Tuesday, June 30, 2009

Lensa Pameran Sukaneka Pasti Kawasan Tawau 2009






Jangan tengok saja..


Tulisan terakhir untuk Jun 2009. Esok tirai Julai mula membuka lembarannya. Ketika membaca kembali coretan-coretan lalu samada di terakan bicara_sufi lama mahupun rumah baru ini, seolah saya banyak berkira-kira tentang waktu dan masa. Bagai menanti sesuatu tiba atau mengharap sesuatu pergi. Apakah???

Minggu ini, tugasan disekolah tiba-tiba "menyerang" serentak. Isnin yang ceria disuramkan dengan kerutan di kening yang memberi isyarat, otak sedang ligat berfikit. Mahu tidak berkerut, dalam minggu ini, kena siapkan PEKA Sains untuk ditaksir oleh pentadbir. Dengan PEKA yang belum bertanda sepenuhnya dan fail-fail belum dikemaskini. Unit disiplin pula hendak bermesyuarat Khamis ini, memerlukan surat panggilan mesyuarat dan minit mesyuarat lepas. Dalam masa yang sama data SMM perlu dikemaskini. Kerja-kerja selaku Setiausaha HEM juga perlu disegerakan. Huhu.
.ternyata guru bukan sekadar mengajar dan mendidik. Guru juga kerani, polis, doktor, tukang kebun, arkitek dan macam-macam lagi. Masih keliru apabila ada yang mengatakan kerja sebagai guru mudah dan senang.

Apapun jua, kerja dan kehidupan tidak akan terpisah. Cuma perlu bijak mengatur masa. Jangan sampai kerja dan kerjaya merantai kaki, tangan minda dan jiwa kita. Rugilah jika sekadar hidup berteman kerja dan kerjaya. Warna kehidupan harus seperti pelangi. Banyak dan pelbagai. Cantik dan menarik. Walau kekadang kehidupan sering dikaitkan dengan hitam dan putih. Tidak salah kita mengubahnya. Biar kekadang warna hidup kita hijau menandakan kita dalam kedamaian, putih dalam mood kesucian atau merah makna kita sedang bersemangat.

Lagilah bergelar muslim yang punya azam menjadi mukmin. Perlu pelbagai corak dan warna kehidupannya. Tidak boleh sekadar siang bekerja malam berehat dan bersantai bersama-sama keluarga di rumah. Tidak boleh hari-hari seperti ini. Mahu jadi mukmin antara kriteria yang mesti ada harus menjadi da'ie. Jadi da'ie harus dinamik. Bijak bermain ruang dan masa. Pintar membaca waqi' dan persekitaran. Memanipulasi segala yang ada untuk tujuan dakwah dan siasah.

Jangan dibelenggu dengan pemikiran stereotaip. Mahu berdakwah perlu cukup ilmu di dada. Perlu petah berkata-kata. Dakwah yang paling mudah adalah akhlak yang mulia. Tidak kiralah apapun kerjaya kita. Seorang ketua, berakhlaklah dengan anak buah, seorang doktor, berakhlaklah dengan pesakit. Seorang guru WAJIB berakhlak dengan pelajar. Nama pun guru, pengajar dan pendidik. Paling penting sebenarnya, kesedaran dan keinginan. Sedar peranan sebagai khalifah di alam ini yang bertanggungjawab memakmurkannya dengan sebaiknya. Sedar tanggungjawab menyeru yang hak dan menentang yang bathil. Masuklah ke dalam gelanggang dakwah dan siasah. Jangan sekadar memerhati dari luar. Tidak sama orang yang berjuang dan orang yang duduk diam.



'Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman selain daripada orang-orang yang ada keuzuran dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar; "
(An- Nisa' :95)




Sunday, June 28, 2009

Kisah Pameran

Syukur..berakhir jua tugasan dan amanah menguruskan Pameran untuk Sukaneka PASTI Kawasan Tawau. Banyak cerita dan kisah disebalik tanggungjawab ini. Manis ada pahit pun terasa. Manis kerana pameran rasanya "cantik" jugalah tahun ni. Walaupun asalnya dibayangkan suram kerana diri ini bukanlah mahir dalam bab-bab "deco" ni. Walaupun peminat rancangan "deco bersama eric". Mujur adik-adik [ khamsiah, anisah, mardiana, nani, widi] dan rakan sebaya [fate', asmah dan athirah] TERSANGAT banyak membantu. Komitmen dan kerjasama mereka layak mendapat gred A. Proses men"setup" tapak program bermula secara rasminya pukul 3 pm. Walau hakikatnya ada yang sudah menunggu seawal 2 pm. Ada saja masalah teknikal yang mengganggu perancangan. Sabar ya yang terpasa menunggu tu. Allah nak bagi pahala lebih. :) Semuanya selesai tepat pukul 6pm. Kami akhiri dengan bergambar ceria dihadapan tapak pameran. Gambar menyusul kemudia kerana tukang gambar tak bagi lagi gambar itu. :)

Pahitnya pula, ada satu insiden "melukakan" perasaan telah berlaku di saat-saat akhir "kisah pameran" ini. Walaupun diri ini bukan mangsa cerita melukakan ini, tetapi tetap terasa kerana yang menjadi mangsa adalah anak buah sendiri. Aduh..inilah manusia, bila berkata tanpa berfikir dahulu. Berkata mengikut rasa. Kebetulan rasa yang hadir mungkin bukan rasa-rasa jiwa yang suci tetapi amarah jiwa. Sudahnya orang lain yang terasa. Buat adindaku yang telah "panas" jiwanya, semoga cepat sejuk. Ini cabaran pertama. Bukti kata-kata akak pada awak dulu.

