Monday, October 17, 2011

Langkah pertama

Salam Palestine

Catatan ini sedikit terlewat. Seharusnya ruang masa petang yang senggang semalam saya manfaatkan sebaiknya. Kondisi kesihatan fizikal saya kurang mengizinkan. Saya semakin akur, stamina saya berada pada tahap yang membimbangkan. Semakin memanggil "Bukit Cina" yang biasa saya daki hujung tahun lepas. Saya perlu bertegas dengan pengurusan masa. Kalau tidak terpaksa berkudrat warga emas.

Hingga hari ini saya masih senang hati. Riang dengan berakhirnya kuliah pertama APSA. Ruang yang menjadi platform membugar tarbiyyah muslimat. Semangat kami barisan pengelola membara dengan sambutan akhir yang di luar jangkauan. Seketika saya merenung, mampu kah kami yang sekadar 5 orang ini merealisasikan aspirasi besar DMPNS terutamanya Ketua Muslimat kami. Melihat kecekalan Pengarah APSA Cawangan Sabah yang sedang sarat mengandungkan anak keduanya, saya menjadi segan sendiri. Alhamdulillah..usaha murni ini dimudahkan laluannya. Bantuan dan sokongan turun padang APSA Pusat yang sanggup menerbangkan 2 orang stafnya jauh merentas Laut Cina Selatan sangat membantu. Lebih manis, ukhuwwah terjalin erat. Bagai kasih kami sudah lama bertaut. Bila aqidah dasar ukhuwwahnya, bertemu tidak jemu, berpisah tidak gelisah.

Satu yang lebih membahagiakan saya adalah semangat yang di tonjolkan oleh barisan naqibah pelatih. Kesungguhan meraih ilmu. Walau ada yang sudah bergelar nenek. Usia yang tidak mematikan semangat. Bahkan perlu dijadikan ikhtibar oleh yang masih muda. Seperkara lagi, pemerhatian saya pada kuliah pertama ini, pemurnian fikrah para amilat berjaya dikemaskan. Sentuhan pengisian penuh kualiti daripada Timbalan Pengarah APSA Pusat berjaya memberi satu momentum yang cukup baik di kalangan naqibah pelatih. Semua akur, perjuangan ini tidak sekadar berpaksikan pada siasah. Jangan hanyut dengan label yang diberikan oleh mereka yang berada di luar gelanggang. Tunjang utama jemaah ini adalah tarbiyyah.

Perjalanan baru bermula. Pastinya selepas ini lebih sukar dan mencabar. Namun tidak sesekali akan memadamkan semangat kami yang sudah membara. Kami mahu terus utuh pada saf perjuangan ini. Bukan sekadar menjadi ahli haraki tetapi penuh dengan ilmu dan berjiwa sufi. Ini impian kami! Doakan semua ^_

^

3 comments:

Dhiya' said...

Bukan sekadar menjadi ahli haraki tetapi penuh dengan ilmu dan berjiwa sufi...ameen yaRabb

Syahadah_Aziyati said...

moga ALLAH merahmati jalan juang ini...menjadi saksi...saham...di akhirat nanti...redha ALLAH yang di cari..teruskan perjuangan kak izzati!

bicara_sufi said...

amin ya rabb..doa yang tidak putus..nama terus terukir pada kanvas perjuangan ini :)