Thursday, September 24, 2009

Nun di Sana

Dua tiga hari terasa berat untuk menulis. Melakar sesuatu buat renungan diri dan insan yang sudi kunjung ziarah bicara sufi. Kebiasaannya "penyakit" malas ini menyerang apabila hidup statik sahaja. Tiada apa-apa yang menarik berlaku disekeliling.


Sebentar tadi baru terbaca blog sahabat yang nama penanya hazainor. Mengkhabarkan walimah sahabat nisa' Aminah Soga. Hanya mampu mengetuk dahi.."macam mana boleh lupa plak ni". Walhal ada dia menghantar sms untuk aku hadir memeriahkan majlis akad nikahnya. Kebetulan tiada pun seorang sahabat mengingatkan dan mengajak untuk ke sana. Agaknya semua beranggapan aku akan menolak untuk hadir dan sekadar mahu berdiam diri dirumah. Tidak harus menyalahkan mereka. Salah sendiri tidak peka. Bila keadaan sebegini berlanjutan untuk dua-tiga majlis, semakin sedar bahawa kini memang benar-benar sendiri. Perlu sensitif kepada perseketiran. Kalau tidak diri sendiri juga akan tertinggal.


Mengapa dan kenapa keadaan ini boleh berlaku? Rasa sendiri walhal kawan ramai disisi. Sebenarnya bila keadaan sebegini menimpa dan melanda anda, jangan cari jauh-jauh apa puncanya. Sebab dan akibatnya adalah DIRI SENDIRI. Kita yang membina jurang dan jarak dengan orang lain. Makanya, jika berhadapan dengan apa jua masalah ataupun konflik, belajar TIDAK menuding orang lain. Langkah pertama, periksa diri terlebih dahulu. Apa yang kita telah lakukan kepada orang lain. Bagaimana sikap kita kepada orang, begitulah juga yang akan kita terima.


Jika kita lebih telus kepada diri sendiri, kita akan lebih dekat dengan ketenangan. Bila orang lain melakukan sesuatu yang membuat kita sakit hati, hingga terhimpit dan tersepit rasa hati kita, berilah senyuman dan kemaafan. Dengan disertakan IKHLAS yang sebenar-benarnya, InsyaAllah..damai dan tenang jiwa pasti bersama. Tidak percaya? Lakukan..anda akan merasai kenikmatannya.




Semalam berkesempatan hadir dan membantu Rumah Terbuka PAS Kawasan Tawau. Alhamdulillah, percubaan pertama PAS Tawau untuk mendekati masyarakat disamping mengukuhkan ikatan ukhuwwah di antara ahli harus diberi pujian. Walaupun terdapat beberapa masalah teknikal yang berlaku, semuanya boleh dimaafkan. Maklum sahaja, pertama kali. Masih kurang pengalaman. Yang pasti, suasana hari raya 2009 ini menjadi lebih berseri dengan majlis tersebut. [apa tidaknya..sebelum ini, raya-rayaku hanya diisi duduk menanti tetamu dirumah sahaja..hehe] Laporan lanjut rumah terbuka ini boleh lah layari blog rasmi PAS TAWAU.



Sedar tak sedar, cuti raya akan berakhir. Esok sudah harus memulakan tugas disekolah. Kalau ikut rasa malas, memang berat sangat nak kembali bertugas. Macam nak cuti selama-lamanya. Tapi ini kalau ikut rasa malas lah kan. Dengan kata lain, merelakan diri digelar PEMALAS. Oh..tidak..kena buang jauh-jauh semua rasa-rasa tidak membina ini. Latih dan didik "mood" unuk bersemangat. Apatah lagi, SPM semakin hampir. Inilah masanya membantu anak-anak didik yang disayangi melakukan pecutan-pecutan akhir. Cayyo!!


Langkah harus terus. Jangan undur dan menoleh lagi..kita sedang bersaing dengan masa. Jangan biar masa memintas kita. Terus dan terus buru kecemerlangan..


Tuesday, September 22, 2009

Kisah Syawal

Salam Lebaran

Alhamdulillah..syukur atas nikmat usia dan masa..bertamu juga kita anjung Syawal. Setelah sebulan bermujahadah melawan hawa nafsu membina benteng diri selama sepurnama bersama Ramadhan.