"awak kena bersedia mental dan fizikal duduk dalam team ini". Masanya awak aplikasikan persediaan awak !

Mudah-mudahan nanti punya kekuatan untuk menulis "kisah-kisah" berhadapan manusia yang kekadang bagai mematahkan semangat untuk terus iltizam dalam perjuangan. Sengaja mahu digazetkan dalam bicara_sufi. Agar nanti, bila terasa mahu culas dari jalan juang, bisa segera insaf tatkala membacanya semula....InsyaAllah..


Friday, June 26, 2009

Muslimat Tawau : Satu pemerhatian..

Muslimat memacu perjuangan. Bunyi tema yang digarap dalam muktamar muslimat kawasan Tawau baru-baru ini. Intipatinya sudah dijelaskan dengan panjang lebar oleh ketua DMPKT semasa ucaptama dan telahpun dibukukan setebal 23 muka surat [boleh dirujuk di pejabat DMPKT]. Terlalu besar harapan dan inspirasi yang ingin dicapai oleh DMPKT melalui tema yang diharapkan dapat dimaksimakan usaha mencapainya sepanjang sesi 2009/2011.


Perlu diketahui oleh semua amilat yang meneruskan gerak kerja perjuangan dibawah label DMPKT dengan posisi lujnah masing-masing, tugas merealisasi tema ini bukan sekadar komitmen dan kesungguhan daripada saf pimpinan yang dilantik semata-mata. Bahkan memerlukan kerjasama padu ahli-ahli yang sedar tugas dan gerak kerja dakwah adalah satu tuntutan yang perlu diberi keutamaan.

Amat menyedihkan, baru beberapa bulan muktamar DMPKT berlalu bahkan baru beberapa minggu muktamar PAS pusat berlalu, para amilat di bumi peladang seakan tidak terasa langsung bahang dan tidak terlonjak semangatnya untuk bangkit gagah memacu perjuangan. Program-program yang diatur kurang mendapat sambutan. Mesyuarat yang direncana tidak mendapat perhatian individu-individu yang sepatutnya hadir.

Penyakit lebih suka menjadi pemerhati sudah menular kini. Kalau dahulu, penyakitnya, sekadar menjadi audien, malas hendak memikir dan merencana. Kini penyakit sudah semakin parah dan bagai mahu dijadikan barah. Hadir pun tidak mahu!

Dalam situasi PAS sedang mengorak langkah mahu menendang keluar Barisan Nasional dari terus menjadi nahkoda negara tanpa mendaulat Islam, para pejuang di bumi peladang ini masih terus layu dan lembik. Menjadi penonton diluar gelanggang. Walhal, usaha menjatuhkan Barisan Nasional yang kita tentang kerana penolakan mereka terhadap hukum-hukum Allah boleh dipercepatkan dengan kerja keras para pejuang agama di bumi bawah bayu ini. Bukankah "kegagalan" Pakatan Rakyat meneraju Malaysia kerana gagalnya kita menawan Sabah dan Sarawak?

Seharusnya, para amilat sudah terbuka matanya, celik mindanya dan tajam hatinya. Keluar dari kepompong lembik dan layu yang membelenggu diri. Zaman sudah berubah. Muslimat bukan lagi sekadar duduk dirumah melayan karenah suami dan anak-anak. Bukan bermaksud mengabaikan hak dan tanggungjawab itu. Tetapi sebagai bukti, kita sayangkan merekalah kita kena keluar dan berjuang. Lebih memedihkan apabila generasi muda yang belum ada rantaian tanggungjawab mengurus suami dan anak-anak yang diam seribu bahasa. Lantas mendorong prasangka dan sangka-sangka!

Masa belum terlewat. Ruang dan peluang menebus kesilapan diri masih terbuka luas. Tinggalkan kesilapan semalam. Mulakan langkah yang lebih cemerlang. Julai ini kita akan bermunaqasyah, membahas ucaptama Ketua Muslimat DMPP dan berusaha menggarap idea dan pandangan buat bekal kita menerus perjuangan di bumi Tawau. Semua amilat, letakkan diri dalam posisi masing-masing bersedia kita mara dan tempur bersama!!!




