Wednesday, October 7, 2009

Gempur Sampai Hancur!

Memang pantas benar masa berlalu. Rasa baru sangat aku menjaga PMR di SM Convent St. Ursula. Hari ini aku mengulang peristiwa lama. Bezanya, kini di SMK Wakuba. Maknanya sudah setahun berlalu. Tidak sedar masa meninggalkan kita bersama kenangan dan peristiwa semalam yang tidak mungkin mampu diulang lagi. Pasti ada bezanya.

Dalam setahun yang telah ditinggalkan, kalau dihitung secara analitikal, berapalah agaknya peratus kebaikan yang telah dilakukan. Lebih banyak, kurang atau sama sahaja dengan kerja-kerja yang tidak mendatangkan redha Allah. Perubahan diri rasanya tidak banyak yang berubah. Sedikit perbezaan, tahun ini, aku memang "berabis" untuk famili. Lebih banyak menumpu masa, tenaga dan harta buat mereka. Sebolehnya, kesal tidak sempat berbakti dengan sebaiknya buat arwah bapa dapat ku tebus. Kalau orang lain sibuk mengurus diri untuk menempuh alam baru yang bernama alam rumahtangga..aku pula sibuk mengurus rumah mak yang memang dah ada tangga ni..hehe.. Rumahtangga aku, nanti-nantilah."slow and steady". Sampai serunya..InsyaAllah.. :-)

Sebut pasal perubahan ini, semua pencinta kedamaian dan keamanan, jangan lupa kita sama-sama doa dan munajat ISLAM beroleh kejayaan pada 10hb ini. Andai kita kalah diatas kiraan undi, jangan berdukacita. Kita masih menang dalam penilaian Allah. Kenapa? Kerana dalam peperangan pilihanraya ini, kita telah berusaha memastikan hanya redha Allah yang mengiringi usaha-usaha kita. Kita telah memastikan calon yang kita wakilkan adalah seorang yang benar-benar layak menjadi pemimpin. Seorang yang kenal halal dan haram serta tahu hukum hakam. Dalam proses berkempen ini juga, kita pastikan kita tidak keluar dari batasan syariat Islam yang suci, seperti menipu, menuduh dan memfitnah. Ruang kempen kita manfaatkan untuk mendedahkan kezaliman yang sering diselindungkan, kita terangkan penglihatan mata hati dan minda masyarakat yang sering dikaburkan oleh mereka-mereka yang hanya pandai menabur janji tanpa gigih mengotakannya. Jangan berhenti menyerang..kita gempur sampai mereka hancur!! Allahu Akbar!

~ ISLAM SENTIASA MENANG ~


Sunday, October 4, 2009

Adakalanya..

Masih di sekolah. Sesi perekolahan untuk sidang pagi sudah berakhir. Kebiasaannya waktu-waktu begini aku sudah lama memecut ST7909K balik ke rumah berehat-rehat. Hari ini, rasa malas mahu balik awal dan mahu menikmati kesejukan penghawa dingin di bilik guru. [rumah tiada aircond bah..hehe]

Hanya ada dua kelas hari ini. Tetapi dua-dua kelas dilayan dengan mood yang satu. Mood marah dan mengomel. Muka yang manis awalnya berubah menjadi kelat. Lama sangat sudah aku tidak membebel. Biasanya apabila mereka tidak membawa buku latihan atau tidak menyiapkan kerja, aku hanya akan menasihati dan bermurah hati memberi mereka kertas untuk digunakan. Hari ini, aku masih bermurah hati. Bermurah hati memberikan mereka libasan rotan di tangan. Sebagai pengajaran, tidak setiap hari cikgu mereka ini punya mood sabar dan baik hati. Kekadang akan datang juga rasa marah apatah lagi bila kerap sangat makan hati.

InsyaAllah..marah ini tidak berpanjangan..dah "cool" dah ni..tarik nafas..hembus..lega..senang kan.. :)





Malam yang sepi

Malam sudah lewat dan semakin pekat. Angin malam dari tingkap yang menghembus lembut cukup menyamankan. Wajarnya tika begini, aku sudah lena diulit mimpi. Merehatkan diri dan minda. Esok Isnin InsyaAllah akan membuka tirainya lagi. Menandakan perlu bekerja. Perlu hadir ke sekolah.