Hari ini sudah 3 Syawal. Bukan baru berkesempatan untuk mencurah rasa bersama bicara sufi, terlalu banyak masa lapang dan terluang. Namun sengaja tidak mahu melakar sesuatu..nanti kelihatan "abnormal" pula kan. Orang tengah beraya, kita pula asyik menghadap laptop. Sudah-sudahlah dikata "abnormal"..ni nak jadi normal betul-betul dah ni. :-)

Hari ini nak bercerita tentang raya sahaja. Bermula dari persiapan raya hinggalah ke hari raya. Mungkin entry kali ini agak panjang. Jadi kepada yang bergegas dengan masa, bacalah sekerat-sekerat. Janji faham jalan cerita. :D


29 Ramadhan saban tahun sememangnya hari yang sibuk dan memenatkan. Hari itu merupakan persiapan kenduri hari raya. Untum makluman, suku kaum bugis di Tawau ni sangat sinonim dengan kenduri. Sikit-sikit kenduri. Anak masuk universti, kenduri. Nak masuk Ramadhan kenduri. Nak hari raya [aidilfiti atau aidiladha] kenduri. Kenduri kesyukuran dan doa selamat. Hendak berkenduri itu tiada masalah, cuma jangan sampai membebankan. Mewajibkan sesuatu yang tidak wajib. Ini yang menjadi masalah. Selain itu kenduri-kenduri ini dimasukkan unsur-unsur khurafat yang dianggap adat. Contohnya mesti menggunakan kemenyan, wajib menyediakan hidangan dalam 6 dulang, disediakan dulang-dulang makanan khas untuk ahli keluarga yang telah meninggal.



Merubah situasi yang sudah berakar umbi ini pasti tidak mudah. Bukan sekali dua, saya diajukan persoalan berkaitan isu-isu ini. Setiap kali ceramah ataupun dalam pengisian semasa usrah, pasti ada soalan berkaitan isu begini. Jawapan ringkas saya, ubah dengan ilmu dan hikmah. Itu uslub dakwah yang paling tepat. Perlengkapkan diri kita dengan ilmu agar arif membezakan yang mana adat-adat yang boleh dikekalkan dan tidak bercanggah dengan syariat, dan adat-adat yang khurafat yang harus dibuang. Proses menegur dan membanterasnya perlu hikmah dan kebijaksanaan. Bijaklah membaca keadaan dan persekitaran. Apatah lagi yang mahu ditegur, mahu ditunjuk ajar adalah orang-orang tua kita. Yang pasti punya ego yang tebal. Namun, pasti dengan kesabaran dan kesungguhan akan berlaku perubahan. Tidak banyak sedikit pun memadai. Mula-mula sedikit, lama-lama pasti mampu kita buang semuanya. Kalau bukan pada masa kita, InsyaAllah..pada masa anak cucu kita. Tugas kita terus dan terus berdakwah.

Seperti biasa, malam raya adalah malam perhimpunan keluarga. Semua adik-beradik duduk bersama. Rumah mak di Kg Pasir Putih, meriah dengan gelagat anak-anak buah yang kecoh bermain bunga api. Kami yang dewasa ini pula, duduk menghadap juadah raya sambil bersembang dan bergelak ketawa mengenang kisah-kisah semasa kecil dahulu. Satu persatu memori kanak-kanak kami imbau kembali. Inilah seronoknya adik beradik ramai..




Pagi raya pula, pastinya diisi dengan menunaikan solat sunat aidilfitri. Sekali lagi, Masjid Ar-Raudhah, SMK Jambatan Putih menjadi masjid pilihan untuk bersolat. Pengikut setia mak dan 2 orang adik perempuaan turut serta. Walaupun jarak masjid ini jauh dari rumah, tetapi kerana suasananya yang tenang membuatkan kami tetap ke sini. Berbanding dengan masjid di kampung sendiri, terpaksa bersesak-sesak dan pasti tidak dapat mendengar khutbah raya kerana semua kalut hendak balik. Biarlah berkorban jauh berjalan demi keselesaan.


Balik bersolat, pasti saat yang dinanti oleh adik-adik dan anak buah. Masa untuk mengutip duit raya. Melihat kegembiraan mereka, juga melahirkan kegembiraan diri. Berkongsi rezeki kurniaanNya dengan insan-insan terasayang.