Bilangan kerusi lebih banyak daripada bilangan muslimat yang hadir. Adakah ini petunjuk DMPKT bakal mengalami krisis kekuarangan generasi pelapis???

sumber : www.dmptawau.blogspot.com

Gelora jiwa


Punya rasa ingin menulis. Tetapi tidak tahu mahu fokus apa. Selalunya begini bila ada yang mengganggu jiwa. Aduh..kerap benar jiwa berombak dan bergelora. Selalu bila tidak tenang begini, memang "mood" yang baik untuk menulis. Tetapi nada penulisan pasti tidak segar dan bersemangat.

Allahumma muqallibul Qulub thabit qalbi ‘ala deenek.

Kalimah yang sering kubisik pada hati. Biar reda seketika gelora rasa. Ayat ini juga kerap ku ulang dalam sesi usrah bersama adik-adik PERPIS petang tadi. Fizikal pun kurang sihat hari ini. Sepetang dilanda sakit kepala yang amat. Gagahkan jua diri memandu viva-ST 7909 K. Walau hakikatnya pandangan berpinar-pinar. Semasa sesi usrah juga, bagai mahu tumbang kadang-kadang. Mujur diri jenis manusia yang mudah senyum, dapatlah "cover" muka berpenyakit ini. Tidak sampai hati mahu batalkan usrah adik-adik yang sanggup datang walau keletihan 5 jam di sekolah. Mereka boleh menggagahkan diri, kenapa aku perlu memanjakan diri? Syukur, usrah berjalan juga. Walaupun pengisianku hari ini agak bertabur. Semoga tetap ada manfaat buat bekal seminggu, sebelum usrah minggu hadapan. :)

Hujung minggu ini lagi mencabar. Sabtu pagi sekolah seperti biasa, petang mengurus pameran. Ahad sukaneka PASTI petang tutorial OUM. Syukur aku masih punya malam untuk menunaikan hak dan tanggungjawab kepada keluarga pula. Aku pasti masih ramai insan lain, yang serius dengan perjuangan, kekadang langsung tidak punya waktu memanjakan diri dan ahli keluarga. Contoh terdekat para petugas perjuangan yang bakal bertempur di Manek Urai.
[Moral tulisan yang tiada hala tuju ini - kalau terasa diri kita susah dan sesak dada, pandang sekeliling, masih terlalu ramai orang yang lebih susah dari kita.]


Tuesday, June 23, 2009

Jalan masih panjang




Musim cuti mahasiswa sudah hampir melabuhkan tirainya. Hampir tiap hari dalam minggu ini ada berita kepulangan adik-adik mahasiswa ke menara gading. Tempat mereka menuntut segala teori. Teori bekal menempuh alam kerjaya yang telah mereka pilih. Juga teori menghadapi jalan perjungan yang tidak sedikit mehnah dan tribulasinya. Itupun seandainya masih terpilih dan dipilih !

Melihat mereka, terimbau kenangan-kenangan semasa bergelar mahasiswa dahulu. Penuh dengan idea dan semangat yang membara. Mereka juga mengulagi kisah dan sejarah itu. Kepulangan awal mereka ke universiti pastinya punya misi yang perlu diselesaikan. Jadual kuliah masih bersisa beberapa minggu untuk bermula. Namun, masa yang sepatutnya dihabiskan untuk bersama keluarga dan merehatkan minda yang sarat, mereka korbankan demi sebuah perjuangan. Sekalung tahniah diucapkan. Semoga adal agi waris-waris perjuangan yang bakal kalian temui dalam misi OKTI yang sedang kalian rancangkan.

Terasa ingin menggarap sedikit buah fikiran berdasarkan pengamatan dan pengalaman yang bertemu, bermesra dan bekerja dengan adik-adik mahasiswa yang berkesempatan pulang ke bumi peladang ini. Dari sudut kuantiti ternyata bilangan waris penerus perjuangan semakin bertambah. Ramai muka baru yang tidak dikenali sebelum ini hadir sama memeriahkan program mahasiswa yang telah dilaksanakan baru-baru ini. Satu perkembangan yang sangat positif.

Dari sudut kualiti, belum selayaknya untuk diberi penilaian. Sekadar mampu membuat andaian. Bila andaian, maksudnya boleh benar, boleh silap. Andai benar dan memerlukan kepada perubahan, perlu ada keinginan untuk berubah. Andai silap, mohon dimaafkan atas kekhilafan yang tidak diniatkan.

