Sunday, September 27, 2009

Di senja ini

Termenung aku di anjung senja
Memikir dan memuhasabah
Membelenggu jiwa dan rasa
Agar bisa tunduk dan redha

Tatkala diri bagai tidak bernyawa
Menahan sesak dan resah jiwa
Sesekali di uji derita
Oleh Dia Sang Pencipta

Tanpa aku sedar dan perasan
Bukan aku saja punya ujian
Bukan aku saja menahan perasaan
Bukan aku sahaja berdepan persoalan

Kiri, kanan, depan dan belakang
bahkan di segenap penjuru alam
Ada lagi yang lebih malang

Tatkala aku punya mata yang sempurna
Ada yang buta tanpa melihat dunia
Tatkala aku punya lisan menutur bicara
Ada yang bisu tanpa mampu berkata
Tatkala aku mampu berjalan gagah
Ada yang hanya mampu berkerusi roda
Tatkala aku mampu bergaji dan berkerjaya
Ada yang masih mengharap simpati sesiapa

Mengapa aku masih perlu gundah
Mengapa aku masih perlu resah
Ketika nikmat datang mencurah
Membuat hidup lebih bermakna



Puisi hati ini terilham tatkala dalam perjalanan pulang dari rumah kakak sulungku membawa anak buah yang bermuram durja kerana berpisah dengan ibunya yang terpaksa meneruskan pengajian KPLI di IPGM Keningau.

Dalam perjalanan senja itu, hati tersentuh melihat pekerja-pekerja kilang yang menanti bas mereka. Terpaksa mereka berjaga semalaman dan bekerja keras dengan imbuhan yang tidak seberapa. Meneruskan perjalanan, terjumpa pula seorang pakcik tempang sedang berusaha berjalan pantas dengan kepayahan. Sebelum tiba di pakir rumah, melalui pula sekumpulan anak remaja muslim yang masih duduk bertenggek di tepi jalan sambil bernyanyi sumbang. Walhal azan sudah berkumandang menyeru kepada solat dan mencapai kejayaan.

Pemandangan-pemandangan disepanjang perjalanan singkat yang benar-benar menginsafkan. Sejuta kesyukuran ku panjatkan kerana Allah memberi ruang dan peluang dengan rahmatNya untuk diri merasai manis dan nikmatnya berada dalam Islam dan Iman. Kekalkan Ya Allah dengan kenikmatan yang tiada bandingan ini...





No comments:

Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...