Mata malam ini entah apa masalahnya. Tidak mahu lelap. Adik pula baru sebentar tadi menghantar masuk secawan teh o panas. Dia yang sedang berhempas pulas untuk PMRnya sememangnya "tukang bancuh teh o panas" saban malam. Moga-moga teh ini tidak menambah luasnya mata yang perlu untuk lelap ini.

Sunyi sedikit malam ini. Tiada teman bicara di ruangan YM. Sahabat-sahabat "Tawau" kebanyakan "offline" awal malam ini. Kesan kepenatan mengurus dan menjayakan Alam Ria PASTI siang tadi. Tahniah buat semua yang telah menjayakan program jemaah. InsyaAllah usaha murni kalian pasti ada nilaian disisiNya..

Mudah-mudahan "keciciran"ku hari ini bukan mukaddimah kepada keciciran-keciciran yang seterusnya..Tidak hadir hari ini pun, sedikit meresahkan jiwa. Memandangkan ada amanah lain daripada keluarga, mengurangkan rasa tidak tenang dan tidak senang.

Apapun, salam kemaafan ku pohon buat semua sahabat atas ketidakhadiran dalam program PASTI dua hari ini..menebus kekurangan..aku telah "updatekan" gambar-gambar menarik sepanjang program siang tadi..sila kunjungi www.pastawau88.blogspot.com

p/s :
-adry-hanya itu yang mampu akak upload..sebarang kekurangan mohon dibaiki
- Fate'- maaf laporan/gambar mendahului blog rasmi PASTI..hehehehe [sengih ada maksud tersirat ]

Friday, October 2, 2009

SBCH4103

Saat menulis ini, sedang didendangkan zikir merdu Ustaz Amal melalui siaran Astro Oasis. Indahnya alunan kalimah merayu dan merintih pada Dia yang Maha Gagah Perkasa. Terasa benar kekerdilan diri sebagai hamba. Sudahlah lemah tidak berdaya, tapi masih acapkali berani mencabar kekuasaan Sang Pencipta dengan melanggar suruhanNya dan melakukan laranganNya. Benar-benar tidak sedar diri!

Sedang berusaha mengumpul "mood" sebenarnya. Buku Macromolecular & Industrial Chemistry [SBCH4103] menanti untuk dihadam. Subjek berat yang menjadi amanahku pada semester September OUM kali ini.Kuliah ahad ini agak mengejutkan kerana aku hanya mengetahui punya kelas pada hari Selasa. Kelam kabut jugalah hendak buat persiapan. Mahu tidak mahu..rempuh saja lah.. Mudah-mudahan mood untuk "study" akan datang mencurah-curah sebentar nanti..harapnya..

Esok ada saringan Ihtifal Alam Ria PASTI peringkat Tawau. Secara rasminya aku tiada tugas. Tugas yang ada sudah diambil alih oleh orang lain. Lagipun semasa program kemuncak Ahad nanti, aku tidak dapat menghadirkan diri. Hari ke hari terasa semakin kurang pula beban kerja jemaah yang terpikul di bahu. Sampai kekadang terasa kosong pula masa. Tapi bila "time" kerja berlambak..masayaAllah..sampai tak menang tangan pula di buatnya. Cuma kalau guna ketelusan diri dalam berjuang, kerja itu sentiasa ada dan banyak. Mahu atau tidak saja kita mencarinya. Sedikit masalah teknikal sekarang ini, tidak punya fokus untuk bergerak kerja. Ada sahaja alasan yang tercipta dan dicipta..apa lah.. [perli diri sendiri ya..jangan pula ada sesiapa yang terasa..]