Nampkanya isu-isu perkaderan dan pentarbiahan di universiti masih mengulang isu-isu lama. Antara yang boleh dicatatkan disini :

  1. Ta'adud jamaah (berbilang jamaah) -"konfiuslah yang mana satu betul ni..semuanya matlamat yang sama untuk Islam juga..aduh..peningnya"
  2. Isu UBM - kena setlekan ubm ni sebelum grad..nanti taklah "jatuh" ke tangan orang-orang yang tak ditarbiyyah..
  3. Akademik Vs Jamaah - aktif dengan jamaah, nanti pointer jatuh, tak terlibat, nanti dikata tak faham-faham lagi kah tentang perjuangan..
Sekadar tiga daripada beberapa lagi. Cuma yang tiga ini masalah yang terus dan terus berlaku. Dimana-mana universiti dan apa jua method perkaderannya. Kebiasaannya, berjaya atau tidak menghadapi masalah-masalah berbangkit di universiti, bukan satu jaminan berjaya juga di alam realiti. Buktinya ramai para pimpinan JIK, bila kembali ke kawasan masing-masing gagal mengimplementasikan segala yang diperolehi. Ada juga sekadar ahli biasa yang hanya tahu akur dan wala' pada arahan pimipinan JIK, tetapi bila kembali ke alam realiti, bisa terus memacu perjuangan. Tidak kiralah statusnya kekal ahli ataupun "upgrade" sedikit menjadi pimipinan cawangan mahupun kawasan.

Perlu di sedari oleh para generasi perjuangan yang masih berada di alam kampus, banyak faktor yang perlu ditimbangkan agar mampu terus bergelar pejuang setelah bergelar graduan.

  1. Adakah kerjaya yang dipilih mampu menjadikan diri terus terikat dengan jemaah. Keterikatan itu mungkin tidak sama dengan orang lain. Hanya kita yang tahu keadaan diri kita. Contohnya kerjaya seorang guru tidak sama dengan kerjaya seorang pegawai. Seorang guru pastinya punya waktu lapang yang agak banyak berbanding dengan seorang pegawai. Namun adakah seorang yang masa kerjayanya 8 - 5 tidak perlu mengorbankan masanya untuk perjuangan? Masa rehat, tidur, makan, menonton tv, melayari internet bukankah boleh dikorbankan sedikit untuk perjuangan?
  2. Faktor ahli keluarga. Semak status kita dengan ahli keluarga. Andainya kita termasuk dalam kategori "dirantai" kaki kita andai pulang ke kampung halaman, timbang-timbangkan untuk TIDAK balik bertugas di kampung halaman. Cari ruang dan kawasan yang kita boleh membina kerjaya demi kelangsungan hidup dalam masa yang sama menjadi pejuang demi memaknakan sebuah kehidupan. Usah risau keluarga di kampung. Bukankan sering meniti dibibir kita "jika kita bantu agama Allah, Allah akan bantu kita". Jauh bukan penghalang kita berbakti kepada keluarga. Terlalu banyak cara dan kaedahnya. Kekadang dengan kejauhan itulah lebih mengeratkan kita dengan keluarga. Pepatah menyebut..kalau sayang tinggal-tinggalkan.
Dua faktor major ini, digarapkan disini, buat membuka mata dan minda generasi muda yang sedang gigih semangatnya belajar dan mengajar segenap ilmu di menara gading sana. Biar jelas dan terbuka laluan kehidupan. Berfikir sebelum membuat keputusan. Menilai sebelum membuat tindakan. Dalam apa jua keputusan dan tindakan, letakkan agama di hadapan. InsyaAllah..sejahtera mengiringi bahagia. Redha dan rahmatNya pasti menjadi teman kehidupan. Yakinlah...

[mencari-cari kakak-kakak yang sudah bergelar graduan ataupun sedang menanti majlis graduasi..ke mana menghilangkan diri..sedang berehat ka?sedang sakit ka? apapun jua kondisi..segera pulih ya..kerja dakwah melebihi masa yang ada :) ]

Monday, June 22, 2009

Ada apa pada ukhuwwah?

Ternyata agak kurang penumpuan masa untuk mengakses internet dengan tekun dan teliti 2-3 hari kebelakangan ini. Malam ini, "mood" untuk menulis yang sekian lama ditahan dek kekangan pada tugas dan tuntutan lain yang lebih utama disempurnakan jua.

Hujung minggu lepas agak padat terisi. Sebelah pagi sabtu-ahad diisi dengan aktiviti di sekolah dan beberapa mesyuarat mengurus perjuangan. Sebelah petang sibuk dengan kelas tuisyen buat bekal menambah pendapatan memenuhi keperluan hidup menyara ahli keluarga dan diri sendiri. Malam ahad, berkesempatan hadir dan memeriahkan qiamullail bulanan di Pasti Taman Ria.

Qiamullail kali ini agak suram dan hambar. Kedatangan sekadar 20 orang sahaja. Berbanding bilangan yang sepatutnya hadir dalam 50 orang. Sempat juga menghantar sms kepada beberapa orang sahabat karib, seperti biasa, pelbagai sebab dan musabab diberikan. Dalam keluluhan hati, berusaha mengukir kuntuman senyuman. Semua ini urusan Allah. Bukan rezeki mereka kali ini. Aku yang terpilih patut perbanyakan syukur agar terus terpilih. Bukankan Allah akan menambah nikmat bagi hambaNya yang bersyukur.

