Thursday, December 17, 2009

Tinggal sejarah

Salam Hijarh 1431.

Syukur Ya Rabb..atas segala limpahan rahmat dan nikmat sepanjang melewati 1430 H yang sudah tinggal menjadi sejarah. Sejarah yang hanya mampu dikenang tanpa mampu diminta untuk dibetulkan mana yang silap dan dibaiki mana yang salah. Sudah tidak mampu. Sebarang pembetulan diberi ruang dan peluang sekali lagi bermula malam ini. Tirai 1431H telah dibuka untuk kita lewati. Sejauh mana langkah kita, tiada yang dapat memastikannya. Menjadi rahsiaNya yang tersimpan kukuh. Segenap makhluk ciptaanNya hanya berupaya menanti dengan terus mengharungi hari-hai mendatang. Mahu cemerlang, pastikan hari ini lebih baik dari semalam. Tidak mudah, namun tidak punya pilihan melainkan berusaha dan terus berusaha. Akurlah, sesekali pasti langkah tersadung batu penghalang kejayaan. Menjadikan langkah sedikit tempang dan bergerak perlahan. Sekali lagi, terus berusaha dan mara ke depan dan hanya berhenti melangkah apabila memang sudah tiba masa untuk berhenti. Masa ini, mahu terus melangkah pun sudah tidak upaya. Tiba masa untuk menilai apa yang telah kita lakar disepanjang laluan sebelum ini.

Pekat malam bersinarkan bebintang dan rembulan menjadi teman muhasabah diri seketika. Cuba memainkan semula pita memori 1430H. Apa dan bagaimana pengisiannya. Terkenang segala azam dan impian yang dicita penuh semangat diawal Muharram lepas. Yang pasti 1430H boleh dikatakan tahun perubahan. Paling ketara, aku semakin sedar, betapa perlunya aku kepada mak, adik-adik dan seisi keluarga. Terutama sejak arwah bapa meninggalkan kami 23 Mac 2007. Mahu tidak mahu, aku harus berperanan lebih. Mudah-mudahan mampu menebus kelekaan sebelum ini.

Persekitaran juga banyak berubah. Teman-teman ramai yang sudah bertukar status. Tidak dinafikan ada juga kesannya. Terutama teman yang akrab. Hilang sudah teman bicara, berkongsi rasa dan bersenda gurau. Tetapi, mujur sudah ada sedikit persediaan mental sebelum ini. Sudah berpesan pada sekeping hati, setiap pertemuan ada perpisahan. Jangan ditangisi apa yang pergi kerana yang hilang akan berganti. Dan yang pasti, ada yang sentiasa setia di sisi dalam apa jua kondisi. Itulah Allahu Rabbi yang hakiki.

Esok dan hari mendatang sudah ada tugas yang harus dilaksanakan. Kelembapan di pentas dakwah pada 1430H lepas tidak harus dibiar berlanjutan. Sudah cukup rasanya 12 purnama tempoh untuk bermenung, berfikir dan merangka strategi. Sudah terlalu panjang masanya. Bermohon penuh harap pada Dia Yang Maha Mengatur, semoga langkah dakwah lebih kemas dan perkasa. Bukan mudah layu menurut rasa. Perlu lebih kebal pada asakan jiwa dan runtunan nafsu yang hanya memandu jauh dari amanah dan tanggungjawab pada ummah.

Diruang ini, sekalung maaf buat sahabat-sahabat seperjuangan dan barisan pimpinan atas kelekaan, kecuaian dan keculasan diri menunaikan amanah yang diberi. Mohon terus diberi peluang menebus kesilapan dan membuktikan potensi diri. Agar terus kekal menempah nama menjadi pejuang penegak Islam d bumi peladang ini.

Potret wajah-wajah insan yang pernah sangat dekat di hati..teman berkongsi cerita, teman bergaduh manja dan teman yang sangat banyak meninggal memori bersama..selamat menempuh alam yang lebih mencabar duhai sahabat-sahabatku..