Setelah mengisi perut dengan juadah raya, kami meneruskan aktivit raya dengan ziarah kubur. Peluang berkumpul di hari raya ini, dimanfaatkan untuk menziarahi pusara insan-insan yang mendahului kami. Sebak masih tidak dapat disembunyikan tatkala berada di pusara bapa. Masuk tahun kedua beraya tanpa bapa. Kenangan bersamanya masih segar dan tidak akan sirna sampai bila-bila. Belum puas berkongsi kejayaan hari ini dengannya. Hanya doa mampu dikirim agar dia sejahtera di sana...
Selebihnya Syawal diisi dengan menanti tetamu dan kunjung ziarah rumah keluarga terdekat. Memandangkan nenek dengan atuk sudah tiada, rumah mak menjadi "sasaran" keluarga untuk berziarah. Maka, kuranglah berjalan, banyak menunggu dan menanti sahaja.




Tahun ni pun tidak ikut serta sahabat-sahabat Nisa'alam konvoi raya. Kenapa? Entah..hanya itu yang mampu dijawab. :-) Raya tahun ini lebih banyak berehat di rumah sambil mencuci mata dengan rancangan-rancangan TV yang macam-macam ada...
Demikianlah corat coret raya 2009 ini. Esok dalam perancangan akan ke Kunak. Membawa mak menziarahi sanak saudaranya yang sudah lama tidak bersua. Harap-harap esok kinjungan raya yang terakhir. Mahu memulakan puasa sunat 6 pula. Kalau sekolah dah bermula, lagi kuat cabaran nak berpuasa. Pasti ada sahaja jamuan raya di sekolah...

Akhir kalam untuk entry raya ini, saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf kepada siapa jua yang mengenali diri. Semoga sinar Syawal ini, membawa kepada kedamaian dan kebahagiaan kepada hati dan perasaan kita semua. Buang yang keruh ambillah yang jernih..InsyaAllah..

Thursday, September 17, 2009

Hargai selagi boleh


Salam Ramadhan

Penghujung Ramadhan semakin tiba. Sana sini sudah mula dipenuhi dengan mood raya. Lagu raya juga sudah menenggelamkan suasana Ramadhan. Tradisi yang kurang subur kepada rohani. Bukankah sebaiknya saat-saat akhir ini semakin kita "berhabis" untuk memaksimakan ibadah.? Berusaha sekerasnya agar benar-benar mengumpul bekal iman dan taqwa buat perisai menghadapi hari-hari mendatang? Masyarakat semakin kabur menilai anugerah tuhan..

Sebentar tadi membaca kisah pembebasan tahanan ISA, Mat Sah Mohd Satray suami kepada Norlaila Othman aktivis GMI. Sayu hati dibuatnya. Penantian 8 tahun berakhir juga. Pasti tidak terucap dengan kata-kata betapa syukurnya mereka atas pertemuaan ini. Setelah dipaksa berpisah oleh akta zalim ciptaan mereka yang mendokong kebatihlan. Bertambah menyedihkan apabila akta zalim ini turut dipertahankan oleh mereka yang punya pengetahuan agama yang tinggi. Mengguna hujah-hujah agama untuk menegak yang bathil. Menahan seseorang tanpa bicara, memaksa mengaku sesuatu yang salah, adakah ini dianggap keadilan? Saranan GMI untuk meneruskan perjuangan memansuhkan akta zalim ini wajar disokong padu. Jangan dibiarkan ada lagi "perpisahan paksa" yang bakal terjadi kepada mana-mana keluarga di bumi Malaysia ini. Cukuplah..

Disebalik kisah pertemuaan membahagiakan ini, terusik emosiku mendengar kisah pemergiaan salah seorang guru di bumi peladang hari ini. Meninggal dunia kesan kecederaan teruk akibat melecur semasa letupan gas di rumahnya. Syawal yang sering dinanti oleh umat Islam sebagai ruang bergembira, pasti hilang dan tiada makna buat isteri dan anak-anak Allahyarham. Apatah lagi khabarnya, anak-anak masih kecil lagi. Benarlah, kalau maut sudah menjemput tiada siapa dan tiada apa-apa yang dapat menghalangnya. Dalam sebulan dua ini, kerap sangat berita kematiaan menerjah diri. Kita yang masih diberi ruang hidup ini, adakah sudah bersedia untuk menghadapi saat yang pasti kita lalui ini?