Laluan perjuangan memang tidak dapat dipisahkan dengan mehnah dan ujian. Agar mampu terus gagah melangkah memacu perjuangan, elemen ukhuwwah perlu dipandang berat oleh ahli dan para penggerak perjuangan. Tatkala diri semangat dan berkobar-kobar untuk menghadiri program perjuangan, tiba-tiba kita mendapat mesej daripada sahabat-sahabat yang akrab (kamcheng)

"salam..maaf, tak dapat datang qiam malam ni, ada hal famili" "salam..maaf ya. Tak dapat datang malam ni, tak sihat lah badan."

Pasti semangat dan keinginan yang membuak-buak untuk hadir program, bertemu dengan sahabat-sahabat, jatuh merudum. Hanya bertaut pada nawaitu asal sambil mengusap dada menteramkan hati..

"Ya Allah..aku lakukan semua ini hanya keranMu. Betulkan niatku, terimalah semua ini sebagai ibadah yang hanya ku persembahkan untukMu.."

Tidak dinafikan, alasan-alasan yang diberikan untuk tidak hadir mana-mana program perjuangan adalah hak individu. Memandangkan program-program perjuangan tidak ada mana-mana manusia yang menjadi panel penilai. Tidak ada sebarang surat tunjuk sebab perlu diberikan seandainya tidak hadir. Kalaupun diminta oleh pimpinan, belum tentu ahli akan memberi, bahkan mungkin cabut lari!

Bilamana yang "ponteng" atau tidak dipilih Allah untuk hadir adalah dari kalangan pimpinan perjuangan ataupun pendokong perjuangan, agak keliru juga dibuatnya. Tertanya diri sendiri, tak hadam lagi kah teori-teori perjuangan hingga gagal dimanifestasikan. Iya, akur yang keadaan diri tidak sama situasi dengan orang lain. Namun, menghadapi kehidupan yang penuh dengan ujian untuk melambatkan dan membantutkan intima' kita dalam perjuangan, garis panduan yang harus dikuasai dengan bijaksana ialah fiqh aulawiyat yang telah disyarahkan dengan panjang lebar oleh ustaz-ustaz yang bertauliah dan terbukti iltizam mereka di jaaln juang ini. Selain itu, madah dan kata :

"kerja-kerja perjuangan adalah kewajipan, bukan pilihan"

harus tersemat kukuh di jiwa dan minda. Barulah perjuangan tidak menjadi "anak tiri" dalam kita meletakan priority agenda kehidupan seharian kita. Contoh mudah yang ditunjukan oleh Timbalan Ketua DMPKT, semasa program qiamullail baru-baru ini. Beliau mempunyai program sekolah pada malam tersebut, dan hanya selesai pada pukul 10 malam. Beliau tidak menjadikannya sebagai alasan untuk ponteng program. Beliau menggagahkan diri yang keletihan dan mengorbankan waktu bersama anak-anak dan suami tercinta, hadir qiamullail walaupun lewat. Inilah satu contoh teladan yang perlu direnung oleh pendokong perjuangan terutamanya generasi muda yang kekadang tidak terlalu banyak kekangan tetapi lebih kerap beralasan.

Perlu disedari, bukti komited kita dalam perjuangan bukan sekadar menjadi ahli atau memegang jawatan semata-mata. Tetapi adalah berusaha untuk hadir sebarang program yang diatur hatta program itu sekadar kuliah yang kita rasakan kita sudah arif tentang topik yang dibincangkan. Ini kerana, kehadiran kita dalam program-program sebenarnya adalah suntikan motivasi buat pelaksana program dan audien yang hadir.

Semoga yang sakit segera sembuh, yang berhalangan segera lapang, yang kusut mindanya kecamuk jiwanya segera tenang agar semuanya dapat kembali berada dalam satu saf beregrak seiring dan sejalan menongkah arus membelah badai yang ingin memesongkan laluan kita di jalan juang ini!


Semoga ukhuwwah yang kita bina bukan sekadar ini dan begini....

Wednesday, June 17, 2009

KARTUN vs KANAK-KANAK

Hampir semua rumah kini mempunyai televisyen (TV). Televisyen dengan kehidupan manusia memang sudah tidak boleh dipisahkan. Kanak-kanak merupakan antara golongan yang teramai menonton televisyen. Kartun adalah rancangan paling diminati oleh kanak-kanak ditambah lagi dengan kecanggihan teknologi sehingga ada rancangan kartun seakan-akan berbentuk “realiti” yang dipanggil 3D.


Sebut saja Doraemon, Sinchan, Detektif Conan, Spongebob, Hagemaru. Pasti dikenali dengan cukup akrab oleh kanak-kanak. Kartun ibarat menjadi makanan wajib kanak-kanak.


“Sabtu dan ahad ‘turn” abang ya tengok tv. Abang nak tengok Dragon Ball”

“Mak, malam ni tak payah mengaji ya, adik mau tengok Sinchan”


Kita mungkin biasa mendengar dialog-dialog sebegini diutarakan si anak kecil kepada ibunya. Betapa kartun mendapat tempat dihati dan minda kanak-kanak.

