Sunday, October 11, 2009

Kejayaan yang masih tertunda

Hari ini benar-benar terisi penuh. Dari awal pagi hingga ke petang ada saja aktiviti yang dilakukan. Awal hari ini diisi dengan tugasan di OUM, tanpa rehat berkejar ke meeting LPP DMPKT. Selesai menunaikan zohor yang ringkas, memecut laju ke Yassin Curry House untuk meeting penerangan kawasan pula. Mujur meeting bersama adik-adik pemuda ini santai sahaja. Sambil melayan "mee mamak" dan segelas horliks ais, berjaya juga kami menyediakan dan melengkapkan draf buletin sulung PAS kawasan Tawau. InsyaAllah..mudah-mudahan perancangan akan memudahkan perlaksanaannya nanti.

Selesai urusan rasmi perjuangan, aku memenuhi jemputan rumah terbuka sahabat-sahabat SMKJPT. Menu nasi kerabu dijamah seadanya kerana masih kenyang dengan "mee mamak". Semuanya "full". Perut "full", masa pun "full". Kalau setiap hari macam ini pun tidak mengapa. Mengisi masa lebih menggembirakan daripada sekadar duduk rumah tidak tahu hendak buat apa-apa. :-)

Malam ini, seperti yang kita maklumi, kejayaan untuk ISLAM meraih kemenangan di Bagan Pinang masih tertunda. Kejayaan masih belum menjadi milik kita. Memang keputusan ini tidak menggembirakan, tetapi tidak harus untuk kita berputus asa, lemah dan berdukacita. Dengan kemenangan-kemenangan yang telah kita perolehi sebelum ini, kekalahan ini wajar kita muhasabahkan sebagai peringatan daripada Allah, agar jangan terus hanyut dan terleka. Siapa tahu, kekalahan di Bagan Pinang ini adalah persediaan untuk kita lebih bekerja keras menawan satu Malaysia kelak..InsyaAllah

Walaupun kita kalah dari sudut kiraan mata undi, tetapi kita telah menang dari sudut redha dan penilaian Allah. Nilai kemenangan ini jauh lebih bermakna. Berbanding UBN, walaupun mereka menang dari sudut majoritinya, hakikatnya mereka telah kalah dari awal lagi. Mereka kalah dalam menampilkan calon yang benar-benar berintegriti dan berkredibiliti. Memberi gambaran, UBN ketandusan calon yang layak memimpin.

Sikap pengundi yang masih memilih UBN walau hakikatnya penuh dengan palitan rasuah, kebathilan dan kezaliman, harus dimuhasabahkan oleh semua pejuang-pejuang PR. Kerja keras harus diteruskan untuk membantu membuka mata dan minda pengundi bahawa segala janji manis daripada UBN hanyalah sekadar auta bukannya fakta yang akan dikota. Janji-janji berbentuk pembangunan material ini hanyalah bersifat sementara dan akan musnah jua. Apa yang kekal adalah kebahagiaan yang hanya akan diperolehi dengan memilih ISLAM sebagai acuan kehidupan.

Dakwah perlu diteruskan dengan konsisten dan berhikmah. Kepada pengundi melayu-Islam, wajib kita jelaskan, agar keluar dari kepompong jahiliah kepada taqwa semata. Kepada pengundi bukan Islam, kita terangkan dengan penuh hikmah, Islam adalah sebuah agama keadilan dan kedamaian. Menjaga seluruh alam agar damai dan sejahtera sentiasa. Kepada pengundi muda, kita sedarkan mereka, masa depan mereka akan lebih bermakna dan cemerlang dengan ISLAM. Kepada pengundi tua pula, kita seru mereka melakukan perubahan. Berani membuat perubahan. Demi masa depan anak cucu mereka yang lebih terjamin. Bukan sekadar jaminan pembangunan material, tetapi yang jauh lebih penting adalah pembangunan jiwa dan sakhsiah diri. Jangan risau atau khuatir, pilihlah ISLAM, pasti bahkan sangat pasti, semuanya akan selamat dan sejahtera.

Moga dukacita kita sekadar malam ini sahaja. Esok kita mulakan kembali langkah gagah membelah badai dan arus perjuangan. Kepada pejuang dan pecinta keadilan di bumi peladang ini, kerja kita masih banyak. Jelajah dakwah, Program PAS Prihatin, Konvensyen IT, Nisa' Team Building antara yang menanti untuk kita realisasikan dengan jayanya. Kumpul kekuatan, kukuhkan ikatan bersama kita terus melayar bahtera perjuangan....