Asma' Abu Bakar dan suami..teman yang penyabar..usia perkenalan masih muda, namun seakan berpuluh tahun mengenalinya.."terima kasih awak..atas luangan masa 2 tahun menemani diri yang sangat takut pada sebuah kesepian"



Aufa Adeena..cahaya mata pertama Asma'..tak sabar nak jumpa baby girl comel ini..harap-harap dia kenal Cik Manya yang selalu teman mamanya di sekolah...



Nordianah Maliki @ Abdullah..insan yang sangat banyak mencorak diri..3 tahun di alam kampus membuktikan bahawa dia seorang sahabat setia..susah senang sentiasa bersama..budi dan jasanya tak mungkin ku lupa hingga hujung nyawa.. "kak dinah..terima kasih atas segalanya.."



Aisyah Izzah Labongko..kawan seawal zaman kanak-kanak lagi..teman gaduh dan teman berjuang.. "syah..betul-betul macam mimpi..ko dah bergelar isteri har ini..jangan nakal-nakal dah ya..hehe"

1431 H..ku harap sinar cemerlang terus menerangi langkahku..berbekal kekerdilan diri dan kedhaifan ilmu..ku harap dengan rahmatMu yang maha luas..aku mampu melewat 1431H dengan lebih gemilang..izinkanku Ya Allah...

Friday, December 11, 2009

Bicara Cinta

"Assalamualaikum..welcome to sabah". Nada riangku menyambut panggilan telefon.

"Waalaikumussalam.belum sampai lagi lah..ni di LCCT. Petang baru sampai. " Jawabnya juga dalam nada ceria.

"Siapa ambil di airport? duk hotel mana?" Tanyaku bertubi-tubi

"Awaklah ambil ya..kan selalu sanggup bekorban.." Jawabnya diselangi gurauan.

"Jauh sangat bah..lainlah kalau di Tawau. Tak apa, sekarang tak payah bekorban, dah ada yang akan berkorban 24 jam" Jawabku mengusik disertai senyum tertawa.

Perbualan telefon dengan seorang sahabat lama yang berkunjung ke Sabah untuk berbulan madu. Terasa bagai baru semalam berdua bersama hidup sebagai sahabat setia di menara gading. Dua tahun dipisahkan oleh jarak dan masa. Hari ini, keadaan sudah berubah. Dia telah pun bergelar isteri kepada seorang lelaki yang tidak aku kenali. Cuma aku yakin dan pasti lelaki itu adalah yang terbaik untuknya bahkan lelaki itu sangat bertuah memiliki dia seorang insan yang punyai banyak kelebihan. Bukan sahaja tingkah laku yang menyenangkan, tetapi juga punya sekeping hati nurani yang suci murni. Kalaulah jarak Tawau-Kota Kinabalu ini sekadar 100km, akan ku redah jalan raya agar bisa bertemu dengannya. Melepaskan rindu dan menyampaikan salam tahniah buatnya. Apakan daya, jaraknya melebihi 1000km. Terpaksalah sekadar butir bicara menerusi telefon sebagai ucapan selamat datang buatnya.

Satu Malaysia rasanya, cuti ini penuh dengan majlis perkahwinan. Sana-sini ada majlis dan jemputan. Sehari bukan satu, kekadang sampai 2-3 jemputan. Pagi tadi juga, mak sempat memaklumkan hari ini ada "tour walimah". Ada 10 undangan walimah yang kena dihadiri. Mak sememangnya jenis yang akan memenuhi semua jemputan. Katanya, kalau malas ke kenduri, esok lusa kita buat kenduri, tiada orang nak datang. Mujurlah abangku sudi menjadi "supir" mak. Dapatlah aku memenuhi tuntutan kerjaku yang lain.