Antara punca senario tidak sihat ini, ketidakpekaan sistem penyiaran rancangan televisyen menyiarkan dan melambakkan cerita-cerita kartun tanpa penelitian kesan dan akibatnya. Lebih malang lagi, terdapat ibubapa memberi kebebasan anak-anak bertemankan cerita-cerita kartun tanpa kawalan dan batasan dengan alasan kartun-kartun ini telah diklasifikasikan dengan tanda U bagi UMUM yang memberi maksud sesuai di tonton oleh semua lapisan masyarakat.



ANTARA KESAN DAN PENGARUH RANCANGAN KARTUN KEPADA KANAK-KANAK



1. Menjejaskan prestasi akademik dan pembacaan lancar


Menurut laporan 1994 dari Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat, pencapaian akademik jatuh ketara bagi kanak-kanak yang menonton lebih daripada 10 jam seminggu.


Kemahiran bahasa boleh diransang melalui pembacaan dan juga perhubungan dua hala lebih-lebih lagi keluarga iaitu ibu bapa bukannya menonton televisyen. Menonton televisyen adalah proses interaksi sehala sahaja iaitu televisyen menayangkan rancangan dan kanak-kanak sibuk menonton tanpa berfikir dan tidak kreatif.

Menurut Dr Jerre Levy Pakar Perkembangan Hemisfera Otak di Universiti Chicago telah menyatakan “ otak direka bagi memenuhi cabaran-cabaran kognitif. Ia seperti otot: jika anda tidak membuat latihan ia akan lemah. Jika tidak melatih otak anda, ia juga akan lemah”.


2. Mempertontonkan unsur keganasan.

Contohnya jika kanak-kanak sering menonton ultraman, adegan-adegan bertumbuk, membelasah pasti akan sering dilakukan mereka. Hinggakan, tidak mustahil mereka akan menganggap ibu,bapa ataupun adik-beradik yang lain sebagai raksasa apabila kanak-kanak ini marah. Perkataan seperti BUNUH juga boleh terpacul dari mulut mereka kerana mereka melihat ultraman membunuh raksasa.

Tidak mustahil berlaku, apabila si ibu menyuruh kanak-kanak ini, mereka akan membalasnya "kalau ibu suruh adik lagi, nanti adik "fire" ibu.Sambil menunjukan aksi ultramen mem"fire" raksasanya. Perlu direnung, situasi ini bukan perkara yang perlu dipandang sebelah mata !


3. Mempertontokan unsur seks

Rancangan yang dipertontonkan kepada kanak-kanak seperti kartun yang mempunyai imej-imej seksi dan berunsurkan seks. Jika si hero dalam rancangan televesyen mempunyai imej ganas, si heroin pula mempunyai imej seksi. Imej seksi ini menampakkan bentuk atau lekuk-lekuk tubuh wanita yang sepatutnya dijauhi oleh kanak-kanak. Babak-babak cinta, cium dan tidur bersama adalah babak yang menjadikan sicilik terlalu cepat matang, bukan matang dengan perkara positif, tetapi matang dengan perkara negatif.


4. Pembaziran


Bagi kanak-kanak lelaki apabila selepas melihat rancangan kegemaran meraka pasti keinginan mereka membuak-buak untuk membeli alatan-alatan yang kurang bermanfaat yang ada kaitan dengan rancangan yang ditonton. Contohnya mainan-mainan seperti robot, senapang dan kad-kad mainan yang mempunyai imej hero mereka.


Bagi kanak-kanak perempuan patung-patung, t-shirt atau costum dan sebagainya yang memaparkan imej heroin yang disukai. Kanak-kanak sanggup untuk bermogok kepada ibu pada sekiranya tidak membeli peralatan hiburan ini. Bukankah ia sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.


5. Bahasa kasar dan melampau


Contohnya dalam Ultraman atau Power Rangers perkataan yang tidak pernah ditinggalkan adalah perkataan “tak guna” atau “jahanam punya penjahat”. Jika perkataan ini berulang-ulang didengar oleh kanak-kanak ditakuti ia akan diterjemahkan kedalam kehidupan harian terutama apabila berinteraksi dengan ibu bapa atau rakan sebaya.


6. Unsur yang merosakkan nilai-nilai keagamaan


Contoh yang paling ketara adalah masa rancangan disiarkan di televesyen, kita sedia maklum untuk menarik kanak-kanak waktu yang paling sesuai adalah dari jam 7 hingga ke 8 malam. Di dalam waktu ini bagi yang menganut agama Islam terdapat waktu Maghrib dan Isyak yang mana umat Islam akan mengerjakan solat dan mengaji Al-Quran. Jika waktu ini disia-siakan maka tiang agama mudah dirobohkan.


BAGAIMANA CARA MENGATASI DAN MEMBANTU PERKEMBANGAN

KANAK-KANAK


1. Peranan ibubapa


Jika menonton rancangan televisyen sewajibnya ibu bapa menemani anak-anak agar rancangan televisyen yang dipertontokan dipantau dengan rapi bagi mengelakkan terdedah kepada unsur-unsur negatif.


