Thursday, November 12, 2009

Dunia semakin tua

Kes 1

"Semalam ada budak perempuan bergaduh kan di dalam kelas..bertumbuk sampai berdarah-darah, habis koyak baju dengan tudung."

Kes 2

"Cikgu bukan 2 kes jak bertumbuk kelmarin. Ada satu lagi. Perempuan sama perempuan. Fuyyo bergasak. Menyambung lagi dorang di bandar lepas itu."

Dua kes pergaduhan yang aku dengar dibicarakan hangat. Berlaku dalam jarak terdekat. Melibatkan PELAJARKU. [pelajar kelas Tasawwur Islamku]. Sedikit kaget aku mendengar laporan-laporan ini.

"Kamu ada di kelas, masa bergaduh kelmarin?" Tanyaku kepada sahabat 'pelakon utama drama aksi di dalam kelas'.

"Ada.." Jawabnya teragak-agak.

Aku menghulurkan kerusi plastik berwarna merah meminta dia duduk dekat dengan ku. Suasana yang sunyi daripada guru-guru, memberi peluang aku menyiasat lanjut kes semalam. Siasatan bukan atas dasar aku guru disiplin atau siasatan untuk merekod kesalahan itu dan di masukan ke dalam SSDM. Siasatan atas dasar insani. Naluriku mendesak ingin tahu apa punca dan sebabnya. Lebih-lebih lagi pelajar yang bergaduh ini antara pelajar yang aku kira karektornya "unik". Unik yang aku definisikan punya naluri baik dan sifat kepimpinan yang tinggi. Tetapi menzahirkan dirinya dengan karektor pelajar "gedik". Hingga kerap benar aku dengar namanya menjadi sebutan di kalangan guru-guru. Tidak puas hati dengan sikap yang ditunjukan semasa di dalam kelas.

"Apa puncanya tu?" Tanyaku ringkas.

"Hmm...dendam mungkin. Lama bah sudah tu cikgu, kakak tu yang datang serang ke kelas kami." Jawabnya bersemangat

"Kenapa kamu tidak halang?" Tanyaku lanjut.

"Kami pun tidak berani." Jawabnya.

"Sarimah [bukan nama sebenar] tu tinggal dengan siapa? " Aku menyelidik pelajarku yang terlibat dengan pergaduhan.

"Bapanya kerja di kem. Mamanya tiada sudah. Meninggal tahun lepas. Dia saja di rumah dengan adik-adiknya 4 orang." Ceritanya lanjut dengan air mata bergenang. Syahdu menceritakan kisah hidup sahabatnya.

Benar jangkaanku. Pelajarku ini [Sarimah] punya "sesuatu" dengan kisah hidupnya. Bayangkan anak gadis seusia 16 tahun harus memainkan peranan sebagai ibu, bapa dan kakak kepada adik-adiknya. Bapa yang hanya balik sekali sekala pasti punya kekangan menjalankan tanggungjawab sebagai bapa sebaiknya.

Satu lagi daripada beribu sampel keluarga yang tidak "sempurna". Namun tidak punya pilihan melainkan meneruskan kehidupan seperti biasa.Namun apapun jua kondisi hidupnya, atau hidup kita, bukan tiket untuk kita memilih jalan salah, jalan gelap atau jalan hitam. Ibarat kita telah terjatuh ke dalam lubang, adakah kita mahu terus membiarkan diri di dalam lubang itu, atau membiarkan kita jatuh sekali lagi? Sebaliknya perlu memikir jalan keluar atau kaedah supaya tidak jatuh kali kedua.

Jalan keluar dari segala kegelapan atau kejahilan hanya satu..ISLAM. Bukan sekadar bergelar muslim pada nama. Tidak sama sekali! Melainkan masuk ke dalam Islam itu secara menyeluruh. Tanpa membuat pilihan dengan mengambil yang digemari dan membuang yang tidak di sukai. Islam adalah sebuah cara hidup yang lengkap dengan tatacara dan kaedah menjalani kehidupan (syariat). Agar kehidupan itu sebuah persinggahan yang baik sementara kembali ke alam yang kekal abadi.