Friday, October 9, 2009

Menuju Puncak

Hari ini hajat untuk panjat bukit tercapai juga akhirnya. Ajakan spontan kepada adikku bersahut dan kami realisasikannya walau tanpa perancangan awal.

"Jom kita pergi daki bukit" Ajakku tiba-tiba.

"Jom..jomlah k.mirah..tenangkan fikiran sebelum baca sejarah." Sahut adik bongsuku yang tengah "berperang" dengan PMRnya.

Melihat dia bersemangat, dalam masa 15 minit kami pun siap sedia untuk menuju ke destinasi. Kasut yang sudah bertahun tidak di guna, barulah hari ini berbakti semula. Terakhir aku menggunakan kasut jenama "power" bata ini, Mac 2008 semasa ekspedisi mendaki gunung kinabalu.

Dengan senyuman dan perasaan tidak percaya kami memulakan pendakian. Dengan stamina yang tiada, memang terasa "berat" sangat hendak menuju ke puncak. Lebih mencabar, kami nyaris-nyaris tersesat. Apa tidaknya, ini adalah kali pertama kami ke sini, tetapi macam dah berpuluh kali pula naik. Selamba "badak" saja meneruskan langkah. Sudahlah telefon tertinggal, mujur tidak jadi apa-apa. Alhamdulillah, dimudahkanNYA urusan kami. Perasaan sedikit cemas hanya dalam 5 minit sahaja. Dalam penuh ketenangan memikir arah jalan untuk ke puncak, kami terlihat seorang pendaki berbangsa cina. Kami dengan pantas berlari menuju ke arah laluannya. Risau kehilangan arah lagi. Selepas itu, kami sudah perasan, sebenarnya telah ada orang meletakkan petunjuk jalan berbentuk bintang-bintang yang diperbuat daripada kertas di tabur di atas jalan. Akhirnya, kami pun sampai lah juga ke puncaknya. Kebetulan pula berjumpa dengan pelajar SMKJPT.

"Ustazah, sendiri jak" Tegurnya selamba.

"Ndaklah dengan adik" Jawabku dengan senyuman.

"Ustazah, naiklah ke atas." Laungnya semasa dia telah sampai ke puncak.

Selamba betul pelajarku ini. Tapi aku pun tidak kisah. Lebih selesa di"layan" begitu. Di luar kawasan sekolah, pelajar adalah "kawan". Asal saja dia masih tahu membataskan pergaulannya. Masih punya hormat dengan orang yang lebih tua darinya.

Sampai di puncak, memang hilang segala keletihan. Semasa mendaki tadi, kekadang mahu juga terasa hilang nafas seketika. Sudah lama tidak bersukan. Tiba-tiba diasak dengan aktiviti berat. Mahu tidak anggota badan ini terkejut. Mujur tidak kekejangan otot-otot ini.

Melihat panorama bandar Tawau dari atas, memang sangat mendamaikan. Nun di hujung pandangan, terbentang laut yang membiru. Menoleh ke atas pula, terasa hampir benar dengan awan gemawan. Disamping sekali sekala kelihatan sang burung terbang rendah di atas kepala. Indah..sangat mendamaikan. Matahari senja sahaja tidak kelihatan. Tersorok di balik awan yang agak tebal petang ini. Azam kami, lain kali akan ke mari lagi. Mudah-mudahan dapat bersapa dengan sang matahari pula.

Berbaloi benar susah payah memanjat bukit ini. Bukit yang tidak ku ketahui namanya. Yang pasti, sepanjang pendakianku, hanya aku dan adikku pendaki wanita melayu. Lelaki melayu pula hanya pelajarku dan 2 orang rakannya. Selebihnya orang-orang cina. Entah kenapa kawasan ini tidak ramai orang melayu. Agaknya ramai di padang bola ataupun di kompleks sukan.

InsyaAllah..azam kami, akan datang lagi. Melihat kembali keagungan Allah melalui alam ciptaanNya yang sangat indah dan hebat. Antara muhasabah diri yang disepanjang aktiviti "outdoor" petang ini..