2. Rancangan berunsur dokumentari dan ilmiah


Bukan semua rancangan di televesyen itu negatif, terdapat juga rancangan yang menjana otak mereka supaya menjadi matang. Antaranya rancangan berbentuk dokumentari yang mana rancangan tentang unsur-unsur alam semulajadi. Kehidupan haiwan dan tumbuhan yang ditayangkan memberi kesedaran kepada mereka bahawa Alam ciptaan Tuhan amat luas dan tiada penghujungnya. Terdapat juga rancangan-rancangan ilmiah yang sesuai untuk kanak-kanak seperti Mari Mengaji di TV9. Dedahkan kanak-kanak dengan rancangan sebegini tanpa mengabai fitrah kanak-kanak yang suka kepada keseronokan dan keceriaan. Dalam masa yang sama, minda mereka terjana rohani mereka terisi.


3. Pastikan televisyen jarang terpasang


Dalam tempoh 12 tahun pertama kehidupan kanak-kanak ia haruslah rapat dengan budaya membaca. Budaya membaca ini akan menjadikan anak anda lebih matang dan berwawasan jauh. Pasang televisyen untuk melihat rancangan yang betul-betul bersesuaian untuk seisi keluarga sahaja. Jika seawal kanak-kanak lagi budaya ini diterapkan, pasti sepanjang tempoh pembesaran mereka sudah terbiasa untuk tidak menjadi "hamba" televisyen.


KESIMPULAN


Tidak dinafikan, televisyen juga punya kelebihan dan manfaat. Namun, bila terlalu didedahkan kepada kanak-kanak, ibarat kita memberi mereka sebilah pisau. Pasti pisau yang bermanfaat untuk seorang ibu menjalankan tugas rutinnya di dapur akan di salah guna oleh si anak kecil yang belum mampu membezakan baik dan buruk. Begitu jugalah rancangan-rancangan kartun, ada baiknya. Namun, untuk memastikan mesej baik yang cuba disampaikan itu difahami oleh kanak-kanak, memerlukan didikan dan bimbingan oran dewasa. Jangan kerana ingin men"statikkan" anak-anak kita, kita biarkan mereka berteman power rangers, ultramen, pingu, dan macam-macam lagi...

Tuesday, June 16, 2009

Kembali ke sekolah


Sekolah sudah kembali meriah. Setelah hanya dihuni staf dan kakitangan bukan mengajar. Para pendidik dan anak didik kembali meneruskan rutin kehidupan. Hari pertama selepas 2 minggu bercuti, memang tidak disertai mood dan ghairah hendak mengajar. Pelajar pun sama. Tidak tersuntik langsung semangat mereka untuk belajar. Hingga ada yang tidak membawa buku pun. Hanya mampu menggelengkan kepala. Hendak marah-marah rasa tidak patut. Biarlah. Sesekali melayan "manja" anak-anak ini. Lagipun masa boleh diiisi dengan bersama mengulangkaji kertas peperiksaan pertengahan tahun yang sudah selesai.

Bila mula sibuk dengan rutin mengajar ini, mulalah kerja-kerja perjuangan tertolak ke tepi. Prioritynya menjadi yang kedua. Namun sering mengingatkan diri, memadailah kerja-kerja sekolah dilaksanakan sewaktu di sekolah sahaja. Masa selebihnya adillah kepada perjuangan dan keluarga. Jangan mengorbankan mana-mana diantaranya. Jangan sesekali!

Ayuh semua, mengorak langkah gagah merealisasi aspirasi diri. "Be a good mukmin".

[memanfaatkan masa mengisi Bicara Sufi sementara menanti taklimat rabu :) ]

Sunday, June 14, 2009

Pantas benar

Pantas benar masa berlalu. 2 minggu bagai 2 hari saja. Sungguh belum puas menikmati cuti 2 minggu ini. Lari seketika dari bebanan tugas-tugas rasmi selaku Cikgu. Melupakan seketika buku-buku latihan yang perlu disemak, kerja-kerja pengurusan yang berlambak-lambak dan karenah anak-anak didik yang menuntut sabar yang tidak sedikit.
Dua minggu berkesempatan "melajakan waktu tidur pagi" mengimbau "feel" kurang senonoh masa zaman bergelar mahasiswa. Ingat lagi, masa belajar dahulu, kerap berjaga di malam hari. Hingga pagi kurang dinikmati. Memang benar bila dah jadi tabiat bukan mudah nak di ubat. Jadi semailah tabiat-tabiat yang mahmudah saja. Agar mudah mencapai martabat taqwa.

Sorotan peristiwa sepanjang cuti ini bermula dengan walimah insan-insan bergelar sahabat. Satunya Hasnuri, sahabat seperjuangan yang telah sama-sama berbaiah menjadi mata rantai perjuangan menegakkan daulah islamiah di alam buana ini khususnya Malaysia bumi bertuah. Alhamdulillah seronok melihat dia sudah berjaya memulakan pelayaran bahtera rumahtangganya. Semoga pelayaran bahteranya dikemudi bersama suami tercinta menuju baitul dakwah yang akan menyuburkan lagi usaha dakwah di Tawau bumi peladang ini.

