denganku hasil pengalamannya bermusafir bersama Ketua DMPP. [jeles lagi dibuatnya..rezekinya kan..]. Dia menyatakan bahawa, usia muda ini harus dimanfaatkan sebaiknya. Harus melakukan banyak perkara di kala usia sebegini. Setuju benar, tatkala kudrat masih mengizinkan, masa juga belum terlalu banyak tuntutannya, maka sewajarnya ruang ini diberikan lebih sedikit pada sesuatu yang bermakna. Bukan sahaja buat diri sendiri tetapi juga untuk ummah dan perjuangan.

Tetapi adakalanya, usia masih muda, namun jiwa sudah semakin tidak segar untuk terus lincah di medan perjuangan. Halangannya bukan usia, tetapi perubahan diri. Kalau dahulu penuh semangat di alam kampus, tiba di alam kerjaya teori tinggal teori.Kalau dahulu masih bujang, bijak mencari ruang, untuk merealisasi perancangan, bila status sudah berubah, sibuk memberi alasan. Realiti ini bukan disesuaikan dalam konteks gerak kerja perjuangan semata,tetapi juga ditujukan buat kualiti diri. Ramai yang mengeluh, masa zaman belajar dahulu, Al-Quran teman jiwa, qiamullail rutin malam, tetapi sejak menempuh alam kerjaya segalanya seakan sukar dan sulit untuk dibiasakan lagi. Sesuatu yang perlu direnung dan fikirkan!

Paling penting, kita tahu dan sedar apa yang matlamat kehidupan ini. Ianya akan mejadi lorong memandu perjalanan yang tidak pasti bila akhirnya. Hidup ini perjuangan..perjuangan memburu REDHANYA. Ayuh orang muda..manfaatkan usia kita!



Tuesday, April 27, 2010

Tidak penting!

Menulis seketika walau agak tergesa-gesa...CPU masuk wad lagi..huhu..kerapnya bermasalah..sepi malamku dibuatnya. Iyalah kan..biasanya malam lah online sehabisnya. Siangkan sekolah..kat sekolah tak boleh nak sesuka hati..nanti kena 'penalti'..hehe

Terpaksalah bercuti seketika bicara sufi..bersikap positif..manfaatkan ruang, menghadam solusi yang rajin dibeli tetapi lambat di baca...

[nampaknya tuan laptop pinjaman ini sudah menuntut laptopnya..huhu]

Friday, April 23, 2010

Izinkan aku terus menulis

Hampir sejam saya membiarkan "page" ini terbuka tanpa terisi sepatah kata pun. Saya punya rasa untuk menulis, keinginan yang saya tahan-tahan dari siang hari lagi. Tetapi apabila punya kesempatan, tiba-tiba saya jadi kaku. Minda saya sedikit beku untuk mengeluarkan idea-idea yang boleh saya kongsikan pada entry kali ini. Sudahnya, saya membiarkan masa berlalu dengan bersembang bersama seorang adik di YM dan seorang kenalan di FB.

Saya sedikit berat untuk menulis, sejak pulang dari Hotel De Choice tempoh hari. Seorang sahabat berkata kepada saya :

"Bagus ko tutup jak blog mu..itu lebih kepada blog peribadi bah tu"

Ayat ini terpacul keluar tatkala perwakilan membahaskan tentang lujnah IT. Dengan pendengaran yang terbatas, saya dan sahabat itu, terdengar nama Amirah Izzati dan Bicara Sufi disebut. Tapi tidak jelas akan intipati penjelasan Ketua Lujnah Penerangan kawasan hingga menyebabkan nama saya terkeluar. Cuma saya menyimpulkan, bos saya memaklumkan kepada hadirin, bahawa saya antara yang bertanggungjawab mengurus blog rasmi kawasan. Tiada salahnya penjelasan dan penerangan bos saya itu.

Cuma yang masih berbekas di minda, saranan sahabat saya itu. Pasti ada lagi insan-insan terutamanya rakan seperjuangan yang keliru status bicara sufi. Walhal sudah pernah saya nyatakan, sememangnya, bicara sufi adalah blog peribadi. Peribadi yang membawa maksud, saya bebas berkongsi apa sahaja yang saya rasakan ada manfaatnya untuk tatapan siapa sahaja yang sudi singgah ziarah di sini. Blog ini memang tidak sekadar membincangkan hal-hal siasah semata-mata. Tidak sama sekali! Bukan juga bermaksud saya tidak menyentuh langsung urusan siasah ini, ada juga yang saya selitkan. Yang saya rasakan saya berkelayakan untuk mengulasnya. Namun, saya beranggapan, dengan tidak sekadar membincangkan hal-hal siasah dalam negara, pembaca masih dapat menyimpulkan kecenderungan politik saya. Saya rasa ianya bukan lagi rahsia.

Menyentuh soal blog peribadi, saya menjelaskan, tidak semua yang saya kisahkan di sini adalah kisah peribadi saya. Harap tidak dianggap sebegini. Ada yang saya ambil dari pengalaman orang lain. Tapi saya ibaratkan pengalaman itu saya yang lalui. Lantas, saya olah menjadikannya seolah-olah ianya kisah saya. Matlamat saya hanya mahu kita yang membacanya memperolehi sesuatu. Itu sahaja.