Bila musim kahwin ni, orang-orang yang bujang seperti aku ada juga kesannya. Pasti punya soalan yang akan di tanya.. "haa..dia dah kahwin, ko bila lagi?" Ini soalan standard dan kalau dibuat pengumpulan soalan, jenis soalan macam ini menduduki tangga teratas. Paling banyak! Walaupun soalannya mempunyai nada yang sama, tetapi adakalanya aku memberikan jawapan yang berbeza.. "belum sampai seru lagilah".."belum ada yang masuk meminang".."masih mahu bujang lagi" dan pelbagai lagi aneka jawapan yang masih menjadi tanda tanya kepada yang bertanya. Macam mana aku nak berikan jawapan yang tepat, aku sendiri tidak punya jawapannya...hihi

Menyentuh soal jodoh dan perkahwinan ini, sesuatu yang sangat "complicated" aku rasa. Takdir diri, jodohku tak semudah orang lain. Tak semudah sahabat-sahabatku yang dah pun selamat diijab kabulkan. Ada yang tak pernah jumpa dan kenalpun, kerana memang dah jodoh, selamat dah. Ada yang kenal sebulan setengah sahaja, kerana jodoh, selamat dah. Ada yang tak ready lagi nak kahwin..kerana dah sampai jodoh..kahwin juga. Cuma, sejak dua menjak ini, bila ramai sangat kawan-kawan yang dah kahwin, satu benda yang aku belajar, kahwin ini bukan perkara mudah dan boleh diambil mudah. Boleh nak ambil mudah, tapi bersedialah untuk sedikit sukar dihari mendatang. Sebelum semangat hendak tamatkan zaman bujang, wajib bersedia dari segenap aspek. Mental, fizikal, spritual dan segalanya lah. Jangan main tangkap muat sahaja. Perkahwinan itu sendiri adalah satu risiko, jadi jangan tambahkan lagi risiko-risiko yang sedia ada.

Jalan paling selamat, memahami, menghayati dan mahu mengaplikasi konsep perkahwinan menurut Islam. Jelas apa tujuan perkahwinan, mengerti dimana nilai perkahwinan dan tahu apa pengisian kepada sebuah perkahwinan. Semuanya ini harus disandarkan kepada syariat Islam barulah segala kebaikan dan hikmah perkahwinan itu mampu dinikmati. Tidak siapa dapat menyangkal bahawa perkahwinan itu satu nikmat. Perhatikan sahaja amaran Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis baginda kepada yang menyangkal perlunya untuk berkahwin:

"nikah adalah sunnahku, dan barangsiapa tidak suka akan sunnahku, maka dia bukanlah dari umatku"

Sesungguhnya jodoh itu rahsia Allah. Sesuatu yang tidak mampu kita tetapkan menurut dan mengikut kehendak kita. Kita punya hak mencari dan memilih teman mengharungi sebuah alam bernama alam rumahtangga, tetapi hak untuk memperkenankan permintaan dan pilihan hati kita hanya Allah Yang Maha Berkuasa. Makanya, kepada yang masih bersamaku dengan status bujang ini, mari kita tunaikan hak kita. Mencari, memilih dan paling penting meminta pada Dia yang Maha Menentukan..

"Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahu segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan..) adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya da seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya".

Tidak akan menyesal sesiapa yang bertanyakan penciptaNya dan berbincang dengan orang-orang mukmin kemudian berhati-hati dalam menangani persoalannya. Setelah dilaksanakan segala hak kita sebagai hamba...maka bertawakkallah kepada Allah..Bujang tidak berlalu sia-sia tetapi juga penuh dengan ibadah...Indahkan hidup bersyariat... :-)



Sunday, December 6, 2009

Kaku berdiri

Kondisi diri kini-berada dalam keadaan tidak yakin diri dan berjiwa kecil. Mungkin sudah lama aku diselubungi simptom ini, tapi baru kini tertonjol dan terzahir. Sebentar tadi juga aku menolak untuk memenuhi jemputan adik Perpis bagi mengisi satu slot kuliah dasar KAMI yang bakal diadakan 16-20hb Disember nanti. Rasa sangat tidak berkeyakinan mampu memberi mutiara hikmah berbentuk madah bicara saat diri tidak berada di paksi ketenangan ini. Terlalu jauh rasa diri banding sahabat-sahabat lain yang sudah semakin bergaya langkahnya di jalan juang ini.

Tidak suka sebenarnya menghampakan dan menyulitkan lagi gerak kerja adik-adik, namun apakan daya, gagal membendung rasa negatif yang menguasai diri kala ini. Syukur juga, mereka sudah ketemu pengganti yang jauh lebih berilmu, berpengalaman dan sangat berkelayakan.