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan.
[Al-Baqarah :208]

Kembali kepada Islam bukan hanya saranan kepada pelajar tetapi juga kepada para guru. Malang juga, apabila guru gagal menjalankan tugas sebagai pendidik. Sekadar pengajar akademik. Mengejar silibus dan berhempas pulas memprojekkan pelajar agar mampu meraih A sebanyak mungkin. Bersalahkah guru dalam konteks ini? Tidak adil langsung menyalahkan guru. Guru melakukannya kerana itulah sistem yang telah diacukan kepada seluruh rakyat jelata. Hatta mengajar subjek pendidikan Islam atau Tasawwur Islam [fokus pelajar sekolah harian biasa..bukan sekolah agama], tidak berkeupayaan ustaz dan ustazah menyerapkan content subjek berkenaan kepada pelajar agar diterjemahkan dalam bentuk peribadi dan sakhsiah. Kenapa masih ada pelajar tidak tahu solat, mengucap dua kalimah syahadah atau apa-apa perkara fardhu ain yang lain? Walhal seawal sekolah rendah lagi, pelajar di Malaysia wajib menduduki PAFA [Penilaian Asas Fardhu Ain]. Antara sebabnya, ilmu ini tidak dihayati sebagai satu kewajiban untuk bergelar muslim sejati.
Sekadar dipelajari agar mampu lulus dan memperolehi sijil.

Allahu Akbar..semakin di fikir masalah ummah ini..semakin gerun di buatnya. Ini baru kes-kes pelajar. "Orang luar". Bagaimana keadaan adik-adik kita, anak-anak saudara kita, dan suatu hari nanti anak-anak kita? Dunia semakin tua..dunia semakin tua..kita bagaimana??????

Tuesday, November 10, 2009

Monolog malam

Mentari terus memancar
Menyuluh pergi subuh yang dingin
Membahang garang hari yang terang

Puas sudah sinarnya menerangi alam
Senja datang membawa sayu
Mentari pula izin berlalu
Suram dan kelam teman malam
Dihias bintang bersama bulan

Aturan yang tidak terlawan
Walau dikerah segenap upaya
tidak sesekali bisa merubah
Siang dan malam tetap serupa

Kaburnya meniti hari
Punyakah amal bekal diri
Sembahan buat Rabbul Izzati
Menebus janji syurga Firdausi
Hanya mengharap simpati
Menagih kasih yang hakiki
Semoga mampu kumiliki.

Hari berlalu tanpa mampu kita tahan walau sesaat. Meninggal pergi kita bersama kisah semalam. Menoleh coretan peristiwa kelmarin, tidak yakin telah melakukan yang terbaik di sisiNya. Apakah nasib esok yang tidak pasti? Dunia semakin tua, diri tetap rasa mahu muda...Ya Allah ampuni atas keterlanjuran kami..yang kami zahirkan atau sembunyikan..Engkaulah sebaik-baik pengampun..



Saturday, November 7, 2009

Berdirinya Seorang Perindu

Di waktu ini
aku ditinggal dan tertinggal sendiri
meniti hari melakar mimpi
membina sebuah makna diri


Di waktu ini
aku tidak lagi berteman dia dan mereka
aku berseorangan meniti senja
melewati masa di batas usia


Di waktu ini
adakalanya aku tewas pada sepi
mengundang rindu seribu memor
i
yang takkan bisa kuulangi lagi


Di waktu ini
aku bertatih memujuk kalbu
jangan lemas dilautan sendu
usah dibaja segunung rindu



Di waktu ini
aku mulakan langkah pertama
mengejar sejalur sinar cahaya
buat teman menyuluh hidayah
biar sepi dan sunyi itu punah
biar rindu dan sendu itu musnah
hingga aku terus tersenyum ceria
beroleh raja segala cinta
yang tidak akan sesekali sirna
mengharum mewangi di taman jiwa
hingga tidak ada lagi selain bahagia


[puisi ini ku lakar tatkala "kebosanan" menjaga MUET di SMK Umas-Umas siang tadi..intipati ini tidak menggambarkan keadaan penulis tika ini..keadaan ini pernah menimpaku beberapa bulan yang lalu..kini aku sudah biasa dengan keadaan ini dan sedang merasai nikmat dan hebatnya bila di sapa sepi, sunyi dan sendiri...terima kasih Ya Allah atas perancangan dan ketentuan ini..]

[tajuk entry juga sebenarnya tidak ada kaitan dengan puisi hati ini..]


Wednesday, November 4, 2009

Hilang seketika

Salam

Tidak menulis sehari dua ini. Tidak tahu kemana hilangnya mood untuk menulis. Buka blog sendiri pun sedikit malas. Masa tetap juga berlalu, entah apa yang diisi dengan masa. Astaghfirullah..bermain-mainnya aku dengan dunia yang sebentar cuma ini. Tanpa ku tahu kecil dan hinanya dunia ini di sisiNya..

Dua hari diberi kekuatan dan peluang olehNya untuk istiqamah mendengar kuliah melalui
http://www.kuliyah.net. Terubat rindu suasana menadah kitab yang seketika cuma di pondok pasir tumbuh. Kupasan Minhajul Abidin karangan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali yang merupakan antara buku kegemaranku oleh Ustaz Mustafa Kamal Hamzah benar-benar menyentuh jiwa.