1. Kalau buat kerja..buat sampai habis. Jangan berhenti tengah jalan atau cepat puas hati [mula-mula tak mau dah naik sampai puncak..sebab rasa sama jak pemandangannya..adik desak juga naik..bila dah sampai puncak..memang berbeza..anginnya lebih nyaman dan pemandangannya lebih cantik..mujur naik]

2. Apabila berada dalam saat genting / kecemasan..bersikap "rileks" dan "cool". Cari jalan bukan sesakkan perasaan [masa sesat sekejap tu, dah mula gabrah. Tapi bila tengok adik tenang jak..terasa juga. Then buat-buat rileks juga. Walhal dah risau, lagi bila dengar bunyi anjing menyalak..hehe..penakut kan]

3. Hendak rasa kehebatan, kebesaran dan kekuasaan Allah..mudah sangat. Sentiasa ada bukti di depan mata. Tinggal saja kita mahu membuka mata dan hati untuk merasai dan menyaksikannya. [Tengok pokok, awan, burung, laut dan segala isi alam..ternyata Maha Gagah pencipta semua ini..berani nak lawan?]


Wednesday, October 7, 2009

Gempur Sampai Hancur!

Memang pantas benar masa berlalu. Rasa baru sangat aku menjaga PMR di SM Convent St. Ursula. Hari ini aku mengulang peristiwa lama. Bezanya, kini di SMK Wakuba. Maknanya sudah setahun berlalu. Tidak sedar masa meninggalkan kita bersama kenangan dan peristiwa semalam yang tidak mungkin mampu diulang lagi. Pasti ada bezanya.

Dalam setahun yang telah ditinggalkan, kalau dihitung secara analitikal, berapalah agaknya peratus kebaikan yang telah dilakukan. Lebih banyak, kurang atau sama sahaja dengan kerja-kerja yang tidak mendatangkan redha Allah. Perubahan diri rasanya tidak banyak yang berubah. Sedikit perbezaan, tahun ini, aku memang "berabis" untuk famili. Lebih banyak menumpu masa, tenaga dan harta buat mereka. Sebolehnya, kesal tidak sempat berbakti dengan sebaiknya buat arwah bapa dapat ku tebus. Kalau orang lain sibuk mengurus diri untuk menempuh alam baru yang bernama alam rumahtangga..aku pula sibuk mengurus rumah mak yang memang dah ada tangga ni..hehe.. Rumahtangga aku, nanti-nantilah."slow and steady". Sampai serunya..InsyaAllah.. :-)

Sebut pasal perubahan ini, semua pencinta kedamaian dan keamanan, jangan lupa kita sama-sama doa dan munajat ISLAM beroleh kejayaan pada 10hb ini. Andai kita kalah diatas kiraan undi, jangan berdukacita. Kita masih menang dalam penilaian Allah. Kenapa? Kerana dalam peperangan pilihanraya ini, kita telah berusaha memastikan hanya redha Allah yang mengiringi usaha-usaha kita. Kita telah memastikan calon yang kita wakilkan adalah seorang yang benar-benar layak menjadi pemimpin. Seorang yang kenal halal dan haram serta tahu hukum hakam. Dalam proses berkempen ini juga, kita pastikan kita tidak keluar dari batasan syariat Islam yang suci, seperti menipu, menuduh dan memfitnah. Ruang kempen kita manfaatkan untuk mendedahkan kezaliman yang sering diselindungkan, kita terangkan penglihatan mata hati dan minda masyarakat yang sering dikaburkan oleh mereka-mereka yang hanya pandai menabur janji tanpa gigih mengotakannya. Jangan berhenti menyerang..kita gempur sampai mereka hancur!! Allahu Akbar!

~ ISLAM SENTIASA MENANG ~


Sunday, October 4, 2009

Adakalanya..

Masih di sekolah. Sesi perekolahan untuk sidang pagi sudah berakhir. Kebiasaannya waktu-waktu begini aku sudah lama memecut ST7909K balik ke rumah berehat-rehat. Hari ini, rasa malas mahu balik awal dan mahu menikmati kesejukan penghawa dingin di bilik guru. [rumah tiada aircond bah..hehe]

Hanya ada dua kelas hari ini. Tetapi dua-dua kelas dilayan dengan mood yang satu. Mood marah dan mengomel. Muka yang manis awalnya berubah menjadi kelat. Lama sangat sudah aku tidak membebel. Biasanya apabila mereka tidak membawa buku latihan atau tidak menyiapkan kerja, aku hanya akan menasihati dan bermurah hati memberi mereka kertas untuk digunakan. Hari ini, aku masih bermurah hati. Bermurah hati memberikan mereka libasan rotan di tangan. Sebagai pengajaran, tidak setiap hari cikgu mereka ini punya mood sabar dan baik hati. Kekadang akan datang juga rasa marah apatah lagi bila kerap sangat makan hati.

