Tuesday, September 22, 2009

Kisah Syawal

Salam Lebaran

Alhamdulillah..syukur atas nikmat usia dan masa..bertamu juga kita anjung Syawal. Setelah sebulan bermujahadah melawan hawa nafsu membina benteng diri selama sepurnama bersama Ramadhan.

Hari ini sudah 3 Syawal. Bukan baru berkesempatan untuk mencurah rasa bersama bicara sufi, terlalu banyak masa lapang dan terluang. Namun sengaja tidak mahu melakar sesuatu..nanti kelihatan "abnormal" pula kan. Orang tengah beraya, kita pula asyik menghadap laptop. Sudah-sudahlah dikata "abnormal"..ni nak jadi normal betul-betul dah ni. :-)

Hari ini nak bercerita tentang raya sahaja. Bermula dari persiapan raya hinggalah ke hari raya. Mungkin entry kali ini agak panjang. Jadi kepada yang bergegas dengan masa, bacalah sekerat-sekerat. Janji faham jalan cerita. :D


29 Ramadhan saban tahun sememangnya hari yang sibuk dan memenatkan. Hari itu merupakan persiapan kenduri hari raya. Untum makluman, suku kaum bugis di Tawau ni sangat sinonim dengan kenduri. Sikit-sikit kenduri. Anak masuk universti, kenduri. Nak masuk Ramadhan kenduri. Nak hari raya [aidilfiti atau aidiladha] kenduri. Kenduri kesyukuran dan doa selamat. Hendak berkenduri itu tiada masalah, cuma jangan sampai membebankan. Mewajibkan sesuatu yang tidak wajib. Ini yang menjadi masalah. Selain itu kenduri-kenduri ini dimasukkan unsur-unsur khurafat yang dianggap adat. Contohnya mesti menggunakan kemenyan, wajib menyediakan hidangan dalam 6 dulang, disediakan dulang-dulang makanan khas untuk ahli keluarga yang telah meninggal.



Merubah situasi yang sudah berakar umbi ini pasti tidak mudah. Bukan sekali dua, saya diajukan persoalan berkaitan isu-isu ini. Setiap kali ceramah ataupun dalam pengisian semasa usrah, pasti ada soalan berkaitan isu begini. Jawapan ringkas saya, ubah dengan ilmu dan hikmah. Itu uslub dakwah yang paling tepat. Perlengkapkan diri kita dengan ilmu agar arif membezakan yang mana adat-adat yang boleh dikekalkan dan tidak bercanggah dengan syariat, dan adat-adat yang khurafat yang harus dibuang. Proses menegur dan membanterasnya perlu hikmah dan kebijaksanaan. Bijaklah membaca keadaan dan persekitaran. Apatah lagi yang mahu ditegur, mahu ditunjuk ajar adalah orang-orang tua kita. Yang pasti punya ego yang tebal. Namun, pasti dengan kesabaran dan kesungguhan akan berlaku perubahan. Tidak banyak sedikit pun memadai. Mula-mula sedikit, lama-lama pasti mampu kita buang semuanya. Kalau bukan pada masa kita, InsyaAllah..pada masa anak cucu kita. Tugas kita terus dan terus berdakwah.

Seperti biasa, malam raya adalah malam perhimpunan keluarga. Semua adik-beradik duduk bersama. Rumah mak di Kg Pasir Putih, meriah dengan gelagat anak-anak buah yang kecoh bermain bunga api. Kami yang dewasa ini pula, duduk menghadap juadah raya sambil bersembang dan bergelak ketawa mengenang kisah-kisah semasa kecil dahulu. Satu persatu memori kanak-kanak kami imbau kembali. Inilah seronoknya adik beradik ramai..




Pagi raya pula, pastinya diisi dengan menunaikan solat sunat aidilfitri. Sekali lagi, Masjid Ar-Raudhah, SMK Jambatan Putih menjadi masjid pilihan untuk bersolat. Pengikut setia mak dan 2 orang adik perempuaan turut serta. Walaupun jarak masjid ini jauh dari rumah, tetapi kerana suasananya yang tenang membuatkan kami tetap ke sini. Berbanding dengan masjid di kampung sendiri, terpaksa bersesak-sesak dan pasti tidak dapat mendengar khutbah raya kerana semua kalut hendak balik. Biarlah berkorban jauh berjalan demi keselesaan.


Balik bersolat, pasti saat yang dinanti oleh adik-adik dan anak buah. Masa untuk mengutip duit raya. Melihat kegembiraan mereka, juga melahirkan kegembiraan diri. Berkongsi rezeki kurniaanNya dengan insan-insan terasayang.



Setelah mengisi perut dengan juadah raya, kami meneruskan aktivit raya dengan ziarah kubur. Peluang berkumpul di hari raya ini, dimanfaatkan untuk menziarahi pusara insan-insan yang mendahului kami. Sebak masih tidak dapat disembunyikan tatkala berada di pusara bapa. Masuk tahun kedua beraya tanpa bapa. Kenangan bersamanya masih segar dan tidak akan sirna sampai bila-bila. Belum puas berkongsi kejayaan hari ini dengannya. Hanya doa mampu dikirim agar dia sejahtera di sana...
Selebihnya Syawal diisi dengan menanti tetamu dan kunjung ziarah rumah keluarga terdekat. Memandangkan nenek dengan atuk sudah tiada, rumah mak menjadi "sasaran" keluarga untuk berziarah. Maka, kuranglah berjalan, banyak menunggu dan menanti sahaja.




Tahun ni pun tidak ikut serta sahabat-sahabat Nisa'alam konvoi raya. Kenapa? Entah..hanya itu yang mampu dijawab. :-) Raya tahun ini lebih banyak berehat di rumah sambil mencuci mata dengan rancangan-rancangan TV yang macam-macam ada...
Demikianlah corat coret raya 2009 ini. Esok dalam perancangan akan ke Kunak. Membawa mak menziarahi sanak saudaranya yang sudah lama tidak bersua. Harap-harap esok kinjungan raya yang terakhir. Mahu memulakan puasa sunat 6 pula. Kalau sekolah dah bermula, lagi kuat cabaran nak berpuasa. Pasti ada sahaja jamuan raya di sekolah...

Akhir kalam untuk entry raya ini, saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf kepada siapa jua yang mengenali diri. Semoga sinar Syawal ini, membawa kepada kedamaian dan kebahagiaan kepada hati dan perasaan kita semua. Buang yang keruh ambillah yang jernih..InsyaAllah..

3 comments:

hanaizor83 said...

"entah"..itulah juga jawapan yang bersarang dihatiku ketika ditanya kenapa tidak join beraya bersama sahabat2 tahun ni..Selamat Hari Raya Aidilfitri..Maaf zahir dan batin..

bicara_sufi said...

hmm...ada juga member yang tak pegi yer..semoga cepat "sihat perasaanmu" ya ogy..

Maaf zahir batin

Rahman said...

Wah bestnya entri ni... Ada bakat menulis..

Rindu plak dgn famili di Tawau, tahun ni dah masuk tahun ke 4 beraya di perantauan...