Sebentar tadi juga baru selesai membaca blog sahabat maya. Membaca entry bertajuk berjiwa besar, membuat diri terpukul sendiri. Terngiang-ngiang katanya lewat penulisan itu

"Mustahil tokoh-tokoh besar tersebut mampu bertahan tanpa pembantu-pembantu yang sentiasa sedia memberikan bantuan."

Sejauh manalah selama ini mampu menjadi pembantu kepada barisan piminan yang harus ditaati. Sudahlah membantu pun kurang, memberi kesulitan lagi agaknya. Program tidak dihadiri dengan jiwa dan raga, sekadar datang seadanya. Ada juga ketikanya mencari sejuta alasan untuk berjaya bolos daripada menghadiri program. Dalam mesyuarat pula, tidak fokus dan sekadar hadir memenuhi surat panggilan mesyuarat. Tidak datang dengan idea. Tetapi datang dengan harapan yang tinggi mesyuarat segera habis dan mahu secepat kilat pulang ke rumah.

Kenapa jadi begini? Mana hilangnya rasa manis ukhuwwah bergerak kerja bersama. Menghabis masa untuk ummah dan Islam tercinta. Memerah minda biar lahir idea bernas untuk kecemerlangan jemaah dan perjuangan. Persoalan yang perlu ditangani dengan tindakan. Bukan sekadar membiar menjadi persoalan demi persoalan.

Sejujurnya, aku juga tersangat berharap mampu kembali "beraksi" di pentas dakwah ini. Walau dengan langkah yang sedikit tempang, akan ku usahakan menuruti kamu, dia dan mereka yang semakin gagah melangkah.


[aku lihat mereka sedang berdiri,aku masih terduduk..aku lihat mereka sedang berjalan, aku masih berdiri..aku lihat mereka sedang berlari..aku baru melangkah..aku lihat mereka semakin jauh..aku masih disini dan begini..]

Thursday, December 3, 2009

Bahasa Jiwa

masih segar diingatan
kita berdua berlari berkejran
memburu masa dan impian
saling mengingati dan berpesan-pesan
biar betul di landasan
tanpa tersasar dari haluan

tidak kan pernah ku lupa
saat aku goyah dan hilang arah
hingga bagai tidak berupaya
melawan deras arus dunia
kau tetap utuh berdiri setia
menahan aku dari terus rebah

akan kuingati selamanya
kisah suka duka kita bersama
difitnah dikeji kita tabah menerima
dipuji disanjung kita tidak alpa
kita kutip segala-galanya
menjadi pengalaman yang berharga

seketika aku disentak lena
dibuai indah mimpi cerita kita
saat aku bangun dan terjaga
ku sedar kau sudah tiada

jarak dan masa terus memisah
meninggal hanya memori bersama
tidak mampu aku ters berdusta
tidak terasa saat kau tiada
apakan daya apakan upaya
aku hanya perindu setia

disisa usia yang masih ada
aku hanya mampu meminta
kisah kasih kita bersama
tidak kau biarkan sirna
hilang pergi bersama masa

semoga segala-galanya
akan kita semadi dikamar jiwa
menjadi sebuah ceritera cinta
kau dan aku sahabat setia

Sekali lagi bilik peperiksaan tingkatan 6 SMK Umas-Umas menjadi ruang aku berbahasa jiwa. Kali ini semasa menjaga STPM. 3 jam bukan tempoh yang singkat. Kebetulannya, salah seorang calon STPM sekolah ini, wjahnya iras seorang sahabat lama. Terpandang wajahnya, memutarkan kembali memoriku dengan sahabat ku ini. Lantas terilhamlah puisi ringkas ini.


Siap mengarangnya, ku tunjukan kepada teman yang turut menjaga STPM. Selang beberapa minit, dia menghantar mesej.. 'kau kena cari suami ni'..Membacanya dengan sedikit kerutan di dahi..kebetulan pula dihadapanku ada sebuah buku bertajuk 'Khadijah Cinta Sejati Rasulullah'..aik macam kebetulan pula saranan temanku ini dengan buku dihadapan ini..mengalih pandangan ke luar jendela..pandanganku kosong..kosong sekosongnya hati ini...