Walimah kedua, juga seorang sahabat baik. Walaupun dia tidak ditakdirkan menjadi sahabat seperjuangan di medan dakwah dan siasah, namun dia teman berkongsi pengalaman dan kehidupan. Bersama dengannya pasti menerbitkan kuntuman senyuman bahkan kekadang hilaian tawa dek penangan "lawak kingnya". Itulah dia insan bergelar Misnah Kadiran. Sungguh tidak kusangka, seawal ini jodohnya tiba. Apa tidaknya, karektornya yang cukup selamba kekadang "samseng" pun ada. MAsih segar diingatan, saat sama-sama di Matrikulasi KPM Kolej Ibukota Kinabalu, dia pernah menyerangku di bilik dengan mercun "pop"nya. Perasaan ku tika itu memang bagai berada di Palestine. Aku memang agak "takut" dengan sebarang jenis mercun. Bukan apa. jenis cepat terkejut. Mana tahu, kena "heart attack" masa tu, kan susah dia juga. Haha..Tapi apa pun jua, inilah suratan yang sudah ditentukan. Seru sudah sampai. Semoga semua mengharungi bahtera pelayaran rumahtangga dalam redha dan rahmatnya sentiasa. Selamat menjadi isteri solehah buat kedua sahabatku ini.

Hari cuti ini juga diisi dengan sedikit komitmen dalam program Kem Remaja Islam (KRIS kali ke 4) di SMK Kuhara. Memenuhi undangan jawatankuasa pelaksana untuk program Forum mengupas tema program - Islam Untuk Semua. Berat juga menerima jemputan ini. Hati sudah lama tidak ghairah untuk tampil dikhalayak umum dalam versi menjadi panel forum mahupun penceramah jemputan. Terasa tidak layak dengan kekangan ilmu pengetahuan yang sudah lama tidak di"update". Menulis jauh lebih mudah berbanding berkata-kata di hadapan. Namun, tidak sampai hati memberatkan adik-adik pelaksana program yang pastinya mempunyai 1001 masalah lain mengurus program besar sebegini. Rasanya selaku orang yang ada pengalaman dengan KRIS, sewajarnya aku memberikan kerjasama tanpa berdolak dalih. Alhamdulillah, berjaya juga majlis itu kuharungi. Digandingakan dengan adik Burhanudin salah seorang pendebat dan pemidato terbaik peringkat kebangsaan semasa belaiu menuntut di UMS dulu banyak memudahkan tugasku. Menjadi harapan peserta yang melebihi 300 orang itu memperolehi sesuatu hasil perbincangan bersama kami ahli panel forum malam itu. InsyaAllah...

Serba sedikit coretan aktiviti cutiku yang sudah berakhir ini. Ada banyak lagi peristiwa yang terlakar dalam dua minggu ini. Sengaja tidak dinukilkan di sini kerana ingin menggarapnya dalam versi yang lebih istimewa. :)

Saturday, June 13, 2009

Akhirnya...Suatu permulaan

13 Jun 2009 menjadi tarikh rasmi aku melancarkan blog peribadiku. Walaupun hakikatnya aku sudah bermain-main dengan dunia blog ini sudah 4 tahun dan aktif serta komited sepenuhnya dua tahun lepas. Blog peribadiku sebelum ini sekadar menumpang tapak di blog.friendster. Atas alasan, tidak mahu penumpuan mengurus NISA' KAWASAN TAWAU dan DMPKT terganggu. Lagipun kebiasaannya apabila berlaku pertembungan antara kehendak peribadi dengan urusan jemaah, urusan peribadi sering mendapat tempat di hati. Bagi mengurangkan risiko berlaku "peperangan dalaman antara hati dan nafsu" maka hajat dan keinginan membuak punya blog peribadi sendiri ku pendam dua tahun lamanya.

Keputusan kini berubah. Beberapa hari lepas, setiausaha nisa' kawasan Tawau "memastikan" yang nisa' mempunyai "pengurus" blog nya yang baru. Secara rasminya, aku sudah tidak memikul beban amanah itu. Kini hanya tinggal blog muslimat kawasan yang perlu di urus-selenggara. InsyaAllah, pengalaman mengurus dua blog dalam satu masa sebelum ini, boleh di gunakan mengurus blog peribadi beserta blog dmpkt.

Sesungguhnya, blog ini diwujudkan sekadar menjadi wadah dan wasilah luahan rasa bahasa jiwaku tentang alam dan kehidupan. Segala yang lahir dan dinukilkan di dalam blog ini tidak lebih daripada sekadar pandangan peribadi dan jika memetik sumber dan pendapat luar pun, akan disertakan punca dan asal maklumat tersebut..InsyaAllah..