Terasa manfaat teknologi dan berbaloi membayar RM 70 sebulan untuk langganan streamyx. Sekarang tengah mengumpul bahan untuk melancarkan kempen "1 Keluarga 1 Internet" program di bawah lujnah IT DMPKT untuk tahun 2010. Bolehlah website-website sebegini dijadikan sebagai "hujah" kewajaran berinternet dari rumah. Tiada lagi alasan muslimat tidak celik ilmu kerana segalanya kini di hujung jari.

Kesekian kalinya, bersama kita berdoa dan bermuajat agar Allah terus memilih kita dalam kebaikan. Sentiasa dalam kebaikan..dunia-akhirat.

"Wahai penulis, apa yang engkau tulis atas lembaranmu, ia ditulis di sisi Tuhanmu. Maka ketika tanganmu mencatat di bumi, jiwamu hendaklah mendongak ke langit tinggi." [Dr MAZA]


Sunday, November 1, 2009

Dua Khabar Gembira

Hari ini mentari memancar ceria. Jadual pagi ini dimulai dengan tugasan berusrah bersama adik-adik pelapis Nisa' Kawasan Tawau. Semasa menanti enjin kereta panas, 3 mesej masuk ke dalam handset yang semalaman "off" kesan ketiadaan bateri. 2 mesej pemakluman kuliah amal pagitadi dan 1 mesej khabar gembira dari sahabat Nisa' [Asma' Abu Bakar] yang telah selamat melahirkan "baby girl"nya pukul 10.30 malam semalam. Sudah lama tidak mendengar berita sahabatku ini. Semoga hidupnya bertambah ceria dengan kehadiran cahaya mata yang dinanti. Apatah lagi, berpeluang memberi sepenuh perhatian kepada babynya sepanjang cuti ini.

Usrah juga berjalan dengan baik. Gembira melihat perkembangan adik-adk usrah yang semakin matang dan menyerlah komitmennya dengan perjuangan. Sepanjang memberi pengisian, rasa banyak 'terkena' pada diri sendiri. Usrah acapkali menjadi medan memuhasabah diri. Apa yang terlontar dan dilafazkan, bagaikan ilham dari Ilahi menjawab segala persoalan jiwa dan diri. Sebab itu, setiap kali jadual berusrah dengan adik-adik, jarang aku menolak dan sedayanya dipenuhi jemputan ini. Walaupun terpaksa berusrah seawal 8.30 pagi.

Selesai berkongsi intipadi bahagian kedua Sebab-Sebab Keciciran-Faktor Individu petikan buku Golongan Yang Tercicir Di Sepanjang Jalan Dakwah karangan Ustaz Fathy Yakan, bergegas untuk mesyuarat kali ke3 DMPKT. Seronok dapat berjumpa kakanda-kakanda DMPKT. Kehadiran pun sangat memuaskan. Sedikit sebanyak menyuntik semangat yang semakin layu dan kendur. Kerja dan amanahku di "refresh" semula. Walau sekadar lujnah yang kecil, bukan alasan aku boleh "selamba" sahaja menunaikannya. Kerja-kerja semakin menimbun di depan mata. Sebentar tadi juga, pengasas blog DMPKT memberi khabar gembira kedua hari ini. Masalah blog DMPKT sudah berjaya ditangani. Kerja-kerja "memblog" sudah boleh dijalankan.

Nampaknya cuti sudah semakin terisi. Amanah semakin banyak menanti. Semoga aku terus kuat untuk berbakti. Buat bekal menghadap Rabbul Izzati.

Friday, October 30, 2009

Tidak mudah

"Esok sekolah?" tanyaku

Sekolah.." Jawabnya mengangguk

Ada apa? Keningku berkerut [aktiviti ko-kurikulum September lagi berakhir]

Bukanlah sekolah, kami ada latihan poco-poco berkumpulan? Jawabnya jujur.

Aku maklum mereka sedang sibuk dengan aktiviti yang pelbagai sempena "bebas" daripada PMR.

"Tak payah lah turun..poco-poco tu bukannya boleh dalam Islam. Cuba cari internet pasal poco-poco." Jawabku tegas dan keras.

Tidak ada suara lagi aku dengar selepas ayat penamatku itu. Semalaman aku lihat "mood"nya muram dan malamnya bertambah kelat.

"Bolehkah pegi sekolah? Bukan untuk poco-poco. Tapi bincang pasal masakan dan gubahan" Pintanya di pagi hari.

Tidak banyak bicara..aku sekadar memberi isyarat yang tafsirannya hanya satu TIDAK BOLEH!

Aku dengar dengusan "bengang"nya meninggalkan kamarku.

Aku sedar bersikap keras begini, bukan metod terbaik untuk mengajarnya. Mendidik dan membentuk orang menjadi orang bukan mudah. Pendekatan perlu berhikmah. Frasa berhikmah ini terlalu umum dan subjektif sifatnya. Mahu dispesifikasikan dalam bentuk perbuatan satu cabaran.

Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. [An-Nahl :125]

Anak remaja hari ini bukan seperti kita di zaman dulu. Berbeza sudah. Zaman kita mana terdedah dengan kecanggihan teknologi. SMS, MMS, 3G, Facebook, Friendster dan seribu macam lagi. Akur atau tidak, kecanggihan teknologi ini turut membantu perubahan perkembangan anak remaja.

Sekarang ini, gejala sosial pelakunya bukan lagi remaja berusia 16-19 tahun [tingkatan empat ke atas]. Tetapi seawal darjah 6 pun sudah ramai pelaku-pelaku gejala songsang dan tidak sihat. Badan kecil bukan main [agaknya "mimpi" pun belum lagi]. Tetapi selamba badak hisap rokok sebagai sarapan pagi ke sekolah. Bukan dengar cerita orang, tetapi ku saksikan sendiri dengan 4 pasang mata [mata + cermin mata..hehe]. Itu yang dizahirkan dengan orang ramai, orang kampung, yang disorok dari pengetahuan manusia, tidak dapat kita bayangkan.

Punya adik-adik yang diamanahkan oleh bonda, satu tanggungjawab berat. Apatah lagi sejak arwah bapa tidak lagi dapat memainkan peranan sebagai ketua keluarga. Banyak keputusan berkaitan adik-adik terletak di tangan ku. Memastikan mereka kekal bersahksiah dan berperibadi muslim perlu kekuatan dan kesabaran yang tinggi. Terutama menajga aurat, solat dan pergaulannya. Kalau mahu menegur pening memikir ayat terbaik. Agar hati tidak terguris. Jangan sampai merajuk panjang.

Tidak dinafikan ilmu dan kepekaan kepada persekitaran akan membantu menunaikan amanah ini. Jiwa muda mereka perlu diselami dan difahami. Adakalanya, kita harus meraikan minat mereka untuk membolehkan adanya "bonding" [ikatan] kita dengan mereka. Berimejlah seperti rakan di mata mereka. Mereka lebih mudah mesra dan selesa dengan "rakan". Jangan biarkan mereka memilih orang lain menjadi rakan baik mereka.Takut tersilap pilih rakan, susah mahu mendidik nanti.

Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha Penyayang. Diberikan latihan kepada diri untuk membentuk orang menjadi orang. Latihan sebelum punya cahaya mata sendiri yang harus dicorakan. Terima kasih ya Allah..atas aturanMu ini..


Tuesday, October 27, 2009

Tiada jaminan

9.30 am waktu yang tertera di skrin laptopku. Kalau di tempatnya, kini sudah dalam pukul 12.30. Katanya waktu di Tawau lewat 2 jam dari tempatnya. Segera aku membuka Facebook. Ada bunga-bunga harapan berputik di hati agar dia juga turut online. Sedikit kecewa, dia tiada. Pasti dia punya urusan lain. Sejak semalam, sewaktu aku mula melihatnya pertama kali setelah 9 tahun tidak pernah berjumpa, mindaku banyak dikuasai oleh dia. Bayangannya sering mengisi kotak mindaku. Membuat aku berputar dan menganalisis dirinya kini.

"sejak bila berubah begini?" tanyaku sewaktu kami "chating" di Facebook semalam.

"3 tahun lepas. Tapi dari dulu kan aku memang macam ni. Cuma sekarang berubah pakaian je. Aku still macam dulu, nakal. sekarang aku menzahirkan kenakalanku. Orang selalunya buat jahat ni sorok-sorok. Tapi sebenarnya dorang tu lebih "setan" dari aku." Jawabnya jujur.

Semua jawapannya masih segar di kotak fikiranku. Aku tidak mahu mengulas panjang atas apa yang telah dia lakukan. Semua itu dia buat dengan kehendak dirinya. Tanpa paksaan sesiapa. Dia juga berkata dia gembira dengan dirinya kini.

Apa yang berlaku ke atasnya, menyedarkan aku, siapa dan bagaimana keadaan kita hari ini, belum tentu itulah juga di masa akan datang. Tidak ada jaminan untuk kita kekal seperti hari ini. Tiada lain, mintalah pada DIA yang maha berkuasa untuk terus memilih diri dalam kebaikan. Bergantung dan berharap hanya pada Dia..jangan selainNya.

[buat "dia" andai kau terbaca coretan ini, aku harap kau masih tetap menganggap aku kawanmu..apapun keadaan mu kini, itu kehendakmu..namun, aku masih berharap dan akan terus berdoa, sejalur sinar hidayah menyuluh hatimu untuk kau kembali ke fitrah suci..aku sedia di sisi andai kau merasakan perlunya seorang teman..]

Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...