Thursday, October 1, 2009

Sabar yang sangat panjang

Hari ini 12 Syawal 1430H. Alhamdulillah..berjaya juga menghabiskan puasa sunat Syawal. Kali ini agak istimewa sebab puasa di lalui bersama-sama emak tersayang. Setiap hari kami sahur dan berbuka bersama. Hati benar-benar tersentuh melihat mak yang jauh lebih berusia dari diri, tetapi lebih gagah berpuasa. Setiap hari balik daripada sekolah, aku akan memperuntukan masa untuk melelapkan masa sementara menanti asar. Mak pula, tidak senang duduk bahkan sentiasa saja ada kerja yang dilakukan. Paling tidak, melayan dan mengawasi cucunya yang tersangat "buas"nya.

Masih ingat lagi, 2 atau 3 tahun lepas, emak pernah bertanya, "bulan Syawal bagus rupanya kita puasa 6 hari kan"

"Iya..memanglah mak. Puasa sunat 6." Aku menjawab dengan senyuman.

"Owh..kenapa tidak kasi tau..nanti mahu puasalah " Jawab mak lagi

"InsyaAllah.." jawabku ringkas..senyuman masih berbaki di bibir..

Waktu itu mak baru pulang dari menunaikan ibadah haji. Ternyata perbezaan mak berbanding sebelum ini. Mak lahir dan dibesarkan dalam keluarga dan masyarakat yang kurang kefahaman agama. Lebih mengecewakan, terlalu dibelenggu dengan adat-adat yang kurang selari dengan syariat. Jadi untuk mengharapkan mak membimbing dan memandu ke arah hidup berlandaskan syariat Islam yang sempurna tidaklah sangat...

Awal-awal aku mula terlibat dengan "gerakan Islam" semasa zaman sekolah dahulu, hanya Allah yang tahu betapa kecamuknya jiwa. Hati sentiasa berselubung duka melihat ahli keluarga yang tidak memahami apatah lagi menghayati syariat sebagai panduan kehidupan. Dalam usia yang sangat muda ketika itu, apa sajalah yang boleh dilakukan. Hanya linangan airmata dan doa menjadi teman. Kini bersama usia yang semakin dewasa, berbekal kerjaya sebagai senjata, sedikit sebanyak suara dan pandanganku boleh diterima oleh mak dan ahli keluarga yang lain. Walaupun masih terlalu banyak kekurangan yang belum dibaiki, selebihnya aku sandarkan kepada rahmat dan keampunan DIA yang Maha Pengampun. Aku hanya mampu berusaha sedayanya.

Aku yakin, masalah ini turut dialami oleh sahabat-sahabat yang lain. Bahkan isu sebegini, isu yang paling kerap dibincangkan bersama adik-adik PERPIS semasa usrah. Realiti anak-anak "mendidik" orang-orang tua bukan lagi fenomena yang pelik. Cumanya, realiti ini sangat perit dan mencabar. Perlu dilaksanakan dengan sangat berhati-hati. Yang hak dan benar harus ditegakan dalam masa yang sama adab dan akhlak sebagai anak juga masih wajib diutamakan.

Sesungguhnya, hingga ke hari ini bahkan mungkin hingga ke hujung nyawa, perjuangan ini akan berterusan. Sering membisik jiwa agar jangan resah dan berdukacita tatkala belum berjaya merubah keluarga, "hak kita sebagai hamba adalah berusaha..berjaya dan tidak itu adalah hak dan urusan Dia Yang Mencipta..maka, berusahalah dan terus berusaha.."

Tatkala mahu lari dari amanah lantaran kecewa dan putus asa..segera membaca firmanNya sebagai renungan dan muhasabah diri..



1 comment:

Adry said...

yeap... bukan mudah tempuh keadaan macam tu...

Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...