Sunday, October 11, 2009

Kejayaan yang masih tertunda

Hari ini benar-benar terisi penuh. Dari awal pagi hingga ke petang ada saja aktiviti yang dilakukan. Awal hari ini diisi dengan tugasan di OUM, tanpa rehat berkejar ke meeting LPP DMPKT. Selesai menunaikan zohor yang ringkas, memecut laju ke Yassin Curry House untuk meeting penerangan kawasan pula. Mujur meeting bersama adik-adik pemuda ini santai sahaja. Sambil melayan "mee mamak" dan segelas horliks ais, berjaya juga kami menyediakan dan melengkapkan draf buletin sulung PAS kawasan Tawau. InsyaAllah..mudah-mudahan perancangan akan memudahkan perlaksanaannya nanti.

Selesai urusan rasmi perjuangan, aku memenuhi jemputan rumah terbuka sahabat-sahabat SMKJPT. Menu nasi kerabu dijamah seadanya kerana masih kenyang dengan "mee mamak". Semuanya "full". Perut "full", masa pun "full". Kalau setiap hari macam ini pun tidak mengapa. Mengisi masa lebih menggembirakan daripada sekadar duduk rumah tidak tahu hendak buat apa-apa. :-)

Malam ini, seperti yang kita maklumi, kejayaan untuk ISLAM meraih kemenangan di Bagan Pinang masih tertunda. Kejayaan masih belum menjadi milik kita. Memang keputusan ini tidak menggembirakan, tetapi tidak harus untuk kita berputus asa, lemah dan berdukacita. Dengan kemenangan-kemenangan yang telah kita perolehi sebelum ini, kekalahan ini wajar kita muhasabahkan sebagai peringatan daripada Allah, agar jangan terus hanyut dan terleka. Siapa tahu, kekalahan di Bagan Pinang ini adalah persediaan untuk kita lebih bekerja keras menawan satu Malaysia kelak..InsyaAllah

Walaupun kita kalah dari sudut kiraan mata undi, tetapi kita telah menang dari sudut redha dan penilaian Allah. Nilai kemenangan ini jauh lebih bermakna. Berbanding UBN, walaupun mereka menang dari sudut majoritinya, hakikatnya mereka telah kalah dari awal lagi. Mereka kalah dalam menampilkan calon yang benar-benar berintegriti dan berkredibiliti. Memberi gambaran, UBN ketandusan calon yang layak memimpin.

Sikap pengundi yang masih memilih UBN walau hakikatnya penuh dengan palitan rasuah, kebathilan dan kezaliman, harus dimuhasabahkan oleh semua pejuang-pejuang PR. Kerja keras harus diteruskan untuk membantu membuka mata dan minda pengundi bahawa segala janji manis daripada UBN hanyalah sekadar auta bukannya fakta yang akan dikota. Janji-janji berbentuk pembangunan material ini hanyalah bersifat sementara dan akan musnah jua. Apa yang kekal adalah kebahagiaan yang hanya akan diperolehi dengan memilih ISLAM sebagai acuan kehidupan.

Dakwah perlu diteruskan dengan konsisten dan berhikmah. Kepada pengundi melayu-Islam, wajib kita jelaskan, agar keluar dari kepompong jahiliah kepada taqwa semata. Kepada pengundi bukan Islam, kita terangkan dengan penuh hikmah, Islam adalah sebuah agama keadilan dan kedamaian. Menjaga seluruh alam agar damai dan sejahtera sentiasa. Kepada pengundi muda, kita sedarkan mereka, masa depan mereka akan lebih bermakna dan cemerlang dengan ISLAM. Kepada pengundi tua pula, kita seru mereka melakukan perubahan. Berani membuat perubahan. Demi masa depan anak cucu mereka yang lebih terjamin. Bukan sekadar jaminan pembangunan material, tetapi yang jauh lebih penting adalah pembangunan jiwa dan sakhsiah diri. Jangan risau atau khuatir, pilihlah ISLAM, pasti bahkan sangat pasti, semuanya akan selamat dan sejahtera.

Moga dukacita kita sekadar malam ini sahaja. Esok kita mulakan kembali langkah gagah membelah badai dan arus perjuangan. Kepada pejuang dan pecinta keadilan di bumi peladang ini, kerja kita masih banyak. Jelajah dakwah, Program PAS Prihatin, Konvensyen IT, Nisa' Team Building antara yang menanti untuk kita realisasikan dengan jayanya. Kumpul kekuatan, kukuhkan ikatan bersama kita terus melayar bahtera perjuangan....

2 comments:

LegendZ said...

Ayuh..Terus Bekerja utk Islam...

bicara_sufi said...

kerja yang melebihi masa yang ada

Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...