Sama-samalah memanfaatkan sisa-sisa Ramadhan ini. Rebut peluang selagi ada. Jangan dikejar sangat syawal yang tidak akan lari. Sebaliknya peluk erat Ramadhan yang sudah siap-siap meninggalkan kita. Tahun depan belum ada jaminan kita bersua dengannya lagi..



Tuesday, September 15, 2009

Sedingin pagi..

Sabah cuti hari ini. Hari keputeraan TYT Sabah. Melihat jadual, juga tidak ada sebarang agenda yang perlu diselesaikan. Mesyuarat tiada program pun tiada. Memikir lapang begini, waktu dimanfaatkan untuk keluar merasa angin pagi. Seusai subuh, aku mengajak mak ke pasar pagi. Hajat dihati mahu mencari jagung buat juadah berbuka petang ini. Juadah tradisi suku kaum "bugis sabah" bernama BEROBBOK ini memang menjadi kegemaranku. Seisi rumah tahu aku gemarkannya.


Pasar Tanjung Tawau

Nikmatnya merasai kedinginan bayu pagi. Memandu perlahan sambil menyaksikan sang suria menyapa hari. Terimbau kenangan kecil-kecil dahulu. Mak selalu bawa ke pasar sebelum subuh lagi. Masa tu mata memang berat sangat. Sementara dalam perjalanan ke pasar, pasti sempat melelapkan mata di dalam bas yang dipandu bapa. Setiba di pasar, mata yang layu kembali segar. Melihat pelbagai ragam dan karenah manusia. Sementara mak mendapatkan barangbarang keperluannya, aku kerap sekadar menjadi pemerhati sahaja. Pemerhati kepada keadaan sekeliling. Macam-macam difikiran ku tika itu.


Tabiat itu terbawa-bawa hingga sekarang. Sesekali meluang masa melihat keadaan masyarakat sekeliling, cukup memuhasabahkan diri. Tidak mudah untuk memenuhi tuntutan kehidupan. Apatah lagi di zaman yang serba serbinya duit. Melihat pakcik dan makcik tua duduk menunggu barang jualan mereka habis dijual meruntun sayu hati. Pastinya mereka ini berjaga dari awal pagi lagi. Siang harinya nanti, pasti ada saja kerja-kerja yang perlu dilakukan demi memastikan punya RM untuk keperluan kehidupan.

Semoga penat lelah dan jerih payah insan-insan ini dimengerti dan dihargai oleh si anak. Saat anak lena di ulit mimpi di rumah, ibu dan bapa ini merasa dinginnya embun pagi. Bersusah payah begini, bukan untuk orang lain, untuk anak-anak yang sangat dikasihi juga. Mengapa masih sukar difahami oleh si anak akan jasa dan pengorbanan insan-insan tua ini. Hingga masih sanggup membelakangkan mereka, mencalar sekeping hati mulia mereka.

20 minit pusing-pusing pasar, sudah memadai untuk mengubat rindu zaman kanak-kanak dulu. Keadaan tidak jauh berbeza, lokasi sahaja berubah. Mak pula mengambil ruang begini, bertemu semula kawan-kawan lamanya. Agaknya mak pun sudah lama rindukan pasar ini. Sejak aku sudah bekerjaya, urusan-urusan dapur semua di bawah seliaan ku. Aku tidak mahu menyusahkan mak terpaksa ke pasar walhal aku berkemampuan melaksanakan tugas itu. Walau ada kalanya, mulut mak mengomel tatkala aku membeli ikan yang dah busuk atau sayur yang tidak segar [manalah aku tahu ikan tu elok ke busuk..janji nampak "cantik" je aku beli lah]

Kisah-kisah semalam sememangnya kenangan yang tidak mampu diulang kembali. Keadaan berbeza dan tidak akan sama. Sebagai manusia, tugas kita meneruskan kehidupan. Mahu patah kembali kepada kenangan lalu adalah mustahil. Mahu mencorak untuk masa akan datang, belum tentu seperti yang kita imipikan. Maka, pergunakan hari ini sebaiknya. Agar mampu melakar kenangan yang indah untuk masa akan datang. Lagilah untuk "manusia bermemori" seperti aku ini.. :)


Pemandangan bandar Tawau seawal 6 a.m



Sunday, September 13, 2009

Berdamailah Dalam Iman


Salam Ramadhan..