Nampaknya, kena segera ke fanika [kedai buku agama..ala-ala mydin lah] untuk mencari satu dua buku teman di kala orang lain teramat sibuk, tapi diri sendiri tak tahu nak buat apa..hehe..Dua hari lepas, semasa jejalan sorang-sorang ke sana, sudah bertemu sebuah buku berwarna merah jambu yang berjaya menambat hati. Penulisnya pula penulis kegemaran..Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni..judulnya.. "Jadilah Wanita Yang Paling Bahagia"..tajuk pun dah menarik..[ada sesiapa nak bagi sebagai hadiah?..kecik tapak tangan, nyiru saya tadahkan..hehe]

Sudah pukul 9.00 malam. Harus saya segera bertegas kepada diri. Berhenti dari terus menghadap skrin laptop ini. Buku di tepi ni pun, seakan menjeling tajam minta segera dilayan...

Kg Pasir Putih @ 9.11 pm

Thursday, October 1, 2009

Sabar yang sangat panjang

Hari ini 12 Syawal 1430H. Alhamdulillah..berjaya juga menghabiskan puasa sunat Syawal. Kali ini agak istimewa sebab puasa di lalui bersama-sama emak tersayang. Setiap hari kami sahur dan berbuka bersama. Hati benar-benar tersentuh melihat mak yang jauh lebih berusia dari diri, tetapi lebih gagah berpuasa. Setiap hari balik daripada sekolah, aku akan memperuntukan masa untuk melelapkan masa sementara menanti asar. Mak pula, tidak senang duduk bahkan sentiasa saja ada kerja yang dilakukan. Paling tidak, melayan dan mengawasi cucunya yang tersangat "buas"nya.

Masih ingat lagi, 2 atau 3 tahun lepas, emak pernah bertanya, "bulan Syawal bagus rupanya kita puasa 6 hari kan"

"Iya..memanglah mak. Puasa sunat 6." Aku menjawab dengan senyuman.

"Owh..kenapa tidak kasi tau..nanti mahu puasalah " Jawab mak lagi

"InsyaAllah.." jawabku ringkas..senyuman masih berbaki di bibir..

Waktu itu mak baru pulang dari menunaikan ibadah haji. Ternyata perbezaan mak berbanding sebelum ini. Mak lahir dan dibesarkan dalam keluarga dan masyarakat yang kurang kefahaman agama. Lebih mengecewakan, terlalu dibelenggu dengan adat-adat yang kurang selari dengan syariat. Jadi untuk mengharapkan mak membimbing dan memandu ke arah hidup berlandaskan syariat Islam yang sempurna tidaklah sangat...

Awal-awal aku mula terlibat dengan "gerakan Islam" semasa zaman sekolah dahulu, hanya Allah yang tahu betapa kecamuknya jiwa. Hati sentiasa berselubung duka melihat ahli keluarga yang tidak memahami apatah lagi menghayati syariat sebagai panduan kehidupan. Dalam usia yang sangat muda ketika itu, apa sajalah yang boleh dilakukan. Hanya linangan airmata dan doa menjadi teman. Kini bersama usia yang semakin dewasa, berbekal kerjaya sebagai senjata, sedikit sebanyak suara dan pandanganku boleh diterima oleh mak dan ahli keluarga yang lain. Walaupun masih terlalu banyak kekurangan yang belum dibaiki, selebihnya aku sandarkan kepada rahmat dan keampunan DIA yang Maha Pengampun. Aku hanya mampu berusaha sedayanya.

Aku yakin, masalah ini turut dialami oleh sahabat-sahabat yang lain. Bahkan isu sebegini, isu yang paling kerap dibincangkan bersama adik-adik PERPIS semasa usrah. Realiti anak-anak "mendidik" orang-orang tua bukan lagi fenomena yang pelik. Cumanya, realiti ini sangat perit dan mencabar. Perlu dilaksanakan dengan sangat berhati-hati. Yang hak dan benar harus ditegakan dalam masa yang sama adab dan akhlak sebagai anak juga masih wajib diutamakan.

Sesungguhnya, hingga ke hari ini bahkan mungkin hingga ke hujung nyawa, perjuangan ini akan berterusan. Sering membisik jiwa agar jangan resah dan berdukacita tatkala belum berjaya merubah keluarga, "hak kita sebagai hamba adalah berusaha..berjaya dan tidak itu adalah hak dan urusan Dia Yang Mencipta..maka, berusahalah dan terus berusaha.."