Tuesday, December 1, 2009

Sekian lama menyepi dari dunia blog. Kekangan laptop yang sudah diambil hak millik. Ramai juga teman-teman yang "menegur" kenapa tidak punya laptop sendiri. InsyaAllah..suatu hari nanti..tunggu rezeki lebih sedikit. Kalau ada yang nak menderma pun dialu-alukan..hihi

Cuti terus berlalu. Masa kekadang tidak pasti kualitinya. Rasanya banyak tidak dimanfaati sebaiknya. Sehari dua ini, sedikit tidak stabil emosi. Kerap bermenung sendirian. Pandangan kosong! Aku tahu dan sedar apa puncanya. Tahu hujung pangkalnya. Namun, tidak jumpa penawarnya. Kabur jalan pulangnya. Tidak pasti apa cara terbaik membawa kembali ceria dan senyum yang sudah dua hari ini hilang meninggal pergi.

Masih keliru dan sangsi atas tindakan yang dilakukan. Silapkah terlalu objektif menilai sesuatu yang subjektif sifatnya. Semua ini untuk memberi keyakinan kepada diri. Mencari satu jaminan sesuatu yang lebih baik di hari mendatang. Akur, masa depan sesuatu yang tiada siapa dapat memberi jaminan apa dan bagaimana corak keadaannya, namun tidak salah rasanya merancang dan merangka pelannya. Disamping berdoa kepada yang Maha Menguasai seluruh alam agar perancangan ini sama dengan perancanganNya.

Namun inilah namanya hidup dan kehidupan. Pelbagai warna dan lakarannya. Manusia itu tidak semua sama. Apatah lagi dalam memahami dan menilai sesuatu. Sejauh manapun perbezaan dalam menilai itu, jangan lupa mengguna pakai segala senjata keimanan. Biar mampu mencari titik persamaan. Menambah apa yang terkurang, membuang apa yang terlebih. Apabila silap, berani mengatakan "saya bersalah, maafkan saya". Apabila benar, elakkan berkata "kan saya yang betul". Depani keduanya dengan rendah diri dan tawadhuk. Baru manis dipandang manusia, mulia di sisi pencipta.

Penuh pengharapan, ketenangan yang hilang segera pulang bermukim di qalbu. Penat dihempas ombak jiwa yang resah. Rindu dibelai hembusan angin damai dan menenangkan. Andai kekhilafan yang tercetus ini berpunca dari diri yang dhaif, kerdil dan hina ini, mohon dimaafi setulus nurani. Moga tiada benci mengiringi. Mari kembali berkasih sayang kerana Allah..peace no war!!! [tetiba pulak kan..hihi]

Thursday, November 19, 2009

Salam terakhir..

[Entry ini mungkin tidak memberikan sebarang input pun kepada pembaca..andai rasa tidak punya banyak masa..tidak payahlah meneruskan pembacaan..tiada sesuatu yang istimewa..sekadar luahan rasa tuan blog semata-mata]

Hari ini malam terakhir aku bersama laptop pinjaman ini. Tahun hadapan, kalau masih punya rezeki dan keizinan baru aku bertemunya semula. Dengan ketiadaan laptop ini, maka terputuslah seketika dunia nyataku dengan dunia maya ini. Tiada lagi coretan sepi, bicara bisu mahupun luah rasa untuk tatapan pengunjung bicara sufi.

Aku juga akan semakin sepi dari perkembanga semasa terutama berkisar isu politik negara ataupun jatuh naik keadaan ekonomi negara. Tidak lagi mampu aku melayan ajakkan minda nakalku yang mahu aku mengetahui perkembangan dunia hiburan tempatan. Lebih mendukacitakan, tidak lagi aku berteman mykuliah.net. Teman rohaniku saban maghrib. Walau sebulan cuma, semuanya ini pasti aku rindui.