Hari-hari terakhir bersama bulan penuh berkat ini. Nikmat yang tiada taranya. Terasa sangat perbezaan beribadah di bulan ini berbanding bulan-bulan lainnya. Sangat ketara!

Takut untuk menghadapi hari-hari berikutnya pun ada sekarang ini. Masih sangsi akan keampuhan benteng diri yang dibina sepanjang berada di dalam madrasah Ramadhan ini mampu menangkis segala cabaran di hari mendatang. Bukan mudah meastikan setiap tingkah, fikrah dan bicara bertepatan dengan syariat dan mampu diganjar pahala.

Kekadang kita bercakap dengan niat membetulkan keadaan agar lebih baik, tetapi ditafsir sebaliknya. Kekadang kita bertindak sedikit "keras" hingga mungkin menyentak rasa insan lain. Walhal niat kita sekali lagi, ingin menjadikan situasi lebih baik dan betul. Tafsiran kita dengan insan lain belum tentu sama. Disinilah titik puncanya konflik. Konflik komunikasi dan juga konflik diri. Terlibat dan melibatkan diri dalam apa jua konflik adalah sesuatu yang sangat membebankan. Beban minda dan perasaan.

Tapi untuk mensifarkan konflik dalam diri adalah sesuatu yang mustahil. Itulah rempah ratus kehidupan. Menjadikan hidup lebih berwarna-warni. Lebih pelbagai corak dan lakarannya. Melaluinya kita menimba seribu satu pengalaman. Dengannya menjadikan kita bertambah matang. Ini andai di hadapi dengan positif dan optimis. Tetapi tidak mustahil juga dengan konflik ini, kasih terlerai benci tercipta.

Renung diri sedalamnya. Muhasabah setulusnya. Kalau sedang berada dalam konflik..berdamailah dalam iman!

[bestnya kalau semudah ini mengatur hati dan perasaan kan..]

smkjpt, 1.25 p.m

Saturday, September 12, 2009

Ikatan hati

Salam Ramadhan

Sabtu yang menenangkan. Seharian di rumah hari ini. Tiada sebarang mesyuarat atau aktiviti di siangnya yang perlu dihadiri. Tidak seperti kebiasaannya ada sahaja agenda yang perlu dibereskan.

Walaupun dalam keadaan lapang begini, tiada rezeki untuk hadir iftar jama'ie di Merotai. Terkilan juga. Apakan daya, tidak sampai hati membiar mak dengan abang ipar sahaja berbuka dirumah. Adik-adik semuanya punya urusan peribadi. Salam kemaafan buat sahabat semuanya atas ketidakhadiranku.

Ramadhan ini, tidak berpeluang aku mengahadiri iftar-iftar yang dianjurkan oleh jemaah. Kesan perlu menyediakan juadah berbuka dirumah. Lagi pula, sayu sangat hati untuk meninggalkan mak dan adik-adik sahaja. Apatah lagi dalam keadaan kakak-kakak dan abang-abang semuanya tiada di rumah. Tidak mahu hati mak sayu dan akan terbawa-bawa mengimbau memori berpuasa bersama arwah bapa. Tidak mahu sakit menanggung rindu kembali meyerang hati.

Tidak dinafikan, perasaan serba salah, tidak tenang, teringat-ingat menyelubungi jiwa dan minda tatkala gagal hadir program jemaah. Dalam masa yang sama syukur sangat punya rasa hati ini. Tanda Allah masih mahu mengikat hati dan diri pada tali perjuangan. Sebab itu, sering berdoa agar biar keterikatan ini kekal berpanjangan selama-lamanya.




Kg. Pasir Putih, 9.21 p.m


Friday, September 11, 2009

Semoga dimakbulkan..

Salam Ramadhan


"Kalahlah BeEnd nanti dalam pilihanraya nanti ni"



"Aku tidak mahu sudah undi BeEnd"



"Semakin teruk kerajaan sekarang ni"


Antara luahan beberapa rakan yang sempat melekat di minda. Respon ketiadaan bonus raya pada tahun ini. Bonus hanya untuk AKS sahaja...

Malas nak komen panjang. Andai ini satu doa. Aku tambah lagi doa ini, MAKBULKAN LAH YA ALLAH... :-)


Kebatilan akan sirna..Kebenaran akan terpancar..

Kg Pasir Putih, 9.37 pm

Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...