Monday, January 25, 2010

Ketika Cinta Bertasbih

Menahan mata dari terlena. Tidak mahu membiasakan mata dibuai siang hari begini. Takut malamnya susah pula mahu lena. Ruang yang ada dimanfaatkan untuk menulis satu entry yang lama sudah difikirkan mahu digazetkan di bicara sufi. Agaknya ini ulasan filem yang pertama dalam senarai entry.

Sememangnya masa diperuntukan dua tiga hari ini untuk membuat sedikit kajian berkenaan sebuah filem iaitu Ketika Cinta Bertasbih hasil karya novelis terkemuka Indonesia Habiburrahman El-Shirazy [Kang Abik] arahan Chaerul Umam. Tidak berniat mahu mengulas watak demi watak atau jalan cerita filem ini kerana umum sudah mengetahuinya.

Sekadar mahu memberi pujian pada filem berwajah islamik ini. Barisan pelakon terutama 5 tunjang utamanya benar-benar menghayati wataknya hingga terasa lakonan itu hidup dan meninggalkan kesan. Ternyata pelakon yang baru temui bakat mereka melalui satu ujibakat, mempunyai bakat lakonan yang sangat hebat. Terzahir keikhlasan mereka melakonkan watak yang diamanahkan. Kholidi Asadil Alam yang memegang watak Abdullah Khaerul Azzam mengatakan "mahu menjadikan lakonan sebagai medan menyampaikan dakwah Islam". Beliau juga menyatakan akan menerima tawaran berlakon dengan syarat tidak ada adegan "peluk-peluk". Contoh yang seharusnya diteladani oleh para pelakon muslim. Bukan bermakna menjadi pelakon itu kita mempunyai "lesen" untuk mengetepikan batas-batas syariat dalam pergaulan.



Uniknya KCB, walaupun mengangkat tema cinta antara adam dan hawa, tetapi masih berupaya menjaga nilai syariat. Bukan tidak ada babak suami dan isteri bahkan ada babak malam pertama. Namun tidak pun pelakonnya bebas beraksi layaknya seorang suami dan seorang isteri. Tidak sampai pelakon muslimah, membuka jilbabnya walaupun berada di dalam kamar pengantin bersama suaminya. Inilah yang dicontohkan oleh Odi Setiana Dewi yang memegang watak Anna Althafunnisa.



Adakah keadaan sebegini akan mencacatkan kualiti ataupun menjejaskan mutu filem tersebut? Rasanya tidak sama sekali. Sudah terbukti filem itu mendapat sambutan yang sangat menggalakan. Hinggakan sambutan tayangan KCB di Hong Kong juga sangat baik. Filem yang pelakonnya "menghayati" watak, hingga benar-benar bagai suami dan isteri, atau ibu dan anak belum tentu mendapat sambutan hebat sebegini.

Walaupun tidak dinafikan, KCB masih mempunyai kelemahan-kelemahan, namun buat masa ini, tidak keterlaluan kalau dikatakan KCB telah berjaya merintis dan mencetus revolusi baru dalam dunia perfileman. Sewajarnya pembikin filem terutamanya di Malaysia mengambil tauladan dan ikhtibar. Rasanya kita tidak ketandusan skrip ataupun jalan cerita yang baik, kita pasti punya pelakon yang benar-benar mahu berlakon dengan matlamat membawa mesej baik kepada masyarakat disamping menjadikan syariat sebagai garis panduan. Cuma mungkin kita belum punya penerbit yang berani dan mahu "berjihad" dengan filem. Sanggup mengeluarkan modal dan belanja yang besar untuk satu perubahan.

[Sambil menulis, terbayang..alangkah baiknya jika drama popular Nur Kasih juga seperti KCB..]

No comments:

Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...