Sememangnya informasi dan perkembangan terkini nasional dan antarabangsa, mudah ku dapati menerusi kaca televisyen, tetapi sesungguhnya aku jenis manusia yang cukup malas melihat TV. Terutamanya siaran perdana iaitu berita. Tidak kisah dari "channel" mana sekalipun. Bukan apa, sudah muak disajikan dengan berita-berita yang boleh dipertikaikan kesahihannya. Yang rasanya boleh dipercayai berita sukan dan laporan dunia sahaja. Ada juga ketikanya aku setia menghadap TV, selalunya melihat drama-drama melayu yang aku tapis skrip dan pelakonnya. Cerita mat saleh memang aku tolak tepi. Bagi aku banyak buruk dari baik melihatnya. Biarlah aku dikatakan kuno sekalipun. Manusia bebas memberi persepsi. Kita juga punya hak menilai persepsi tersebut. Jadi diri kita. Garis panduan hidup adalah syariat, bukan manusia!

Adakalanya terbayang, apalah pengisian cuti ini. Cuti bukan sehari-dua, mahu-mahu sebulan-dua juga lamanya. Ruang berkarya sudah tiada. Harap-harap masa yang bersisa akan dipenuhi dengan segala yang bernilai ibadah.

Sesuai sebenarnya masa yang ada ini dujadikan ruang uzlah seketika dari segala yang sudah terbiasa. Mencari ruang mengkoreksi diri biar sedar diri hanyalah hamba yang sangat dhaif lagi hina.

Selamat tinggal dan selamat bercuti dunia maya...

Monday, November 16, 2009

Kasih tak sempurna

November bagai bulan yang berat rasanya. Sarat dengan pelbagai isu. Samada berbentuk peribadi ataupun urusan perjuangan. Hingga kurang aku mengarang dan menulis disini. Meregangkan sedikit saraf otak yang kekadang bagai beku, masa di alam maya banyak dihabiskan melayan FB. Meneroka kenangan dan khabar sahabat-sahabat lama dan baru, jauh dan dekat.


Berhibur dengan cara sebegini, hanya menahan daripada memikir masalah buat seketika cuma. Seusai menutup laptop, pasti minda terjah dengan persoalan-persoalan kehidupan yang belum selesai dan diselesaikan. Diasak dengan segala kesulitan ini, membuktikan diri jauh benar dari karektor muslim-mukmin sejati. Masih belum mampu mengawal minda dan emosi. Tidak tenang menghadapi tekanan. Tidak sabar menghadapi ancaman. Tewas pada ujian.


Dalam usaha memujuk diri dan hati, sujud syukur padaNya. Memilihku lahir ke dunia pentas ujan ini sebagai muslim. Punya tuhan pencipta alam dan segala isinya.yang Maha Pengasih lagi Penyayang. Disaat manusia tidak mampu mendamai sekeping hati, memberi ketenangan pada satu jiwa, aku masih punya Allah yang Esa. Tidak membiar dan meninggalkan hambaNya begitu sahaja.


Pantas benar, hieraki cinta seorang muslim Allah berada di atas, diikuti oleh Rasul junjungan tercinta. Seingkar mana seorang hamba pada Dia Sang Pencipta, tetap dibalas dengan segunung keampunan. Rasul pula, di saat sedang berperang dengan maut, masih menyebut ummati, ummati, ummati. Adakah manusia semulia ini? Seorang ibu pun belum tentu mampu kasihkan anaknya sekasih Rasulullah s.a.w kepada umatnya. Hingga berkorban segala-galanya hanya untuk memastikan sinar Islam menerangi seluruh buana.


"andai bulan diletakan di tangan kananku
dan matahari ditangan kiriku,

demi Allah tidak akan kuhentikan dakwah
ini"


Justeru, buat teman pembaca coretan ini, andai kala ini, kita diuji dengan sifat manusia, jangan gundah dan resah. Itu sudah aturan alam. Adakala kita disakiti, adakala kita menyakiti. Bukti kasih manusia tidak sejati. Maka apabila mengasihi juga jangan sepenuh hati. Hingga mengatasi kasih pada yang selayaknya, kalau tidak kita juga akan makan hati hingga membawa diri...


Hidup pentas ujian..bersedialah untuk diuji!!!

Apakah manusia mengira bahwa mereka akan dibiarkan mengatakan, `Kami telah beriman,’ sedangkan mereka tidak diuji lagi?” ( Al-Ankabuut: 2)

Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...