Saya selalu berpesan pada diri, pastikan apa sahaja yang kita lakukan, bernilai ibadah di sisiNya. Itu sahaja yang boleh menjadikan kita beruntung di dunia. Macam orang berniagalah, matlamatnya untung. Bukankah kita juga sedang berniaga dengan Allah. Keuntungan perniagaan kita ini adalah pahala yang berasal daripada ibadah. Saya berusaha menjadikan marah, kecewa, terluka, sedih, rindu, kasih, gembira mahupun bahagia saya sebagai ibadah. Bagaimana saya mengaitkannya dengan bicara sufi? Saya gazetkan segala rasa yang hadir ini di sini secara positif. Tanpa nada putus asa dan hilang arah. Sebab yakin, sebagai muslim yang mahu menjadi mukmin-muttaqqin, tidak ada sikap pesimis dalam kamus kehidupan. Hanya ada sikap optimis kerana yakin dan pasti Allah sentiasa di sisi hamba-hambaNya. Antara teori kehidupan sebagai muslim : Musibah hadapi dengan sabar, Bahagia jangan lupa syukur. Nescaya hidup sentiasa dalam kebaikan. Yakinlah!

Harapnya, dengan penjelasan ini, tiada lagi yang terkeliru dengan bicara sufi. Andainya ada yang merasakan blog ini tidak sesuai dengan yang sepatutnya, kemaafan saya pinta. Blog ini bersifat terbuka, tanpa memfokus kepada mana-mana pembaca. Bahkan, saya akui, pelajar saya sendiri ada yang membacanya, saya tidak kisah kerana saya memang berniat mahu berkongsi dengan sesiapa sahaja.

Mohon izin untuk terus menulis...

Sunday, April 18, 2010

Sedar Diri

Bismillah Wal Hamdulillah

Syukur kepadaNya.. terpilih untuk hadir ke muhasabah perjuangan di Hotel De' Choice hari ini. Walau sekadar sebagai pemerhati! Acara tahunan itu berlangsung secara "sederhana". Tiada isu-isu yang hangat luar dari kebiasaan menjadi perbahasan. Situasi yang aku senangi kerana bagiku, apa guna panas berapi di medan perbahasan, tetapi sejuk beku dalam gerak kerja perjuangan. Suasana perbahasan yang berada dalam kawalan, aku kira juga atas kematangan perwakilan dalam berhujah. Semakin bijak mengutarakan respond dan pandangan. Tidak membuang masa dengan mukaddimah yang berjela-jela. Terus langsung kepada isi dan fakta. Para pimpinan pula, sememangnya bijak memberi jawapan kepada persoalan yang diajukan. Tidak sekadar mempertahankan diri, tetapi meminta ahli turut serta merenung diri.

Benarlah tindakan itu. Perjuangan ini milik semua. Baik pimpinan, mahupun ahli. Pimpinan menunjuk jalan dan membuka ruang. Ahli mengikut arahan namun masih terbuka memberi pandangan. Perhatikan sahaja adab-adab berjemaah, InsyaAllah jalan lurus dilalui dengan tulus tanpa ada calaran pada hati, jiwa dan perasaan. Kalau hadir juga, nescaya sekadar singgah seketika tanpa membiak menjadi dendam dan prasangka. Akan segera hilang, tatkala rasional akal dan kejernihan hati menghalau pergi balutan emosi. Inilah indahnya hidup berjemaah. Lebih indah jika disiplin dan adab berjemaah dipatuhi bersama.

Tidak dinafikan, menghadiri program sebegini, membakar semangat perjuangan yang semakin malap. Menyemarak kesungguhan yang adakalanya layu lesu. Termotivasi diri. Tersentak dari menungan panjang. Kerja terlalu banyak, masa sentiasa ada. Cuma yang tiada gerak kerja dan kesungguhan. Asyik sibuk mencari alasan agar boleh terlepas dari amanah dan tanggung jawab. Resah dan susah hati jika mendapat surat jemputan terpilih menjadi jawatankuasa pelaksana program. Tidak sesal dan kesal jika tidak hadir program. Kali pertama "ponteng" terbit juga rasa bersalah. Kali kedua "ponteng" masih ada sedikit rasa bersalah. Kali ketiga dan seterusnya, sudah tidak punya rasa. Andai sudah sampai ke "zon bahaya" ini, segeralah cari penawar. Jika tidak, kita mungkin akan mengucapkan "selamat tinggal perjuangan"! Tidak pasal-pasal, kita menyusahkan sahabat seperjuangan yang lain, untuk menjalankan kajian tindakan, mengapa gejala keciciran tidak mahu sifar...Jangan sampai begini!

Ada satu lagi medan muhasabah yang di nanti. 29hb Mei 2010, Tawau akan menjadi medan pertemuan semua pemuda dan muslimat perjuangan dari seluruh Sabah. Mudah-mudahan, tarikh itu akan menjadi saksi kami semua membuktikan komitmen serius bekerja untuk ISLAM. Permudahkan Ya Allah...

Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...