Tatkala mahu lari dari amanah lantaran kecewa dan putus asa..segera membaca firmanNya sebagai renungan dan muhasabah diri..



Tuesday, September 29, 2009

Aku insan biasa

Sebentar tadi baru habis bersembang-sembang ilmiah menerusi YM dengan seorang sahabat seperjuangan di bumi Peladang ini. Alhamdulillah..tersangat suka dengan perkembangan terbarunya. Berbanding zaman dia masih sekolah dahulu. Sangat berbeza. Kini dia semakin sedar keperluan mengintima' jiwa dan raga dalam perjuangan.


Semoga semua generasi perjuangan terutamanya golongan muda, masih dan terus bersemangat untuk menyahut seruan perjuangan di bumi bawah bayu ini. Aku yakin kalau semua orang memainkan peranan dengan sebaiknya dan memberikan komitmen sepenuhnya kepada gerak kerja perjuangan, anjakan sikap dan paradigma masyarakat Sabah agar berbalik kepada penghayatan Islam yang sebenar mampu dijayakan.

Tetapi akur, bukan mudah merealitikan teori ini. Paling mudah, lihat dan nilailah apa pengorbanan yang telah kita sumbang untuk perjuangan? Aduh..hanya aku mampu termenung dan menginsafi...masih terlalu kecil dan kerdilnya aku di sisi perjuangan ini..

[entry ringkas..kesan perbincangan yang panjang..terima kasih sudi berkongsi idea dan pandangan..semoga kita tetap terpilih dan terus dipilih berada dalam jalan juang ini]


Sunday, September 27, 2009

Di senja ini

Termenung aku di anjung senja
Memikir dan memuhasabah
Membelenggu jiwa dan rasa
Agar bisa tunduk dan redha

Tatkala diri bagai tidak bernyawa
Menahan sesak dan resah jiwa
Sesekali di uji derita
Oleh Dia Sang Pencipta

Tanpa aku sedar dan perasan
Bukan aku saja punya ujian
Bukan aku saja menahan perasaan
Bukan aku sahaja berdepan persoalan

Kiri, kanan, depan dan belakang
bahkan di segenap penjuru alam
Ada lagi yang lebih malang

Tatkala aku punya mata yang sempurna
Ada yang buta tanpa melihat dunia
Tatkala aku punya lisan menutur bicara
Ada yang bisu tanpa mampu berkata
Tatkala aku mampu berjalan gagah
Ada yang hanya mampu berkerusi roda
Tatkala aku mampu bergaji dan berkerjaya
Ada yang masih mengharap simpati sesiapa

Mengapa aku masih perlu gundah
Mengapa aku masih perlu resah
Ketika nikmat datang mencurah
Membuat hidup lebih bermakna



Puisi hati ini terilham tatkala dalam perjalanan pulang dari rumah kakak sulungku membawa anak buah yang bermuram durja kerana berpisah dengan ibunya yang terpaksa meneruskan pengajian KPLI di IPGM Keningau.

Dalam perjalanan senja itu, hati tersentuh melihat pekerja-pekerja kilang yang menanti bas mereka. Terpaksa mereka berjaga semalaman dan bekerja keras dengan imbuhan yang tidak seberapa. Meneruskan perjalanan, terjumpa pula seorang pakcik tempang sedang berusaha berjalan pantas dengan kepayahan. Sebelum tiba di pakir rumah, melalui pula sekumpulan anak remaja muslim yang masih duduk bertenggek di tepi jalan sambil bernyanyi sumbang. Walhal azan sudah berkumandang menyeru kepada solat dan mencapai kejayaan.

Pemandangan-pemandangan disepanjang perjalanan singkat yang benar-benar menginsafkan. Sejuta kesyukuran ku panjatkan kerana Allah memberi ruang dan peluang dengan rahmatNya untuk diri merasai manis dan nikmatnya berada dalam Islam dan Iman. Kekalkan Ya Allah dengan kenikmatan yang tiada bandingan ini...





Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...