InsyaAllah..marah ini tidak berpanjangan..dah "cool" dah ni..tarik nafas..hembus..lega..senang kan.. :)





Malam yang sepi

Malam sudah lewat dan semakin pekat. Angin malam dari tingkap yang menghembus lembut cukup menyamankan. Wajarnya tika begini, aku sudah lena diulit mimpi. Merehatkan diri dan minda. Esok Isnin InsyaAllah akan membuka tirainya lagi. Menandakan perlu bekerja. Perlu hadir ke sekolah.

Mata malam ini entah apa masalahnya. Tidak mahu lelap. Adik pula baru sebentar tadi menghantar masuk secawan teh o panas. Dia yang sedang berhempas pulas untuk PMRnya sememangnya "tukang bancuh teh o panas" saban malam. Moga-moga teh ini tidak menambah luasnya mata yang perlu untuk lelap ini.

Sunyi sedikit malam ini. Tiada teman bicara di ruangan YM. Sahabat-sahabat "Tawau" kebanyakan "offline" awal malam ini. Kesan kepenatan mengurus dan menjayakan Alam Ria PASTI siang tadi. Tahniah buat semua yang telah menjayakan program jemaah. InsyaAllah usaha murni kalian pasti ada nilaian disisiNya..

Mudah-mudahan "keciciran"ku hari ini bukan mukaddimah kepada keciciran-keciciran yang seterusnya..Tidak hadir hari ini pun, sedikit meresahkan jiwa. Memandangkan ada amanah lain daripada keluarga, mengurangkan rasa tidak tenang dan tidak senang.

Apapun, salam kemaafan ku pohon buat semua sahabat atas ketidakhadiran dalam program PASTI dua hari ini..menebus kekurangan..aku telah "updatekan" gambar-gambar menarik sepanjang program siang tadi..sila kunjungi www.pastawau88.blogspot.com

p/s :
-adry-hanya itu yang mampu akak upload..sebarang kekurangan mohon dibaiki
- Fate'- maaf laporan/gambar mendahului blog rasmi PASTI..hehehehe [sengih ada maksud tersirat ]

Friday, October 2, 2009

SBCH4103

Saat menulis ini, sedang didendangkan zikir merdu Ustaz Amal melalui siaran Astro Oasis. Indahnya alunan kalimah merayu dan merintih pada Dia yang Maha Gagah Perkasa. Terasa benar kekerdilan diri sebagai hamba. Sudahlah lemah tidak berdaya, tapi masih acapkali berani mencabar kekuasaan Sang Pencipta dengan melanggar suruhanNya dan melakukan laranganNya. Benar-benar tidak sedar diri!

Sedang berusaha mengumpul "mood" sebenarnya. Buku Macromolecular & Industrial Chemistry [SBCH4103] menanti untuk dihadam. Subjek berat yang menjadi amanahku pada semester September OUM kali ini.Kuliah ahad ini agak mengejutkan kerana aku hanya mengetahui punya kelas pada hari Selasa. Kelam kabut jugalah hendak buat persiapan. Mahu tidak mahu..rempuh saja lah.. Mudah-mudahan mood untuk "study" akan datang mencurah-curah sebentar nanti..harapnya..

Esok ada saringan Ihtifal Alam Ria PASTI peringkat Tawau. Secara rasminya aku tiada tugas. Tugas yang ada sudah diambil alih oleh orang lain. Lagipun semasa program kemuncak Ahad nanti, aku tidak dapat menghadirkan diri. Hari ke hari terasa semakin kurang pula beban kerja jemaah yang terpikul di bahu. Sampai kekadang terasa kosong pula masa. Tapi bila "time" kerja berlambak..masayaAllah..sampai tak menang tangan pula di buatnya. Cuma kalau guna ketelusan diri dalam berjuang, kerja itu sentiasa ada dan banyak. Mahu atau tidak saja kita mencarinya. Sedikit masalah teknikal sekarang ini, tidak punya fokus untuk bergerak kerja. Ada sahaja alasan yang tercipta dan dicipta..apa lah.. [perli diri sendiri ya..jangan pula ada sesiapa yang terasa..]

Nampaknya, kena segera ke fanika [kedai buku agama..ala-ala mydin lah] untuk mencari satu dua buku teman di kala orang lain teramat sibuk, tapi diri sendiri tak tahu nak buat apa..hehe..Dua hari lepas, semasa jejalan sorang-sorang ke sana, sudah bertemu sebuah buku berwarna merah jambu yang berjaya menambat hati. Penulisnya pula penulis kegemaran..Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni..judulnya.. "Jadilah Wanita Yang Paling Bahagia"..tajuk pun dah menarik..[ada sesiapa nak bagi sebagai hadiah?..kecik tapak tangan, nyiru saya tadahkan..hehe]

Sudah pukul 9.00 malam. Harus saya segera bertegas kepada diri. Berhenti dari terus menghadap skrin laptop ini. Buku di tepi ni pun, seakan menjeling tajam minta segera dilayan...

Kg Pasir Putih @ 9.11 pm

Thursday, October 1, 2009

Sabar yang sangat panjang

Hari ini 12 Syawal 1430H. Alhamdulillah..berjaya juga menghabiskan puasa sunat Syawal. Kali ini agak istimewa sebab puasa di lalui bersama-sama emak tersayang. Setiap hari kami sahur dan berbuka bersama. Hati benar-benar tersentuh melihat mak yang jauh lebih berusia dari diri, tetapi lebih gagah berpuasa. Setiap hari balik daripada sekolah, aku akan memperuntukan masa untuk melelapkan masa sementara menanti asar. Mak pula, tidak senang duduk bahkan sentiasa saja ada kerja yang dilakukan. Paling tidak, melayan dan mengawasi cucunya yang tersangat "buas"nya.

Masih ingat lagi, 2 atau 3 tahun lepas, emak pernah bertanya, "bulan Syawal bagus rupanya kita puasa 6 hari kan"

"Iya..memanglah mak. Puasa sunat 6." Aku menjawab dengan senyuman.

"Owh..kenapa tidak kasi tau..nanti mahu puasalah " Jawab mak lagi

"InsyaAllah.." jawabku ringkas..senyuman masih berbaki di bibir..

Waktu itu mak baru pulang dari menunaikan ibadah haji. Ternyata perbezaan mak berbanding sebelum ini. Mak lahir dan dibesarkan dalam keluarga dan masyarakat yang kurang kefahaman agama. Lebih mengecewakan, terlalu dibelenggu dengan adat-adat yang kurang selari dengan syariat. Jadi untuk mengharapkan mak membimbing dan memandu ke arah hidup berlandaskan syariat Islam yang sempurna tidaklah sangat...

Awal-awal aku mula terlibat dengan "gerakan Islam" semasa zaman sekolah dahulu, hanya Allah yang tahu betapa kecamuknya jiwa. Hati sentiasa berselubung duka melihat ahli keluarga yang tidak memahami apatah lagi menghayati syariat sebagai panduan kehidupan. Dalam usia yang sangat muda ketika itu, apa sajalah yang boleh dilakukan. Hanya linangan airmata dan doa menjadi teman. Kini bersama usia yang semakin dewasa, berbekal kerjaya sebagai senjata, sedikit sebanyak suara dan pandanganku boleh diterima oleh mak dan ahli keluarga yang lain. Walaupun masih terlalu banyak kekurangan yang belum dibaiki, selebihnya aku sandarkan kepada rahmat dan keampunan DIA yang Maha Pengampun. Aku hanya mampu berusaha sedayanya.

Aku yakin, masalah ini turut dialami oleh sahabat-sahabat yang lain. Bahkan isu sebegini, isu yang paling kerap dibincangkan bersama adik-adik PERPIS semasa usrah. Realiti anak-anak "mendidik" orang-orang tua bukan lagi fenomena yang pelik. Cumanya, realiti ini sangat perit dan mencabar. Perlu dilaksanakan dengan sangat berhati-hati. Yang hak dan benar harus ditegakan dalam masa yang sama adab dan akhlak sebagai anak juga masih wajib diutamakan.

Sesungguhnya, hingga ke hari ini bahkan mungkin hingga ke hujung nyawa, perjuangan ini akan berterusan. Sering membisik jiwa agar jangan resah dan berdukacita tatkala belum berjaya merubah keluarga, "hak kita sebagai hamba adalah berusaha..berjaya dan tidak itu adalah hak dan urusan Dia Yang Mencipta..maka, berusahalah dan terus berusaha.."

Tatkala mahu lari dari amanah lantaran kecewa dan putus asa..segera membaca firmanNya sebagai renungan dan muhasabah diri..



Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...